Browsing Tag

Cendekiawan Islam

Berita, Berita Semasa,

Peninggalan berharga Ibnu Katsir… Sampai sekarang warisan ilmunya masih menjadi rujukan dunia

SEBUT sahaja nama Imam Ibnu Katsir, ramai dalam kalangan kita sinonim dengan namanya. Masakan tidak, beliau begitu sinonim dengan Kitab Tafsir al-Quran al-Karim atau lebih dikenali sebagai Tafsir Ibnu Katsir. Naskhah agung itu begitu popular di setiap penjuru dunia termasuk di Malaysia.

Bukan sahaja ilmu tafsir, cendekiawan Islam yang sangat dihormati itu turut menguasai ilmu hadis, sejarah dan fiqh.

Menjejaki sisi peribadinya, Imam Ibnu Katsir atau nama lengkapnya Ismail ibn ’Amr ibn Kathir ibn Daw ibn Kathir dilahirkan di Busra, Syria pada tahun 702 Hijrah bersamaan 1301 Masihi.

Beliau menerima asuhan bapanya yang juga seorang ulama faqih sebentar sahaja. Pada usianya enam tahun, bapa beliau meninggal dunia. Dirinya kemudian dijaga oleh abangnya, Abdul Wahab di Damsyik.

Abdul Wahab telah mendidik Imam Ibnu Katsir sebagaimana didikan keluarga mereka yang taat beragama dan menjunjung nilai-nilai keilmuan. Bayangkan pada usia 11 tahun, tokoh hebat itu sudah menghafal al-Quran.

Kota Damsyik menjadi tempat pertama Imam Ibnu Katsir mendapat pendidikan. Guru pertamanya ialah Burhanuddin al-Fazari, seorang ulama Mazhab Syafie. Ulama terkenal yang pernah menjadi gurunya adalah seperti Ibnu Asyakir, Ibnu Syairazi dan Ibnu Taimiyah.

Nama Imam Ibnu Katsir mula menjadi sebutan apabila ilmuwan berkenaan terlibat dalam penelitian untuk menetapkan hukum terhadap seorang ahli bidaah pada zamannya.

Menjadi resam seorang cendekiawan akan mengembara. Demikian juga yang dilakukan oleh Ibnu Katsir. Beliau mengembara sehingga ke Mesir dan beberapa negara lain.

(Artikel berkaitan: Pengembara Islam tersohor, Ibnu Batutta keliling dunia hampir 30 tahun. Apa yang tokoh hebat ini cuba selami?)

Figura itu juga cukup bertuah apabila sempat mendengar secara langsung hadis-hadis daripada ulama Hejaz selain berjaya memperoleh ijazah daripada Al-Wani.

Kuasai pelbagai ilmu

Keintelektualan dan kepakaran yang dimiliki Imam Ibnu Katsir memberikan merit kepadanya untuk diangkat menjadi ketua di Dar al-Hadis al-Asyrafiah (Lembaga Pendidikan Hadis) pada tahun 1355.

Bukan itu sahaja, beliau juga menulis banyak kitab ilmu hadis. Antara karyanya yang terkenal termasuklah Kitab Jami al-Masahid wa as-Sunan sebanyak lapan jilid.

Ibnu Katsir

IBNU KATSIR telah
meninggalkan satu pustaka ilmu yang cukup bernilai kepada umat Islam. Meskipun beliau sudah pergi buat selama-lamanya
pada 1373 Masihi, Kitab Tafsir al-Quran al-Karim sentuhannya masih digunakan oleh generasi pada hari ini dan selama-lamanya.

Guru besar di Masjid Ummayah Damsyik itu dikatakan telah menggunakan metod tafsir yang paling benar iaitu tafsir al-Quran dengan al-Quran. Jika tidak ditemui dalam al-Quran, maka ia ditafsirkan dengan hadis Nabi Muhammad SAW.

Bahkan, ilmuwan itu juga sentiasa menjelaskan kedudukan hadis-hadis yang terdapat dalam tafsirannya sama ada sahih, hasan, da’if, gharib, munkar dan sebagainya. Itulah keistimewaan yang dimiliki oleh tafsir yang dinukilkan oleh Imam Ibnu Katsir.

Antara penulisan beliau yang begitu terkenal adalah Tafsir al-Quran al-Karim sebanyak 10 jilid. Berabad-abad lamanya kitab ini menjadi rujukan sehingga kini. Selain itu, antara karya monumentalnya yang terkenal termasuklah Kitab Fada’il al-Quran yang memerihalkan tentang ringkasan sejarah turunnya kalam ALLAH.

(Artikel berkaitan: Tak boleh tafsir al-Quran semberono, ini penjelasan lanjut untuk kita fahami dasar ilmu tafsir kalam ALLAH)

Hasil karyanya juga tidak terhad kepada dua bidang berkenaan, tetapi turut merangkumi ilmu sejarah dan fiqh.

Sesungguhnya, keintelektualan Imam Ibnu Katsir tidak boleh disangkal lagi. Malah, beberapa ulama besar turut mengakuinya.

Antaranya Muhammad Husain al-Zahabi dalam al-Tafsir wa al-Mufassirun menyatakan: “Ibnu Katsir telah menduduki posisi yang sangat tinggi dari sisi keilmuan dan para ulama menjadi saksi terhadap keluasan ilmunya, penguasaan teorinya khususnya dalam bidang tafsir, hadis dan sejarah.“

Ibnu Katsir

Ibnu Katsir meninggal dunia di Damsyik pada tahun 774 Hijrah bersamaan 1373 Masihi.

BAIT MUTIARA

“Barang siapa yang memiliki sifat berikut iaitu senantiasa beristighfar dan taubat, nescaya ALLAH akan lancarkan rezekinya, mudahkan urusannya dan jaga kekuatannya.” – Ibnu Katsir

PROFIL

Nama: Ismail ibn ’Amr ibn Kathir ibn Daw ibn Kathir

Gelaran: Imad al-Din Abu al-Fida’

Asal: Busra, Syria

Tahun kelahiran: 702 Hijrah (1301 Masihi)

Tahun kematian: 774 Hijrah (1373 Masihi)

Kepakaran: Ilmu tafsir, hadis, sejarah dan fiqh

Karya agung: Tafsir al-Quran al-Karim, Fada’il al-Quran, Jami al-Masahid wa as-Sunan dan Adillah at-Tanbih li Ulum al-Hadits

Sumber & Foto: kiasedu.hex.my, republika.co.id, pecihitam.org, gramho.com, bacalatansa.com & Freepik 

Berita, Berita Semasa,

Pengembara Islam tersohor, Ibnu Batutta keliling dunia hampir 30 tahun. Apa yang tokoh hebat ini cuba selami?

NAMA Ibnu Batutta tidak perlu diperkenalkan lagi. Beliau merupakan ilmuan Islam adab ke-14 yang tersohor seantero dunia meskipun sudah jasadnya tiada lagi di muka bumi ini.

Tokoh hebat itu tercatat sebagai penjelajah dan pengembara terkemuka, selain ‘pelancong’ paling berpengalaman.

Ibn Batutta atau nama lengkapnya Abu Abdullah Muhammad ibn Abdullah aI-Lawati al-Tanji Ibnu Batutta dilahirkan pada tahun 1304 Masihi di Tangier, Maghribi.

Beliau berketurunan barbar suku Lawita dan berasal daripada keluarga yang kebanyakannya merupakan hakim. Ahli keluarganya semuanya bergelar cendekiawan.

