Browsing Tag

diskusisinarislamplus

Berita Semasa,

Elakkan pemasaran ‘bertuhankan’ media sosial, ini sebab-sebabnya

PEMASARAN dengan media sosial bagi tujuan mempromosi sukar untuk dipisahkan. Masakan tidak, fungsinya memberikan impak yang besar kerana ia berupaya membina jaringan interaksi tanpa sempadan.

Pada era digital kini, platform tersebut seakan-akan menjadi keperluan utama kepada setiap usahawan. Meskipun sudah lebih dua dekad kita menggunakan teknologi berkenaan, entah mengapa masih ada kelompok yang menyalahgunakannya sehingga mengundang kecaman ramai.

Bukan sekali dua, tetapi beberapa insiden melibatkan isu pemasaran sebegini timbul sejak akhir-akhir ini. Tindakan itu sebenarnya memicu budaya yang tidak sihat dalam industri berkenaan.

Baca juga Bawa produk berlabel agama, tapi hidup dilimpahi istidraj

Perkara itu turut diakui oleh pengasas syarikat konsultasi pemasaran dan penjenamaan Sifubad Sdn Bhd, Jamaluddin Bahari yang dikenali ramai sebagai Sifu Jamal.

Jelas beliau, meskipun media sosial suatu kemudahan yang baik, namun andai disalah guna atau ‘terbabas’, ia tetap menjadi perkara buruk.

SIFU JAMAL

Beliau kemudian mengambil contoh peniaga yang terlalu obses dan bertuhankan media sosial sehingga merasa tidak sempurna hidupnya tanpa tanda suka dan view daripada warganet.

“Sepatutnya apabila bangun pada waktu pagi, kita solat dan bersyukur terlebih dahulu atas nikmat kurniaan ALLAH SWT. Namun, kebanyakan daripada kita akan melihat media sosial masing-masing untuk melihat view dan like di platform berkenaan. “Ya, memang bagus penggunaan media sosial untuk tujuan pemasaran dan jenama, tetapi jangan ‘sesat’ dan salah guna. Sedangkan, jika solat tidak sempurna, kurang amal ibadah dan amalan, tidak pula kita kecewa,” katanya ketika ditemui di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, Sifu Jamal menjelaskan, pada hari ini, ramai peniaga yang memanfaatkan media sosial untuk meraih pengikut, view dan membina penglibatan seperti komen bagi memudahkan perniagaan masing-masing.

Baca juga Tiga kesalahan bergurau yang boleh mendatangkan dosa di media sosial

Begitupun, katanya, apa yang ‘mencacatkannya’ apabila terdapat sebilangan pihak yang menggunakan kontroversi untuk tujuan publisiti semata-mata bagi melariskan jualan.

“Malah, ada yang sanggup mengada-adakan cerita yang tiada. Misalnya, membuat gimik pemasaran orang bergaduh dan sebagainya sehingga menjadi bahan umpatan, makian, permusuhan dan sebagainya.

Baca juga Beli Produk Sendiri Dan Buat ‘Review’ Palsu Untuk Tarik Pelanggan, Perbuatan Ini Sama Dengan Menipu

“Jika usahawan atau peniaga buat begitu, mereka akan menyebarkan perkara dan persekitaran yang negatif serta memburukkan masyarakat. Mudah kata, apa jua cara tidak elok, ia tetap tidak baik. Ingatlah, kaedah tersebut tidak menghalalkan cara,” nasihatnya.

Pemasaran

MANFAATKAN media sosial sebagai alat pemasaran perniagaan dengan sebaiknya dan patuhilah bab jual beli sebagaimana dianjurkan oleh agama Islam.

Berikan manfaat pada manusia

Mengulas tentang maksud sebenar pemasaran, Sifu Jamal menjelaskan, ia adalah pendekatan bagaimana kita menyampaikan maklumat produk sendiri kepada masyarakat, selain menarik orang suka dengan apa yang dijual, meraih kepercayaan mereka dan akhirnya membeli barangan dan mengulang kembali pembelian.

Jelas beliau, pemasaran juga begitu dekat dengan penjenamaan yang akan mempengaruhi dan berkait rapat antara satu sama lain.

“Sebagai contoh, publisiti boleh digunakan secara baik mahupun sebaliknya. Cuma pada hari ini, terdapat segelintir usahawan yang menggunakan publisiti tidak baik untuk menarik orang datang dan mewujudkan suasana yang tidak selesa kepada audien sehinggakan ada yang memaki, tidak berpuas hati mahupun rasa tertipu.

“Ingatlah cara tidak betul, melanggar hukum dan apa jua pendekatan yang meninggalkan impak negatif dibimbangi tidak mewujudkan keberkatan. Barangkali ada yang beralasan buat itu dan ini untuk tujuan pemasaran, tetapi kena ingat, matlamat tidak menghalalkan cara,” ungkapnya.

Baca juga “Jangan bangga nikmat dunia, kematian menjemput anytime, anyway”- Ebit Lew nasihat jangan lalai

Kepada satu soalan, Sifu Jamal menjawab: “Sebenarnya ilmu pemasaran dan penjenamaan itu sangat luas, mengapa kita memilih cara-cara yang tidak diberkati?

“Mudah kata, apabila kita mahu membuat pemasaran, berfikirlah terlebih dahulu. Sebab apa kita berbisnes? Memang sembilan persepuluh rezeki datang daripada perniagaan, malah berniaga juga merupakan sunnah Rasulullah SAW. Justeru, biarlah ia dilakukan dengan cara yang berkat.

Pemasaran

PASTIKAN jual beli yang dilakukan dan kaedah pemasaran digunakan tidak dicemari unsur penipuan dan mengelabui orang lain.

“Paling penting, buatlah apa sahaja perkara yang memberi manfaat kepada manusia lain. Itulah antara bait pesanan Rasulullah SAW dalam Hadis Riwayat al-Bukhari dengan Muslim. Sebagai usahawan, antaranya kita boleh menghasilkan produk yang bagus, melatih dan membimbing pasukan niaga, buat iklan dan fikirkan konten yang bermanfaat.

Baca juga Hati-hati dengan ‘content’ persenda agama, akidah boleh runtuh kerananya

“Justeru, berlumba-lumbalah untuk memberikan manfaat kepada orang dengan mencipta konten yang berkualiti dan menyelesaikan masalah orang. Cuma perlu kreatif, unik dan ada identiti sendiri,” titip beliau.

Elak unsur mengelabui, menipu

Bagaimana pula dengan jenis pemasaran dengan menunjukkan kekayaan dan kemewahan secara berlebih-lebihan di media sosial?

Sinar Islam Plus mendapatkan Ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah di Mdc Asia Link Berhad, Ustaz Mustafar Mohd Suki untuk menjawab mengenainya.

Jelas beliau, Islam tidak menggalakkan jenis pemasaran yang menunjukkan kekayaan atau kemewahan di media sosial untuk ‘memerangkap’ ejen dan orang lain.

Ketahuilah bahawa unsur mengelabui, tipu muslihat apatah lagi menipu diharamkan sama sekali dalam jual beli, ungkapnya.

USTAZ MUSTAFAR

“Disebabkan itu, mereka yang menayangkan kekayaan tersebut, sedangkan kita pula tidak jelas dari segi produk yang dijual kerana tak pernah jumpa di pasaran, keadaan itu sebenarnya boleh membawa kepada unsur menganiayai ejen.

“Barangkali ada sebilangan pihak menunjuk-nunjukkan kereta mewah atau rumah besar yang mungkin dipinjam. Boleh jadi juga gambar harta itu merupakan milik orang lain yang sengaja ditonjolkan di media sosial.

“Semua perkara itu sebenarnya termasuk dalam unsur yang mengelabui. Rasulullah SAW pernah memberi ancaman terhadap kelompok ini dalam sebuah Hadis Riwayat Ibn Hibban. Baginda bersabda bahawa ‘Siapa yang menipu, maka ia tidak termasuk golongan kami. Orang yang berbuat tipu muslihat dan mengelabui, tempatnya di neraka’,” katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Seperkara lagi, Ustaz Mustafar yang juga Ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah Koperasi Pelaburan Kakitangan Bank Muamalat mengingatkan kepada usahawan atau peniaga supaya tidak menggunakan cara iklan dan testimoni yang mempunyai unsur Najasy.

Najasy bermaksud sengaja menawarkan harga belian yang tinggi, sedangkan dia tidak berniat membelinya. Tujuan individu berkenaan melakukan sedemikian supaya orang lain merasakan barangan tersebut bernilai tinggi dan mereka akan membelinya dengan harga lebih mahal.

Pendek kata, Najasy bermaksud menyembunyikan kerana perbuatan orang itu bersifat begitu niatnya.

Pemasaran

HINDARI jual beli yang bersifat Najasy (menyembunyikan) kerana ia dilarang dalam Islam.

“Umpamanya, seorang peniaga berpakat menipu dalam testimoni. Dia menggunakan telefon sendiri memuji produknya dan mengambil ‘keratan’ komen tersebut di aplikasi WhatsApp miliknya dan memaparkan di media sosial perniagaannya. Kemudian diletakkan pula di sebelah gambar kereta mewah atau rumah besar dan mendakwa ia merupakan kata-kata pujian daripada pelanggan produknya. Walhal dia menipu. Itulah unsur Najasy yang dilarang oleh Rasulullah SAW.

“Satu lagi contoh Najasy apabila sebuah entiti perniagaan melantik duta atau individu terkenal seperti pempengaruh dan sebagainya, tetapi duta berkenaan langsung tidak menggunakan produknya. Namun, mereka pula puji melambung-lambung produk berkenaan seolah-olah menggunakannya,” terangnya panjang lebar.

Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, pendakwah itu menitipkan pesan agar para peniaga, usahawan waima ahli perniagaan tidak keterlaluan dalam mempamerkan kekayaan, apalagi menipu dalam perniagaan.

“Jadilah peniaga yang jujur kerana mereka akan bersama dengan para anbia dan juga orang yang soleh pada hari akhirat kelak,” pesannya.

Foto: Unsplash, Pexels & Freepik 

Tunaikan janji
Isu,

Jangan lafaz sumpah sewenang-wenangnya, ini sebab-sebabnya

LAFAZ sumpah begitu mudah meluncur keluar dari bibir masyarakat kita tanpa memikirkan natijahnya. Malah, ada yang terbiasa mengungkapnya sehingga menjadi tabiat.

Menelusuri historiografi amalan bersumpah, Sinar Islam Plus mendapatkan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor untuk mengulas lanjut.

Jelas beliau, amalan bersumpah telah wujud sejak zaman Rasulullah SAW lagi bahkan banyak disebut dalam al-Quran dan hadis.

“Malah, ALLAH SWT sendiri bersumpah di dalam al Quran dengan pelbagai objek seperti langit, bumi, matahari, bulan, gunung dan sebagainya.

“Begitu juga Rasulullah SAW tetapi baginda bersumpah dengan menyebut nama ALLAH. Misalnya, baginda bersumpah seperti ‘Demi Tuhan yang diriku berada di dalam genggaman-NYA’ apabila ingin meyakinkan umat Islam tentang kebenaran ajaran yang disampaikan olehnya,” kata beliau ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

DR WAN SALIM

Mengulas lanjut, agamawan itu menjelaskan, Islam membahagikan sumpah kepada tiga kategori iaitu sumpah lagha, sumpah yang mengikat dan sumpah ghamus (bohong).

Baca juga Sumpah hanya laku di hadapan hakim, bukan di tempat awam

Jika diteliti, katanya, sumpah lagha tidak diniatkan untuk bersumpah dalam erti kata sebenar kerana ia sekadar ungkapan yang keluar daripada mulut seseorang sebagai satu tabiat sahaja.

“Sumpah ini tidak diambil kira kerana penuturnya tidak bermaksud bersumpah dalam makna sebenar,” katanya.

