Browsing Tag

doa ibu bapa

jaga ibu sakit
Gaya Hidup,

Pemuda ini korbankan impian dan kerja demi menjaga ibu yang sakit

IBU bapa merupakan insan yang telah menjaga dan membesarkan anak-anak dengan pelbagai karenah tanpa mengeluh penat dan lelah.

Seorang ibu sanggup berkorban menanggung kesakitan saat melahirkan anak manakala ayah berpenat lelah bekerja demi menyara keluarga.

Justeru setiap anak wajib memuliakan ibu bapa mereka kerana ALLAH SWT meletakkan darjat kedua-dua ibu bapa sangat istimewa dalam kehidupan seorang anak.

Namun sebagai anak adakah kita tidak mampu melihat segala jasa seterusnya menghargai pengorbanan mereka?

Sesungguhnya anak yang rela memperuntukkan waktu merawat, memuliakan, berbakti dan menjaga ibu bapa akan dipermudahkan urusan di dunia dan di akhirat.

Baca Juga Pemungut sampah juga mulia di sisi Islam, kisah kegigihan Wan demi adik-adik raih pujian

Seperti yang tular di laman media sosial TikTok baru-baru ini, seorang pemuda telah berkongsi kehidupannya selepas berhenti kerja demi menjaga ibunya yang sakit.

Menerusi perkongsian pemilik akaun @alifr0z, dia berkongsi rutin hariannya sepanjang hari ketika menjaga ibunya yang sakit.

Menurut Alif, dia berpuas hati dengan keputusannya meninggalkan kerjaya korporatnya demi menjaga ibunya sepenuh masa.

TULAR di laman media sosial TikTok baru-baru ini, seorang pemuda telah berkongsi kehidupannya selepas berhenti kerja demi menjaga ibunya yang sakit.

“Kehidupan selepas berhenti kerja untuk jadi penjaga sepenuh masa mak saya.

”Tinggalkan kerjaya korporat 9 pagi hingga 5 petang saya untuk jaga ibu saya yang sakit terlantar dan itu merupakan keputusan terbaik yang pernah saya buat. Sumpah lagi best jaga sendiri,” tulisnya.

Artikel Berkaitan 

Kagum dengan pemuda itu, perkongsian tersebut telah meraih pelbagai respons positif dalam kalangan warganet menerusi ruangan komen.

Semaikan perasaan ihsan

ALLAH SWT memerintahkan agar manusia menyembah dan mentauhidkan-NYA disertakan dengan berbuat ihsan kepada kedua ibu bapa terutama ketika mereka diuji dengan kesakitan.

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abdullah RA, “Aku bertanya Nabi SAW apakah amal yang paling disukai oleh ALLAH?” Nabi menjawab: “Solat dalam waktunya.” Aku bertanya lagi kemudian apa lagi?”. Nabi menjawab: “Kemudian berlaku ihsan kepada kedua ibu bapa.” Aku bertanya lagi kemudian apa lagi?” Nabi menjawab: “Berjihad fi sabilillah.”

Pengasuh anak

JIKA memerlukan bantuan ibu bapa untuk menjaga anak kita, berbincanglah secara baik dengan mereka. -GAMBAR HIASAN/FOTO: FREEPIK

Lihatlah betapa pentingnya ihsan kepada kedua orang tua sehingga Nabi SAW menjadikan ‘birrul walidaini’ iaitu berbuat baik kepada ibu bapa adalah amalan paling afdal selepas solat.

Menurut Kaunselor Keluarga, Haji Hushim Salleh, anak-anak perlu semaikan sikap ihsan dalam diri selain sentiasa rasional dalam menghadapi karenah ibu bapa yang sakit.

“Penting apabila anak-anak berhadapan ibu bapa yang sakit mereka perlu ada ‘mindset’ termasuk sematkan dalam diri sifat ‘ihsan’ iaitu sifat kasih sayang pada orang tua.

“Jadi apabila mereka berdepan dengan pelbagai kerenah ibu bapa, mereka kena ‘recalled’ sikap itu adalah pantulan kerenah zaman kanak-kanak yang mana ibu bapanya pernah lalui ketika menjaga dirinya.

Turut Disyorkan Jasad penghafaz al-Quran dijaga hingga akhir hayat

Baca Juga Lelaki buat kecoh dalam pesawat kerana ingin solat, fahami tatacara sebenar solat atas kapal terbang

“Biasanya anak -anak akan berdepan isu seperti ibu bapa mereka membuat perbandingan dengan anak-anak lain selain faktor persekitaran iaitu keadaan rumah yang kurang selesa menyebabkan adakalanya anak itu tertekan.

“Naturalkan kembali rasa negatif dengan pemikiran rasional selain dibantu dengan jalani kaunseling atau berbincang dengan saudara lain untuk mendapatkan sokongan emosi,” katanya.