Pada usia 12 tahun, figura hebat itu telah menghafal al-Quran. Selain itu, beliau juga mendalami ilmu tafsir al-Quran, hadis, tatabahasa, ilmu hukum, teologi dan lain-lain sehinggalah pada 1325 Masihi, barulah Ibnu Batutta memulakan perjalanan dengan meneroka dunia luar.

Sesungguhnya, ilmuan itu begitu beruntung kerana dapat mengerjakan Rukun Islam ke-5 pada usia 21 tahun. Malah, ia merupakan perjalanan pertamanya di Makkah.

Meskipun tujuannya ke Tanah Suci itu adalah untuk menunaikan ibadah, tetapi Ibnu Batutta juga sempat berguru dengan beberapa orang sarjana terkenal di Mesir, Syria dan Hejaz (barat Arab). Pengajiannya membuatkan beliau layak bekerja di pejabat kehakiman.

120,000 kilometer perjalanan

Ibnu Batutta telah memulakan siri pengembaraannya selama 29 tahun. Ia bermula di Tanah Suci, kemudian mengembara mengelilingi dunia. Antaranya di Afrika Utara, Afrika Barat, Eropah Selatan, Eropah Timur, Timur Tengah, India, Asia Tengah, China, Asia Timur dan Asia Tenggara.

Malah, boleh dikatakan hampir seluruh dunia Islam dijejakinya. Ada riwayat masyhur menyatakan, Ibnu Batutta menjejaki sebanyak 44 buah negara menerusi tiga siri pengembaraan.

Ibnu Batutta

MANUSKRIP Ibnu Batutta yang menceritakan pengalaman sepanjang pengembaraan beliau dan menceritakan tentang dunia Islam.

Menurut seorang sejarawan Barat, George Sarton, perjalanan Ibnu Batutta itu dikatakan melebihi jarak perjalanan Marco Polo, seorang pengembara Barat terkemuka.

Difahamkan, Ibnu Batutta telah melakukan perjalanan darat dan laut melebihi 120,000 kilometer. Barangkali ada yang menganggap pencapaian itu biasa. Namun, jarak berkenaan merupakan pencapaian yang luar biasa dan tidak boleh ditandingi pada zaman berkenaan.

Menariknya, Ibnu Batutta berkelana bukan kerana alasan klise pengembara iaitu untuk berdagang, ziarah atau menuntut ilmu, sebaliknya, cendekiawan itu memilih untuk melakukan pengembaraan untuk diri sendiri yang memang meminati mempelajari tentang negara-negara dan orang-orang baharu. Mudah kata, beliau ingin meneroka keindahan bumi ciptaan ALLAH SWT.

Setelah berpuluh tahun menghabiskan usianya untuk mengembara, Ibnu Batutta kemudian kembali ke Maghribi. Beliau menjadi hakim di negaranya sendiri. Ketika itulah, beliau membukukan segala perjalanannya hampir tiga dekad itu sambil dibantu oleh jurutulis Sultan Maghribi ketika itu, Ibnu Juza.

Nukilannya yang terkenal ialah Nuzzhar fi Ghara’ib al-Amshar wa ‘Aja’ib al-Asfar. Satu lagi karangan beliau yang masyhur ialah Rihlah Ibnu Battuta yang diterjemahkan ke dalam banyak bahasa termasuk bahasa Melayu yang berjudul Pengembaraan Ibn Batuttah: Pengembara agung, karya terulung, menyingkap wajah dunia.

Jauh perjalanan, luas pemandangan. Ya, demikianlah yang dilalui oleh Ibnu Batutta. Tidak boleh dinafikan, siri pengembaraannya itu memberi sumbangan signifikan dalam ilmu geografi, sejarah, ilmu sosiologi dan antropologi dan ekonomi.

Beliau meninggalkan dunia buat selama-lamanya pada 1368 Masihi di bumi kelahirannya, kota Tangier.

PFOFIL

Ibnu Batutta

ILUSTRASI wajah Ibnu Batutta yang terkenal sebagai ‘pelancong’ paling berpengalaman.

Nama: Abu Abdullah Muhammad ibn Abdullah aI-Lawati al-Tanji Ibnu Batutta

Gelaran: Ibnu Batutta

Asal: Tangier, Maghribi

Tahun kelahiran: 1304 Masihi

Tahun kematian: 1368 Masihi

Kepakaran: Pengkaji undang-undang, hakim, tokoh pengembara

Karya agung: Nuzzhar fi Ghara’ib al-Amshar wa ‘Aja’ib al-Asfar dan Rihlah Ibnu Batutta

BAIT MUTIARA

“Pengembaraan – ia memberikan anda rumah di ribuan tempat yang aneh, lalu membuatkan anda menjadi orang asing di tanah anda sendiri.” -Ibnu Batutta

Berita, Berita Semasa,

Al-Biruni ilmuan genius bidang astronomi, namanya turut diabadikan pada kawah bulan

SIAPA yang tidak mengenali ilmuan Islam hebat bernama Al-Biruni. Seantero dunia mengenalinya sebagai ‘watak’ paling signifikan dalam lipatan sejarah dalam dunia astronomi.

Meskipun jasadnya sudah tiada lagi di dunia, namun namanya diabadikan pada salah satu kawah di bulan oleh Kesatuan Astronomi Antarabangsa pada tahun 1970.

Al-Biruni atau nama penuhnya Abu Ar-Raihan Muhammad bin Ahmad Al-Khawarizmi Al-Biruni dilahirkan pada tahun 973 Masihi di Kath (kini dikenali sebagai Kiva) di Khwarizm, Uzbekistan.

Menjejaki salasilahnya, sebenarnya tidak banyak yang diperoleh meskipun namanya sangat gah diperkatakan.

Menerusi satu biografi yang diterbitkan, Al-Biruni sendiri mengakui bahawa beliau tidak begitu mengenali bapanya dan hanya sedikit pengetahuan tentang datuknya.

Namun begitu, apa yang pasti, beliau dibesarkan dalam keluarga yang taat beragama. Adat seorang ilmuan, Al-Biruni memang suka membaca dan menulis sejak kecil lagi.

Semasa usianya muda lagi, figura berkenaan sudah menimba ilmu matematik dan astronomi daripada Abu Nasir Mansur.

Maka, tidak hairanlah apabila memasuki usia 17 tahun, Al-Biruni sudah mampu menghitung garis lintang Kath Khwarizmi dengan menggunakan ketinggian matahari.

Kehebatannya itu turut diperakui oleh sarjana Barat, John J O’Connor dan Edmund F Robertson dalam MacTutor History of Mathematics.

Memetik kata-kata mereka: “Penglibatan penting dalam bidang geodesi dan geografi telah disumbangkan oleh Al-Biruni. Dia telah memperkenalkan teknik mengukur bumi dan jaraknya menggunakan triangulasi.”

Al-Biruni

ANTARA hasil penemuan Al-Biruni yang menyerlahkan sisi intelektual beliau sebagai ahli astronomi yang disegani.

Kembara ke India

Menginjak usia 20 tahun, Al-Biruni berjaya mengarang beberapa kitab dalam bidang sains. Beliau juga kerap bertukar pendapat dan pengalaman dengan ilmuan besar Muslim yang tersohor, Ibnu Sina dan beberapa tokoh lain yang begitu berpengaruh di Eropah.

