Browsing Tag

Covid-19

Keluarkan 'fatwa'
Isu,

Waspada Apabila Keluarkan ‘Fatwa’

no comment

AKHIR-AKHIR ini, wabak Covid-19 semakin mengganas. Lihat sahaja angka yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, saban hari ada sahaja peningkatan jumlah pesakit direkodkan.

Walaupun sudah lebih setahun seluruh dunia bergelut dengan wabak yang mengancam nyawa itu, namun nampaknya pertimbangan segelintir masyarakat sudah mulai goyah.

Ada sebilangan orang yang sewenang-wenangnya mencipta alasan untuk membolosi negeri lain dengan pelbagai urusan. Begitu juga segelintir orang yang mula memandang enteng dengan prosedur operasi standard (SOP) selamat yang disarankan.

Bukan mahu membuat kesimpulan mudah, tetapi hakikatnya demikianlah yang berlaku pada hari ini selepas beberapa kluster melibatkan perlanggaran SOP membabitkan institusi keagamaan dan ziarah Aidilfitri dikesan baru-baru ini.

Pendakwah, Muhammad Fahmi Rusli baru-baru ini berkongsi tentang ‘fatwa’ atau kenyataan yang mengelirukan hingga menyebabkan kematian seseorang. Insiden itu menyebabkan Rasulullah SAW marah.

Jelas beliau, dalam satu riwayat, ada disebutkan bahawa terdapat seorang lelaki yang cedera parah dan mengadu bahawa dirinya bermimpi basah.

Lantas lelaki tadi bertanyakan kepada rakan-rakannya: “Adakah kalian mendapati ada keringanan buatku?” (supaya dirinya tidak perlu mandi wajib.

Keluarkan 'fatwa'

PELIHARALAH mulut dan lidah agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan hingga membawa kematian orang lain.

Namun, mereka menjawab: “Kami tidak menemukan sebarang keringanan pun buat kamu. Kamu wajib juga mandi.”

Baca juga Gaza Berhak Untuk Senyum

Mendengar jawapan itu, lelaki itu pun mandi wajib dalam keadaan kepalanya cedera parah. Disebabkan itu, dia meninggal dunia.

“Berita itu akhirnya sampai kepada Rasulullah SAW. Lalu, baginda dengan penuh marah mengatakan: “Mereka bunuh dia, semoga ALLAH membunuh mereka!”

“Cuba teliti semula kisah itu. Mereka tidak menyebabkan kematian lelaki tersebut dengan cara membunuhnya menggunakan senjata atau alat membunuh. Namun, mereka ‘membunuhnya’ dengan ‘fatwa’ yang salah.

“Disebabkan itulah Rasulullah SAW menyambung sabda baginda dengan kenyataan: “Tidakkah mereka bertanya sekiranya mereka tidak tahu? Sesungguhnya ubat bagi kejahilan adalah dengan bertanya”,” katanya dipetik menerusi ciapan di Twitter miliknya baru-baru ini.

Justeru, Muhammad Fahmi yang juga Pegawai Hal Ehwal Islam di Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengingatkan agar masyarakat berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan atau ‘fatwa’. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan perkara yang tidak diketahuinya.

“Jangan keluarkan ayat seperti ‘tak perlu pakai pelitup muka dalam masjid dan surau sekarang ini’, ‘tak perlu solat jarak-jarak’ atau ‘Covid-19 ini palsu dan tipu’.

“Ketahuilah, natijahnya boleh jadi membawa kematian,” tegasnya.

Keluarkan 'fatwa'

JANGAN sewenang-wenangnya bercakap perkara yang tidak diketahui kepastiannya supaya tidak memberikan mudarat kepada orang lain.

Dalam pada itu, Muhammad Fahmi turut menegur sikap sebilangan masyarakat yang melanggar arahan ulil amri (pemerintah) untuk balik kampung dalam suasana pandemik sedang mengganas.

“Hakikatnya, ia adalah dilarang oleh syarak. Ketahuilah, mentaati arahan itu hukumnya adalah wajib kerana ia suatu hal yang makruf. Tujuannya untuk menjaga kesihatan ibu bapa sebagai individu berisiko daripada dijangkiti.

“Kita pun tahu, sebahagian orang sanggup reka cipta pelbagai alasan untuk balik kampung, tetapi dukacitanya golongan sebeginilah yang menjadi punca klusteri sambutan hari raya,” katanya.

Keluarkan 'fatwa'

ELAKKAN mencipta alasan untuk pulang ke kampung pada masa ini demi mengelakkan risiko jangkitan Covid-19 kepada orang tua.

Apa yang boleh dilakukan sekarang, katanya, kita terus doakan kesembuhan segera buat mereka yang terkesan.

“Jangan ulangi lagi tidak kiralah sama ada anda jarak jauh atau tidak, tidak perlulah pulang ke kampung setiap minggu.

“Pada masa sama, segeralah mendapatkan vaksin,” nasihatnya.

Apa-apapun, berhati-hatilah dengan setiap tutur kata kita agar tidak mengelirukan orang lain dan jagalah tingkah laku kita supaya tidak membawa kemudaratan kepada orang lain.

Ingatlah bahawa memelihara nyawa termasuk antara maqasid syariah yang memenuhi tuntutan agama bagi menjamin kemaslahatan umat manusia.

Foto: Freepik & 123rf

b5722196-e730-47ba-ae3c-58431f7c1e75
Berita Semasa, Gaya Hidup, Pilihan Editor,

Bangkit Dalam Norma Baharu

no comment

Khamis ini genap setahun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara ini, secara tidak langsung mengubah kehidupan norma baharu kita yang tidak lagi seperti dulu. Segalanya kebebasan pergerakan kita diatur dengan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP). Tahap penjangaan terhadap diri sendiri dan keluarga terpaksa ditingkatkan demi keselamatan semua.

Semua sektor terpaksa dihentikan berkuatkuasa 18 Mac 2020 dan masyarakat hanya dapat melihat keadaan di luar hanya menerusi jendela rumah. Akibatnya sedikit demi sedikit sektor ekonomi ‘bungkus’. Bagi golongan yang kurang berkemampuan, terpaksa menanti bantuan bekalan makanan tiba di pintu rumah.

laluan penjalan kaki yang menempatkan peniaga barang terpakai.

