Browsing Tag

diskusi sinarislamplus

Sakaratul maut
Panduan,

Waspada sakaratul maut bagi yang lalai

Oleh MUHD AZMAN MOHD NAWI

UMUMNYA manusia sangat takut kepada mati. Mereka membayangkan kematian sebagai peristiwa yang amat mengerikan. Imam Al-Ghazali dalam Kitab Mizan al-‘Amal menyebut ada empat alasan mengapa manusia takut terhadap kematian iaitu:

1. Ingin bersenang-senang dan menikmati hidup ini lebih lama lagi.

2. Tidak bersedia untuk berpisah dengan orang-orang yang dicintai, termasuk harta kekayaan yang selama ini dikumpulkannya dengan susah payah.

3. Tidak tahu bagaimana bentuk hujung hayatnya berakhir.

4. Takut kepada dosa-dosa yang dibuat selama ini.

Sakaratul maut

KEMATIAN itu suatu yang pasti. Justeru, siapkanlah bekalan dengan melakukan segala perintah ALLAH SWT dan meninggalkan segala larangan-NYA sebelum menuju ke alam barzakh.

 

Ketakutan ini menyebabkan manusia tidak rela menyiapkan diri dengan baik bagi menyambut kehadiran Izrail. Padahal kematian adalah detik pertama untuk memasuki kehidupan yang kekal iaitu akhirat.

Kata Imam Al-Ghazali lagi, manusia hanya ingat kematian tatkala tiba-tiba ada jenazah lalu di hadapannya. Mulut dengan pantas membaca kalimat istirja’: Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un. Namun, istirja’ yang dibaca itu hanyalah di bibir sahaja. Mereka tidak memahami hakikat secara benar bahwa semua manusia akan kembali kepada ALLAH SWT.

Lalu, bagaimana cara agar tidak fobia dengan kematian? Menurut Imam Al-Ghazali lagi, setiap manusia wajib untuk selalu ingat kematian sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Perbanyakkanlah olehmu mengingati kematian, si penghancur segala kesenangan duniawi.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Mengingati mati akan mendatangkan pelbagai kebaikan. Di antaranya, membuat manusia tidak sibuk dalam mengejar pangkat dan kemewahan dunia.

Sentiasa ‘rasa cukup’ (qona’ah) dengan apa yang dicapai pada hari ini, serta tidak akan menghalalkan segala cara untuk memenuhi cita-cita peribadinya.

Selain itu, setiap Muslim akan lebih terinspirasi untuk bertaubat dan berhenti melakukan dosa-dosa, baik dosa besar maupun dosa kecil.

Dengan mengingati mati akan menumbuhkan minat mendalam untuk beribadah dan beramal soleh sebagai bekalan kehidupan di akhirat kelak.

Baca juga Kematian Akibat Covid-19 Dan Melahirkan Anak Termasuk Dalam Syahid Akhirat

Dengan rangkuman kebaikan ini, orang-orang tertentu seperti kaum sufi tidak gentar menghadapi kematian kerana hanya dengan kematian mereka akan dapat mencapai kebahagiaan sejati, iaitu berjumpa dengan ALLAH SWT dalam reda-NYA. Inilah anugerah dan khabar gembira daripada ALLAH kepada mereka sebagaimana firman-NYA: “Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan, ‘Tuhan kami ialah ALLAH’, kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka Malaikat akan turun kepada mereka seraya berkata, ‘Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih; dan gembirakanlah mereka dengan syurga yang telah dijanjikan ALLAH kepadamu’.” (Surah Fussilat, ayat 30).

Kenapa sakaratul maut menjadi getir?

Editor Kanan Penerbitan alQuran Karya Bestari, Ustaz Mohamad Amiro Safwan Mohd Kamil menjelaskan, kematian itu pasti datang kepada sesiapa sahaja.

Sakaratul maut

AMIRO SAFWAN

“Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim disebutkan, ajal maut ialah seumpama apabila seseorang itu sampai ke satu tempat atau waktu yang tertentu dan ALLAH cabut nyawanya. Maksudnya, tiada siapa dapat menjamin bilakah waktu tertentu dia akan bertemu kematian,” katanya kepada Sinar Islam Plus ketika ditemubual baru-baru ini.