(Artikel berkaitan: Kenali Ibnu Al-Syatir, ilmuan hebat cipta peralatan astronomi)

Menjadi resam seorang ilmuan untuk berkelana. Al-Biruni dikatakan memilih negara India untuk kembaranya. Sepanjang 13 tahun berada di sana, tokoh hebat itu banyak mengkaji selok-belok India sehinggakan mampu menghasilkan beberapa buah buku yang mempunyai hubungan dengan masyarakat India dan kebudayaan mereka.

Hasil pembacaan Sinar Islam, Al-Biruni banyak menghasilkan karya-karya hebat yang kebanyakan dalam bidang astronomi. Antaranya ialah kitab al-Qanun al-Mas’udi (1031 Masihi). Kitab itu berbentuk ensiklopedia yang mengandungi segala penemuan astronomi pada ketika itu dengan begitu terperinci.

Salah satu penemuannya yang popular adalah astrolobe iaitu salah satu instrumen untuk mengetahui kedudukan sesebuah planet. Beliau juga diperakui sebagai ahli astronomi yang menyatakan bumi berputar paksinya dan mempunyai graviti.

Meskipun namanya begitu agung dalam bidang astronomi, tetapi beliau juga menguasai beberapa cabang ilmu. Ia termasuklah bidang fizik, matematik, antropologi, kartografi, geografi, kedoktoran dan mineralogi.

Beliau juga begitu terkenal dengan peranannya yang memperkenalkan banyak kaedah saintifik dalam setiap bidang yang dipelajarinya.

Umpamanya, beliau bersama Ibnu Al-Haitham antara ilmuan pertama yang mengkaji dan mempelajari ilmu optik.

Selain itu, Al-Biruni juga merupakan ahli antropologi pertama di dunia dan menulis secara terperinci berkaitan kajian kompetitif antropologi manusia, agama dan budaya di Timur Tengah, Mediterranean serta Asia Selatan.

Al-Biruni

AL-BIRUNI terkenal dengan peranannya yang memperkenalkan banyak kaedah saintifik dalam setiap bidang yang dipelajarinya.

Ilmuan itu menghadap Ilahi pada usia 75 tahun di kota Ghazna, Afghanistan pada tahun 1048 Masihi.

PROFIL

Nama: Abu Ar-Raihan Muhammad bin Ahmad Al-Khawarizmi Al-Biruni

Gelaran: Al-Biruni

Asal: Kath (Kiva) di Khwarizm (Uzbekistan)

Tahun kelahiran: 973 Masihi

Tahun kematian: 1048 Masihi

Kepakaran: Bidang astronomi, bidang fizik, matematik, antropologi, kartografi, geografi, kedoktoran dan mineralogi.

Karya agung: al-Qanun al-Mas’udi, al-Jawahir, Fi Tahqiq ma Li’l-Hid.

Sumbangan:

1. Menjadi orang pertama kali mewujudkan teori pergerakan titik matahari yang terjauh dari bumi.

2. Mengarang buku-buku yang menjadi rujukan ahli-ahli astronomi sedunia.

3. Memberi sumbangan sognifikan bagi pengembangan matematik khususnya bidang teori dan praktik aritmatik, teori nisbah dan geometri.

4. Menentukan musim dan pasang surut air laut, kedudukan garis lintang dan garis bujur bumi serta mencipta kalendar dan jam.

Sumber & Foto: wattpadd.com, republika.co.id, muftimelaka.gov.mu & 4tokohilmuanmuslim.blogspot.com

Berita, Berita Semasa,

Al-Razi Bapa Perubatan Islam yang sangat pemurah

NAMA Al-Razi begitu gah dalam bidang perubatan. Beliau antara tokoh Islam penting yang menjadi rujukan ramai dalam bidang itu sejak abad ke-8 lagi.

Terlebih dahulu, perlu diketahui bahawa Al-Razi hanyalah nama panggilannya sahaja. Nama sebenarnya ialah Abu Bakr Muhammad Ibnu Zakariyya Al-Razi. Di Barat beliau dikenali sebagai Razhes.

Menelusuri salasilahnya, ilmuan itu lahir pada tahun 251 Hijrah bersamaan 865 Masihi di Ray, utara Iran. Tidak banyak yang diketahui tentang dirinya ketika masih kecil.

Namun hasil pembacaan Sinar Islam, Al-Razi mempunyai keistimewaan tersendiri apabila pandai menyanyi dan bersyair. Beliau banyak menghabiskan masanya dalam bidang muzik ketika usia remaja.

Menginjak dewasa, minat Al-Razi terhadap muzik semakin pudar. Baginya, lebih baik melakukan perkara yang berfaedah dan tidak membazirkan masa.

Sikapnya yang sememangnya rajin membaca dan menulis membuatkan dirinya cemerlang dalam pelbagai ilmu pengetahuan seperti kimia, falsafah, logik, matematik, kedoktoran dan fizik.

Al-Razi

AL-RAZI banyak menghabiskan usianya dengan mendalami ilmu perubatan dan membantu orang.

Menjadi resam seorang ilmuan tidak sekadar menuntut ilmu semata-mata. Al-Razi juga telah telah mengembara, antaranya ke kota Baghdad, Iraq.

Ketika berkelana, usianya sudah memasuki 30 tahun. Namun, ia tidak mematahkan semangatnya untuk mendalami ilmu terutama dalam bidang perubatan.

Hasilnya, beliau mendapat gelaran sebagai Gale iaitu pakar pembedahan Yunan dan telah diiktiraf sebagai ahli perubatan kelas pertama.

Memasuki usia 40 tahun, kepopularannya menjadikan beliau seorang doktor merangkap saintis yang terkemuka sehinggakan Sultan Harun Al-Rasyid melantiknya menjadi sebahagian orang penting dalam pembangunan hospital Bimaristan Al-Abadi di Baghdad.

Untuk pengetahuan pembaca Sinar Islam, Ibnu Sina adalah anak didik Al-Razi.

(Artikel berkaitan: Kenali Imam al-Ghazali, ulama ulung yang memberi inspirasi)

Buta terkena asid sulfurik

Jika disingkap satu persatu, sumbangan figura itu terlalu banyak. Pun demikian, paling signifikan dan diingati adalah penggunaan ilmu kimia dalam perubatan.

Masakan tidak, Al-Razi merupakan orang pertama yang mengaplikasikan konsep berkenaan. Satu lagi sumbangannya yang tidak kurang penting adalah penemuan penyakit cacar selain mengkaji perbezaan antara penyakit cacar dan campak.

Beliau bukan bercakap melalui hujah semata-mata, tetapi dibuktikan menerusi penyelidikan empirikal.

Selain itu, Al-Razi juga menjadi individu pertama yang mengumumkan penggunaan alkohol untuk tujuan perubatan. Keintelektualannya itu dianggap sebagai paling inovatif dalam kalangan semua pakar perubatan Islam.

Maka tidak hairanlah beliau mendapat jolokan Bapa Perubatan Islam. Menarik lagi tentang Al-Razi, segala ilmu yang ada padanya dibukukan. Terdapat kira-kira 237 karya telah dihasilkan oleh beliau dalam pelbagai bidang seperti bidang muzik, politik, logik, ketuhanan, kimia, psikologi, sains, geografi, perubatan, pembedahan dan rawatan mata.

Kitab Al-Hawi merupakan karya perubatan Al-Razi yang begitu terkenal. Apa tidaknya, ia menjadi bahan rujukan terbesar terutama di Perpustakaan Fakulti Perubatan Paris di Perancis pada 1395 Masihi dan di Eropah selama beberapa abad lamanya.