Susananya tidak seperti dulu, kesan pandemik COVID-19 banyak mengubah segala-galanya. Jika dulu kita bebas bergerak bersama keluarga dan kenalan rapat mencari lokasi makanan dari awal pagi hinggalah lewat malam sekiranya tidak terikat dengan tuntutan kerja. Namun disebalik kesukaran pergerakan kita dibatasi, golongan peniaga yang menjadikan aktiviti berniaga sebagai punca pendapatan hidup dalam berusaha mencari rezeki buat dari sendiri mahupun keluarga seiring amalan sunnah Rasulullah, turut menerima kesan besar.

Ruang khas untuk busker menghiburkan pengunjung.

Tempoh setahun yang memeritkan dan penuh tekanan, ramai juga yang gagal untuk bertahan lalu mengambil keputusan menghentikan perniagaan kerana sudah tidak lagi mampu menyewa tapak perniagaan, berbeza bagi mereka yang kuat, digagahkan juga mencari modal meneruskan perniagaan semula.
Begitupun selepas setahun berlalu dan sebaik Majlis Keselamatan Negara (MKN) melonggarkan syarat kawalan pergerakan dengan sektor perniagaan kedai dan gerai makan boleh beroperasi semula, ramai di antara mereka merasakan inilah masanya untuk mereka bangkit dari kekecewaan, kesediahan dan kegagalan.

Senario itu dapat dilihat ketika kru portal siplus.com.my berkunjung ke Kantin@Setor, Jalan Gombak baru-baru ini di mana peniaga kembali bangkit lebih bersemangat berbeza berbanding sebelum pandemik berlaku.

Pemilik Kantin@Setor, Fakharuddin Awaludin, berkata lebih 50 peniaga Islam yang hanya bergantung pendapatan dengan berniaga terjejas teruk. Kini, lokasi perniagaan berkeluasan 2,314 meter persegi itu hanya menampatkan 18 kedai makan dan 30 peniaga bebas pasar karat.

Pemilik Kantin@Setor, Fakharuddin Awaludin

“Atas sifat kemanusiaan, saya tidak boleh ambil duit sewa tapak sepanjang tempoh pandemik melanda negara sepanjang tahun lalu. Di dalam Islam juga kami perlu membantu mereka yang sudah menjadi tanggungjawab besar bagi saya bagaimana untuk menjana kembali pendapatan mereka dalam tempoh pandemik dan pasca pandemik hingga har ini.

“Bagi peniaga yang mempunyai masalah kami terbuka untuk berjumpa dan berbincang. Kami mendengar semua pandangan mereka khususnya berkaitan sewaan tapak dan jawapannya mereka boleh bayar mengikut keselesaan mereka. Selain kami memberi diskaun, mereka juga boleh bayar secara ansuran dan jika tidak mampu bayar bulan itu kita mudahkan mereka dengan bayaran pecahan untuk beberapa bulan akan datang, mereka semua peniaga adalah tanggungjawab saya,” katanya yang kehilangan empat peniaga Melayu sepajang pandemik.

Selebriti hiburan, Zain Saidin turut berniaga di Kantin.

Menurutnya lagi, selagi kantin masih beroperasi, sebanyak 30 peratus keuntungan akan diserahkan kepada Rumah Anak Yatim dan badan kebajikan sebagai amal jariah dari peniaga, secara tidak langsung menjadi motivasi buat peniaga untuk Pemberi Rezeki, Allah SWT.

Selebriti yang juga peniaga Kantin, Zain Saidin, berkata akibat pandemik yang tidak pernah diramal sesiapa, kebanyakan peniaga mengalami kerugiaan teruk dari 70 hingga 80 peratus, namun hikmahnya nikmat syukur yang dirasainya hari ini.
“Jujurnya memang saya dan rakan yang lain merasa tertekan ketika PKP lalu kerana semua kedai diarahkan tutup. Walaupun kami hanya dibenarkan untuk menjual secara penghantaran, namun permintaannya sangat kurang. Sebenarnya konsep di Kantin ini pengunjung memang suka untuk makan di sini kerana suasananya yang tenang, cantik dengan pelbagai kemudahan disediakan oleh pihak Kantin membuatkan orang tidak suka untuk bungkus di bawa balik.
“Apabila MKN mengumumkan semua kedai boleh dibuka semula, kegembiraannya itu tidak dapat disorok lagi, rasa lega dan bersemangat semula untuk bangkit berniaga. Alhamdulillah keyakinan pengunjung untuk datang semula dapat dilihat selepas tiga minggu beroperasi.

Muhammad Arabi di gerai Makanan Arabnya.

Peniaga Makanan Arab, Muhammad Arabi, berkata sepanjang tempoh PKP hikmah besar yang diperolehi adalah nilai persahabatan, kerjasama dan kasih sayang sesama Islam cukup menyentuh perasaannya.
“Saya bersyukur dengan komuniti perniga di sini termasuk pihak Kantin yang banyak membantu saya untuk kembali bangkit. Saya hampir berputus asa untuk meneruskan perniagaan, namun komuniti di sini datang berjumpa dan memberi bantuan dan motivasi untuk saya kembali tersenyum hari ini, Alhamdulillah,” katanya.

 

INFO: Kantin@Stor

-Terletak di Jalan Gombak, Selangor
-14 minit menaiki kereta dari LRT Wangsa Maju.
-Menjual makanan panas, pakaian, aksesori, barangan rumah, basikal dan mainan kanak-kanak.
-Memuatkan 400 orang dalam satu masa.
– Kemudahan seperti, Surau, Parking percuma, Taman Permainan, Buskers, Panggung Asia, Bazaar Karat dan Gudang 5

 

 

Wakaf ubati impak ekonomi
Gaya Hidup,

Wakaf antara cara ‘ubati’ impak ekonomi

no comment

Oleh Prof Madya Dr Aminah Md Yusof

IMPAK negatif Covid-19 ke atas ekonomi negara dan dunia tidak dapat disangkal lagi. Sama juga halnya di Malaysia.

Namun, insentif yang diperkenalkan untuk membantu rakyat yang terkesan menerusi Belanjawan 2021 baru-baru ini menyuntik sedikit kelegaan.

Namun begitu, salah satu agenda menarik dan berpotensi besar pada masa ini adalah pemerkasaan pengurusan wakaf.

Wakaf sebenarnya bukanlah perkara baharu dalam Islam. Acuannya telah dipinjam menjadi institusi filantropi yang sangat berjaya di negara Barat. Kajian yang dijalankan oleh penyelidik universiti tempatan beberapa tahun lalu secara nyata telah memperlihatkan potensi melestarikan pendidikan tinggi melalui konsep wakaf.