Untittled Image (29)
Gaya Hidup,

Memuliakan ibu, akhlak sebenar Islam

Memuliakan ibu, akhlak sebenar Islam

“HAIH, sebak tau tengok gambar dan video pemain Maghribi peluk cium dan ketawa bersama ibu mereka.”

“Walaupun saya bukan peminat bola sepak, melihatkan bagaimana pemain Maghribi menunjukkan akhlak yang baik buatkan saya kagum!”

Itulah antara luahan rata-rata warganet di Malaysia melihat sebuah video yang tular baru-baru ini oleh pemain Maghribi apabila meraikan kejayaan dengan ibunya, seorang insan yang paling bernilai berbanding permata dunia.

Dengan kemenangan mereka, satu catatan sejarah baharu telah direkod dalam sejarah penganjuran kejohanan Piala Dunia 2022, pasukan Maghribi akhirnya menempa nama sebagai pasukan pertama dari benua Afrika yang berjaya menembusi saingan peringkat Suku Akhir seterusnya menempah slot sebagai Semi Finalis.

Kejayaan Maghribi ternyata menjadi kebanggaan dan kegembiraan seluruh masyarakat benua Afrika dan juga khususnya negara Islam seluruh dunia. Para penyokong mereka di seluruh negara Islam seperti di Palestin, Libya, Arab Saudi, Syria dan di Qatar sendiri turut meluahkan rasa syukur atas kejayaan yang diraih.

UTAMAKAN ibu untuk raikan kemenangan bersama, jauh lebih penting daripada teman wanita atau insan lain.

Memuliakan orang tua khususnya ibu, itulah akhlak sebenar Islam. Mengutamakan ibu untuk raikan kemenangan bersama, jauh lebih penting daripada teman wanita atau insan lain.

Ini kerana Islam meletakkan kemuliaan ibu bapa selepas ALLAH SWT dan RasulNYA. Ketahuilah, jika ibu bapa reda kepada anaknya maka ALLAH akan reda kepadanya, sebaliknya jika ibu bapa berkecil hati atau marah kepada anaknya maka ALLAH juga akan murka kepada anak tersebut.

Baca juga Ibu ayah amalkan doa ini agar anak terhindar daripada perkara sia-sia

Ini jelas sebagaimana yang tersebut dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Daripada Abdullah bin Amru, Nabi SAW bersabda: “Keredaan ALLAH terletak pada keredaan ibu bapa dan kemurkaan ALLAH terletak pada kemurkaan ibu bapa.” (Hadis Riwayat al Imam at-Tirmizi)

Memuliakan ibu ayah, akhlak sebenar Islam

Mantan ahli Dewan Negara, Ustazah Nuridah Mohd Salleh turut memberikan ulasan mengenai perkara ini akan hebatnya seorang anak memuliakan ibunya.

TANPA kehadiran seorang ibu, tidak ada anak yang dilahirkan atas muka bumi dengan izin ALLAH.

Jelas beliau, jika ibu ayah mempunyai anak yang begitu minat dengan dunia bola sepak, tunjukkanlah gambar dan video pemain Maghribi ini. Lebih pantas menjadi idola dan mencontohi akhlak yang ditunjukkan

Berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya ?“. Maka Rasulullah SAW menjawab:

أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أَبُوكَ

Maksudnya: “Ibu kamu (adalah manusia yang paling berhak untuk kamu berbuat baik kepadanya), kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu.” [Hadis Riwayat Muslim]

“Ibu, mama, emak, atau mummy adalah sosok tubuh yang terpenting dalam kehidupan seorang anak. Tanpa kehadiran seorang ibu, tidak ada anak yang dilahirkan atas muka bumi dengan izin ALLAH.

Baca juga Kesilapan besar anak terhadap ibu bapa yang sudah meninggal dunia

“Dalam Islam, darjat seorang ibu diletakkan di tempat yang tertinggi sehinggakan banyak tercatat dalam al-Quran dan hadis. Antaranya yang dinyatakan di atas, Rasulullah menyebutkan ibu sebanyak tiga kali, kemudian bapa. Jadi, perbuatan berbuat baik dan mentaati ibu akan menjadikan seseorang itu akan memperoleh keberkatan,” ungkapnya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus

Berita, Berita Semasa,

Anak jadi nakal sebab doa ibu bapa… Berhati-hatilah bila berkata-kata apalagi ketika sedang marah

PERASAN atau tidak, sikap kanak-kanak kadangkala begitu mirip sekali dan saling tidak tumpah dengan ibu bapanya.

Masakan tidak, segala tindak-tanduk kita selama ini menjadi perhatian mereka. Sejak mereka kecil, semua tindakan kita diperhatikan dan dari situ mereka mencernakan maklumat dan sedikit sebanyak ia akan cuba ditiru oleh mereka.