Dirinya juga begitu masyhur sebagai pengasas kimia moden yang menyamai konsep kimia pada masa ini. Obsesnya beliau pada bidang itu sehingga ilmuan Islam itu dikatakan menjadi buta akibat terkena asid sulfurik ciptaannya sendiri.

Seperkara, beliau juga seorang pemurah terutamanya kepada fakir miskin. Bayangkan, mereka diberi rawatan percuma atau bayaran yang paling minimum ke atas pesakit yang datang mendapatkan khidmatnya.

PROFIL

Al-Razi

ILUSTRASI lakaran gambar Al-Razi.

Nama: Abu Bakr Muhammad Ibnu Zakariyya Al-Razi

Gelaran: Al-Razi, Razhes dan Bapa Perubatan Islam

Asal: Ray, Iran

Tahun kelahiran: 865 Masihi

Tahun kematian: 925 Masihi

Kepakaran: Ahli kimia, doktor, saintis perubatan dan beberapa bidang lain seperti falsafah

Sumbangan: Pengasas kimia moden, saintis pertama guna alkohol dan dadah dalam perubatan, individu pertama menemui penyakit cacar dan lain-lain

Karya agung: Al-Hawi (perubatan), al-Judari wal Hasbah (risalah kimia klinik kedoktoran), Sir al-Asrar (buku mengenai rahsia)

Sumber & Foto: Sumber Buku Meneroka Kegemilangan Saintis Islam (Dr Yazid Abdul Manap) terbitan Karya Bestari; journals.iium.edu.my, https://www.researchgate.net; republika.co.id, https://www.crystalinks.com; https://www.sciencephoto.com dan https://en.wikiquote.org/

Berita, Berita Semasa,

Kenali Al-Kindi, ilmuan Islam yang menguasai ilmu dalam banyak bidang

NAMA Al-Kindi menjadi bualan ramai sekitar abad kesembilan. Ilmuwan tersohor itu diiktiraf sebagai ahli falsafah Arab dan Islam pertama.

Bukan itu sahaja, pada masa sama, beliau juga mahir dalam bidang fizik, psikologi, etika, geometri, optik, metafizik, kimia, tatabahasa, sajak, ilmu kedoktoran, seni, astronomi, kaedah logik dan beberapa cabang ilmu lagi. Justeru, selayaknya beliau diberi jolokan bapa pelopor pelbagai ilmu pengetahuan.

Menyoroti salasilah peribadinya, Al-Kindi atau nama sebenarnya, Abu Yusuf Yaqub Ibn Ishaq Al-Kindi dilahirkan pada 801 Masihi di Kufa, Iraq. Di Barat, beliau dikenali sebagai Al-Kindus.

Al-Kindi berasal daripada keluarga terhormat. Bapanya Gabenor Kufa, begitu juga dengan datuknya. Mereka sekeluarga merupakan keturunan suku kaum al-Kinda yang telah berpindah dari Yemen. Puak berkenaan begitu masyhur dengan tindakan mereka menyatukan sebilangan suku-suku kaum dan berkuasa pada abad kelima dan keenam.

Tidak banyak yang diketahui tentang kehidupan masa kecil Al-Kindi. Cuma dari segi pendidikan, beliau bermula di Kufa dan Basrah dan akhirnya di Baghdad, Iraq.

Beliau terkenal selepas dilantik berkhidmat di Baitul Hikmah di Baghdad oleh Khalifah al-Ma‘mun. Baitul Hikmah merupakan pusat penterjemahan teks falsafah dan saintifik orang Yunani.

Atas dasar kepercayaan dan kredibilitinya, empat pemerintah yang bersilih ganti iaitu Al-Ma’mun (813-833 Masihi), Al-Mu’tasim (833-842 Masihi), Al-Wasiq (842-847 Masihi) dan Mutawakil (847-861 Masihi) mengekalkan jawatan Al-Kindi.

Selain itu, ilmu perubatan yang dikuasainya membuatkan beliau diangkat menjadi guru dan tabib kerajaan.

Ketika pemerintahan Al-Mu’tasim, beliau dilantik sebagai guru kepada putera Al-Mu‘tasim.

Sarjana dari Itali pada zaman Renaissance, Geralomo Cardano (1501-1575) menyatakan bahawa Al-Kindi merupakan 12 pemikir terhebat pada zaman pertengahan. Di mata sejarawan Ibn Al-Nadim pula, Al-Kindi disifatkan sebagai orang terbaik pada zamannya.

Al-Kindi

AL-KINDI menguasai pelbagai cabang ilmu antaranya falsafah, fizik, matematik dan banyak lagi hingga mendapat jolokan bapa pelopor pelbagai ilmu pengetahuan.

Karya

Daripada pelbagai ilmu yang dimilikinya, ada tiga warisan intelektual Al-Kindi yang begitu popular dan sering kali menjadi rujukan ramai di dunia.

Pertama adalah bidang falsafah. Seperti yang disebut, Al-Kindi diiktiraf sebagai seorang ahli falsafah Arab dan ahli falsafah Muslim pertama. Beliau menyampaikan falsafah Yunani kepada umat Islam setelah mengislamkan pemikiran asing ini.

Beliau juga berjasa menterjemahkan banyak teks penting sejak penubuhan Baitul Hikmah. Malah, sebilangan besar perbendaharaan kata falsafah Arab standard berasal daripada al-Kindi.

Kedua, berkaitan dengan ilmu psikologi. Beliaulah yang membahagikan kekuatan mental menjadi tiga iaitu selera makan, tidak terganggu dan kognitif atau rasional.

Dalam bidang matematik pula, Al-Kindi memainkan peranan penting memperkenalkan angka India kepada dunia Muslim dan Kristian.

Beliau merupakan pelopor dalam kriptanalisis (ilmu berkaitan memecahkan kod).

Banyak teori matematik yang dihasilkan beliau termasuk aritmetik, geometri, angka India, pendaraban dengan nombor, nombor relatif dan lain-lain.

Beliau juga menulis empat jilid buku mengenai penggunaan nombor India yang bertajuk On the Use of the Indian Numerals (Ketab fi Isti‘mal al-‘Adad al-Hindi).

Karya itu memberi sumbangan besar kepada penyebaran sistem penomboran India di Asia Barat dan Barat.

Sepanjang hayatnya, Al-Kindi telah melahirkan kira-kira 260 karya hebat. Pun begitu, ada beberapa risalah pendek yang dihasilkannya tidak ditemui.

Ilmuwan Islam itu telah pun meninggalkan dunia buat selama-lama, namun warisan ilmunya tetap gah untuk dunia Islam khususnya.

PROFIL

Nama penuh: Abu Yusuf Yaqub Ibn Ishaq Al-Kindi

Gelaran: Al-Kindi dan Al-Kindus

Asal: Kufa, Iraq

Tahun kelahiran: 801 Masihi

Tahun kematian: 873 Masihi

Kepakaran: Falsafah, kimia, fizik, tatabahasa, sajak, ilmu kedoktoran, seni dan banyak lagi.

Karya agung:

Fi al-Falsafa al-Ula (Falsafah Pertama), Fi Wahdaniya Allah wa Tunahiy Jirm al-Alam (Kesatuan Tuhan dan Terbatasnya Dunia) dan Fi Kammiya Kutub Aristutalis wa Ma Yahtaj Ilahi fi Tahsil al-Falsafa (Kuantiti Buku Aristotles Yang Diperlukan Untuk Memperoleh Falsafah).