Potensi dan peranan wakaf sebenarnya bukan sahaja diakui oleh orang Islam, malah disaran dan dipersetujui oleh ahli akademik universiti di luar negara.

Suburkan peranan

Pada ketika negara diserang pandemik Covid-19 dan ekonomi menjadi rapuh, peranan wakaf untuk bersama membangkit dan menstabilkan ekonomi negara perlu disuburkan dan diperkasakan.

Pemerkasaan wakaf dalam ekonomi bagi kesejahteraan ummah memerlukan ekosistem yang mantap yang mana ia perlu disokong oleh kefahaman, kesedaran, keinginan, keterlibatan, kemampuan, ketersediaan dan kelestarian.

Wakaf ubati impak ekonomi

EKOSISTEM wakaf yang mantap diperlukan untuk menyokong pemerkasaannya.

Ekosistem yang dimaksudkan semestinya didasari dengan pengetahuan semua pihak yang terlibat dan akan terlibat.

Mereka yang menguruskan institusi wakaf juga perlulah mempunyai pengetahuan dalam ehwal wakaf dan berupaya menyalurkan maklumat yang betul kepada masyarakat secara menyeluruh.

Bahkan, orang ramai harus diberi kefahaman tentang perbezaan antara wakaf dan infak serta hikmah menjalankan kedua-duanya agar dapat membuat keputusan yang bijak tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Justeru, manfaat wakaf kepada seluruh masyarakat perlu dititikberatkan kerana tiada larangan untuk memanjangkan manfaat (wakaf) kepada mereka yang bukan Islam. Matlamat kesejahteraan rakyat wajar menjadi agenda dalam setiap tabung wakaf yang ditubuhkan.

Bagi penulis, pengetahuan yang mencukupi akan menerbitkan kesedaran dan keinginan untuk berwakaf. Amalan mulia itu, sesungguhnya merupakan satu usaha murni yang diharapkan dapat menjadi bekalan abadi ke jannah.

Misi untuk mendapat ganjaran pahala di akhirat boleh dijadikan sebagai satu fakta dan modal dalam usaha mempromosikan amalan wakaf.

Baca juga Zakat perniagaan tetap perlu dibayar walaupun rugi

Pengecualian cukai

Sememangnya, menjadi fitrah manusia untuk melakukan kebaikan sesama manusia. Wakaf adalah satu manifestasi untuk meraikan fitrah manusia itu sendiri sepertimana yang dijelaskan oleh ALLAH SWT menerusi firman-NYA: “Setelah jelas (kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama ALLAH, iaitu agama yang ALLAH menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semula jadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan ALLAH itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah ar-Rum, ayat 30)

Bagi meniup kesedaran dan menyemarakkan keinginan berwakaf, ia perlu sentiasa disemai. Tanpa pemberi wakaf atau pewakaf, tiadalah wakaf.

Usaha menarik ahli masyarakat berwakaf merupakan langkah strategik yang memerlukan penglibatan banyak pihak.

Wakaf ubati impak ekonomi

PENGECUALIAN cukai boleh dilakukan bagi mereka yang mewakafkan pendapatan masing-masing sebagai usaha menggalakkan masyarakat menyumbang secara telus.

Ini kerana kita enggan masyarakat melihat istilah wakaf sebagai meminta, sebaliknya menggalakkan masyarakat menyumbang secara telus.

Contohnya, dengan memberi pengecualian cukai bagi pendapatan yang diwakafkan.

Ya, ia merupakan salah satu alternatif yang dijangka dapat menarik masyarakat untuk menjalankan ibadah wakaf.

Secara umumnya, masyarakat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama sangat pemurah dan saling membantu antara satu sama lain.

Namun begitu, keinginan untuk menunaikan wakaf sering terbantut disebabkan kurang kemampuan. Ia ditambah pula dengan kefahaman wakaf lebih relevan dengan harta kekal.

Dengan kepelbagaian instrumen, sesuatu perlu difikirkan agar semua masyarakat boleh menunaikan wakaf mengikut kemampuan masing-masing.

Penulis pernah menyarankan harta intelek yang tersimpan di universiti boleh diwakafkan atas sifat dan kebolehannya menjana pendapatan untuk dimanfaatkan.

Selain itu, Belanjawan 2021 turut menyarankan wakaf saham amanah sebagai instrumen wakaf. Ia antara elemen yang berpotensi, namun penelitian perlu dibuat oleh Majlis Fatwa untuk tentu sahkan saham itu (sebagai instrumen wakaf).

Wakaf yang diamanahkan mestilah ditadbir dan diurus dengan cekap agar ia terus subur dan berkembang demi memberi manfaat kepada semua.

Bukan itu sahaja, mewujudkan perundangan yang khusus untuk ehwal wakaf akan meletak hala tuju wakaf negara di landasan yang betul dan dapat menghindari penyelewangan dana wakaf.

Undang-undang juga akan dapat menghindarkan golongan yang mengambil kesempatan atas penubuhan tabung wakaf untuk kepentingan peribadi.

Secara amnya, pemerkasaan institusi wakaf akan dapat membantu mengubati ekonomi negara yang terkesan oleh pandemik Covid-19. Namun begitu, ia hanya akan tercapai jika kita mempunyai ekosistem wakaf yang mantap.

***Prof Madya Dr Aminah Md Yusof ialah Pensyarah Sekolah Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia & Penyelidik Pelestarian Institusi Wakaf: Memperkasakan Pendidikan Tinggi Negara

Foto: Freepik

syeikh1
Berita, Berita Semasa,

Ulama tersohor Indonesia Syed Ali Jaber disahkan Covid-19, sama-sama kita doakan kesembuhan beliau

PANDEMIK Covid-19 sememangnya tidak mengenal sesiapa. Semua orang berisiko dijangkiti wabak berkenaan tanpa mengira usia dan latar belakang andai kita leka walaupun seketika cuma.

Meskipun langkah-langkah pencegahan sudah dilakukan, namun kadangkala penyakit yang digeruni itu datang menjengah jua.

Benar, semua orang tidak mahu dirinya jatuh sakit. Apatah lagi ‘diserang’ dengan virus corona berkenaan. Jika itulah takdirnya, terimalah ujian daripada ALLAH SWT dengan hati yang terbuka.

Bersabar, berikhtiar dan teruskan berdoa agar diberi kesembuhan segera.