Bagi sumpah yang mengikat, beliau menjelaskan, ia dilakukan oleh seseorang untuk menegaskan sesuatu perkara dan mengehendaki ia dipercayai dalam perbicaraan di mahkamah dan sebagainya.

“Sumpah ghamus pula didefinisikan sebagai sumpah bohong. Ia lazim dibuat untuk menegakkan dakwaan palsu atau bertujuan memperoleh kepentingan tertentu,” terangnya panjang lebar.

Syarat untuk bersumpah

Suatu perkara yang menarik perhatian Sinar Islam Plus apabila Dr Wan Salim menjelaskan bahawa sumpah hanya boleh diucapkan dengan tiga lafaz sahaja iaitu Wallahi, Wabillahi dan Watallahi.

“Demikianlah maksud bersumpah menurut Islam dalam erti kata sebenar.

Lafaz sumpah

BERSUMPAH dengan menjunjung al-Quran adalah dikira bidaah dan bukan kaedah
bersumpah yang disyariatkan dalam agama Islam.

“Sebaliknya, cara-cara lain seperti bersumpah dengan menjunjung al-Quran adalah dikira bidaah dan bukan kaedah bersumpah yang disyariatkan,” tegasnya.

Begitu pun, beliau mengingatkan umat Islam agar tidak sewenang-wenangnya lafaz sumpah itu dan ini.

“Ini kerana kitab-kitab tafsir menjelaskan bahawa membanyakkan sumpah adalah antara sifat orang munafik. Kita sedia maklum, kelompok tersebut bermuka-muka di hadapan orang beriman, sedangkan hakikatnya mereka menyembunyikan pengkhianatan dan kebencian di dalam hati.

“Ia boleh dirujuk dalam al-Quran menerusi surah at-Taubah, ayat 62 hingga 66 dan ayat 96,” jelas beliau.

Baca juga Sumpah di masjid: Bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri

Kepada satu soalan, agamawan itu menjawab: “Seorang yang telah bersumpah dengan cara yang betul boleh menarik balik sumpahnya.

“Malah, disunatkan berbuat demikian sekiranya didapati tiada kewajaran untuk bersumpah. Cuma mereka yang menarik balik atau membatalkan sumpahnya dikehendaki membayar kafarah (denda) dengan membebaskan seorang hamba abdi.

“Jika tidak mampu atau tidak didapati hamba abdi, maka hendaklah memberi makan kepada 10 orang fakir miskin. Andai tidak mampu, hendaklah berpuasa tiga hari berturut-turut.”

Lafaz sumpah

ANTARA kafarah menarik balik sumpah dalam kes yang wajar adalah berpuasa selama tiga hari berturut-turut jika tidak mampu membebaskan hamba abdi atau memberi makan kepada 10 orang fakir miskin.

Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, Dr Wan Salim menasihatkan agar umat Islam tidak meringan-ringankan sumpah kerana ia sesuatu yang serius.

“Ingatlah, sumpah dimaksudkan untuk meyakinkan pihak mahkamah dan masyarakat awam tentang kebenaran sesuatu yang ingin ditegaskan.

“Jika sumpah dilafazkan dengan sewenang-wenangnya sama ada benar atau bohong, maka dibimbangi ia tidak lagi berkesan dan tidak dipercayai sebagai satu alat bagi menegaskan kebenaran sesuatu perkara atau menafikannya.

“Jika ini terjadi, pihak mahkamah misalnya akan hilang satu elemen terpenting dan amat diperlukan dalam melaksanakan pengadilan,” titip beliau.

Jangan guna nama makhluk bila bersumpah

Bagaimana pula hukumnya jika kita bersumpah atas nama makhluk lain seperti ibu dan bapa?

Menjawab pertanyaan tersebut, pendakwah, Datuk Hassan Mahmud al-Hafiz menegaskan, sumpah hanya boleh dilakukan dengan nama ALLAH SWT dan sifat-sifat-NYA sahaja.

“Tidak boleh sumpah itu dibuat atas nama makhluk-makhluk-NYA yang lain. Umpamanya bersumpah dengan menyebut ‘demi ayah aku’, ‘demi ibu aku’, ‘demi malam’dan selainnya. Haram hukumnya berbuat demikian.

HASSAN MAHMUD

“Ketahuilah, hanya ALLAH sahajalah yang boleh bersumpah dengan makhluk-NYA. Ia sebagaimana yang kita lihat dalam al-Quran seperti ungkapan ‘demi bulan’, ‘demi matahari’ dan sebagainya,” jelas beliau ketika dihubungi Sinar Islam Plus.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang ingin bersumpah, maka hendaklah dia bersumpah dengan nama ALLAH atau lebih baik diam.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Beliau turut mengingatkan umat Islam agar tidak mempermainkan sumpah. Ini kerana bersumpah hanya boleh dilakukan jika melibatkan perkara yang besar seperti menentukan sama ada seseorang itu melakukan kesalahan atau tidak.

“Andai kita yakin diri tidak bersalah, kita boleh bersumpah. Bagaimanapun, sekiranya kita memang buat salah, berdosa, mencuri, membunuh, menipu orang dan sebagainya, tetapi tetap bersumpah, bermakna dua kali ganda dosa yang ALLAH turunkan.

“Bukan itu sahaja, penuturnya juga akan dilaknat dan merana. Barangkali ada yang tidak mempercayainya tetapi balasan ALLAH tetap akan turun. Jika tidak pada dirinya, mungkin pada keluarga, masyarakat atau boleh jadi juga kepada umat Islam keseluruhannya. Itulah kesan sumpah tadi.

Baca juga RASUAH : Penyakit Sosial Dilaknat Allah

“Oleh itu, kalau mahkamah telah membuktikan bahawa kita bersalah, kemudian kita tetap mahu mempertahankan dengan lafaz sumpah, tindakan itu tidak padan langsung kerana sememangnya diri sendiri sudah pun salah,” katanya mengakhiri bicara.

Foto: 123rf & Freepik

Sumpah
Berita Semasa,

Sumpah hanya laku di hadapan hakim, bukan di tempat awam

SUMPAH laknat (mubahalah) menjadi topik perbincangan dalam kalangan umat Islam muktahir ini. Graf perbualan itu semakin rancak apabila ia membabitkan institusi masjid ketika ungkapan itu dilafazkan.

Bukan mahu memanjangkan perkara yang sudah berlalu, namun sudah tiba masanya masyarakat celik tentang perbuatan sumpah itu sendiri.

Bagi mendasari topik itu, Sinar Islam Plus menemubual Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang.

Beliau membuka kalamnya dengan penggunaan sumpah (al-Yamin) sebagai salah satu cara pembuktian yang diterima pakai dalam sistem keadilan Islam. Itulah keunikan sistem perundangan syariah, berbeza dengan sivil dan Barat.

Namun begitu, jelas beliau, penggunaan sumpah hanya terpakai dalam kes-kes tertentu sahaja.

“Jumhur fuqaha menerima kaedah sumpah sebagai salah satu cara pembuktian atau keterangan di mahkamah dalam kes tuntutan mal.

“Bagaimanapun, dalam kes jenayah syariah, tidak semua fuqaha menerimanya. Sesetengah fuqaha hanya bersetuju dalam kes tertentu saja,” terangnya ketika diwawancara secara maya baru-baru ini.

Baca juga 4 Sumpah ALLAH SWT Dalam Surah Al-Buruj, Berikut Penjelasannya

MUSA AWANG

Secara umumnya, pengamal undang-undang syariah itu menjelaskan, amalan sumpah yang diterima dalam kes jenayah adalah sumpah al-Qasamah. Ia bermaksud bersumpah dengan nama ALLAH SWT yang akan dilakukan oleh pihak keluarga orang yang maut dalam kes pembunuhan bagi membuktikan hak mereka terhadap tertuduh.

“Contohnya, dalam satu kes pembunuhan, tidak ada orang yang melihat (insiden itu), sedangkan keluarga yang dibunuh berkata si A yang membunuh. Maka keluarga ini boleh sumpah al-Qasamah mengatakan si A ini yang bunuh.

“Satu lagi sumpah yang diterima adalah sumpah mubahalah. Ia lebih kepada isu yang berkaitan dengan akidah atau sumpah dalam pendebatan untuk menyokong hujah yang benar, bukan kesalahan jenayah berkaitan kes hudud atau rasuah,” jelas beliau.

Hak bagi pihak yang mendakwa

Menyambung hujah, Musa menjelaskan tentang prinsip umum dalam pendakwaan Islam. Pihak mendakwa perlu membuktikan dakwaannya, manakala orang yang kena dakwa boleh diminta bersumpah bagi menafikan tuduhan berkenaan andai pihak yang membuat aduan tersebut gagal membuktikannya.

“Mudah kata, sumpah orang yang kena dakwa itu adalah hak bagi pihak mendakwa, yang mana ia boleh diminta mereka apabila dia tidak mampu membuktikan dakwaan itu melalui keterangan atau bukti.

“Tujuan sumpah adalah sama ada untuk menguatkan keterangan dalam keadaan tidak cukup bukti dan saksi; atau bertujuan untuk menafikan tuntutan seseorang; atau untuk tujuan mengembalikan beban pembuktian itu kepada pihak yang menuntut.

“Cuma dalam Islam, bukan semua orang boleh menuntut atau mendakwa sesuatu yang bukan haknya. Tuntutan atau dakwaan perlu didatangkan dengan bukti dan saksi,” ungkapnya.

Sumpah

SUMPAH mubahalah tidak menjadi satu tuntutan sekiranya kes sedang dibicarakan di mahkamah. -Gambar hiasan

Baca juga Fahami satu ayat al-Quran lebih baik daripada dibaca sehingga khatam? Berikut penjelasannya

Andai seseorang didakwa di mahkamah, tetapi melakukan sumpah di luar institusi kehakiman dengan menjunjung al-Quran misalnya dan menamakan ia sebagai sumpah mubahalah, peguam syarie itu menjelaskan, perbuatan tersebut tidak tepat dan tidak betul dari segi konsep atau namanya.

Ini kerana, katanya, maksud sumpah mubahalah sebagaimana disebutkan dalam ayat 61, Surah Ali Imran, ia tidak merujuk kepada sistem perundangan Islam. Sebaliknya kategori sumpah dalam perdebatan untuk menyokong hujah yang benar.

“Mubahalah tidak menjadi satu tuntutan sekiranya kes sedang dibicarakan di mahkamah. Bahkan, proses keadilan di mahkamah tidak eksekutif pada sumpah sahaja, tetapi juga pada pembuktian yang lain seperti pengakuan, penyaksian, pembuktian di hadapan hakim, rayuan dan sebagainya.

“Dalam prinsip perundangan Islam, sumpah hanya diambil kira atau dilakukan apabila diminta oleh kadi atau hakim. Ia dilaksanakan selepas pendakwaan dilakukan, bahan bukti dikemukakan dan keterangan saksi didengari. Sumpah itu disebut sebagai al-yamin al-qadha’iyyah.

“Kesimpulannya, sumpah perlu dibuat di hadapan hakim (mahkamah), bukan di tempat awam atau secara berbalas sumpah,” tegas beliau.