Berita Semasa,

Kenali Imam al-Ghazali, ulama ulung yang memberi inspirasi

MENYELAK kembali lembaran sejarah Islam, nama Imam al-Ghazali memang tidak asing lagi. Tokoh yang masyhur dengan ketinggian ilmunya. Namanya juga meniti di bibir ramai orang di seluruh dunia dengan panggilan Algazel oleh orang Barat.

Masakan tidak, tokoh ulama itu terkenal dengan bait-bait nasihat beliau yang tidak ternilai harganya. Malah, ia tersemat kemas dalam ingatan dan sentiasa menjadi rujukan hingga ke generasi pada hari ini.

Sekiranya riwayat hidupnya diperhalusi satu per satu, sesiapa pun akan menginsafi keupayaan, kesungguhan dan kecekalan Imam al-Ghazali dalam memperjuangkan agama dan ilmu. Tidak hairanlah mengapa beliau mendapat jolokan Hujjatul Islam kerana taraf keilmuannya yang tinggi.

Pemilik nama sebenar Abu Hamid Muhammad al-Ghazali itu lahir di bandar Tusi, Khurasan (Iran) pada 450 Hijrah bersamaan 1058 Masihi.

Bapanya merupakan seorang pemintal bulu kambing (al-Ghazzal). Walaupun kehidupan mereka diselubungi kemiskinan, didikan keluarga membuatkan Imam al-Ghazali suka mempelajari ilmu agama dan mendampingi para sufi.

Selepas kematian bapanya ketika usianya masih kecil, tokoh itu dan seorang lagi saudaranya bernama Ahmad menuntut ilmu dengan sahabat bapanya. Arwah bapanya sempat menyerahkan sedikit wang saraan dan mewasiatkan urusan pembelajaran kedua-dua anak itu  kepada sahabatnya yang juga guru dan ahli tasawuf.

Selepas kehabisan wang peninggalan arwah bapa, Imam al-Ghazali berhijrah ke Tusi dan belajar di sebuah sekolah yang dibangunkan oleh perdana menteri Nizam.

Beliau kemudian berguru dengan Abu Nasr Al Ismaili dan mempelajari tasawuf daripada Yusuf Annasaj, seorang sufi terkenal serta ramai guru lain.

Kecintaannya kepada ilmu membuatkan tokoh Islam itu menguasai pelbagai cabang ilmu pengetahuan. Bukan sahaja faqih dalam ilmu agama seperti fiqah, malah beliau menguasai ilmu kalam atau ilmu falsafah seperti mantik, jidal, hikmah dan lain-lain.

Diriwayatkan, Imam al-Ghazali juga mengetahui pelbagai mazhab dan pendapat masing-masing. Keintelektualannya dikatakan telah berupaya untuk mengimbangi keilmuan gurunya. Kurniaan itu tidak disia-siakan begitu sahaja apabila beliau mengarang pelbagai jilid buku dan bidang.

Secara keseluruhannya, terdapat 62 karya yang telah dihasilkan oleh cendekiawan ulung itu. Antara karyanya yang terkenal termasuklah Ihya Ulumuddin, al-Munziq Min ad-Dal, Mizanul-aman dan Tahafut al-Falasifah.

Kitab Ihya Ulumuddin yang merangkumi topik berkaitan ibadah, akhlak dan metodologi disebut antara yang paling masyhur. Ia dianggap sebagai karya utama Imam al-Ghazali sebagai pengenalan seorang yang beriman kepada Tuhan.

Kitab berkenaan turut diterjemahkan oleh al-Sheikh Abdul Samad Palembang dalam kitabnya, Siyar as-Salikin.

Imam al-Ghazali

IMAM AL-GHAZALI terkenal dengan ketinggian ilmunya dan sehingga hari ini, buku-buku karangannya menjadi rujukan ramai.

Kaji hadis Rasulullah

Sifat kepimpinan dan kepintaran Imam al-Ghazali telah menarik minat Nizam al-Mulk, wazir Kesultanan Seljuk untuk melantiknya sebagai pengetua di Madrasah al-Nizamiyyah di Baghdad.

Ketokohannya juga membuatkan figura itu diberi kepercayaan penuh menjadi ulama yang disegani di ibu kota kerajaan. Ketika itu, usianya baru sahaja 33 tahun.

Kemasyhuran beliau sebagai orang alim, guru serta pemidato yang petah berucap tersebar dengan cepat. Kuliahnya semakin menarik perhatian ramai.

Begitupun, Imam al-Ghazali tidak berpeluang mengajar dalam tempoh yang lama. Beliau menghadapi krisis spiritual sehingga membuatkan tokoh itu tidak berupaya mengajar dalam tempoh beberapa ketika.

Sekitar 1095 Masihi, Imam al-Ghazali tekad meninggalkan kariernya. Bahkan, ilmuan genius itu juga meninggalkan Baghdad dengan alasan untuk menunaikan haji di Makkah.

Bayangkan, tokoh hebat itu sanggup membuang segala kekayaan dan kariernya yang hebat. Sebahagian hartanya diwakafkan dan sebahagian lagi dijadikan bekal untuk berkelana di Damsyik dan Jerusalem serta melawat Makkah.

Beliau juga terkenal sebagai ulama utama dalam sejarah pemikiran Islam. Al-Ghazali telah mengkaji pemikiran dan falsafah Yunani. Pada masa sama, tokoh itu mengkritik hinggakan pengaruh Yunani dalam alam pemikiran Islam menjadi lemah.

Bukan itu sahaja, al-Ghazali juga berjaya menghidupkan semula fahaman Islam dan meninggalkan taklid yang membuta tuli kepada punca petunjuk yang betul iaitu kitab ALLAH dan sunah Rasulullah SAW.

Ketika akhir hayatnya, beliau banyak menumpukan kepada usaha mengkaji hadis-hadis Rasulullah SAW yang sahih dengan cara sistematik. Namun, usaha murninya itu tidak sempat dihabiskan kajiannya.

Ilmuan hebat itu telah terlebih dahulu menemui Pencipta-NYA. Beliau meninggal dunia di bandar Tusi pada hari Isnin, 14 Jamadilakhir tahun 505 Hijrah bersamaan 19 Disember 1111 Masihi.

PROFIL

Nama: Abu Hamid Muhammad al-Ghazali

Gelaran: Imam al-Ghazali dan Algazel

Asal: Bandar Tusi, Khurasan (Iran)

Tahun kelahiran: 450 Hijrah (1058 Masihi)

Tahun kematian: 505 Hijrah (1111 Masihi)

Kepakaran: Fiqah, ilmu kalam atau ilmu falsafah seperti mantik, jidal, hikmah dan lain-lain.

Karya agung: Ihya Ulumuddin, al-Munziq Min ad-Dal, Mizanul-aman dan Tahafut al-Falasifah.

Sumbangan: Ulama terkenal dalam sejarah pemikiran Islam, menghidupkan fahaman Islam dan meninggalkan taklid yang membuta-tuli untuk kembali kepada al-Quran dan sunah.