Terbaharu, ulama yang juga pendakwah dan peceramah terkemuka yang mempunyai kewarganegaraan Indonesia, Syekh Ali Jaber dilaporkan positif virus corona pada Selasa lalu.

Syekh Ali Jaber

SYEKH ALI JABER

Syekh Ali merupakan tokoh agamawan dan pendakwah di Indonesia terkenal dan kerap dijemput untuk menjadi penceramah di seluruh masjid di negara itu termasuk pada acara-acara peringkat nasional.

Video-video ceramahnya yang dimuat naik di salurannya sendiri, Syekh Ali Jaber (685,000 pelanggan) kebanyakan mencecah jutaan views.

Beliau yang berasal dari Madinah, Arab Saudi sangat disenangi dan dikagumi kerana berkebolehan bertutur dalam Bahasa Indonesia dengan baik.

Pada 13 September lalu, Syekh Ali Jaber mendapat liputan meluas media Indonesia apabila ditikam oleh orang yang tidak dikenal ketika berceramah di Masjid Falahuddin, Sukajawa, Bandar Lampung. Beliau yang sembuh selepas itu dilaporkan telah memaafkan suspek.

Memetik laporan agensi cnnindonesia.com semalam, Syekh Ali kini dikhabarkan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital di Indonesia.

Perkhabaran itu dikongsikan menerusi akaun Instagram dan YouTube peribadi milik pendakwah itu. Kemudian, berita itu tersebar dengan meluas di republik itu termasuk di negara kelahirannya di Arab Saudi.

“Sahabat Syekh Ali Jaber yang semoga dirahmati oleh ALLAH. Mohon doanya untuk Syekh Ali, saat ini dirawat di ruang ICU.

“Beliau tidak boleh menggunakan telefon bimbit. Terima kasih untuk semua doa dan perhatiannya, jazakallahu khairan,” tulis perkongsian berkenaan.

Syekh Ali Jaber

STATUS terkini Syekh Ali Jaber di hospital yang dikemas kini di Facebook rasmi miliknya pada pagi tadi.

Perkhabaran sedih tentang virus yang menyerang Syekh Ali itu dimaklumkan sendiri oleh beliau menerusi sebuah video yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya pada hari Selasa lalu.

Menceritakan lanjut, beliau tidak menyangka diuji dengan pandemik berkenaan. Walhal, Syed Ali sudah berkali-kali melakukan ujian calitan. Namun, keputusannya semua negatif.

Sehinggalah beberapa hari kemudian, Syed Ali mengakui badannya mulai panas dan batuk.

“Saya rasa panas biasa-biasa saja. Saya makan ubat untuk mengurangkan rasa panas dan ubat batuk. Kemudian, saya minum madu dan lain-lain.

“Subhanallah, qadarullah. Saya disuruh lakukan ujian calitan lagi. Saya tidak merasa sama sekali akan positif. Maka, saya buat ujian itu (pasukan perubatan) datang ke rumah, kemudian ternyata hasilnya positif,” katanya dipetik daripada video tersebut.

Sejak itu, Syed Ali mulai bergejala dengan mengalami demam, suhu badan panas naik turun dan batuk sehingga sesak nafas.

Ketika itulah, kudratnya semakin lemah untuk menjalani kuarantin kendiri. Akhirnya Syekh Ali dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

Alhamdulillah, keadaan beliau ketika itu stabil walaupun masih sesak nafas.

Agamawan itu turut memohon doa orang ramai untuk kesembuhan.

Syekh Jaber Ali

ANTARA sedutan video ketika Syekh Ali Jaber mengumumkan berita dukacita itu pada hari Selasa lalu.

Meskipun beliau jarang bertemu sesiapa dan sentiasa memenuhi prosedur operasi standard ditetapkan iaitu jaga 3M (mencuci tangan dengan kerap, menggunakan pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal), jauh daripada tempat sesak, majlis keramaian, namun ALLAH SWT sudah menulis ketetapan begitu buat dirinya.

Baca juga Covid-19: Perbanyakkanlah sedekah, wakaf, hibah, infak, zakat dan hadiah bantu golongan terjejas

“Kalau sudah ditakdirkan oleh ALLAH pasti datang ujian. Mudah-mudahan dengan ujian ini, saya dapat diampuni segala dosa dan dinaikkan darjat, selain menjadi hikmah dan pelajaran.

“Saya harap semua keluarga dan sahabat jemaah tolong doakan agar ALLAH berikan yang terbaik. Mudah-mudahan ujian ini berlalu,” doanya.

Menjengah ke Instagram dan Facebook milik Syekh Ali, ramai yang mendoakan kesembuhan beliau.

Justeru, marilah sama-sama kita terus berdoa agar Syekh Ali dan mereka yang diuji virus corona ini segera sembuh agar dapat menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi.

Dalam doa kita itu, jangan lupa titipkan sekali semoga ALLAH SWT segera mengangkat wabak ini.

Semoga tahun baharu 2021 yang bakal menjengah beberapa jam lagi akan memberikan sinar baharu dalam kehidupan kita.

Sumber & Foto: cnnindonesia.com & Facebook Syekh Ali Jaber

Berita Semasa,

Covid-19 ujian daripada ALLAH SWT, jangan sesekali kritik apalagi mengeluh

SEJAK kebelakangan ini, peningkatan kes harian Covid-19 mengundang kebimbangan ramai.

Perkembangan situasi semasa itu menyebabkan kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri dan kawasan seperti Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Gelombang menakutkan tersebut ibarat sebuah permainan video yang menyaksikan setiap tahap, pasti terdapat cabaran dan berbeza pula situasinya.

Sama juga dengan pandemik Covid-19. Dalam usaha mengekang penularan virus itu, kita seharusnya patuh pada arahan kerajaan.

Sudah tentu segala yang direncanakan oleh pemimpin negara, telah dirancang dan diteliti terlebih dahulu dengan mengambil kira pelbagai sudut dan risiko.

Justeru, janganlah kita terus mengeluh dan mengkritik tindakan yang telah mereka lakukan. Ketahuilah, virus ini bukan sahaja melanda Malaysia malah melibatkan hampir seluruh penduduk dunia.

Apa yang perlu kita lakukan adalah terus berdoa dan yakin kepada ketentuan MAHA PENCIPTA yang telah menetapkan segala apa yang berlaku di atas muka bumi ini.