9 jenis sumpah di mahkamah

Musa menambah, terdapat sembilan jenis sumpah yang diterima di mahkamah syariah. Perinciannya adalah seperti berikut:

Sumpah

TERDAPAT sembilan jenis sumpah yang diterima di mahkamah syariah.

i. Al-Yamin al-Istizhar – Sumpah dibuat oleh al-muda’ii (plaintif) atas perintah hakim setelah memberikan keterangan mencukupi dalam kes muda’i alaih (defendan) yang ghaib atau mati. Turut terpakai juga defendan tersebut merupakan kanak-kanak belum baligh, al-safih (bodoh), al-mahjur (dihalang mentadbir hartanya), gila atau orang yang tidak sempurna akal. Fakta itu dinyatakan dalam Kitab Mughni Muhtaj, al-Muhazzab, Nihatul Muhtaj dan al-Fiqh al-Islami wa Adilatuh.

ii. An-Nukul – Enggan bersumpah setelah diarahkan oleh hakim.

iii. Al-Yamin Mardudah – Sumpah yang dijalankan oleh plaintif setelah ditolak oleh defendan.

iv. Al-Yamin al-Mutammimah – Sumpah dilakukan oleh mana-mana pihak setelah diarahkan oleh hakim untuk menguatkan perintahnya.

v. Al-Yamin al-Hasimah – Sumpah yang dilaksanakan oleh salah satu pihak atas permohonan pihak lain.

vii. Yamin al-Takmilah – Sumpah yang dilakukan oleh plaintif di samping keterangan oleh seorang saksi.

viii. Yamin Nafyi al-’Ilmi’ – Sumpah seseorang menafikan bahawa dia mengetahui sesuatu perbuatan mengenai orang lain.

viii. Yakin al-Nafyi – Sumpah penafian yang dijalankan oleh defendan.

ix. Sumpah li’an – Suami bersumpah menuduh isteri melakukan zina atau mengandungkan anak zina.

Sementara itu, peguam syarie, Nurain Akmal Khairunnisa Amir Hamzah menjelaskan, kesemua sumpah berkenaan bertujuan untuk membantu hakim dalam mengeluarkan keputusan bagi setiap kes di mahkamah syariah.

NURAIN AKMAL KHAIRUNNISA

“Bagaimanapun, suka saya ingatkan bahawa sumpah berkenaan perlu dilakukan dalam prosiding kehakiman dengan menggunakan lafaz kalimah ALLAH SWT berserta sifatnya,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Mengulas lanjut, pengamal undang-undang syariah itu menjelaskan, tidak semua prosiding memerlukan pendekatan tersebut. Sebaliknya, hanya terdapat kes-kes tertentu sahaja yang boleh menerima pakai penggunaan sumpah. Ia termasuklah dalam kes pertunangan, perkahwinan, cerai, rujuk, perceraian, nusyuz atau apa-apa sahaja perkara yang berkaitan dengan hubungan suami isteri.

Baca juga Tuntut Balik Cincin Selepas Putus Tunang, Ketahui Pandangan Agama Dalam Hal Ini

“Di samping itu, lafaz sumpah juga boleh digunakan dalam kes nafkah orang tanggungan, kesahtarafan, penjagaan kanak-kanak (hadanah), pembahagian atau tuntutan harta sepencarian.

“Selain itu, ia juga diterima jika melibatkan perkara-perkara lain yang dibenarkan oleh hukum syarak di bawah bidang kuasa mahkamah syariah yang dinyatakan oleh mana-mana undang-undang bertulis,” jelas beliau.

Penyelesaian terakhir

Dalam Islam, sememangnya terdapat sumpah laknat dengan matlamat khusus menerusi kaedah yang betul untuk tujuan perbicaraan dan mencari kebenaran.

Bagaimanapun, Ketua Pusat Pengajian (Pendidikan & Pengajian Islam), Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Prof Madya Dr Mohd Nor Mamat mengingatkan, ia bukan sekadar kata-kata untuk memperkukuh kebenaran menerusi ungkapan yang dilafazkan, tetapi juga sanggup menerima laknat ALLAH SWT jika individu tersebut berbohong.

DR MOHD NOR

Meskipun sumpah laknat dibenarkan dalam Islam untuk menyelesaikan sesuatu perbalahan atau pertikaian, namun pensyarah itu menyarankan, sebaiknya kita membudayakan berkata benar dan jujur tanpa memerlukan sumpah sebegini.

“Jika perlu (sumpah mubahalah) sekalipun, biarlah ia menjadi penyelesaian yang terakhir apabila tiada pilihan lain.

“Sebenarnya, dalam perundangan Islam, sumpah mubahalah bukanlah satu keperluan, sebaliknya hanya diperlukan sumpah penyaksian sekiranya diminta oleh pemerintah atau penguat kuasa kehakiman,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Begitupun, Dr Mohd Nor mengingatkan umat Islam agar menghindari masjid andai ingin melakukan sumpah berkenaan kerana ia bukanlah tempat yang sesuai.

“Elakkan dilakukan di dalam masjid kerana ia bukanlah institusi kehakiman,” katanya.

Ahli akademik itu kemudiannya menceritakan kisah masyhur yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW berkaitan sumpah mubahalah.

“Baginda pernah mengajukan cabaran untuk melakukan sumpah mubahalah kepada kaum Nasrani dari Najran sekiranya mereka berkata benar. Namun begitu, ia tidak disambut oleh mereka.

SUMPAH perlu dibuat di hadapan hakim di mahkamah, bukannya di tempat awam atau dilakukan secara berbalas sumpah.

“Ini kerana ternyata mereka berbohong. Para sahabat seperti Ibn Mas’ud dan Ibn Abbas juga pernah menggunakan sumpah mubahalah untuk memperkukuh kebenaran kata-kata dan fatwa mereka,” ungkapnya.

Walaupun sumpah dalam masyarakat kita kadangkala bukanlah bersifat sebagaimana dalam syarak, namun Dr Mohd Nor mengingatkan agar kita tidak mempermainkan lafaz suci berkenaan.

“Ya, ada orang begitu mudah melafazkan ungkapan seperti ‘sumpah aku pernah kurus’ atau ‘sumpah aku tak buat, kalau aku tipu nanti, bengkok tangan aku’ dan sebagainya, namun ia tidak sewajarnya dijadikan mainan atau bahan sendaan.

“Apatah lagi jika bersumpah menggunakan nama ALLAH SWT,” ujarnya.

Foto: 123rf, AFP & Freepik

 

Trauma penderaan
Isu,

Trauma penderaan wujudkan personaliti pemangsa

AKIBAT trauma penderaan, kanak-kanak tersebut boleh membesar dengan personaliti sama ada menjadi ‘mangsa’ atau ‘pemangsa’.

Pengarah Pusat Kaunseling, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Zulfikar Ahmad menjelaskan, ini kerana apa sahaja yang berlaku dalam peringkat pembesaran kanak-kanak, ia akan memberi implikasi secara langsung kepada pembentukan personaliti si cilik tersebut.

Menyokong fakta berkenaan, katanya, ada kajian menyatakan, mereka yang terlibat dengan aktiviti buli pada usia kanak-kanak ataupun remaja berlanjutan sehingga ke dewasa disebabkan pernah melalui trauma tersebut sama ada dengan melihatnya sendiri atau pernah menjadi mangsa.

“Ini yang paling dibimbangkan. Kalau kanak-kanak itu menjadi mangsa, ia membentuk jati diri yang rendah dan kurang keyakinan. Kadangkala ia boleh terbawa-bawa sehingga sudah berkahwin. Malah, boleh menjadi ‘mangsa’ kepada anak sendiri sepertimana kes yang pernah kita dengar sebelum ini. Ini kerana individu itu merasakan dirinya begitu ‘kecil’ sehingga akhirnya menjadi mangsa.

Baca juga Dera anak angkat ibarat mencabuli amanah yang dipertanggungjawabkan

“Sebaliknya, jika mereka membesar sebagai pemangsa pula, ia akan membentuk personaliti yang mana sifatnya tidak suka berkongsi dengan orang lain, menjadi dominan dan kecenderungan bersikap agresif. Kita biasa dengar tentang istilah kencing malam. Ketahuilah, itu antara implikasi negatif kesan daripada ketakutan dalam pembentukan personalitinya,” katanya.

DR ZULFIKAR

Lebih parah lagi, ujar Dr Zulfikar, ia boleh memicu kepada peningkatan implikasi kesihatan mental kepada mangsa penderaan tersebut.

“Kesan perbuatan itu bukan dari segi fizikal sahaja, tetapi melibatkan emosi dan kognitif (pemikiran). Kita tidak mahu kumpulan-kumpulan ini wujud pada masa depan,” tegasnya.

Tanggungjawab tetap sama

Kepada mereka yang membela anak angkat, Dr Zulfikar mengingatkan bahawa ia merupakan amanah ALLAH SWT yang wajib dipelihara sebaiknya.

Tidak kiralah waima anak angkat atau anak sendiri, beliau berkata,tanggungjawab ibu bapa atau penjaga masih tetap sama. Cuma jika melibatkan anak angkat, kanak-kanak itu perlu dimaklumkan tentang perkara itu pada usia kecil, tetapi bukanlah secara berulang-ulang sehingga mereka rasa rendah diri, jelas beliau.

“Pada usia kanak-kanak dalam lima tahun ke bawah, dia sebenarnya belajar melalui proses imitasi (meniru) dari sekelilingnya. Mudah kata, bagaimana cara layanan anda kepada mereka, begitulah mereka.

Baca juga Anak amanah ALLAH, usah sakiti apatah lagi mendera mereka…

“Ya, kita tidak boleh kata bahawa semua ibu bapa angkat ini jahat. Kesediaan mereka dalam menjaga anak angkat ini begitu besar nilainya apatah lagi andai kanak-kanak itu yatim piatu. Cuma jangan terus menyimpan stigma terhadap anak angkat sehinggakan kita kurangkan layanan kepada mereka berbanding anak sendiri.

Trauma penderaan

ANAK angkat juga merupakan rezeki daripada ALLAH SWT yang wajib kita pelihara dengan sebaiknya.

“Ingatlah, sekarang bukan lagi zaman bawang merah, bawang putih ataupun Cinderella. Dari segi tanggungjawab penjaga masih lagi sama, bahkan lagi berat daripada menjaga anak sendiri,” tegasnya.

Beritahu sebab dihukum

Meneruskan bicaranya, Dr Zulfikar menyentuh tentang perihal hukuman yang sememangnya perlu ada dalam konteks mendidik anak-anak, cuma biarlah ia kena dengan konsep dan situasinya.

“Andai hukuman diberikan dalam keadaan beremosi, ia boleh memicu kepada penderaan. Penderaan boleh berlaku dalam keadaan melepaskan geram, marah terhadap sesuatu sehinggakan kita memukul anak sendiri atau angkat tanpa kawalan.

“Cara terbaik memberikan hukuman, elakkanlah ketika dalam keadaan kita marah. Pada masa sama, pastikan anak-anak itu diberitahu kenapa dirinya dihukum dan hukuman yang dikenakan perlu sesuai dengan kesalahan. “Seperkara lagi, jangan memberikan hukuman sampai melibatkan trauma seperti merotannya sehingga berbirat,” katanya.

Menurutnya, tidak salah untuk ibu bapa menggunakan pendekatan tradisional seperti memukul atau merotan dalam mendidik anak-anak, tetapi perlu mengelakkan emosi dalam hukuman.

“Ia masih lagi relevan untuk kita. Namun, apabila kita terlalu taasub dengan kaedah keibubapaan moden sehinggakan cikgu pun tidak boleh menegur anak murid sehingga kena saman, fikirkanlah generasi apa yang kita mahu lahirkan kelak?” soalnya.

Baca juga Merotan Bukan Untuk Menghukum, Sebaliknya Ia Pendekatan Akhir Didik Anak-anak Kita

Kepada satu soalan, pakar psikologi itu menjawab: “Tidak dinafikan kos sara hidup yang kian meningkat dan adakalanya mendesak ibu bapa terpaksa melakukan dua atau tiga kerja pada satu masa.

Trauma penderaan

WANG bukanlah keperluan anak angkat semata-mata, tetapi mereka juga memerlukan kasih sayang dan layanan yang baik.

“Ya, mencari nafkah memang penting, tetapi jangan sesekali lupa meluangkan masa berkualiti dengan anak-anak agar mereka tidak berasa terbiar.