Benarlah, anak itu ibarat kain putih dan kita sebagai ibu bapa yang mencorakkan mereka. Baik atau tidak baik sikap kanak-kanak itu sebenarnya ada perkaitannya dengan cara didikan kita.

Ya, barangkali kita beralasan tidak pernah bersikap negatif atau menunjukkan perilaku yang buruk di hadapan anak-anak. Namun, entah kenapa kadangkala dirasakan anak itu begitu nakal.

Hendak kata faktor rakan di taska atau cara asuhan di rumah pengasuh, namun setelah diselidiki, ia bukanlah punca utamanya. Semacam ada faktor lain yang membuatkan anak kita nakal.

Ketahuilah, punca anak nakal tadi mungkin disebabkan oleh doa ibu bapa itu sendiri.

Demikian tegas pendakwah Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid sebagaimana disebutkan menerusi video yang dikongsikan dalam Instagram miliknya dan @cocombee baru-baru ini.

Anak nakal

JANGAN berkata sesuatu yang buruk kepada anak-anak. Ia dikhuatiri boleh menjadi doa kepada mereka.

Sebelum mengulas lebih lanjut, beliau mengajak kita menyelami bait-bait kalamullah ini.

Firman ALLAH SWT: “…Dan KAMI berikan kepadanya (Nabi Yahya) al-Hukma (hikmat kebijaksanaan) ketika dia masih kanak-kanak.” (Surah Maryam, ayat 12)

Jelas beliau, al-Hukma bermaksud kebijaksanaan, kefahaman dan kesedaran.

“Kebiasaannya, semasa kecil, kanak-kanak suka bermain. Namun, tidak kepada Nabi Yahya tatkala baginda AS masih kecil. Baginda tiada masa untuk bermain,” katanya.

Menyambung hujahnya, pendakwah itu berkongsi tentang kisah Nabi Yahya AS ketika masih kecil sebagaimana dipetik daripada Imam al-Tabari.

Imam al-Tabari meriwayatkan bahawa Nabi Yahya AS ketika masa kecil ada berjumpa budak-budak yang sebaya dengan umurnya. Mereka mengajak baginda untuk bermain.

“Begitupun, Nabi Yahya mengatakan: ‘Kita dicipta oleh ALLAH bukan untuk main’.

“Bayangkan budak kecil boleh bercakap dengan percakapan yang memiliki makna yang begitu dalam.

“(Baginda AS) Dijaga dan dipelihara oleh ALLAH SWT daripada kecilnya sesuai dengan permintaan orang tuanya yang meminta kepada ALLAH SWT supaya dikurniakan anak yang menjadi individu yang dapat membimbing ahli keluarganya atau kepada Bani Israel.

“Maka, sejak dari kecil lagi (Nabi Yahya) sudah boleh membimbing. Kita sudah melihat manfaat dan hidayahnya (hasil doa ibu bapa Nabi Yahya) sejak usianya masih kecil.

(Artikel berkaitan: Jangan maki hamun anak-anak, kelak ia akan berbalik kepada kita)

“Lihatlah tutur kata baginda dan perbuatannya itu. Ini adalah keberkatan doa orang tua untuk anaknya dikabulkan oleh ALLAH SWT,” katanya.

Habib Ali Zaenal Abidin menambah, doa kedua ibu bapa untuk anak umpama doa nabi untuk umat.

“Maksudnya di sini adalah doa nabi itu mustajab. Demikian juga halnya doa orang tua untuk anak mereka juga mustajab,” jelas beliau.

Justeru, beliau menasihatkan ibu bapa agar tidak mendoakan perkara yang tidak baik kepada anak yang nakal.

“Jangan keluarkan langsung kata-kata tidak baik daripada orang tua.

“Dulu orang-orang tua kita kata ‘Jangan maki anak-anak, khuatir malaikat lalu, diaminkan oleh malaikat, jadilah anak itu macam mana dikata oleh orang tuanya’.

“Ketahuilah, seorang anak itu kadang-kadang nakal disebabkan orang tuanya mendoakan (begitu). Anak kadang-kadang tak betul gara-gara orang tuanya yang mendoakan ketika dalam keadaan marah dan emosi sehingga terkeluar kata-kata yang tidak baik,” ujar beliau.

Justeru, berhati-hatilah dengan setiap tutur kata kita. Boleh jadi apa yang kita tuturkan itu boleh menjadi doa untuk anak-anak kita.

Sebaiknya, bercakaplah perkara yang baik dan teruskan berdoa supaya anak kita menjadi orang yang baik. Mudah-mudahan ALLAH mendengar dan mengangkat doa kita tadi.

Andai anak melakukan kesalahan atau nakal, nasihatilah dengan cara yang baik. Jangan sesekali bercakap dengan perkataan yang tidak baik terhadapnya akibat dikuasai emosi dan perasaan marah dalam diri.

Sumber: Instagram @habibalizaenalalhamid & @cocombee

Foto: Freepik