Sumber dan Foto: maktabah-ibn-badawi.com, republika.co.id, sabah.edu.my, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, tawaduk.com & Wikipedia

Berita Semasa,

Gara-gara cemburu, ilmuan hebat Islam, Ibnu Rusyd dipinggirkan. Kecemburuan itu kerana kehebatan dan sumbangan perdananya dalam banyak bidang

ISLAM sememangnya mempunyai ramai cendekiawan hebat yang telah banyak menyumbang keringat, jasa dan buah fikiran untuk kesenangan kita pada hari ini.

Salah seorang tokoh hebat Islam yang tercatat dalam lembaran sejarah ialah Ibnu Rusyd. Namanya gah sekitar abad ke-12.

Menjadi resam seorang ilmuan tidak hanya faqih dalam satu bidang sahaja. Tokoh hebat itu juga bukan calang-calang ilmunya. Beliau menguasai pelbagai disiplin ilmu dan terkenal sebagai ahli falsafah, perubatan, matematik, teologi, ahli fiqah Mazhab Maliki, astronomi, geografi dan sains.

Menjejaki sisi peribadinya, pemilik nama lengkap Abu Walid Muhammad Ibnu Ahmad merupakan anak kelahiran kota Cordoba di Andalusia (kini dikenali sebagai Sepanyol) pada 1126 Masihi. Kelahirannya dianggap sebagai ahli falsafah paling agung yang pernah dilahirkan dalam sejarah Islam.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, pengaruh Ibnu Rusyd bukan biasa-biasa. Bukan sahaja dalam dunia Islam, tetapi darjah ‘populariti’ Ibnu Rusyd boleh diukur apabila beliau mempunyai gelaran tersendiri dalam kalangan orang Barat apabila diberi nama Averroes.

Betapa hebatnya seorang Ibnu Rusyd apabila hasil karyanya telah mempengaruhi dan menjadi tulang belakang buat negara Eropah yang mahu keluar dari ‘zaman gelap’ mereka.

Penulisan legenda Islam itu turut berjaya membuka mata dan memberikan idea kepada dua ahli falsafah Barat iaitu Voltaire dan Rousseau. Voltaire dan Rousseau dikatakan telah menggunakan konsep pemikiran dan gagasan fikrah Ibnu Rusyd yang akhirnya berjaya mencetuskan era Renaissance yang berjaya mengubah landskap Eropah seperti yang kita dapat lihat pada hari ini.

Pemikiran

Sesungguhnya, Ibnu Rusyd begitu beruntung kerana dilahirkan dalam keluarga yang mementingkan ilmu. Bapanya dan datuknya merupakan hakim di Cordoba.

Ibnu Rusyd

KEHEBATAN Ibnu Rusyd dalam pelbagai cabang ilmu bukan calang-calang sehingga membibitkan perasaan cemburu orang terhadap dirinya.

Sejak kecil, beliau sudah didedahkan ilmu-ilmu agama oleh bapanya. Beliau juga berguru dengan ramai ilmuan antaranya Abu al-Qasim, Abu Marwan Ibn Massarat, Abu Abdullah Marzi, Hafidz Abu Muhammad Ibn Rizqi, Ibnu Zuhr dan ramai lagi.

Figura hebat itu juga merupakan pengikut aliran Fiqh Maliki yang merupakan mazhab fiqah negara kelahirannya ketika itu. Beliau juga mempelajari dan menghafaz karya agung Imam Malik iaitu al-Muwattak.

Tidak terhenti di situ, beliau turut mendalami bidang pengetahuan seperti al-Quran, kesusasteraan Arab al-Mutanabbi dan ilmu kalam.

Menyoroti kesan peninggalannya yang berharga, figura Islam sebenarnya telah memberi banyak sumbangan ke dalam falsafah Aristotle, ilmu perubatan dan pandangan Islam mengenainya. Beliau antara lain telah menulis terjemahan hasil karya Aristotle yang telah dilupai oleh Barat.

Sepanjang hayatnya, beliau telah menukilkan puluhan buah kitab. Kebanyakan karyanya tentang falsafah dan perubatan telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan Hebrew.

Kitab Kulliyat fi al-Tibb antara yang menjadi tumpuan. Ia mengandungi 16 jilid yang menghuraikan pelbagai aspek perubatan termasuklah diagnosis, rawatan dan pencegahan penyakit.

Pandangan Ibnu Rusyd telah mendahului zamannya apabila tokoh itu menyatakan bahawa demam campak hanya akan dialami oleh setiap orang sekali seumur hidup. Ternyata, firasat itu benar belaka.

Kecerdikannya itu juga membuatkan tiada siapa yang mempertikaikan apabila dirinya dilantik sebagai hakim di Sevilla pada 1169 Masihi iaitu ketika era pemerintahan Khalifah Abu Yaqub Yusuf, pada zaman Khalifah Muwahhidun. Beliau juga dilantik jawatan yang sama di Cordoba.

Sekitar 1182 Masihi, Ibnu Rusyd menjadi doktor istana menggantikan Ibnu Tufail, salah seorang cendekiawan ulung Islam.

Namun begitu, khidmatnya untuk menabur bakti lebih lama terpaksa berkubur begitu sahaja. Gara-gara desakan dan tekanan pihak tertentu, beliau dibuang ke Lucena, Cordoba pada 1195 Masihi. Semuanya disebabkan akibat perasaan cemburu orang terhadap kehebatannya.

Malah beberapa riwayat yang masyhur menyebut, beberapa karyanya turut dibakar gara-gara fitnah yang dilontarkan kepadanya.

Pun demikian, dua tahun kemudian, khalifah menarik balik hukuman yang dikenakan ke atas Ibnu Rusyd. Ilmuan yang berhati waja itu meninggal dunia pada 1198 Masihi ketika usianya 72 tahun di Marrakesh, Maghribi.

Sesungguhnya, mendasari hikayat hidup Ibnu Rusyd begitu menginsafkan. Kecintaannya kepada ilmu melebihi daripada dirinya dan hal itu semakin sukar dicari dalam kalangan kita pada hari ini.

PROFIL

Nama penuh: Abu Walid Muhammad Ibnu Ahmad

Gelaran: Ibnu Rusyd dan Averroes

Asal: Cordoba, Andalusia (kini dikenali Sepanyol)

Tahun kelahiran: 1128 Masihi

Tahun kematian: 1198 Masihi

Kepakaran: Ahli falsafah, perubatan, matematik, teologi, ahli fikah Mazhab Maliki, astronomi, geografi dan sains

Karya agung: Bidayat al-Mujtahid (kitab fiqah), Kuliyyah fi al-Tibb (perubatan), pengulas agung falsafah Aristotle, Fasl al-Maqal, Tafahut al-Tafahut dan Kitab fi Harakat al-Falak (pergerakan astronomi)

EKSTRA tentang Ibnu Rusyd

– Ibnu Rusyd diyakini sebagai seorang pemikir dan saintis teragung pada kurun ke-12. Menurut Philip Hitti, Ibnu Rusyd mempengaruhi pemikiran Barat dari kurun ke-12 hingga ke-16.

– Figura hebat itu mengulas bahawa Islam menyasarkan pengetahuan yang benar iaitu pengetahuan mengenai Tuhan dan ciptaan-NYA. Ia melibatkan perkara untuk mengetahui pelbagai cara yang membawa kepada kepuasan duniawi dan menghindari kesengsaraan di alam akhirat.

– Beliau membandingkan undang-undang rohani dengan perubatan dalam kesan kedua-duanya ke atas manusia secara fizikal, moral dan rohani. Ilmuan hebat itu menyatakan, kesihatan rohani diistilahkan sebagai takwa dalam al-Quran.