“Ia memberi kesan dalam jangka panjang. Keperluan anak-anak bukan setakat didikan dan wang ringgit, bahkan luangan masa berkualiti dengan mereka. Masa berkualiti yang dimaksudkan itu adalah sokongan emosi, fizikal dan pemikiran,” ungkapnya.

Foto: 123rf

Nilai kemanusiaan
Isu,

Dera anak angkat ibarat mencabuli amanah yang dipertanggungjawabkan

KES dera anak angkat yang berlaku akhir-akhir ini begitu menggalaukan hati masyarakat. Satu demi satu perkhabaran duka itu disiarkan menerusi media utama mahupun laman sosial.

Ketika kes penderaan kanak-kanak istimewa yang dikenali sebagai Bella memuncak dan masih dalam perbicaraan mahkamah, rakyat Malaysia dikejutkan dengan penularan video yang memaparkan seorang wanita memukul anak angkatnya berusia empat tahun menggunakan penyapu gara-gara enggan makan nasi.

Berbicara tentang kes-kes menyentuh emosi ramai itu, penderaan kanak-kanak didefinisikan sebagai satu pencabulan atau pelanggaran yang serius terhadap hak mereka untuk berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah, di samping menyebabkan risiko dalam kelangsungan hidup mereka. Demikian pengertiannya menurut Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara.

Begitupun, perbuatan mencabul hak kanak-kanak itu semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Lihat sahaja pada statistik yang direkodkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor. Sebanyak 1,910 kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak dicatatkan berlaku antara Mac 2020 sehingga Mac tahun lalu.

Menurut kajian researchgate.net berkaitan Statistik Kes Penderaan Kanak-Kanak di Malaysia: Satu Analisis, antara tahun 2013 hingga 2017, kes penderaan di Malaysia menunjukkan peningkatan saban tahun. Tahun 2017 mencatatkan sebanyak 5,537 kes.

Hasil dapatan itu juga menyatakan, ia berpunca daripada institusi keluarga yang bermasalah, masalah kewangan, tekanan di tempat kerja dan kurangnya pengetahuan terhadap agama.

Bukankah anak itu merupakan amanah daripada ALLAH SWT tidak kiralah sama ada dia permata hati daripada zuriat sendiri atau anak angkat?

Baca juga Jangan Khianati Amanah, Ia Prasyarat Menilai Keimanan

Perbuatan yang dikutuk

Bagi mendasari isu berkenaan menurut perspektif Islam, Sinar Islam Plus menemubual Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi MARA Cawangan Selangor, Ustazah Noor Rashidah A Rahman.

USTAZAH NOOR RASHIDAH

Jelas beliau, mendera apalagi mencederakan seorang anak bukanlah suatu sifat yang baik. Bahkan, perbuatan itu amat dikutuk dan begitu hina.

“Anak yang dizalimi dengan ganas akan melahirkan sifat dendam, stres dan mengalami tekanan melampau sehingga membawa kepada kerosakan diri mereka sendiri.

“Ketahuilah, tiada istilah mendidik dalam mendera kerana anak tidak kiralah zuriat sendiri mahupun anak angkat merupakan amanah daripada ALLAH SWT untuk dibimbing, dididik dan dibelai oleh ibu bapa,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.

Pendakwah itu turut memberi teguran terhadap ibu bapa yang hanya memandang tanggungjawab mereka terhadap anak hanya sekadar menyediakan makanan, minuman dan pakaian semata-mata.

Hakikatnya, ujar beliau, si anak memerlukan lebih daripada keperluan tersebut. Antara tugas yang dipertanggungjawabkan kepada penjaga adalah mendidik, mengajar, mengasuh, membimbing dalam amal ibadah dan melarang sebarang bentuk kemungkaran.

Baca juga Anak amanah ALLAH, usah sakiti apatah lagi mendera mereka…

“Ingatlah, soal penjagaan dan pendidikan kanak-kanak, lebih lebih lagi terhadap anak angkat merupakan amanah yang luar biasa. Malah, setiap amanah itu akan dipertanggungjawabkan kepada orang tuanya,” ungkap beliau.

Perkara itu ada disebutkan dalam sebuah hadis masyhur yang mana Nabi Muhammad SAW bersabda: “Setiap kamu adalah pemimpin dan akan diminta bertanggungjawab atas kepimpinannya. Seorang amir (pemerintah, pemimpin atau ketua) akan diminta bertanggungjawab terhadap rakyat yang dipimpinnya. Seorang lelaki (suami) adalah pemimpin akan ditanya terhadap keluarga yang dipimpinnya. Seorang wanita (isteri) adalah pemimpin terhadap rumah tangga suaminya akan dipertanggungjawabkan terhadap tugasnya. Bahkan seorang hamba (pembantu) juga adalah pemimpin yang dipertanggungjawabkan terhadap barang milik tuannya, juga akan ditanya dari hal yang dipimpinnya. Dan kamu semua adalah pemimpin dan kamu juga akan diminta pertanggungjawaban terhadap hal dipimpinnya”. (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bukan umat Nabi Muhammad SAW

Ustazah Noor Rashidah mengingatkan, Rasulullah SAW pernah memberi ancaman terhadap individu yang tidak mengasihi kanak-kanak.

Dera anak angkat

USAH sesekali membezakan
layanan terhadap anak angkat
dengan anak sendiri, sebaliknya
berilah kasih sayang dan perhatian sepenuhnya.

Antaranya, baginda SAW bersabda: “Bukanlah daripada golongan kami barang siapa yang tidak mengasihi kanak-kanak dan tidak menghormati orang dewasa.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Dalam satu riwayat lain, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Siapa yang tidak merahmati, nescaya tidak dirahmati.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Melihat dua ungkapan hadis berkenaan, penceramah itu menitipkan pesan agar umat Islam mengikuti saranan Rasulullah SAW supaya menjadi individu yang sentiasa menyantuni orang yang lebih muda daripada kita terutamanya kanak-kanak.

Bagi menghindari diri daripada tidak bersikap ihsan terhadap kanak-kanak, Ustazah Noor Rashidah menasihatkan agar masyarakat melibatkan ALLAH SWT dalam segala urusan keduniaan dan akhirat masing-masing.

Masakan tidak, apabila kita mendahulukan-NYA, nescaya DIA juga akan menjaga, mendidik dan membimbing hati kita ke jalan yang diredai-NYA. “Sebagai masyarakat juga, kita perlu cakna dengan keadaan sekeliling terutama isu penderaan kanak-kanak. Jika didapati ada kes, laporkan segera kepada pihak berkuasa.

“Bagi mereka yang berhajat mahu memelihara anak angkat, galilah ilmu berkaitan penjagaan dan pendidikan anak-anak sebelum mengambil keputusan berbuat demikian. Pada masa sama, betulkan niat sebelum membuat keputusan untuk memelihara anak angkat.

“Seperkara lagi yang perlu diberi perhatian, kita perlu membudayakan perkhidmatan kaunseling atau bimbingan dalam masyarakat. Jangan sesekali berfikir bahawa kaunseling hanya untuk orang bermasalah sahaja. Sebaliknya, perkhidmatan ini lebih menyeluruh kepada sesi pertukaran maklumat, idea dan perbincangan,” ungkap beliau.

Beliau turut menyarankan agar umat Islam mencontohi Nabi Muhammad SAW melayani anak-anak kecil dan berakhlak baik dengan mereka. Antaranya, baginda SAW sentiasa menunjukkan kasih sayang kepada kanak-kanak dan sentiasa menyantuni mereka, selain melayannya dengan lemah lembut.

Baca juga 5 Pendekatan Didik Anak Cara Rasulullah SAW Bagi Membentuk Mereka Menjadi Pemimpin Terbaik Pada Masa Depan  

“Ketika anak-anak kecil melakukan kesalahan, Rasulullah SAW menegurnya dengan cara berhikmah dan mendidik dalam bentuk teguran,” katanya.

Menyokong fakta tersebut, pendakwah Ustaz Mohd Hassan Adli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan menjelaskan, Islam sememangnya mementingkan kasih sayang dan ihsan dalam setiap perkara.

IMAM MUDA HASSAN

“Malah, ALLAH SWT mewajibkan sifat ihsan dan berlaku baik kepada semua bukan sahaja kepada ibu bapa, malah termasuk kanak-kanak dan sebagainya.

“Kadangkala ada orang cakap, dia tidak boleh melihat muka anaknya kerana terasa benci dan menyampah. Pada saya, ia tidak sepatutnya berlaku kerana anak itu adalah rezeki. Ramai orang yang berikhtiar untuk mendapatkan zuriat sendiri, tetapi apabila dikurniakan anak kandung ataupun anak angkat, ada pula manusia yang mudah lupa dengan rezeki yang diberikan,” katanya.

Jadi hamba kepada nafsu antara punca

Menyambung hujah, jelas Imam Muda Hassan, penderaan dalam Islam bukan sahaja dikira dari aspek fizikal semata-mata, tetapi termasuk juga dalam bentuk emosi dan seksual.

Sekalipun tiada kecederaan pada tubuh badan, namun ugutan dengan kata-kata kesat dan menakutkan juga dikira satu bentuk penderaan emosi, terangnya.

Mengapa perbuatan dera itu masih dilakukan walaupun ramai mengetahui bahawa ia tidak baik dan menyalahi undang-undang?

Jawab Imam Muda Hassan: “Dalam kitab al-Hikam, Ibn Athaillah as-Sakandari menyatakan, asal usul punca maksiat atau syahwat termasuklah hendak pukul orang, marah dan seumpamanya, ia berpunca apabila kita menjadi hamba kepada nafsu. Mudah kata, kita tunduk dengan nafsu sendiri. Ini bermakna, nafsunya lebih berkuasa daripada hatinya.

“Sebab itulah Imam al-Ghazali menyebut bahawa manusia mempunyai elemen yang tidak nampak dalam dirinya iaitu akal, nafsu dan hati. Satu lagi ialah roh.

“Nafsu ini ada banyak tingkatannya, cuma jika kita diserang sifat marah sehingga membawa kepada perbuatan dera, ia dipanggil ammarah bissu’ (nafsu yang mendorong kepada kejahatan).

Baca juga Jangan Tunduk Pada Hawa Nafsu

“Kata Imam al-Ghazali, hati itu ibarat raja. Ia mempunyai dua penasihat iaitu akal dan nafsu. Andai akal yang berdasarkan ilmu itu menguasai, kita tahu apa yang hendak dilakukan apabila marah sepertimana ajaran Nabi Muhammad SAW. Namun, jika nafsu yang menjadi penasihat, sebab itulah orang melakukan maksiat kerana dia kalah dengan nafsunya sehingga mendorongnya melakukan perkara tidak betul,” jelas beliau.

Dera anak angkat

HINDARI sifat marah yang boleh menjebakkan manusia mudah dikuasai syaitan sehingga hilang pertimbangan diri. -Gambar hiasan

Kepada satu soalan, pendakwah itu menjelaskan: “Walaupun anak angkat itu bukan darah daging sendiri, tetapi kita wajib bersifat ihsan dengannya. Sekiranya kita sudah mengambil keputusan untuk menjaganya, maknanya kita sudah tekad untuk menjaga amanah tersebut.

“Maksudnya, kita perlu memberikan nafkah kepadanya dan menjaga maruahnya. Kalau tidak sanggup, jangan sesekali kita mengambil tanggungjawab itu.

“Apabila kita mengambil amanah, kelak kita akan dipertanggungjawabkan dan akan disoal kelak sekalipun dia anak angkat kita.”

Dalam pada itu, Imam Muda Hassan menasihatkan agar sesiapa yang menanggung amanah memelihara anak angkat agar menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya.