Sesungguhnya percaya kepada takdir itu juga adalah salah satu daripada Rukun Iman iaitu percaya kepada qada dan qadar.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Sekiranya kamu ditimpa suatu musibah, janganlah kamu mengatakan ‘kalaulah aku melakukan itu dan ini‘, akan tetapi katakanlah ‘takdir (ketentuan) ALLAH dan apa yang dikehendakinya pasti akan terjadi‘.” (Riwayat Muslim)

Sebagai seorang yang beriman, kita hendaklah patuh kepada arahan pemerintah selagi ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Sentiasalah mematuhi panduan atau prosedur operasi standard yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara untuk sama-sama memerangi virus Covid-19 daripada terus merebak.

Ujian Covid-19

SENTIASALAH mematuhi panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara bagi membendung wabak Covid-19.

Saling mengingati

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada ALLAH dan taatlah kamu kepada Rasulullah SAW dan kepada Ulil Amri (orang-orang yang berkuasa) dalam kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam suatu perkara, maka hendaklah kamu kembali kepada kitab ALLAH (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-NYA, jika kamu benar-benar beriman kepada ALLAH dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.” (Surah an-Nisa, ayat 59)

Justeru, kita jangan mudah panik dan kelam-kabut dalam menghadapi musibah yang melanda dunia sekarang.

Sebaliknya, umat Islam perlu saling mengingati antara satu sama lain agar patuh dengan segala arahan pemerintah dan pihak berkuasa.

Selain itu, janganlah pula kita menyebarkan berita atau maklumat yang belum pasti kesahihannya.

Pada masa sama, sentiasa memakai pelitup muka, mencuci tangan dan pastikan diri tidak berada di tempat yang sesak agar tidak bersentuhan dengan orang lain yang kita sendiri tidak tahu keadaan diri mereka.

Paling penting, pastikan setiap daripada kita mengambil tahu apa yang sedang berlaku di luar sana dan menjaga pergerakan dalam melaksanakan suatu urusan.

Kepada para peniaga, bersabarlah atas dugaan dan ujian ini kerana ALLAH SWT akan memberi ganjaran yang baik kepada mereka yang bersabar.

Sama-samalah kita berdoa agar individu yang terkesan akibat PKPB dipermudahkan segala urusan dan dikurniakan rezeki yang melimpah-ruah sebagai balasan kerana bersabar atas apa yang berlaku.

Kepada umat Islam sekalian, apa kata kesempatan masa sepanjang tempoh PKPB digunakan sebaiknya bagi memperbaiki segala amal kebaikan kita demi mendekatkan diri kepada ALLAH SWT sekali gus menjadi insan yang bertakwa di sisi-NYA.

Ujian Covid-19

Begitupun, usahlah kita ketepikan tanggungjawab sebagai majikan. Janganlah kita menganiaya pekerja atau kakitangan dan sentiasa bertolak ansur demi kebaikan dan kepentingan bersama.

Ingatan khas kepada para pekerja pula, berikanlah kerjasama dengan sebaiknya dan patuhlah segala peraturan yang telah ditetapkan.

Sekali lagi diingatkan, ujian wabak yang diturunkan oleh YANG MAHA ESA tidak seharusnya disebut sebagai bala, sebaliknya ia adalah ujian besar daripada ALLAH SWT yang mahu manusia lebih berfikir.

Justeru, janganlah kita saling menuding jari dan mencari kesalahan antara satu sama lain kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah.

Apa-apa pun, teruskan berdoa dalam apa jua keadaan agar pandemik Covid-19 dapat dihapuskan dan dilenyapkan serta-merta di atas muka bumi ini.

Akhir kalam, renungkanlan firman ALLAH SWT: “Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin ALLAH dan barang siapa yang beriman kepada ALLAH, nescaya DIA akan memberi petunjuk kepada hatinya dan ALLAH MAHA MENGETAHUI segala sesuatu.“ (Surah at-Taghabun, ayat 11)

***Artikel ini ditulis oleh Rafiuddin Mohd Yusof, Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Mara Cawangan Johor

Foto: Bernama

Berita, Berita Semasa,

Mufti Besar India dan qari terkenal dunia, Misyari Rasyid doakan kesembuhan Dr Zulkifli

UMUM mengetahui, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri disahkan positif koronavirus dan sedang menerima rawatan sejak seminggu lalu.

Saat menerima perkhabaran tersebut hingga kini, ramai pemimpin dan masyarakat tidak putus-putus mendoakan Dr Zulkifli agar segera diberikan kesembuhan.

Bukan itu sahaja, beberapa ulama terkemuka dunia turut menitipkan doa dari jauh buat agamawan berkenaan. Mereka mendoakan agar Dr Zulkifli sihat seperti sedia kala dan kembali berkhidmat.

Antara tokoh yang mendoakan beliau ialah qari terkemuka dunia, Syeikh Misyari Rasyid Alafasy. Beliau memohon kepada ALLAH SWT agar Dr Zukifli agar diberi kesihatan yang baik.

“Saya meminta kepada Tuhan yang MAHA KUASA, Tuhan Arasy yang AGUNG untuk menyembuhkan yang mulia Menteri Hal Ehwal Agama Malaysia, Datuk Seri Dr Zulkifli Al-Bakri,” kata qari yang pernah menjadi Imam Masjid Nabawi di Madinah menerusi ciapan di Twitter miliknya semalam.

Perkongsian beliau itu diulang kicau lebih 680 pengguna Twitter dan mendapat lebih 2,000 tanda suka.

Malah, Dr Zulkifli dilihat turut membalas ciapan beliau pada hari yang sama.

“Ya Tuhan, amin saudaraku yang dikasihi. Semoga Tuhan memberikan ganjaran yang baik untuk doa anda dan untuk pertanyaan anda mengenai keadaan kami ketika ini yang menunjukkan tanda yang baik.

(Artikel berkaitan: “Kepada ALLAH saya berserah dan memohon pertolongan” – Dr Zulkifli Mohamad)

“Saya meminta kepada ALLAH SWT yang MAHA KUASA untuk melindungi anda daripada segala kejahatan, kebencian dan malapetaka serta memberkati kita, anda dan umat Islam dengan keamanan, kesihatan dan kesejahteraan yang berterusan,” katanya membalas ciapan Syeikh Misyari Rasyid menerusi Twitter milik beliau.

Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

SYEIKH MISYARI RASYID (gambar kiri) dan Syeikh Aboo Backer mendoakan Dr Zulkifli agar segera diberikan kesembuhan.