– Dalam bidang astronomi, Ibnu Rusyd merupakan individu yang berjaya menentukan titik suria.

– Tokoh itu juga dikatakan sebagai sosok ilmuan Muslim terakhir yang berjuang menekankan betapa pentingnya penggunaan logik dan kaedah saintifik.

Sumber & Foto: kompasiana.com, idntimes.com, thepatriots.com, academia.edu, Pinterest, republika.co.id, reserachgate.net dan https://ordinaryphilosophy.com/

Berita Semasa,

Kenali Ibn Qayyim Al-Jawziyyah, ulama yang mendapat jolokan sufi agung

SEBAGAI seorang Muslim, kita sepatutnya berbangga kerana ada ramai cendekiawan Islam yang menyumbang kepada kemajuan dan apa yang kita kecapi pada hari ini.

Barangkali segelintir orang lebih mengenali sarjana Barat berbanding ilmuan Islam. Namun, sumbangan sarjana Muslim ini tidak boleh dipinggirkan begitu saja. Siapa lagi yang akan mengenali tokoh Islam ini kalau bukan kita sendiri?

Kali ini, penulis ingin mengajak semua menelusuri sekitar abad ke-14. Ketika itu, lahir lagi seorang tokoh ilmuan yang hebat. Namanya ialah Ibn Qayyim Al-Jawziyyah.

Tidak keterlaluan jika dikatakan kelahiran beliau membawa 1,001 rahmat kepada seluruh dunia. Apa tidaknya, Ibn Qayyim Al-Jawziyyah digambarkan sebagai seorang ulama terbesar dalam bidang tafsir, hadis, fiqh (hukum Islam) dan usuluddin (teologi).

Menjejaki sisi peribadinya, rupa-rupanya nama Ibn Qayyim Al-Jawziyyah hanyalah gelarannya sahaja. Nama sebenarnya ialah Shams al-Din Abu ‘Abdullah Muhammad bin Abu Bakr bin Sa’ad.

Anak kelahiran Damsyik, Syria ini dilahirkan pada 7 Safar 691 Hijrah bersamaan 9 Januari 1292. Beruntunglah Ibn Qayyim Al-Jawziyyah kerana beliau dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan ilmu pengetahuan. Bapanya, Abu Bakr mengajarnya tentang ilmu-ilmu asas Islam termasuklah berkaitan faraid.

Tidak hairanlah figura hebat itu banyak membincangkan falsafah ekonomi Islam. Ia termasuklah konsep kekayaan dan kemiskinan, ekonomi dan zakat, konsep faedah, riba al-fadl dan riba al-nasi’ah serta mekanisme pasaran.

Menyoroti historiografinya, Ibn Qayyim bukan calang-calang individu. Ketika remaja beliau sudah menuntut ilmu dalam pelbagai bidang dengan beberapa ulama terkenal. Antara pernah menjadi gurunya ialah Qadi Sulayman Hamzah (711 Hijrah), Syakh Abu Bakr (718 Hijrah), Isma’il Maktum (716 Hijrah), Ibn Taymiyyah (661 Hijrah – 728 Hijrah) dan ramai lagi.

Kesungguhannya berguru itu menjadikan beliau menguasai pelbagai bidang ilmu hingga menjadi ilmuan terkenal. Ibn ‘Imad menyatakan, Ibn Qayyim juga alim dalam bidang tasawuf.

Kehebatannya diperakui sehinggakan sebahagian ulama sufi menggelarkannya sebagai sufi agung. Apa tidaknya, tokoh itu merupakan individu yang faqih dan mempunyai autoriti dalam Mazhab Hambali.

Anak murid Ibn Qayyim Al-Jawziyyah itu juga bukan sembarangan orang. Mereka terdiri daripada ilmuan dan ulama hebat. Antara anak muridnya yang masyhur ialah Ibn Kathir, tokoh dalam ilmu hadis dan sejarah; Zayn al-Din Ibn Rajab al-Hanbali (seorang tokoh dalam Mazhab Hanbali) dan Ibn Hajar al-‘Asqalani (tokoh hadis terkemuka).

Menurut Ibn Kathir, Ibn Qayyim Al-Jawziyyah merupakan orang yang kuat beribadah. Peribadinya yang disukai oleh orang ramai pada waktu itu.

Ibn Khatir menulis: “Aku tidak pernah melihat pada zaman kami ini, orang yang kuat beribadah seperti Ibn Qayyim. Sembahyangnya begitu lama. Beliau memanjangkan rukuknya dan juga sujudnya.”

AMALKAN nilai-nilai etika yang baik seperti jujur dalam kegiatan ekonomi sepertimana yang dicetuskan oleh Ibn Qayyim Al-Jawziyyah.

Sumbangan

Meskipun menguasai pelbagai disiplin ilmu, namun pemikiran ekonomi gagasan Ibn Qayyim begitu masyhur dengannya. Beliau antara tokoh penting dalam ekonomi zakat.

Menurut pandangannya, fungsi zakat adalah untuk membangunkan kualiti kebaikan, persaudaraan dan kebajikan. Maka dengan alasan yang dikemukakan itu, kadar khusus zakat ditetapkan ke atas setiap jenis harta kekayaan dan barang-barang yang boleh memberikan pulangan.

Ibn Qayyim juga membincangkan tentang persoalan riba yang menjadi teras dalam amalan perbankan dan kewangan konvensional dengan memetik ayat 276 dalam Surah al-Baqarah.

Beliau turut melarang semua jenis riba kerana boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat dan menghilangkan perasaan ihsan.

IBNU Qayyim Al-Jawziyyah antara tokoh penting dalam ekonomi zakat.

Ketokohannya semakin terserlah apabila beliau menganjurkan supaya kerajaan campur tangan dalam pemilikan harta kekayaan oleh individu jika mereka menggunakannya untuk jalan yang bertentangan dengan faedah masyarakat.

Ibn Qayyim Al-Jawziyyah turut menjelaskan tentang nilai-nilai etika yang baik yang seharusnya diamalkan oleh orang Islam dalam kegiatan ekonomi. Antara nilai yang diketengahkan adalah kepatuhan kepada ALLAH, ketaatan kepada agama, sifat baik, jujur dan benar.

Dirinya juga tidak mensia-siakan ilmunya begitu sahaja. Beliau menjilidkan sebanyak 66 buah kitab dalam pelbagai bidang penulisan berdasarkan penyelidikan yang dilakukan oleh Dr ‘Iwwad Allah Jad Hijazi.

Antara kitab hadisnya yang masyhur ialah Tahdid al-Sunan oleh Abu Dawud dan al-Wabilal Sayyab min al-Kalam al-Tayyib. Dalam bidang fiqh dan usul fiqh, beliau menyumbangkan kitab seperti I’lam al-Muwaqqi’in ‘an Rabb al-‘Alamin dan al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siyysah al-Shar’iyyah serta banyak lagi.

Menurut riwayat yang masyhur, Ibn Qayyim Al-Jawziyyah meninggal dunia pada tahun 751 Hijrah bersamaan 1350 Masihi di tempat kelahirannya.

Memang tidak boleh disangkal, kehebatannya selaku tokoh pemikir dan ulama terkenal. Semua pandangan beliau dalam bidang ekonomi seperti pasaran, kawalan harga, nisbah dan sebagainya sebenarnya telah dikemukakan terlebih dahulu sebelum teori-teori ekonomi lain yang dicetuskan para sarjana Barat seperti Adam Smith dan Alfred Marshal.