“Berilah kasih sayang sepenuhnya dan anggap anak itu macam anak sendiri. Kadangkala dengan kehadiran anak angkat, itulah caranya ALLAH SWT hendak meluaskan rezeki dan menambah kasih sayang dalam keluarga kita.

Baca juga Begitu besarnya pahala mendidik anak-anak. Ibu bapa jangan mudah mengeluh, jaga amanah ALLAH dengan sebaiknya

“Jika bukan darah daging kita dijaga dengan baik, pasti ALLAH SWT akan menggantikannya dengan lebih baik. Barangkali suatu masa apabila kita dapat menantu dan sebagainya, ALLAH SWT akan memberikan yang terbaik kepada kita.

“Mungkin kita tidak nampak perkara ini kerana ramai yang melihat tindakan itu menyusahkan diri, walhal itulah caranya ALLAH SWT hendak memberikan rezeki lain kepada kita kerana kesanggupan kita untuk menjaga orang yang bukan darah daging kita,” ungkapnya.

ANEKDOT

Hak anak angkat menurut undang-undang Malaysia

Dera anak angkat

  1. Pengambilan anak angkat bagi keluarga Islam boleh didaftarkan mengikut AKTA PENDAFTARAN ANAK ANGKAT 1952.
  2. Permohonanan pengesahan anak angkat di bawah peruntukan ini dibuat kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hanya selepas dua tahun anak itu berada di bawah penjagaan keluarga angkat.
  3. Pengambilan anak angkat secara sendiri perlu dimaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) mengikut SEKSYEN 35(1) AKTA KANAK-KANAK 2001, tidak lewat seminggu selepas pengambilan.
  4. Sekiranya gagal memaklumkan dan jika disabitkan kesalahan, pasangan atau individu berkenaan boleh didenda maksimum RM10,000 atau dihukum penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
  5. Maklumat proses pengambilan anak angkat ini penting supaya segala prosedur dapat dipatuhi dan pengangkatan seorang anak itu sah di sisi undang-undang.

Sumber: Dr Abidah Abdul Ghafar, Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia, ‘Celik undang-undang pelihara anak angkat’

Kewajipan penjaga terhadap anak angkat

  1. Memberi dan menjaga nafkah keperluan harian anak angkat
  2. Mendidik dan mengasuh mereka untuk menyara diri
  3. Memberi layanan kasih sayang yang sama seperti anak sendiri
  4. Penurunan wasiat kepada anak angkat mengikut syarat tertentu

Sumber: Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan , “Janganlah dera…Ketahui peranan, tanggungjawab ibu bapa terhadap anak angkat”.

Foto: 123rf, Freepik & Unsplash

 

Syaitan
Berita Semasa,

Mengapa hati mudah goyah ketika hijrah?

ADAKALANYA hati mudah goyah apabila seseorang itu berhijrah. Malah, perasaan itu kadangkala membuatkan diri sukar untuk istiqamah dan berputus asa untuk ketika proses transisi ke arah kebaikan.

Sesungguhnya, benarlah bahawa penghijrahan itu sememangnya mencabar dan menuntut pengorbanan yang tinggi. Mengertilah bahawa semua itu merupakan ujian kecil buat hamba-NYA untuk kita mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

Apatah lagi hati manusia menjadi goyah kerana sifatnya yang memang mudah berbolak-balik. Lantaran itu, usah biarkan ia terus hanyut dibuai dengan kelalaian diri.

Sebaliknya, mohonlah kepada Sang Pencipta agar kita tetap dalam taufik dan hidayah-NYA dalam melakukan penghijrahan diri menjadi insan lebih baik daripada sebelumnya.

Sempena Maal Hijrah yang bakal disambut umat Islam esok, marilah kita buang yang keruh dan ambil yang jernih. Ketahuilah, tiada manusia kalis dosa di bumi yang fana ini.

Sekarang adalah masa terbaik untuk kita membuka lembaran baharu dalam kehidupan. Namun, bagaimana cara untuk mengatasi hati yang goyah dan berbolak-balik ketika proses penghijrahan tersebut?

Ibrah peristiwa hijrah Rasulullah SAW

Sinar Islam Plus mewawancara Pegawai Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Malaysia, Ustaz Panji Alam Mazhisham bagi membicarakan lanjut tentang topik berkenaan.

USTAZ PANJI ALAM

Beliau memberi peringatan, sambutan awal tahun hijrah bukan hanya suatu acara rutin. Sebaliknya, ia adalah permulaan keazaman kita untuk membuat perubahan ke arah yang lebih baik.

Justeru, agamawan itu mengajak Muslimin merenung kembali peristiwa hijrah Rasulullah SAW, para sahabat dan pengikut baginda dari Makkah al-Mukarramah ke Madinah al-Munawwarah yang membuka lembaran sejarah agung dalam perkembangan dakwah Islam dan tamadun manusia secara keseluruhannya.

“Antara pengajaran yang boleh diambil adalah kesabaran dan ketekunan hati dalam mempertahankan cita-cita walaupun berdepan kesulitan.

“Meskipun hijrah bersama Rasulullah SAW telah pun berakhir, namun tuntutan hijrah dalam konteks meninggalkan segala perkara dilarang dan menuju keredaan ALLAH SWT tetap kekal sehingga kiamat,” katanya.

Ia sebagaimana disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muawiyah bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Hijrah tidak akan berakhir sehingga berakhirnya peluang bertaubat dan peluang tidak akan berakhir sehingga matahari terbit dari sebelah barat.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Sempena Maal Hijrah yang bakal disambut selepas Maghrib ini, pendakwah itu mengajak kita melakukan transisi dalam bentuk meninggalkan larangan-larangan ALLAH dan memperkasakan diri selaku Mukmin sejati agar tidak mudah tunduk dengan hawa nafsu dan hasutan syaitan.

Baca juga Jangan Tunduk Pada Hawa Nafsu

“Iktibar hijrah perlu terus disematkan dalam diri bagi memastikan setiap hari yang berlalu, kita kekal menjadi Muslim sejati. Ingatlah, orang Islam tidak boleh hanya berdiam diri membiarkan kehidupannya berlalu sebagai golongan yang cukup sekadar menjadi Muslim.

Hati

SEMPENA Maal Hijrah, ayuh kita tanamkan azam untuk menjadi insan yang terbaik hari demi hari.

“Sebaliknya, hamba ALLAH yang menganut agama suci ini perlu berusaha berjihad dalam diri sendiri agar tidak tergelincir melakukan dosa. Hal ini termasuk dalam urusan jihad, tetapi ia tidak akan dicapai sekiranya tiada niat yang baik,” pesan beliau.

Kepada satu soalan, Ustaz Panji Alam menjawab: “Ketahuilah bahawa hati itu dibahagikan kepada tiga jenis iaitu hati yang sakit dipenuhi riak, hasad dan seumpamanya; hati yang mati iaitu tertutup daripada menerima segala nasihat kerana dikawal oleh hawa nafsu dan satu lagi, hati yang sihat (hati orang beriman).

“Marilah kita berusaha menjauhi perkara yang boleh mematikan hati seperti gagal menjaga dan mengawal lidah. Akhirnya ia akan mengakibatkan berlakunya sifat keji seperti mengumpat, mencaci, melaga-lagakan orang dan sebagainya.

“Cara paling mudah mengatasinya adalah dengan berdiam diri. Ini kerana berbicara hanya akan menimbulkan pelbagai masalah yang barangkali mendatangkan mudarat kepada manusia.” 

Hati berbolak-balik

Justeru, ujar Ustaz Panji Alam, kaedah terbaik mengubati penyakit hati yang berbolak-balik adalah dengan membaca al-Quran, memahami isi kandungannya dan melaksanakannya dalam kehidupan seharian.

Baca juga Hati kita sifatnya berbolak-balik, jangan dibiar usang jadi lubuk dosa

“Ayuh kita berusaha menjaga dan mengubati hati serta sentiasa mencari ikhtiar dalam membersihkan jiwa.

“Lazimkan berdoa kepada ALLAH. Sebagai manusia, kita memiliki sifat lemah dan sentiasa mengharapkan Sang Pencipta dalam setiap keadaan. Mengertilah bahawa hati dan jantung merupakan organ penting dalam jasad manusia kerana ia penentu baik atau buruknya jasad (akhlak) seseorang,” ungkapnya.

Hati

JIKA sekarang kita biasa mendirikan solat bersendiri, apa kata tingkatkan amalan itu dengan menunaikan sembahyang secara berjemaah dan menunaikan solat sunat lain.

Menyambung hujah, Ustaz Panji Alam mengakui bahawa hijrah sememangnya menuntut pengorbanan yang bukan calang-calang. Lihat sahaja para sahabat terpaksa meninggalkan segala yang dimiliki di Makkah dan menempuh perit getir perjalanan untuk ke Madinah ketika peristiwa hijrah, ungkapnya.

“Oleh itu, untuk berhijrah dan berubah, setiap daripada kita memang perlu berkorban. Sememangnya menjadi kewajipan setiap Muslim untuk segera berubah dengan meninggalkan apa yang dilarang dan ditegah oleh ALLAH SWT.

“Demi mendapatkan semangat hijrah, hayatilah sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW yang melakukan hijrah demi menyampaikah dakwah.

“Usah mudah tunduk pada hawa nafsu dan hasutan syaitan yang tidak pernah berputus asa menyesatkan kita. Ingatlah, tanpa mujahadah dan muhasabah, kita akan cenderung mengulangi kesilapan yang lalu,” ujar beliau menitipkan pesanan.

Baca juga Berdepan Ujian Getir Ketika Berhijrah, Ini Sebabnya

Hidup ini memang memerlukan penghijrahan ke arah kehidupan yang lebih baik. Bagi memulakannya, kuatkan keyakinan kepada Islam terlebih dahulu, nescaya akan membawa ke arah husnul khatimah.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Penolong Pendaftar Kanan, Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan, Ustazah Shalwati Ramli.

USTAZAH SHALWATI

Ujarnya lagi, Muslimin dianjurkan sentiasa memperbaiki akhlak, selain menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai rujukan utama.

“Sebelum memulakan proses transisi ke arah lebih baik, individu berkenaan terlebih dahulu perlu bertaubat kepada ALLAH SWT atas segala kemungkaran yang pernah dilakukan.

“Mereka juga perlu melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba-NYA dengan meninggalkan segala sifat mazmumah (terkeji) dan berubah ke arah sifat mahmudah (terpuji),” ungkapnya.

Hijrah seafdal iman

Mengapa hati berbolak-balik untuk berubah? Menjawab persoalan itu, Ustazah Shalwati menjelaskan, sememangnya manusia itu tidak sempurna. Malah, sifat hati itu sendiri adalah tidak tetap atau berbolak-balik.

“Namun, apabila sudah membulatkan tekad melakukan perkara yang baik, kita hendaklah sentiasa berdoa semoga ALLAH sentiasa menjaga hati agar tidak goyah melaksanakan amanah.

“Kita kena yakin bahawa seluruh aspek kehidupan ini dipayungi Islam, ia meliputi pemikiran, pemahaman, penghayatan dan pengamalan,” ungkapnya.

Hati

HAYATI ibrah daripada peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dan para sahabat yang sanggup berkorban apa sahaja demi menegakkan serta menyebarkan Islam.

Ketahuilah bahawa seafdal iman adalah hijrah. Malah, iman menjadi titik tolak berhijrah, terang pendakwah tersebut.

Baca juga Fahami Konsep Hijrah Rasulullah

“Bukan mudah melakukan penghijrahan dalam hidup demi mengharapkan keredaan daripada ALLAH. Hijrah merupakan ujian daripada kekuatan iman yang kelak akan menghasilkan jihad ke jalan-NYA.