Merujuk surah al A’raf, ayat 34, Amiro menghuraikan: ‘Bagi setiap umat ada tempoh pengakhiran. Apabila sampai tempoh pengakhiran kepada seseorang, maka tidak akan diawalkan dan dilewatkan, walaupun seketika.’

Di sini jelas Amiro, umat Islam wajar memahami bahawa kematian akan datang tanpa mengira status, bangsa, umur dan jantina, termasuklah orang yang beriman atau orang yang lalai.

“ALLAH menyebut, bagi orang yang lalai, ALLAH buka kepadanya semua pintu kelalaian,yang mana dia akan terus hidup di dalam suasana tersebut sampailah ALLAH rentap nyawanya,” jelasnya.

Sebagaimana Firman ALLAH di dalam surah al An’aam, ayat 44: “Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya. KAMI bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, KAMI timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).”

Baca juga Mengingati mati mengurangkan hasrat duniawi kita. Ketahuilah, sakit bukanlah syarat kepada kematian

Beliau selanjutnya berkongsi sebuah kisah agung daripada hadis riwayat Imam Muslim di dalam Jami’ Sahih Muslim.

“Apabila sampai giliran Nabi SAW bermalam di rumah Aisyah, berhampiran masjid Nabawi, ketika Aisyah bangun pada tengah malam, beliau melihat Nabi tiada di sisinya.

“Sehinggalah Aisyah bertemu baginda Rasulullah di perkuburan Baqi (makam rasmi umat Islam di Madinah). Sewaktu tiba di Baq’i baginda memberikan salam, ‘Assalamualaikum ya Daaral Mu’minin (salam sejahtera buat sekalian penghuni negeri orang yang beriman), ‘Telah datang kepadamu janji sebagaimana yang ALLAH Taala telah janjikan (kematian), Ya ALLAH, berikanlah keampunan kepada seluruh penghuni Baqi’.”

“Di sini Rasulullah SAW memberi contoh, di Baqi’ memang pasti dihuni oleh orang yang baik (terdiri daripada kalangan sahabat dan Ahlil Bayt (kerabat Rasululullah SAW) dan ahlussufah (golongan yang mengabdikan diri untuk beribadah).

Justeru ujarnya, kalau orang-orang baik seperti itu didoakan oleh nabi, bagaimana dengan kita yang penuh kelalaian? Tentulah lebih lagi kita mengharapkan kepada doa serta syafaat sebagai jaminan keselamatan selepas mati.

Lalai, hanyut di dalam kelompoknya 

Amiro menghuraikan kematian yang datang kepada orang lalai bakal tiba dalam keadaan yang penuh menggemparkan.

“Di dalam sebuah hadis, Rasulullah berdoa kepada seseorang yang di ambang maut: ‘Ya ALLAH, ringankanlah sakaratul maut (ambang kematian) ini kepada ku dan kepada umatku.”

Lalai yang dimaksudkan adalah dari sudut karektor, cara hidup, pergaulan dan sebagainya.

Sakaratul maut

JANGAN llalai dengan harta dunia sehingga takut mati.

Amiro memperincikan perkara ini sebagaimana mafhum hadis, “Jibril datang kepada Rasulullah menyebut, “Ya Rasulullah, hiduplah kamu sebagaimana yang kamu ingin jalani,’

“Ada orang yang suka menjalani hidup yang baik dan melalui kehidupan dengan cara positif seperti kebanyakan masa diperuntukkan di masjid dan melakukan kebajikan. Mudah mudahan apabila datang kematian dan setelah dibangkitkan nanti ada kebaikan untuknya.”

Sebaiknya, tegas Amiro ada yang menghabiskan hidup di tempat yang tidak wajar. Justeru, jika mati dalam keadaan suul khatimah (kematian yang tidak baik), yang menanti di alam barzakh nanti akan lebih menyukarkan hidupnya.