Segala teori yang dikemukakan beliau masih lagi relevan hingga ke hari ini.

PROFIL

Nama: Shams al-Din Abu ‘Abdullah Muhammad bin Abu Bakr bin Sa’ad
Gelaran: Ibn Qayyim Al-Jawziyyah
Asal: Damsyik, Syria
Tahun kelahiran: 7 Safar 691 Hijrah (9 Januari 1292 Masihi)
Tahun kematian: 751 Hijrah (1350 Masihi)
Kepakaran: Ulama terbesar dalam bidang tafsir, hadis, fiqh (hukum Islam) dan usuluddin (teologi)
Sumbangan: Memperkenalkan konsep kekayaan dan kemiskinan, ekonomi dan zakat, konsep faedah, riba al-fadl dan riba al-nasi’ah serta mekanisme pasaran.
Karya agung: Tahdid al-Sunan oleh Abu Dawud (hadis), al-Wabilal Sayyab min al-Kalam al-Tayyib (hadis), I’lam al-Muwaqqi’in ‘an Rabb al-‘Alamin (fiqh dan usul fiqh) dan al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siyysah al-Shar’iyyah (fiqh dan usul fiqh)

Sumber & Foto: Portal Masjid Wilayah Persekutuan, https://www.researchgate.net/, https://www.islamicity.org/, https://en.islamway.net/, 123rf dan Unsplash.com

Negara boleh jadi porak-peranda jika rakyat tak taat kepada khalifah
Berita Semasa,

Kenali Ibnu Al-Syatir, ilmuan hebat cipta peralatan astronomi

DALAM bidang astronomi, nama Ibnu Al-Syatir terpahat antara ilmuan Islam dengan kelasnya yang tersendiri. Seantero dunia mengenali beliau dengan kehebatan ilmunya dalam bidang berkenaan.

Menelusuri sisi peribadinya dengan lebih rapat, pemilik nama sebenar Abu Al-Hasan Alauddin Ali Muhammad Al-Ansari itu dilahirkan pada 704 Hijrah iaitu bersamaan 1304 Masihi.

Ibnu Al-Syatir

IBNU AL-SYATIR

Anak kelahiran kelahiran Damsyik, Syria itu terkenal dengan kemampuannya menjelaskan teori planet dan mencipta peralatan astronomi yang digunakan oleh mereka yang mendalami serta mengkaji ilmu berkenaan.

Namun begitu, tidak banyak kisah peribadi beliau ketika masih kecil yang diceritakan. Pengisahannya hanyalah berkisar tentang Ibnu Al-Syatir kehilangan bapanya ketika beliau berusia enam tahun.

Selepas itu, beliau dipelihara oleh bapa saudaranya yang merupakan seorang pengukir. Maka, tidak hairanlah cendekiawan itu berupaya menguasai ilmu kesenian ukiran.

Dengan bakat yang dimilikinya itu, beliau memanfaatkannya. Ibnu Al-Syatir mampu menghasilkan seni ukiran menggunakan gading yang diminati oleh kebanyakan golongan kaya dan sanggup membeli pada harga tinggi.

Dengan pulangan hasil karya seninya itu, Ibnu Al-Syatir mampu mengelilingi dunia dan berkunjung ke banyak negara termasuk Iskandariah untuk mendalami ilmu astronomi.

Antara ciptaannya yang paling masyhur adalah astrolab iaitu alat yang digunakan untuk  mengira jarak bintang yang lebih dekat.

Ibnu Al-Syatir

CONTOH astrolab iaitu alat yang digunakan untuk mengira jarak bintang.

Jika diteliti, astrolab itu berbentuk cakera yang diperbuat daripada kayu ataupun logam. Pada bahagian tepi alat itu, terdapat ukuran darjah, manakala di tengahnya pula ada jarum penunjuk boleh bergerak.

Ya, walaupun hanya peralatan kuno, namun alat itu mampu mengukur ketinggian bintang di langit. Kehebatannya memang tidak boleh disangkal lagi apabila Ibnu Al-Syatir membuat pembetulan alat penunjuk waktu. 

Sumbangan

Menariknya, beliau hanya menggunakan bayang-bayang matahari di atas permukaan jam yang dinamakan sebagai mizwalah.

Pun demikian, ada satu penemuan Ibnu Al-Syatir yang dipinggirkan. Ia adalah teori heliocentrism iaitu matahari sebagai pusat sistem suria. Ramai yang menganggap teori itu datangnya hasil cetusan ahli ilmu falak dari Poland, Nicolaus Copernicus.

Bagaimanapun, ahli sejarah astronomi mendapati fakta bahawa teori planet mengelilingi matahari sebenarnya diambil daripada Ibnu Al-Syatir.

Menurut orientalis Inggeris, David King, kebanyakan teori yang dikaitkan dengan Copernicus sebenarnya ‘dicedok’ daripada Ibnu Al-Syatir. 

Berdasarkan kajian terhadap manuskrip Arab di Poland pada tahun 1973, ia menunjukkan bahawa Copernicus mengambil penemuan dalam buku Nihayat Al-Sul Fi Tashih Al-Usul nukilan ilmuan Islam berkenaan.

Seperkara, Ibnu Al-Syatir juga antara individu penting yang berjaya mencipta alat untuk mengetahui waktu solat. Ia dinamakan sebagai al-Basit yang kemudiannya diletakkan di menara azan Masjid Umawi di Damsyik.

Ibnu Al-Syatir

MODEL planet hasil idea Ibnu Al-Syatir sebelum ini pernah dipinggirkan walaupun beliau individu terawal yang mencetuskannya.

Menjadi resam seorang ilmuan hebat, figura berkenaan tidak terlepas untuk menjilidkan ilmu yang dimiliki dengan mengarang 30 buah buku.  Antaranya Risalah fi Ta’liq, Urjuzah fi al-Kawakib, Risalah ‘an Sun al-Usturlab, kitab al-Mukhtasar fi Sun al-Usturlab dan Risalah fi Usul ‘llm al-Usturlab.

Begitu besar sumbangan beliau dalam bidang astronomi hinggakan karyanya pernah dianggap sebagai sebuah revolusi ilmiah sebelum Renaisans.

Menurut riwayat yang masyhur, tokoh hebat berkenaan meninggal dunia pada 777 Hijrah bersamaan 1375 Masihi

PROFIL

Nama: Abu Al-Hasan Alauddin Ali bin Muhammad  Al-Ansari

Gelaran: Ibnu Al-Syatir

Tahun kelahiran: 704 Hijrah (1304 Masihi)

Tempat lahir: Damsyik, Syria

Tahun kematian: 777 Hijrah (1375 Masihi)

Kepakaran: Astronomi, matematik dan kejuruteraan

Sumbangan:

– Mencipta peralatan astronomi seperti astrolab.

– Memberi penjelasan tentang teori planet mengelilingi matahari.

Karya agung: Risalah fi Ta’liq, Urjuzah fi al-Kawakib, Risalah ‘an Sun al-Usturlab, kitab al-Mukhtasar fi Sun al-Usturlab dan Risalah fi Usul ‘llm al-Usturlab. 

Sumber: Portal Masjid Wilayah Persekutuan, https://dakwah.kamikamu.net/ dan  www.muftimelaka.gov.my

Foto: www.muftimelaka.gov.my, Wikipedia, dakwah.kamikamu.net dan istinteam.blogspot.com/