“Menerusi jihad, ia akan menjamin kejayaan dalam perjuangan menegakkan masyarakat Islam. Ketiga-tiga rangkaian inilah yang disebut dalam Surah at-Taubah, ayat 20. Jadi, kita perlu memahami bahawa hijrah ialah syiar keimanan. “Seterusnya hijrah daripada ketaatan kepada ketakwaan dan mendekatkan diri kepada ALLAH. Demikian juga hijrah dari dunia kepada akhirat iaitu perubahan daripada cintakan dunia kepada ALLAH dan hari akhirat,” ungkapnya.

ANEKDOT

ISTIQAMAH ketika proses hijrah

1. Niat kerana ALLAH SWT.

Apabila hendak berbuat sesuatu, tetapkan niat yang ikhlas kerana ALLAH. Tanpa niat dan keikhlasan, sukar untuk istiqamah dalam berhijrah ke arah kebaikan.

2. Berubah mengikut kemampuan.

Aisyah RA bertanya kepada Nabi Muhammad SAW: “Amalan apakah yang paling dicintai ALLAH?” Baginda menjawab: “Yang dikerjakan terusmenerus walaupun sedikit, lalu baginda bersabda: “Beramallah sesuai dengan kemampuan kalian.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

3. Pilih sahabat yang baik.

Hati

SAHABAT itu ibarat cerminan hidup kita. Jika baik akhlaknya, maka kita juga mampu berakhlak baik seperti sahabat kita.

Sahabat yang baik berperanan membentuk personaliti sama ada ke arah kebaikan atau sebaliknya.

4. Berdoa kepada ALLAH.

Doa itu senjata orang Mukmin. ALLAH MAHA MENDENGAR, dengan izin dan bantuan-NYA, kita pasti berupaya berubah.

Benar, tidak mudah untuk istiqamah dan tidak ramai yang mampu melakukannya. Ia memerlukan keimanan dan ketakwaan yang benar-benar teguh.

Meskipun amalan yang dilakukan kelihatan kecil, tetapi kebaikan yang dilakukan secara istiqamah itu akan memberikan impak tabiat yang baik kepada pelakunya secara berterusan.

Sumber: Penolong Pendaftar Kanan, Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan, Ustazah Shalwati Ramli

Foto: 123rf & Freepik

 

Kehilangan
Isu,

‘Kehilangan sebenar apabila seorang masuk syurga dan pasangannya pula ke neraka’

RAMAI orang melihat perpisahan apabila mereka kehilangan insan kesayangan di dunia ini iaitu pasangan masing-masing.

Pada hakikatnya, kehilangan yang sebenar adalah apabila seorang suami masuk ke dalam syurga, manakala pasangannya pula ke neraka.

Itulah perpisahan yang sebenar, ungkap pendakwah Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid yang memperbetulkan tanggapan orang ramai mengenai hal tersebut.

Baca juga Lakukan amalan ini bersama, rahsia suami isteri bina ‘rumah’ di syurga

“Sebenarnya, ALLAH SWT menjadikan hidup berumah tangga sebagai ujian. Maknanya, ALLAH berikan isteri sebagai hiburan buat kita. Sama juga halnya dengan anak, harta, pangkat dan sebagainya. Semuanya adalah hiburan sementara menunggu ajal kita dijemput. Namun begitu, janganlah ‘hiburan-hiburan’ tadi menyebabkan kita terlalai sehingga terlupa dengan tanggungjawab masing-masing.

“ALLAH SWT memberikan isteri, anak, harta dan pangkat sebagai hiburan, tetapi sampai suatu saat, DIA akan ambil semuanya. Jangan pula kita jadi macam budak-budak. Maksudnya, apabila permainan-permainan hiburan itu diambil oleh ibu bapa, anak itu akan menangis, memberontak dan pelbagai sifat lagi ditonjolkan. Itu perumpamaan dan situasi sesuai untuk menggambarkan kehidupan kita.

USTAZ WAN AKASHAH

“Ingatlah, dalam berumah tangga, kita perlu saling menyokong dan memerlukan antara satu sama lain,” katanya ketika ditemu bual Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Mengulas lanjut, jelas penceramah berkenaan, apabila sudah berumah tangga, seseorang itu berkongsi segala-galanya dengan pasangan masing-masing. Ia termasuklah dari sudut fizikal seperti tempat tinggal, pakaian dan minuman serta aspek rohani.

Disebabkan itulah, katanya, sikap suami adalah cerminan kepada isteri secara umumnya. Begitu jugalah sebaliknya.

“Kalau suami berpakaian kemas, isterinya juga berpenampilan sebegitu. Samalah juga halnya dari sudut makan dan minum. Sebelum berkahwin, si isteri mungkin tidak suka tomyam, tetapi disebabkan suami begitu menggemarinya, automatik pasangannya turut terpengaruh dan makan hidangan tersebut.

“Dari segi rohani pula melibatkan perasaan dan emosi. Maksudnya, andai seseorang suami itu ceria, isteri juga begitu kerana pepatah ada menyatakan, kalau inginkan kebahagiaan, kita mesti membahagiakan pasangan masing-masing,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Kehilangan

KEPADA mereka yang sudah berumah tangga, jalankan tanggungjawab masing-masing dengan sebaiknya, di samping menunaikan hak ALLAH SWT.

Baca juga Jangan pamerkan kemesraan suami isteri berlebih-lebihan di media sosial. Ini sebab-sebabnya…

Kepada satu soalan, penceramah itu menjawab: “Jika kita inginkan isteri bidadari syurga, suami juga kena jadi imam yang ‘menyuluh cahaya’. Pendek kata, andai kita mengimpikan pasangan yang baik, diri sendiri juga kena ada sifat-sifat sebegitu.

“Namun begitu, tidak dinafikan, terdapat juga pasangan yang bersifat sebaliknya atau berlawanan antara satu sama lain dalam kes-kes terpencil. Misalnya, Firaun yang terkenal dengan sikap zalim beristerikan Asiah yang berperilaku baik.

Baca juga Suami Isteri Ibarat ‘Pakaian’, Jaga Aib Pasangan Masing-Masing

“Ada juga suami yang baik dan isteri bersifat sebaliknya seperti Nabi Nuh AS dan isterinya. Ketahuilah, ia adalah ujian daripada ALLAH SWT.”

Foto: 123rf

Syurga
Isu,

Lakukan amalan ini bersama, rahsia suami isteri bina ‘rumah’ di syurga

“SEMOGA berbahagia sehingga ke syurga. Jaga isteri elok-elok dan bimbinglah keluarga masuk ke jannah bersama-sama.”

Ya, demikianlah antara bait ucapan dan ungkapan doa daripada insan di sekeliling saat kita diijabkabulkan bersama pasangan masing-masing.

Sesungguhnya, detik itu begitu manis untuk dikenang seumur hidup kerana ia melibatkan hari bahagia kita.

Pun begitu, untaian kata sahaja tidak memadai. Sebaliknya, ia perlu dizahirkan dengan perilaku dan amalan yang membawa kita ke tempat paling diidam-idamkan oleh umat Islam saat dibangkitkan semula di akhirat kelak.

Baca juga Beri hadiah tidak senonoh di majlis perkahwinan. Apakah hukumnya?

Namun, bagaimanakah caranya hendak masuk syurga bersama pasangan masing-masing? Apakah rahsia suami isteri sama-sama ke jannah?

Pasangan di jannah

Pendakwah Ustaz Ahmad Hazran Ahmad Kamal membuka kalamnya dengan perincian manusia dijadikan berpasang-pasangan di dalam syurga kelak.

IMAM MUDA ARAN

Firman ALLAH SWT: “Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebaikan, kelak akan KAMI masukkan ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Di sana mereka mempunyai pasangan-pasangan yang suci, dan KAMI masukkan mereka ke tempat yang teduh dan nyaman.” (Surah an-Nisa’, ayat 57)

Berdasarkan kalamullah tersebut, ujar Ahmad Hazran yang juga dikenali sebagai Imam Muda Aran, tidak ada orang bujang ketika di dalam jannah kelak walaupun mereka tidak pernah berkahwin sepanjang hayatnya di dunia.

Bagi wanita yang pernah kematian suami dan berkahwin lain atau bercerai hidup kemudian bernikah lagi, jelas beliau, terdapat perbahasan ulama mengenainya.

Baca juga Ini Mitos-Mitos Dalam Perkahwinan Yang Perlu Diketahui

“Ada hadis yang menyebutkan bahawa perempuan itu akan bersama dengan lelaki yang paling baik akhlaknya di dunia dalam kalangan mereka yang pernah menjadi suaminya. Terdapat juga pendapat menyatakan, dia bersama dengan suaminya yang terakhir. Satu lagi pandangan, wanita tersebut diberi pilihan untuk memilih.

“Daripada pelbagai perspektif itu, Imam al-Suyuthi berpandangan, perempuan tadi akan bersama dengan suami terakhirnya sekiranya lelaki-lelaki itu sama baik dari sudut akhlak dan kebaikannya.

“Misalnya, jika seorang wanita berkahwin dua kali di dunia, maka dia akan bersama dengan suami terakhir sekiranya akhlak kedua-dua lelaki yang pernah menjadi suaminya sama dari segi kebaikannya,” katanya ketika ditemu bual Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Syurga

AGAR dapat ke jannah bersama-sama, pastikan tunjang utama dalam Islam dipenuhi, selain amalan yang menambahkan saham kita di akhirat kelak.

Seandainya salah seorang daripada suami isteri itu tidak dapat masuk ke dalam syurga, penceramah itu menjelaskan, tiada dalil-dalil khusus yang menceritakan tentang nasib pasangan masing-masing.

“Secara umumnya, mereka tetap akan ada pasangan sendiri. Katakanlah jika suami dapat masuk ke jannah dan isteri pula tidak, ALLAH SWT akan mengurniakan bidadari di dalam syurga buat lelaki tadi. Ia sesuai dengan tarikan utama kaum Adam iaitu wanita.

“Jika isteri masuk ke dalam syurga dan suami ke neraka pula bagaimana? Tiada perincian khusus tentang perkara ini. Cuma, selagi lelaki tadi masih Islam, dia akan masuk ke dalam jannah juga nanti,” katanya.

Rahsia masuk syurga bersama

Imam Muda Aran melanjutkan bicaranya. Kali ini, beliau berkongsi rahsia bagi pasangan suami isteri masuk syurga bersama.

Antara tipnya, manusia perlu kembali kepada asas agama iaitu dengan mengukuhkan diri menerusi Rukun Islam yang menjadi tunjang utama, ungkapnya. Sudah tentu, pertama sekali setiap umat Islam perlu menyembah ALLAH SWT dan tidak menyekutukan-NYA.

Baca juga Ustaz Ebit senaraikan 6 perkara perlu pelihara jaminan Muslim ke syurga

“Ya, memang kita kata sudah mengucap syahadah, tetapi jika kehidupan kita bertuhankan dunia dengan terlampau ‘gila’ mencari harta sampaikan lupa tanggungjawab sebagai seorang Islam, itu antara perbuatan syirik yang tidak disedari.

“Kedua ialah solat yang mana ia merupakan amalan yang boleh melayakkan kita masuk ke syurga-NYA. Sebagai suami isteri, kerjakanlah bersama-sama dan saling ingat-mengingatkan antara satu sama lain. Begitu juga berpuasa pada bulan Ramadan dan menunaikan zakat.

Syurga

JIKA berpeluang, suami dan isteri lakukanlah sekerap mungkin solat secara berjemaah bersama-sama.

“Akhir sekali, mesti ada persiapan untuk menunaikan haji. Setidak-tidaknya daftarkan haji dan kumpul wang bersama. Jika berpeluang kerjakannya pada waktu muda dan dapat pergi bersama-sama, alangkah indahnya,” ungkapnya.

Selain lima perkara itu, pendakwah tersebut kemudian menyarankan pasangan untuk menambah nilai dengan amalan sunat yang lain seperti mempelajari al-Quran, berpuasa sunat Isnin dan Khamis serta bersedekah.