“Abu Said al Khudri RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila jenazah telah dikeluarkan dari tempat ia disolatkan, maka para jemaah bergilir membawa pengusung mayat lalu diusung di bahu masing-masing. Lalu kata baginda, kalau jenazah itu orang yang baik, mereka akan berkata, ‘segerakan aku untuk disemadikan’, kerana dia telah diperlihatkan tempat persemadiannya adalah salah satu daripada taman-taman syurga. Sekiranya jenazah itu adalah maksiat, (dia akan berkata) alangkah celakanya aku pada hari ini, ke mana kamu ‘nak bawa aku? (kerana dia telah diperlihatkan tempat persemadiannya di salah satu dari lubang neraka.”

Jelas Amiro, kebiasaannya manusia tidak akan mengkritik apatah lagi menyumpah diri sendiri. Tetapi apabila sampai satu tahap seseorang itu mencela dirinya, itu membawa konotasi bahawa dia sedang berdepan situasi paling ngeri disebabkan kejahatan masa silam.

Menjawab pertanyaan, bagaimana cara terbaik untuk mengelak dari terus menerus menjadi orang yang lalai, Amiro berkongsi pandangan.

“Suasana kehidupan ialah perkara yang paling mengesankan. Rasulullah pernah menyarankan kepada sahabat baginda yang dahulunya kaki maksiat bahkan murtad, untuk keluar dari tempat lama dan duduk di tempat yang baru. Hal ini kerana suasana baharu akan membentuk karektor dan peribadi manusia.

“Samalah kita pada hari ini. Dengan sebab bergaul dengan orang baik maka tempias kebaikan akan terpercik kepada kita. Pergaulan erat dengan lingkungan sahabat yang positif akan menguatkan jiwa. Kita perlu bijak memilih kawan kerana kesedaran dan kawalan kendiri akan membantu hidup ke arah lebih baik,” saran beliau lagi.

Istiqamah lakukan kebaikan

Dalam mendepani cabaran hidup yang penuh gelora, Amiro menjelaskan sememangnya ada kaedah yang mampu dilakukan orang umat Islam untuk bersiap sedia kematian yang diiringi husnul khatimah.

“Memetik kata-kata Mufti Ismail Menk, istiqamah melakukan kebaikan sepanjang masa akan meringankan beban tatkala berdepan sakaratul maut.

Sakaratul maut

MUFTI MENK

“Amal kebaikan ini terlalu besar dan luas dan jadikan rutin setiap hari. Contoh yang paling mudah ialah istiqamah menyuapkan makanan kepada ibu bapa, suami, isteri dan anak-anak, sehingga kita tidak merasa ia adalah adalah beban sebaliknya menjadikan amalan itu sebagai rutin harian.

“Apatah lagi kebaikan itu dilakukan kepada orang tidak dikenali. Contohnya menyumbang beberapa ringgit kepada tabung tabung masjid, membantu orang yang memerlukan atau memberi makan kepada haiwan di jalanan. Itulah yang akan menyumbang kepada kita tatkala berdepan sakratul maut,” ujarnya lagi.

Foto: 123rf & Freepik

Kehebatan doa seorang emak
Gaya Hidup,

Puji ALLAH saat senang dan ketika diuji dengan musibah

SEMANGAT kebersamaan yang ditonjolkan masyarakat tatkala melihat insan di sekeliling ditimpa musibah banjir akibat hujan berterusan pada penghujung tahun 2021 wajar dipuji.

Pendakwah Ahmad Hazran Ahmad Kamal atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Aran menjelaskan, perilaku tersebut sememangnya pernah dizahirkan oleh Rasulullah SAW yang menjadi suri teladan kepada kita.

Baca juga Jangan mengeluh ketika hujan

Perbuatan mulia Nabi Muhammad itu dapat dilihat apabila baginda menyantuni dan bergaul dengan ahli suffah (sahabat yang duduk di persekitaran Masjid Nabawi) meskipun ada dalam kalangan mereka merupakan seorang asnaf, terangnya.

IMAM MUDA ARAN

“Baginda langsung tidak meminggirkan mereka, malah bercampur dengan semua masyarakat daripada setinggi-tinggi kedudukan taraf sehingga serendah-rendah pangkat.