Selain itu, Dr Zulkifli turut menerima kiriman mesej daripada Mufti Besar India, Sheikh Aboo Backer Ahmed Al-Malibari yang mendoakan agar kesihatan beliau kembali pulih dan bertugas seperti sedia kala.

“Saya mengharapkan hubungan baik ini akan memperkukuhkan lagi kerjasama Malaysia India khususnya dari sudut pendidikan agama untuk menfaat kedua-dua buah negara,” katanya Dr Zulkifli menerusi laman sosial Facebook miliknya.

Pada 5 Oktober lalu, Dr Zulkifli disahkan positif Covid-19. Beliau kini dirawat di sebuah hospital di Seremban.

Setakat artikel ini ditulis, seramai 90 individu kontak rapat Dr Zulkifli yang disaring Kementerian Kesihatan Malaysia disahkan negatif jangkitan Covid-19.

Marilah sama-sama kita doakan agar Dr Zulkifli dan mereka yang diuji dengan penyakit Covid-19 segera sembuh.

Teruskan berdoa agar wabak ini segera diangkat oleh ALLAH SWT dari muka bumi ini.

Sumber & Foto: Twitter @Alafasy & Facebook Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Berita Semasa,

Bayar online, elak bersalaman bila tunaikan zakat fitrah

TIDAK seperti tahun-tahun sebelum ini, keadaan new normal akibat wabak Covid-19 turut mengubah kaedah pembayaran zakat. Ya, zakat fitrah pada tahun ini perlu dibayar secara online.

Walaupun sudah ada kaedah pembayaran atas talian sebelum ini, namun rata-rata orang gemar memilih untuk menunaikan kewajipan itu menerusi amil yang berhampiran.

Apa jua kaedah pembayaran yang digunakan, zakat fitrah itu tetap wajib ditunaikan oleh setiap orang Islam yang berkemampuan.

Memandangkan kita masih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Agensi Mengurus Zakat (AMZ) di seluruh negara akan mengoptimumkan kaedah pembayaran zakat online. Tujuannya untuk memudahkan pembayar menunaikan kewajipan itu dengan lebih pantas dan selamat.

Ia sebagaimana yang dinyatakan oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) Jabatan Perdana Menteri menerusi soalan lazim berkaitan zakat ketika PKP baru-baru ini.

Bagaimana pula golongan yang mempunyai kekangan seperti tiada capaian internet dan tidak mahir menggunakan teknologi untuk membayar zakat?

Kata JAWHAR, hampir kesemua MAIN dan AMZ masih menyediakan perkhidmatan pembayaran zakat menerusi amil yang dilantik. Bagaimanapun, ia dilaksanakan pada tahap yang minimum, sesuai dengan keadaan PKP yang sedang dilaksanakan kini.

Bagi negeri yang tidak menyediakan perkhidmatan berkenaan, kita boleh merujuk kepada pihak MAIN dan AMZ selaku pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

Andai kata, masih ada lagi pembayaran secara manual, langkah berjaga-jaga sebagaimana yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia perlu dilaksanakan.

Pihak MAIN atau AMZ perlu mengenal pasti lokasi yang bersesuaian dengan mengambil kira penjarakan sosial yang selamat.

Ada beberapa mekanisma kutipan yang dicadangkan antaranya bayaran secara pandu lalu, kutipan dari rumah ke rumah dan sebagainya. Apa yang penting, proses pembayaran perlu dijalankan dengan cepat.

Bayar zakat online

KAEDAH pembayaran zakat pandu lalu antara yang dicadangkan, di samping mengambil langkah menjaga kebersihan dan pencegahan seperti pemakaian topeng muka. -Gambar hiasan

Dalam pada itu, JAWHAR turut mengingatkan pembayar agar sentiasa menjaga kebersihan, memakai penutup muka dan menggunakan cecair pembasmi kuman. Jika boleh, sediakanlah wang yang mencukupi ketika pembayaran dibuat dan tidak perlu bersalaman ketika membayar zakat.

Berikut adalah kadar zakat bagi seluruh negeri di Malaysia pada tahun ini iaitu 1441 Hijrah:

1. Johor
– RM7
– RM10

2. Kedah
– RM5
– RM7
– RM14
– RM21

3. Kelantan
– RM7
***Namun, bayaran fitrah dengan kadar RM14 dan RM21 berdasarkan harga beras yang dimakan adalah digalakkan.

4. Melaka
– RM7
– RM14

5. Negeri Sembilan
– RM7

6. Pahang
– RM7

7. Perak
– RM7
– RM14
– RM21

8. Perlis
– RM7

9. Pulau Pinang
– RM7
– RM16

10. Selangor
– RM7
– RM14
– RM21

11. Terengganu
– RM7

12. Sabah
– RM6
– RM7.50

13. Sarawak
– RM7

14. Wilayah Persekutuan
– RM5
– RM7

Jika dilihat, memang ada perbezaan kadar bayaran antara negeri. Ini kerana asal kewajipan zakat fitrah menurut perbahasan fiqh adalah makanan ruji masyarakat setempat.

Di negara ini, zakat fitrah dinilaikan dengan beras yang menyamai sukatan segantang beras. Pendek kata, perbezaan kadar zakat fitrah itu adalah disebabkan oleh jenis beras yang menjadi makanan ruji di sesebuah negeri. Ia berdasarkan kepada kajian yang dilakukan oleh pihak MAIN dan AMZ serta maklumat daripada pemborong.

Secara umumnya, bayaran yang ditunaikan mengikut kadar harga beras yang dimakan oleh majoriti masyarakat adalah memadai.

Begitupun, seandainya kita ingin memilih kadar bayaran yang lebih tinggi sepadan dengan jenis beras yang menjadi makanan ruji kita saban hari, boleh berbuat demikian.

Menurut pandangan Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam hal itu, ia adalah atas kerelaan hati dan dianggap sebagai suatu bentuk ketaatan tambahan yang terpuji.

Namun begitu, bagi mereka yang terjejas dari segi ekonomi akibat PKP dan situasi Covid-19 ketika ini, bayaran zakat fitrah boleh ditunaikan berdasarkan kadar minimum yang telah ditetapkan oleh pihak MAIN atau AMZ mengikut kemampuan diri dan keluarga masing-masing.

Kemudian, segera beredar sejurus urusan berkenaan selesai.

Kepada pembaca Sinar Plus, jangan culas untuk tunaikan kewajipan kita. Tunaikanlah Rukun Islam ke-4 itu dengan sebaiknya. Semoga segala amalan kebajikan kita beroleh rahmat daripada-NYA.