“Ketahuilah, sedekah bukan sahaja memadamkan dosa-dosa silam, tetapi juga menjadi ‘ubat’ kepada kesusahan, kesedihan dan ketakutan.

“Seperkara lagi, jangan lupa untuk menunaikan solat pada waktu tengah malam sebagaimana kelaziman yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. Itulah amalan-amalan yang membolehkan suami dan isteri masuk syurga bersama-sama, insya-ALLAH,” jelasnya.

Baca juga Syurga di bawah tapak kaki suami, tapi ia bukan ‘tiket’ perlakukan isteri sesuka hati

Sementara itu, Perunding motivasi wanita dan kekeluargaan, Ustazah Siti Fatahiyah Mahamood menjelaskan, rahsia suami isteri untuk sama-sama masuk syurga adalah umpama menjaga peranan seorang imam dan makmum dalam solat.

USTAZAH SITI FATAHIYAH

Dalam mendirikan tiang agama, katanya, seorang imam akan memimpin ibadah solat dari mula sehingga ke akhirnya dengan penuh kesempurnaan sebagai tanda pengabdian kepada ALLAH SWT. Pada masa sama, seorang makmum akan setia mengikuti segala pergerakan imam bagi tujuan yang sama.

“Ini bermaksud, dalam kehidupan seharian, suami seharusnya mendidik isteri ke jalan yang diredai oleh ALLAH SWT. Caranya adalah dengan melakukan segala yang disuruh oleh agama dan menjauhkan segala yang dilarang. Sementara itu, isteri pula mentaati suami dengan penuh penghormatan dan kepercayaan.

“Suami isteri sama-sama menjaga ibadah, aurat, batasan pergaulan dengan yang lain serta mentaati ibu bapa dan mendidik anak-anak dengan sebaiknya. Janganlah pula suami membiarkan isteri tidak menutup aurat dengan sempurna kerana terlalu kasihkan isteri dan khuatir isteri terluka jika ditegur kesalahan melanggar tuntutan agama.

“Kepada Isteri pula, usahlah keterlaluan mengikut emosi dan perasaan sehingga tidak sedar melukakan hati suami dengan menaikkan suara yang lebih tinggi ketika berkomunikasi dengan suami,” nasihatnya.

Seperkara lagi, beliau mengingatkan agar pasangan tersebut dapat menyusun jadual agar dapat menunaikan solat berjemaah bersama-sama sebanyak yang mungkin, selain saling membantu dalam urusan rumah tangga.

‘Rumahku, Syurgaku’

Bagaimanakah untuk menjadi suami atau isteri yang terbaik kepada pasangan masing-masing?

Menjawab persoalan itu, Siti Fatahiyah yang juga Teknologis Profesional dan Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor menjelaskan, pasangan suami isteri berkenaan perlu memperbetulkan niat mereka melangkah ke alam perkahwinan iaitu semata-mata untuk beribadah kepada ALLAH SWT dan menyuburkan kasih sayang dengan penuh keikhlasan.

Langkah itu begitu penting bagi memastikan hubungan suami isteri sentiasa dibajai cinta tanpa dendam terutamanya jika terdapat kesalahan yang pernah dilakukan sebelum ini, terangnya.

Syurga

SUAMI dan isteri perlu sama-sama mendidik anak-anak dengan sebaiknya bukan sahaja untuk kehidupan di dunia sahaja, tetapi juga di akhirat kelak.

“Andai ada kasih sayang yang turut disertai dengan dendam dalam diam, lama-kelamaan ia akan memudarkan aura mawaddah wa rahmah (kasih sayang dan rahmat) dalam rumah tangga.

“Jika betul ada kesalahan lampau yang dilakukan oleh pasangan suami isteri, carilah kekuatan untuk memaafkan kesalahan tersebut dan melupakannya,” titipnya.

Baca juga Perkahwinan bukan perjudian

Menyambung hujahnya, ahli akademik itu menjelaskan, antara matlamat utama perkahwinan adalah demi memenuhi fitrah manusia, di samping melaksanakan ibadah ketika menyempurnakan semua hak dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh amanah.

“Suka saya ingatkan, perkahwinan merupakan sunnah Rasulullah SAW. Setiap pasangan yang bernikah mempunyai hak dan tanggungjawab yang perlu disempurnakan untuk membina keluarga bahagia yang disirami oleh kasih sayang dan rahmat daripada ALLAH SWT,” katanya.

Kepada satu soalan, Siti Fatahiyah menjawab: “Bagi mewujudkan sebuah rumah tangga yang diredai dan diberkati oleh ALLAH SWT, seharusnya kita menjaga seluruh kehidupan seharian masing-masing agar memenuhi tuntutan agama dan menjauhkan semua larangan-NYA.

“Biarlah segala amalan yang dilakukan mengikut syarat yang ditetapkan oleh agama suci. Oleh itu, implementasikan perkara yang dianjurkan dalam Islam dan batasannya dalam setiap aspek kehidupan agar kita tidak tergolong dalam kelompok yang menyesal dan rugi ketika dibangkitkan di akhirat kelak.”

Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, pensyarah itu mengingatkan bahawa ‘Rumahku, Syurgaku’ bukanlah perkara yang perlu kita banggakan atau pertontonkan.

Syurga

SETIAP pasangan yang bernikah mempunyai hak dan tanggungjawab yang perlu disempurnakan untuk membina keluarga bahagian yang disirami oleh kasih sayang dan rahmat daripada ALLAH SWT

“Sebaliknya, sebagai pasangan suami isteri, cuba sehabis baik untuk sama-sama berbahagia di dunia sehingga ke syurga.

“Justeru, marilah kita bersama-sama membina ‘syurga’ dalam rumah tangga di dunia dan berusaha sehabis daya untuk membina ‘mahligai’ di syurga kita di akhirat yang kekal abadi,” ungkapnya sambil mengingatkan bahawa perihal syurga dan neraka itu merupakan urusan ALLAH SWT.

ANEKDOT

CARA raih keredaan ALLAH menerusi perkahwinan

– Rasulullah SAW bersabda: “Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya, maka pilihlah wanita yang taat beragama, nescaya engkau beruntung.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

– Kunci kebahagiaan sebenarnya adalah reda ALLAH SWT dari segi agama, diikuti dengan perkara yang dinyatakan dalam hadis berkenaan.

– Agama itu penting kerana ia mempengaruhi sikap, perilaku, penampilan dan akhlak seseorang. Apabila seseorang beragama, auratnya dijaga dengan penuh sempurna.

– Tiada gunanya memiliki rupa paras yang cantik, tetapi auratnya tidak dipelihara dengan baik, manakala akhlaknya pula teruk.

Syurga

ISLAM menganjurkan agar kita memilih pasangan yang beragama.

– Bukan sahaja isteri perlu berakhlak, suami juga pun sama. Jangan sampai tangan ‘naik’ ke muka. Apatah lagi muka merupakan kawasan yang dihormati dan dilarang pukul pada bahagian tersebut.

– Hakikatnya, dalam hadis riwayat Ahmad, dinyatakan bahawa mukmin yang sempurna imannya ialah orang paling baik akhlaknya. Ketahuilah bahawa orang yang paling baik dalam kalangan mereka ialah orang yang baik terhadap isterinya.

– Ingatlah, jangan kerana mencari keredaan manusia, kita tidak peduli dengan tindakan yang boleh menyebabkan kemukaan ALLAH SWT. Sedangkan, keredaan-NYA yang kita cari selama ini.

Sumber Pendakwah Ustaz Ahmad Hazran Ahmad Kamal (Imam Muda Aran)

Foto: 123rf, Freepik & Pexels

Lelaki menyerupai perempuan
Hukum,

ALLAH dan Rasulullah tidak reda lelaki menyerupai perempuan atau sebaliknya

ALLAH SWT dan Rasulullah SAW tidak reda lelaki menyerupai perempuan. Begitu juga jika wanita menyerupai kaum Adam.

Perbuatan itu dipanggil sebagai Tasyabbuh atau dalam bahasa mudahnya, menyerupai sesuatu yang merujuk kepada golongan tertentu begitu dilarang dalam Islam.

Baca juga Bolehkah lelaki ‘mencantikkan’ diri? Berikut perinciannya

Buktinya, perkara itu ada disebutkan dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang menyerupai perempuan (al-mutashabbihin) dan orang yang menyerupai kaum lelaki daripada kalangan perempuan (al-mutashabbihat).” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Baca juga Harus wanita pakai seluar jean, tetapi ada syarat-syarat tertentu yang perlu dijaga…

Meskipun perkara itu jelas ditegah oleh agama suci itu, namun masih ada segelintir individu tanpa segan silu menggunakan media sosial masing-masing untuk memaparkan gambar peribadi dengan penampilan berlawanan jantina sehinggakan ia mengundang komen-komen nakal.

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Mohd Hasrul Shuhari menjelaskan, tindakan itu mempunyai perkaitan rapat dengan sifat malu dalam diri.

DR MOHD HASRUL

Andai perilaku tersebut tersemat kemas dalam sanubari, sudah tentu diri tidak akan begitu mudah mendedahkan keaiban sendiri, apatah lagi membuka ‘kecacatan’ orang lain.

“Sedangkan sifat malu itu merupakan sebahagian daripada keimanan seseorang sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis masyhur.

“Ia umpama vaksin hati untuk membasmi atau mencegah diri daripada terkena virus kemaksiatan serta dosa,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Baca juga Bukan sahaja pendosa yang perlu bertaubat, ini yang perlu kita tahu

Dalam pada itu, Dr Mohd Hasrul mengingatkan tentang ancaman bagi mereka yang menyerupai jantina lain berlawanan dengannya.

Jelas ahli akademik itu, ia termasuk di dalam perbuatan yang mendatangkan dosa besar.

“Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah SAW melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan begitu juga sebaliknya. Justeru, para pelakunya wajib bertaubat.

Lelaki menyerupai perempuan

KEPADA mereka yang sudah terlanjur melakukannya, masih ada kesempatan untuk bertaubat selagi hayat dikandung badan.

“Mazhab Hanafi menyatakan, lelaki bersifat lembut pada perbuatan yang menyerupai perempuan, sedangkan dia lelaki, maka ia dianggap orang fasik kerana cenderung kepada sifat kewanitaan. 

“Menurut Mazhab Syafie pula, jika seorang lelaki berkelakuan seperti wanita sama ada dalam pergerakannya atau keadaannya disebabkan tabiatnya yang semula jadi, maka tidak dikira berdosa, selagi mana pakaiannya tidak menyerupai wanita,” jelas beliau.

Foto: Freepik 

Lelaki
Hukum,

Bolehkah lelaki ‘mencantikkan’ diri? Berikut perinciannya

APABILA mata tertancap ke arah ‘lelaki cantik’, ramai yang akan terkesima. Ini kerana kaum Adam secara lumrahnya akan kelihatan segak sesuai dengan karakter mereka sebagai pemimpin.

Ia tidak sama apabila kita melihat imej wanita cantik kerana ia sememangnya menjadi perkara biasa bagi kita. Masakan tidak, sememangnya begitulah penciptaan perempuan yang begitu sinonim dengan kecantikan.

Pun demikian, kita tidak boleh menidakkan kuasa ALLAH SWT yang menciptakan adanya ‘lelaki cantik’. Individu yang dimaksudkan itu bukanlah jejaka yang berperwatakan atau menukar fizikalnya kepada wanita, tetapi paras rupanya seakan-akan cantik seperti kaum Hawa biarpun berjantina sebaliknya.

Namun begitu, lelaki yang sengaja menjadi ‘cantik’ sehingga melanggar batas-batas agama adalah dilarang sama sekali dalam Islam.

Sejauh manakah kaum Adam boleh berhias dan menjaga imej mereka? Bagaimana pula cara Rasulullah SAW menjaga penampilan diri?