“Ia bukan terhad hanya kepada umat Islam sahaja, tetapi juga sesama bukan Muslim. Sifat ini dapat dilihat apabila Rasulullah SAW ingin pergi berperang.

“Tatkala meninggalkan keluarga untuk tujuan tersebut, baginda pernah menggadaikan baju besi perangnya kepada seorang Yahudi. Dengan nilai yang diperoleh tersebut, maka sebanyak itulah bekalan makanan disediakan buat keluarga baginda. Justeru, tiada masalah untuk kita bermuamalah dengan orang bukan Islam,” katanya.

Ya, semangat kebersamaan begitu penting tidak kiralah sama ada dalam perkara susah mahupun senang. Namun, Imam Muda Aran mengingatkan supaya sikap itu diimplementasikan juga dalam hal membanteras perkara maksiat.

Ia sebagaimana yang disuruh oleh ALLAH SWT menerusi firman-NYA yang bermaksud: “…Dan saling tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa, dan jangan saling tolong-menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan…” (Surah al-Maidah, ayat 2)

Kepada satu soalan, beliau berkata: “Andai kita tidak mampu memberikan bantuan dari segi harta benda mahupun tenaga kepada orang lain, berdoalah kepada ALLAH SWT dan berilah kata-kata semangat kepada mereka yang ditimpa ujian. Doa adalah senjata orang Mukmin.

“Kepada mereka yang diberikan ujian, minta tolonglah kepada ALLAH SWT dengan bersabar. Ingatlah, apa jua situasi kita, sifat tersebut begitu penting.

Puji ALLAH

SEMANGAT kebersamaan yang ditonjolkan masyarakat Malaysia ketika musibah banjir pada penghujung tahun lalu wajar dipuji. Sifat itu sememangnya ada dalam diri Rasulullah SAW yang menjadi suri teladan kepada seluruh umat.

“Tidak kiralah musibah mahupun kesenangan yang dikurniakan-NYA kepada kita, jangan lupa untuk memuji Tuhan. Ini kerana ALLAH jualah yang menurunkan musibah kepada kita. Andai kita bersabar dengan ujian-NYA dan sentiasa mengingati-NYA, pahala bakal diraih.”

Foto: Freepik & Bernama

Hujan
Isu, Pilihan Editor,

Jangan mengeluh ketika hujan, setiap titisan ada malaikat membawa rahmat

DARI jauh, kelihatan kepulan awan hitam berarak. Tiada gumpalan awan putih dan langit tidak kebiru-biruan seperti selalu. Ciri-ciri itu merupakan petanda jelas hujan bakal membasahi bumi.

Tatkala hujan, persepsi setiap manusia berbeza-beza. Sesetengahnya begitu gembira tidak terkata. Pun demikian, tidak keterlaluan untuk disebut, lebih ramai yang merungut.

Alasan yang sering diucapkan cukup mudah. Takut jalan sesak, segala urusan yang direncanakan akan tertangguh, namun yang paling menakutkan adalah ‘amukan’ bah yang boleh hadir sekelip mata.

Perasaan itu ‘semakin menjadi-jadi’ sejak kebelakangan ini apabila beberapa negeri di Malaysia dilanda banjir hujung 2021. Bencana alam itu begitu mengerikan kerana disifatkan paling buruk sejak dua dekad lalu.

Hujan

HUJAN bukanlah satu bebanan kerana terdapat 1,001 rahmat yang terselit di sebalik fenomena alam ciptaan ALLAH SWT.

Paling menyayat hati pastinya melihat mangsa banjir di Selangor dan Pahang. Setakat akhir Disember tahun lalu, 48 kematian dicatatkan dan angka itu sesuatu yang amat mendukacitakan.

Apabila rata-rata daripada kita mengeluarkan kata-kata bahawa fenomena alam itu membebankan, ia adalah satu ungkapan yang perlu diperhalusi semula.