(Sumber: Facebook Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji)

Foto: Bernama

Berita Semasa,

Adab berjiran tetap kena jaga, lebih-lebih lagi waktu PKP ini

NAMA saja duduk di rumah, tetapi langsung tak ambil ‘pusing’ tentang jiran sebelah. Sepatutnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita lebih cakna.

Jika hari biasa, bolehlah dimaafkan kalau kita mungkin tidak bertegur sapa atau langsung tidak kenal mereka kerana kekangan waktu bekerja.

Namun begitu, andai kata waktu sekarang pun kita masih beralasan tidak kenal dengan jiran masing-masing, memang pelik bunyinya!

Apabila duduk di rumah, paling tidak pun mesti terdengar pintu rumah jiran dibuka, vakum membersihkan kediaman mereka dan sebagainya. Itu pun jika duduk di rumah yang dekat-dekat seperti flat, apartmen dan kawasan perumahan.

Kalau duduk di kawasan kejiranan yang jauh, itu cerita lain.

Walaupun ‘berkurung’ di rumah untuk memutuskan rantaian pandemik Covid-19, kita masih perlu menitikberatkan adab-adab berjiran.

Islam kan begitu mementingkan hubungan yang baik sesama manusia. Ia termasuklah dengan jiran tetangga tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang mereka.

Ia sebagaimana Firman ALLAH SWT: “Dan hendaklah kamu beribadah kepada ALLAH dan janganlah kamu sekutukan DIA dengan sesuatu apa jua, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada orang-orang yang sombong, takbur dan membangga-banggakan diri.” (Surah al-Nisa, ayat 36)

Dalam tempoh PKP ini, jiran merupakan orang yang paling hampir dengan kita selepas ahli keluarga di dalam rumah.

Justeru, kita sama-sama saling memerlukan antara satu sama lain khususnya apabila berada dalam kesusahan atu berlaku kecemasan.

Dengan mengambil kira penjarakan sosial untuk membanteras wabak Covid-19, adab-adab berjiran yang baik masih boleh dibuat antaranya:

1. Saling bertegur sapa dan tolong-menolong dengan mengamalkan penjarakan sosial.

2. Pelihara hak-hak berjiran seperti berlapang dada dan bertolak ansur dengan mereka.

3. Mengambil berat tentang jiran sama ada ketika sihat atau sakit, gembira atau sedih, kenyang atau lapar, ketika mereka berada di rumah atau tiada. Ia tetap perlu ditunaikan dengan sebaiknya.

4. Jauhilah sikap buruk sangka, iri hati, dengki, fitnah dan sebagainya.

Adab berjiran

DENGAN mengambil kira penjarakan sosial dan memakai topeng muka, kita masih boleh bertegur sapa dengan jiran. -Gambar hiasan

Rasulullah SAW bersabda: “Jika kamu mereneh sup, banyakkan kuahnya, kemudian perhatikanlah (jumlah) ahli keluarga dalam kalangan jiranmu dan berikanlah sebahagiannya kepada mereka dengan baik.” (Riwayat Muslim)

Lagi satu, janganlah sakiti hati jiran kita dengan tindak-tanduk yang kita lakukan di rumah contohnya pasang televisyen dengan kuat hingga mengganggu ketenteraman jiran sebelah.

Nampak macam remeh, tetapi ketahuilah bahawa perbuatan memuliakan jiran, berbuat baik dan tidak menyakiti perasaan mereka adalah lambang kesempurnaan iman.

(Sumber: Facebook Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan & Ustaz Abd Razak Muthalib)

Foto: Sumber internet

Berita Semasa,

Persediaan Ramadan ketika PKP, apa yang perlu kita buat?

TINGGAL enam hari lagi kita bakal menyambut 1 Ramadan. Sebelum menghadapi bulan yang penuh barakah itu, masih ada masa lagi untuk kita membuat persediaan minggu depan.

Barangkali ada yang terlupa bab hukum hakam ketika berpuasa. Inilah masa terbaik untuk kita ulang kaji semula.

Apatah lagi, sambutan awal Ramadan kali ini banyak berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini. Pada tahun lalu, kita mungkin berterawih di surau atau masjid. Namun, kali ini kita terpaksa berterawih di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mahu atau tidak, kita sendiri kena mantapkan diri dengan bab-bab puasa dan ibadah ketika Ramadan.

Walaupun terpaksa menyambut awal Ramadan dengan hanya duduk di rumah, namun kita masih lagi boleh menjadikan puasa kita begitu meriah dengan aktiviti ibadah.

Justeru, kita harus meneliti apakah amalan yang boleh dimanfaatkan menjelangnya Ramadan sepanjang tempoh PKP ini.

Dalam hal ini, Jabatan Mufti Negeri Perak berkongsi amalan yang boleh dilakukan iaitu:

Persediaan Ramadan ketika PKP

SEMENTARA masih berbaki beberapa hari ini, bolehlah kita sekeluarga mengulang kaji tentang hukum-hukum puasa.

1. Menelaah semula hukum hakam berkenaan puasa

Amat penting untuk kita mengetahui hukum-hukum asas berkenaan puasa. Begitu juga dengan selok-belok tentang hukum-hukum tertentu bersifat semasa yang sering berlaku pada bulan Ramadan.

Apatah lagi, dalam musim kawalan daripada jangkitan Covid-19, pasti akan timbul isu-isu terbaharu yang sangat mustahak untuk diketahui. Bukan apa, tujuannya untuk memantapkan lagi kefahaman serta meluruskan kekeliruan yang seringkali ditimbulkan.

Persediaan Ramadan ketika PKP

BERTADARUS al-Quran bersama keluarga.

2. Melazimi amalan membaca al-Quran dan tadarus

Bulan Syaaban dikenali sebagai Syahr al-Qurra iaitu bulan membaca al-Quran, manakala bulan Ramadan pula merupakan Syahr Mudarasah al-Quran yang bermaksud bulan mempelajari al-Quran kerana peristiwa penurunan kalamullah itu berlaku dalam bulan Ramadan.

Selain berkesempatan memperbaiki mutu bacaan al-Quran dan mempelajari tafsirannya, ia merupakan amalan Rasulullah SAW dan salafus soleh yang telah menghidupkan dua bulan berkenaan (Syaaban dan Ramadan).

Persediaan Ramadan ketika PKP

LATIH diri dengan melakukan qiamullail sebelum masuknya Ramadan untuk mempersiapkan diri dalam ‘menghidupkan’ bulan Ramadan.