Tuntutan jaga penampilan diri

Bagi mendasari topik itu, Sinar Islam Plus mendapatkan Timbalan Pengarah Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mohd Nasir Masroom.

DR MOHD NASIR

Beliau menjelaskan, menjaga penampilan diri merupakan suatu tuntutan dalam Islam baik bagi lelaki mahupun wanita. Ini kerana ia merupakan salah satu daripada imej dan syiar kepada penganut agama suci itu sendiri.

Perkara berkenaan ada disebutkan dalam al-Quran menerusi firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Wahai anak Adam, pakailah pakaian kamu yang indah setiap kali memasuki masjid.” (Surah al-A’raf, ayat 31)

Berdasarkan kalamullah tersebut, jelaslah bahawa umat Islam diperintahkan supaya menggunakan pakaian yang indah, suci, bersih dan menutup aurat tatkala ke rumah ALLAH untuk menunaikan solat.

Baca juga Jangan kata isteri, suami juga perlu berhias

Bahkan, Dr Mohd Nasir menjelaskan, Rasulullah SAW juga menyeru umatnya agar memakai pakaian yang berwarna putih sebagai lambang kepada kesucian dan kebersihan sebagaimana yang disebutkan dalam hadis riwayat Imam at-Tirmizi.

“Selain itu, baginda SAW juga menggemari pakaian berwarna hijau dan merah. Ini menggambarkan bahawa nabi juga mempunyai cita rasa terhadap warna-warna tertentu. Maka sebab itulah kita diharuskan untuk menjaga keperibadian dan personaliti diri,” ungkapnya.

Mengulas lanjut, agamawan itu menjelaskan, penampilan diri sebenarnya merangkumi kekemasan, merapikan rambut, misai dan janggut.

Dalam hal itu, katanya, Rasulullah SAW adalah suri teladan terbaik. Baginda digambarkan mempunyai rambut yang panjang sehingga mencecah ke bahu.

Lelaki

ISLAM begitu mementingkan kebersihan dan menuntut umatnya agar memelihara imej diri kerana ia melambangkan agama suci itu sendiri.

“Ia menyerlahkan lagi karakter seorang lelaki yang gagah, perkasa dan berani. Namun begitu, gaya rambut baginda tidak sama sekali menyerupai wanita,” jelas beliau.

Baca juga 3 nasihat ’emas’ jadi ayah berwibawa yang perlu kita tahu

Bukan itu sahaja, ujar Dr Mohd Nasir, terdapat sebuah hadis lagi yang menggambarkan betapa pentingnya umat Islam menjaga imej diri.

Daripada Aisyah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Ada 10 perkara dari fitrah: mencukur misai, memanjangkan janggut, bersiwak, beristinsyaq (memasukkan air ke dalam hidung),memotong kuku, bersuci dengan air, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu kemaluan dan beristinjak dengan air.” Zakariya berkata: Mush’ab berkata, “Dan aku lupa yang kesepuluh, kecuali dia adalah berkumur-kumur.” (Hadis Riwayat Muslim)

Batasan ‘berhias’ bagi lelaki

Kepada satu soalan, Dr Mohd Nasir menjawab: “Dalam Islam, seorang lelaki dituntut untuk menjaga penampilan dan karakter sebagai seorang kaum Adam yang gagah dan perkasa. Ia sesuai dengan tanggungjawab mereka sebagai pelindung kepada keluarga, mempertahankan tanah air dan selaku pembela agama.

“Ketiga-tiga peranan ini tidak boleh dilaksanakan dengan sempurna oleh seorang lelaki yang berhias dan menzahirkan kecantikan dirinya.

“Batasan yang dibolehkan untuk seorang lelaki ‘berhias’ adalah; selagi mana tidak menyerupai seorang wanita. Namun, sekiranya maksud berhias itu hanya sekadar merapikan rambut, misai dan janggut serta memakai pakaian yang sesuai dengan imej lelaki dan tidak sampai menyerupai kaum Hawa, ia adalah diharuskan.”

Lelaki

LELAKI sebagai ketua keluarga perlu memberikan contoh yang baik kepada keluarga, selain menjaga personaliti sesuai dengan imej masing-masing.

Apa pula hukumnya jika lelaki memakai pelembap bibir tidak berwarna untuk kelihatan segak?

Menjawab persoalan tersebut, ahli akademik itu menjelaskan, niat akan menentukan hala tuju hukum yang berkaitan tindakan dibuat.

Baca juga Betulkan niat masa tolong orang, kelak ALLAH akan bantu kita

Beliau menambah, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada pada badan, pakaian atau tempat selagi mana tiada nas-nas yang khusus menukarnya.

“Dalam keadaan tertentu seperti bibir kering atau terluka, memakai pelembap bibir tidak berwarna bagi seorang lelaki adalah diharuskan. Tindakan ini dibuat atas sebab perubatan atau mencegah kemudaratan.

“Namun demikian, sekiranya tujuan utama seorang lelaki memakai pelembap bibir tidak berwarna apatah lagi gincu semata-mata untuk kelihatan segak, berseri dan cantik, ia adalah dilarang sama sekali. Ini kerana ia termasuk dalam perbuatan yang menyerupai wanita,” tegasnya.

Senada dengan Dr Mohd Nasir ialah pendakwah Ustaz Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli.

Beliau yang dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Faiz itu menegaskan, ikutan terbaik untuk lelaki berhias adalah berdasarkan sunnah Nabi Muhammad SAW.

PU FAIZ

“Baginda SAW seorang lelaki yang segak, bergaya, kacak dan gagah. Namun, ia bukanlah bermaksud lelaki perlu berjubah seharian sebagaimana kebiasaan Nabi Muhammad SAW. Baginda memakai gamis kerana ia merupakan pakaian orang Arab. Kita pula orang Melayu, jadi berbaju Melayu dan berkemeja sudah memadai.

“Suka saya ingatkan, dalam perihal berhias sememangnya ada batasan syariat yang perlu dijaga iaitu tidak boleh menyerupai wanita, melampaui batas dan merubah ciptaan ALLAH SWT,” katanya sambil mengingatkan umat Islam agar menjaga penampilan dengan menutup aurat, mengenakan pakaian yang bersih dan tidak bernajis, selain tidak berimej pelik serta menggunakan perhiasan menjolok mata atau melampaui batas.

Fitrah manusia

Menyambung hujahnya, Naib juara program realiti Pencetus Ummah musim kedua itu kemudian memfokuskan perbincangan kepada lelaki yang gemar ke spa demi menjaga penampilan.

Ujar beliau, sifat ingin kelihatan cantik, kacak dan sempurna sememangnya fitrah yang ALLAH SWT jadikan kepada setiap anak Adam.

“Bahkan, Rasulullah SAW sendiri seorang yang tampan, segak dan menjaga penampilan sehinggakan dikatakan baginda sentiasa kelihatan berminyak rambutnya. Malah, baginda sentiasa membawa sikat untuk menyisir rambut. Begitulah perwatakan baginda yang begitu menjaga penampilan.

“Persoalannya, bolehkah kita menggunakan alat-alat tertentu untuk menjadikan kulit kita cantik, halus, tiada jerawat dan seumpamanya? Ketahuilah, hukumnya harus dan tiada masalah untuk berbuat demikian, cuma ada batas-batas tertentu bagi lelaki iaitu tiga perkara yang saya sebutkan tadi iaitu tidak menyerupai wanita, tidak melampaui batas dan tidak mengubah kejadian ALLAH SWT.

Baca juga Kacak tapi HARAM? Mari hindari 5 perkara ini

“Justeru, selagi mana produk yang digunakan tidak kiralah bedak, pencuci muka dan sebagainya, andai ia memenuhi tiga syarat itu dan tidak mengubah muka kita secara kekal, maka ia masih lagi dalam batas yang harus,” ungkapnya.

Lelaki


SEBAGAI umat Islam, kita dituntut agar menjaga penampilan dengan menutup aurat, mengenakan pakaian yang bersih dan tidak bernajis, selain tidak berimej pelik secara uruf serta menggunakan perhiasan menjolok mata atau melampaui batas.

Apa pula hukumnya seorang lelaki melihat kaum sejenisnya yang cantik dari segi rupa parasnya?

Merungkaikan persoalan itu, PU Faiz menjelaskan, hukumnya berdasarkan kepada kondisi nafsu seseorang itu. Apabila ia melihat dan membangkitkan nafsu atau syahwatnya, maka haram memandang lelaki cantik.

Dalam hal itu, ujar beliau, terdapat perbahasan ulama tentang amrad (kanak-kanak lelaki yang belum tumbuh bulu ari-ari). Ia ada menjelaskan tentang muamalat antara lelaki dewasa dan amrad.

Sekiranya mendatangkan syahwat, maka haram bersentuhan dengan amrad.

“Berbalik kepada persoalan tentang lelaki memandang lelaki lain yang cantik dari segi rupa parasnya, ia bergantung kepada nafsunya sendiri. Jika nafsunya normal dan tidak timbul keinginan syahwat yang songsang, hukumnya adalah harus,” jelasnya.

ANEKDOT

4 cara Rasulullah SAW jaga penampilan

1. Berpakaian putih.

Nabi Muhammad SAW sangat gemar berbusana putih kerana ia melambangkan kebersihan dan kesucian.

Ibnu Abbas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kalian mengenakan pakaian yang berwarna putih. Orang-orang yang masih hidup antara kalian hendaklah mengenakan pakaian berwarna putih. Dan orang-orang yang telah meninggal dunia, hendaklah dikafankan dengan kain yang berwarna putih. Sesungguhnya, pakaian yang berwarna putih itu merupakan bahagian pakaian yang paling baik.” (Hadis Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan Ahmad)

Baca juga Rasulullah Tokoh Berpengaruh Sepanjang Zaman. Dalam Diri Baginda Terdapat Segala-galanya Untuk Diteladani

2. Tampil bersih dan kemas.

Baginda SAW begitu terkenal dengan kekemasan dan kesegakan dengan apa jua pakaian yang disarungnya. Ketahuilah, pakaian yang cantik tidak semestinya dari harga yang mahal, asalkan si pemakainya seorang yang bersih dan mementingkan kekemasan, ia sudah cukup memadai.

Lelaki

LELAKI hanya boleh berhias diri dengan sekadar merapikan rambut, misai dan janggut serta memakai pakaian yang sesuai dengan imej mereka dan tidak sampai menyerupai wanita.

3. Sentiasa wangi dan segar.

Satu lagi sikap Rasulullah SAW yang wajar dicontohi ialah baginda begitu menggemari minyak wangi. Malah, Nabi Muhammad SAW juga menggalakkan umatnya memakai wangian atas sebab-sebab dan dalam keadaan tertentu. Cuma jangan berlebih-lebihan pula.

Perilaku baginda dapat dilihat menerusi hadis yang diriwayatkan daripada Anas RA bahawa: “Aku tidak pernah menghidu wangian anbar, kasturi dan apa jua wangian yang lebih wangi daripada bau Rasulullah SAW.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

4. Menjaga tubuh badan.

Hal itu bertepatan dengan ajaran Islam yang menuntut agar umatnya menjaga kesihatan diri dan mencari penawar jika ditimpa kesakitan.

Pada masa sama, Nabi Muhammad SAW juga begitu mementingkan insan di sekeliling baginda. Justeru, baginda sentiasa menjaga kesegaran diri termasuklah dengan bersugi.

Rasulullah SAW bersabda: “Jika tidak menyusahkan ke atas umatku, aku ingin menyuruh mereka bersugi setiap kali hendak melakukan solat.” (Hadis Riwayat Muslim)

Sumber Timbalan Pengarah Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mohd Nasir Masroom & https://tzkrh.com/4-tips-menjaga-ketrampilan-seperti-rasulullah/

Foto: Freepik & 123rf