Sesungguhnya, dalam kitabullah sudah tertulis bahawa di sebalik hujan, terselit rahmat dan keberkatan yang tidak terhingga.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda-NYA (adalah) bahawa kau lihat bumi kering dan gersang, maka apabila KAMI turunkan air di atasnya, nescaya ia bergerak dan subur…” (Surah Fussilat, ayat 30)

Berdasarkan kalimah mulia itu, apakah definisi rahmat yang ingin disampaikan kepada manusia sekalian alam? Benarkah setiap titisan hujan akan datang bersama malaikat?

Bukti kekuasaan ALLAH SWT

Bagi membicarakan lebih lanjut tentang keberkatan hujan, Sinar Islam Plus merujuk Pegawai Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Naemah Hamzah.

DR NAEMAH

Dr Naemah menjelaskan, hujan merupakan antara salah satu bukti kekuasaan ALLAH SWT. Malahan, sejak 1,400 tahun yang lalu, al-Quran telah pun menceritakan tentang proses kejadiannya.

“Hal itu banyak disebutkan dalam kitab suci umat Islam sebagai pelajaran bagi orang berakal yang ingin menambahkan kecintaan kepada ALLAH SWT menerusi kejadian alam semesta.

“Menurut pendakwah Mohd Sukki Othman, sebanyak 12 perkataan yang menggambarkan hujan secara hakiki dalam kalam ALLAH SWT. Semantik hujan dalam al-Quran, antaranya menggunakan perkataan Matar, Soiyib, al-Ma’, Ghayth, ad-Thal, al-Wadq, al-Husban dan Wabil.

“Konteks situasi hujan dalam kitabullah terbahagi kepada dua iaitu azab dan kekuasaan ALLAH SWT. Erti kata hujan secara amnya digunakan sebagai pengajaran untuk menunjukkan kekuasaan ALLAH SWT,” katanya ketika ditemubual secara maya baru-baru ini.

Baca juga Syukurilah Alam Anugerah ALLAH Yang Tak Ternilai

Firman ALLAH SWT: “ALLAH jualah yang menghantarkan angin, lalu angin itu mengerakkan awan, kemudian ALLAH menyebarkan awan itu di langit sebagaimana yang dikehendaki-NYA dan menjadikannya berkelompok-kelompok lalu engkau melihat hujan keluar dari celahnya.” (Surah ar-Rum, ayat 48)

Dalam ayat yang lain berkaitan kejadian angin yang membantu proses turunnya hujan, ALLAH SWT berfirman: “Dan KAMI hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih; maka dengan itu KAMI menurunkan air (hujan) dari langit, kemudian KAMI berikan kamu meminumnya; dan bukanlah kamu yang (berkuasa menurunkannya atau) menyimpannya.” (Surah al-Hijr, ayat 22)

Berdasarkan kedua-dua dalil berkenaan, Dr Naemah berkata, ia sekali lagi menunjukkan kekuasaan ALLAH YANG MAHA HEBAT.

“Selain itu, disebutkan juga di dalam al-Quran bahawa hujan yang turun sebagai membawa khabar gembira dan rahmat bagi alam dalam mengekalkan ekosistem yang baik, waima kepada manusia, tumbuhan dan air,” ujarnya.

Hujan

TITISAN hujan mengekalkan ekosistem yang baik bukan sahaja kepada manusia, tetapi juga haiwan dan tumbuhan.

Tanda peringatan

Kepada satu soalan, pendakwah itu menjawab: “Apabila membicarakan tentang hujan didatangkan dengan ribut dan taufan, ia megingatkan kita kepada kisah yang berlaku kepada Kaum ‘Aad. Mereka menentang dakwah dan peringatan dibawa oleh Nabi Hud AS.

“ALLAH SWT sangat murka kepada golongan manusia yang melawan kebenaran dan bersifat melampau sehingga menyebabkan kerosakan berlaku di muka bumi.

“Lantas, pemilik kerajaan langit dan bumi itu telah memusnahkan mereka dengan angin ribut yang dingin, terlalu kencang dan mengerikan sehingga lapan hari tujuh malam lamanya. Musibah ini berlaku sehingga menyebabkan kaum ini akhirnya musnah sebagaimana yang dirakamkan dalam Surah al-Haqqah, ayat 6-8.”