3. Melazimi amalan qiamullail

Amat baik untuk kita menjinakkan diri dengan amalan qiamullail sebagai latihan bagi mendirikan solat tarawih pada bulan Ramadan.

Dikurniakan ganjaran yang besar kepada mereka yang melaziminya, malah amalan berkenaan juga merupakan ibadah yang menghidupkan malan Ramadan.

Ia sebagaimana hadis hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya barang siapa yang mendirikan solat (solat tarawih) bersama-sama dengan imam sehingga selesai, maka ditulis oleh ALLAH baginya sebagai qiamullail.” (Sunan al-Tirmidzi)

Persediaan Ramadan ketika PKP

SEDEKAH merupakan salah satu amal kebajikan yang terpuji.

4. Amalan sedekah

Ketahuilah bahawa amalan bersedekah merupakan salah satu aspek penyucian rohani. Ia bukan sahaja meringankan beban seseorang khususnya golongan fakir dan miskin, tetapi juga merupakan antara faktor menghubungkan jaringan kasih sayang atau silaturahim. Malah, amalan ini juga menghapuskan dosa-dosa.

Sabda Rasulullah SAW: “Puasa itu merupakan perisai, sedekah itu menghapus segala kesalahan seumpama air memadamkan api dan seorang lelaki menunaikan solat di pertengahan malam.” (Sunan al-Tirmidzi)

Persediaan Ramadan ketika PKP

LAZIMI diri kita dengan berzikir dan mengingati ALLAH SWT.

5. Melazimi zikrullah dan solat sunat

Memang ada zikir-zikir tertentu yang disusun khas sebagai wirid yang elok dibaca pada waktu-waktu tertentu. Ia sama ada wirid selepas solat berjemaah atau ma’thurat yang dibaca selepas solat Subuh dan Asar.

Selain itu, terdapat juga solat-solat sunat yang harus dilakukan pada waktu siang seperti solat duha, tasbih dan rawatib (mengiringi waktu).

Jom sama-sama kita buat persediaan sebelum menyambut bulan Ramadan. Bila kita sudah mula berjinak-jinak dengan semua amalan ini, insya-ALLAH akan mudahlah kita amalkan ketika bulan Ramadan nanti.

Tidak kiralah di mana sahaja kita berada ketika ini, semoga Ramadan kali ini membawa sinar kepada kita di sebalik musibah wabak Covid-19. Teruskanlah bermunajat dan berdoa kepada ALLAH agar ujian penyakit itu ‘diangkat’ dari muka bumi ini.

(Sumber: Facebook Jabatan Mufti Negeri Perak)

Berita Semasa,

Takut dengan krisis Covid-19? Surah al-Rahman ‘kunci’ solusinya

SEJAK penghujung tahun lalu, bermacam kisah tentang wabak Covid-19 menyapa halwa telinga kita. Mula dikesan di Wuhan, China, satu persatu negara diancam dengan penularan penyakit berkenaan sehingga meragut ratusan ribu nyawa di seluruh dunia.

Kini, sudah empat bulan berlalu. Ternyata semua negara dan masyarakat begitu terkesan dengan krisis berkenaan.

Masakan tidak, ia memberikan impak yang bukan calang-calang ke atas kehidupan.

Lantaran itu, semua pemimpin dan masyarakat bertungkus lumus mencari solusi dari pelbagai aspek termasuk perubatan, pencegahan seperti Perintah Kawalan Pergerakan, kuarantin dan sebagainya.

Demikian antara ulasan Felo Kehormat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia di Institut Latihan Islam Malaysia, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan.

MOHD KAMAL

Ujar beliau, Covid-19 merupakan krisis yang kompleks dan berimpak multidimensional. Salah satu sudut penting adalah dimensi kerohanian dalam kehidupan manusia sebagai individu, masyarakat dan negara.

“Dimensi ini menyentuh secara khusus aspek hubungan keimanan dan akhlak manusia dengan al-Rahman yang mencipta seluruh alam ini, menjaga, menampung dan mengurusnya,” katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mohd Kamal yang juga Penasihat Kehormat Pusat Islamisasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, Surah al-Rahman merupakan solusi ketakutan kepada wabak Covid-19. Ia bukan sahaja dari aspek perubatan atau fizikal, tetapi juga sudut kerohanian dan akhlak dengan ALLAH SWT serta alam tabii secara umum.

Jelas beliau, Surah al-Rahman memberi peringatan tentang betapa melimpahnya manifestasi belas kasihan-NYA dengan tujuan mendidik, mendorong dan mengingatkan manusia dan jin supaya:

1. Menghiasi diri meliputi akhlak al-Rahman dalam hubungannya dengan ALLAH SWT dan alam, termasuk haiwan dan tumbuhan serta sesama manusia. Ia dalam konteks menjalankan tugas sebagai hamba ALLAH SWT dan khalifah yang diamanahkan;

2. Berpegang teguh dengan panduan dan ajaran al-Quran sebagai al-Furqan iaitu neraca yang membezakan antara baik dan buruk, benar dan palsu, maslahah dan mafsadah, sesuai dengan Maqasid al-Syariah dalam semua bidang kehidupan;

3. Bertindak menjaga neraca keadilan dan kebenaran (al-Mizan) yang ALLAH SWT wujudkan dalam alam ini;

4. Sentiasa bersyukur dan merendah diri kepada al-Rahman. Yang benar-benar kekal itu hanyalah ALLAH al-Rahman;

5. Hidup bermasyarakat dan membangunkan negara atas dasar berpegang teguh kepada Rukun Iman dan prinsip takwa kepada ALLAH SWT supaya mendapat kebahagiaan dan kemenangan yang hakiki dalam syurga ALLAH SWT; dan

6. Jauhi sifat ingkar, dusta, sombong dan kufur kepada ALLAH SWT yang menjadi ciri tamadun moden sekular. Sifat-sifat itu akan membawa manusia ke dalam kehidupan yang penuh dengan kehinaan, kesempitan dan penderitaan dahsyat ke dalam neraka jahanam.

Jelaslah betapa pentingnya hubungan kerohanian dan akhlak dengan ALLAH SWT. Surah al-Rahman yang mengandungi 78 ayat memberikan gambaran ringkas dan padat tentang sifat ALLAH SWT, iaitu al-Rahman. Untuk mengetahui lanjut, ikuti bahagian akhir pada minggu hadapan.

Penulis: Fouziah Amir