Pegawai agama itu turut ditanya tentang isu viral yang menyaksikan keterdesakan mangsa banjir memecah masuk premis untuk mendapatkan makanan.

Ujar beliau, sebaiknya berusahalah mendapatkan sumber yang halal terlebih dahulu, sebelum mengambil hak dan barang kepunyaan orang lain secara haram atau tanpa izin tuannya.

“Andai begitu terdesak untuk kelangsungan hidup dan ia adalah jalan terakhir, pastikan barang yang diambil adalah sekadarnya sahaja untuk keperluan pada saat darurat (banjir) demi menyelamatkan nyawa, bukan untuk simpanan jangka panjang.”

Kenyataan yang dilontarkan oleh Dr Naemah turut dipersetujui oleh pendakwah Nourul Iman Nia’mat.

NOURUL IMAN

Beliau mengakui bahawa hujan sebenarnya mengandungi 1,001 rahmat atau rahsia yang tersimpan di dalamnya.

“Masakan tidak, tatkala titisan air turun dari langit, terdapat di dalamnya doa-doa yang dimakbulkan oleh ALLAH SWT kerana ia merupakan waktu mustajab bermunajat kepada-NYA.

“Bahkan, ketika bumi basah dengan siraman air dari langit, ia membawa kenyamanan kepada seluruh penghuni bumi dengan udaranya yang bersih, di samping membasuh kotoran-kotoran di atas muka bumi,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Baca juga Amalkan 2 Doa Ini Ketika Musibah, Lebih-Lebih Lagi Mereka Yang Terkesan Dengan Banjir

Begitupun, ujar pendakwah itu lagi, adakalanya fenomena alam tersebut juga boleh bertukar kepada musibah iaitu peringatan daripada ALLAH SWT kepada hamba-hamba-NYA yang barangkali ingkar, lalai dan terlupa pada alam akhirat.

“Oleh sebab itu Rasulullah SAW mengambil iktibar dan pengajaran daripada kisah para nabi terdahulu. Antaranya kisah kaum ‘Aad yang diazab dengan angin ribut.

“Cerita tersebut mengingatkan kita agar tidak boleh terlalu gembira, leka, alpa dan seronok ketika hujan membasahi bumi.

“Sebaliknya, kita kena sedar, insaf dan sentiasa berdoa kepada ALLAH SWT agar menjadikan hujan sebagai sumber kehidupan dan bermanfaat kepada diri. Bahkan, membawa ketakwaan yang lebih kepada ALLAH SWT atas kurniaan-NYA,” pesannya.

Dihitung malaikat

Benarkah setiap titisan hujan akan dihitung oleh para malaikat? Menjawab persoalan berkenaan, Nourul Iman terus mengiyakannya.

Lantaran itu, beliau mengajak seluruh umat Islam supaya mengenyahkan jauh-jauh persepsi yang menganggap hujan sebagai satu bentuk bebanan.

“Ya, mutakhir ini ada sebahagian dalam kalangan kita dilanda dengan bencana banjir asbab titisan hujan yang ALLAH SWT berikan kepada kita.

“Tidak kiralah waima rintik air yang turun itu berupa rahmat atau musibah, percayalah bahawa tanpa kita sedari, hujan itu sebenarnya membawa kebaikan kepada makhluk yang lain.

Hujan

SETIAP rintik-rintik hujan yang turun akan dihitung oleh malaikat dan setiap titisannya pula, terdapat satu malaikat turun bersamanya membawa rahmat.

“Apa yang pasti, sewajarnya kita berasa syukur atas nikmat hujan kerana terdapat dalil yang memerihalkan bahawa malaikat ditugaskan untuk menghitung setiap titisan air yang turun dari langit,” ungkapnya. Buktinya, terdapat sebuah hadis mauquf (yang disandarkan kepada sahabat sahaja) dalam al-Mustadrak Syeikh an-Nuri, jilid 5 berkaitan perkara itu.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Pada suatu malam aku diperjalankan untuk mikraj ke langit, lalu aku melihat malaikat yang mempunyai 1,000 tangan, dan setiap tangan mempunyai 1,000 jari-jemari. Malaikat itu menghitung dengan jari-jemarinya. Lalu, aku bertanya kepada Jibril: “Siapakah malaikat itu dan apa yang sedang dihitungnya?” Jibril menjawab: “Dia adalah malaikat yang ditugaskan untuk menghitung setiap titisan hujan, ia menghafal setiap titisan hujan yang diturunkan dari langit ke bumi.” Kemudian, aku bertanya kepada malaikat itu: “Apakah kamu mengetahui berapa titisan hujan yang diturunkan dari langit ke bumi sejak ALLAH menciptakan dunia?”  Ia menjawab: “Ya Rasulullah! Demi ALLAH yang mengutusmu membawa kebenaran kepada makhluk-NYA, aku tidak hanya mengetahui setiap titisan hujan yang turun dari langit ke bumi, tetapi aku juga mengetahui secara rinci berapa jumlah titisan hujan yang jatuh di lautan, di daratan, di bangunan, di kebun, di tanah yang bergaram, dan yang jatuh di kuburan…”

Melihat ungkapan tersebut, ujar Nourul Iman, jelaslah bahawa dalam setiap rintik hujan yang jatuh ke setiap inci muka bumi, terdapat juga satu malaikat turun bersamanya membawa rahmat.

“Ia bukan sahaja untuk satu-satu makhluk, tetapi sekalian makhluk yang ada di alam ini. Subhanallah, begitu besarnya rahmat terselindung di sebalik penurunan hujan,” ungkapnya.

ANEKDOT

AMALAN yang dianjurkan ketika hujan

  1. Berdoa kepada ALLAH SWT.

Waktu hujan adalah saat mustajabnya berdoa. Bermunajatlah memohon doa yang baik-baik kepada YANG MAHA ESA supaya diturunkan rahmat daripada hujan yang turun.

Hujan

USAH melepaskan peluang untuk berdoa ketika hujan kerana ia antara waktu mustajab berdoa. Pada masa sama, berzikirlah dengan ungkapan mulia yang dianjurkan.

Antara doa yang dianjurkan dibaca ketika hujan ialah Allahumma sayyiban nafi’an (Ya ALLAH, jadikan hujan ini hujan yang bermanfaat).

Selain itu, apabila angin bertiup kuat, boleh sahaja kita mengungkapkan doa sebagaimana yang diucapkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Doa itu berbunyi: “Ya ALLAH, sesungguhnya aku memohon kepada-MU kebaikannya, kebaikan yang terdapat padanya, dan kebaikan apa yang dihembuskan bersamanya. Dan aku berlindung kepada-MU daripada kejahatannya, kejahatan yang terdapat padanya dan kejahatan yang dihembuskan bersamanya.” (Hadis Riwayat Muslim)

  1. Bersyukur ke hadrat ILAHI.

Jangan lupa untuk memanjatkan kesyukuran ke hadrat ILAHI dengan nikmat hujan. Ketahuilah bahawa orang yang bersyukur itu akan ditambahkan lagi nikmat kepada mereka.

Ini kerana dengan adanya setiap rintik-rintik air dari langit itu, ia sebenarnya dapat memberikan kesuburan ke atas tanaman di atas tanah yang kering-kontang dan menjadikan alam sekitar lebih nyaman.

  1. Mengenakan sedikit tubuh badan kita dengan air hujan.

Terdapat ulama menyatakan bahawa perbuatan itu adalah sunnah Rasulullah SAW.

Diceritakan oleh Anas bin Malik RA bahawa: “Kami pernah kehujanan bersama Rasulullah SAW, lalu baginda mengikat bajunya sehingga tersiram hujan. Lalu, kami bertanyakan: “Wahai Rasulullah, mengapa engkau melakukan demikian?” Kemudian Rasulullah bersabda: “Kerana hujan ini baru sahaja ALLAH SWT ciptakan.”

Perlakuan itu adalah demi mengambil keberkatan atas makhluk yang baru sahaja dicipta oleh-NYA.

Sumber Pendakwah Nourul Iman Nia’mat & Pegawai Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Naemah Hamzah

Foto: Bernama, Pexels, Pixabay & Unsplash