Browsing Tag

Arab Saudi

The Guardian
Berita Semasa, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Pakistan, Arab Saudi Tegas Sekat Talian Telefon dan Larangan Ke Pusat Beli Belah.

no comment

KERAJAAN Wilayah Punjab, Pakistan merancang untuk menyekat talian kad telefon mudah alih (SIM) kepada rakyatnya yang belum menerima vaksin Covid-19.

Dr Yasmin Rashid. thenews.com.pk

Keputusan itu dibuat dalam pertemuan yang dipimpin Menteri Penjagaan Kesihatan Wilayah, Dr Yasmin Rashid, yang mengatakan pemerintah Punjab akan menggunakan pelbagai cara untuk memastikan penduduk mendapat vaksin.

“Keputusan akhir telah diambil untuk menyekat kad SIM mudah alih orang yang enggan disuntikt vaksin,” kata jurucakapnya, Syed Hammad Raza kepada Pakistan Dawn.

Begitupun Syed Hammad tidak memaklumkan bila arahan menteri itu akan dikuatkuasakan.

Langkah itu dibuat berdasarkan keputusan kerajaan persekutuan untuk berhenti membayar gaji pekerjanya yang enggan mendapat vaksin Covid-19, berkuat kuasa mulai bulan Julai.

Pusat Operasi Komando Nasional yang mengawasi tindak balas pandemik di Pakistan mengatakan semua pekerja sektor awam dan swasta mesti disuntik vaksin sepenuhnya menjelang 30 Jun.

Bilik pemeriksaan dibuka di pusat vaksinasi di Lahore, Pakistan. Bloomberg

Pengarah hukum di Pusat Perundangan Kebebasan Perisian India, Prasanth Sugathan, berkata langkah Punjab untuk menghentikan perkhidmatan mudah alih adalah keputusan yang tidak realistik dalam menangani masalah pemberian vaksin.

“Ini adalah langkah kurang berkesan kerana menyekat hak kebebasan bersuara rakyatnya. Apa yang diperlukan adalah meningkatkan kesedaran tentang vaksinasi dan bukan pemaksaan.

“Ketika situasi wabak yang semakin membimbangkan ini, telefon bimbit sangat penting untuk berhubung dengan orang lain dan untuk mendapat maklumat.

“Keputusan menyekat kad telefon mudah alih sebenarnya menjadikannya lebih sukar untuk menerima janji temu vaksin kerana Pakistan telah mendigitalkan prosedur sejak serangan Covid-19 bermula tahun lalu,” katanya.

Laman web khusus Covid-19 di negara ini memerlukan penduduk untuk menghantar maklumat menerusi telefon untuk mendaftar temu janji atau menghubungi menerusi talian sekiranya mereka mengalami gejala. Ini adalah perkhidmatan yang tidak dapat diakses oleh penduduk tanpa kad SIM.

Sebelum ini Pakistan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan vaksin dari luar negara, namun kini negara itu telah memulakan kempen vaksinasi besar-besaran sejak akhir bulan lalu.

Memandangkan kesedaran terhadap program vaksinasi masih rendah, pemerintah Punjab telah membuka 677 pusat vaksinasi di seluruh wilayah itu termasuk unit bergerak dan pusat setempat.
“Unit bergerak akan membantu mempercepat langkah vaksinasi,” kata Dr Rashid.

Semua 36 daerah di Punjab mempunyai sekurang-kurangnya satu pusat vaksin yang beroperasi 24 jam.

Kerajaan Pakistan minggu telah memperuntukan dana sebanyak AS1.1 bilion untuk membeli vaksin Covid-19.

“Sasaran kami adalah untuk diberikan kepada 70 juta orang dewasa sehingga akhir tahun ini,” kata Asad Umar, menteri yang bertanggungjawab dalam operasi vaksin Covid-19.
Hanya 2.5 juta atau lima peratus daripada 220 juta orang Pakistan audah disuntik vaksin sepenuhnya.

Kawalan ketat di pintu masuk pusat beli-belah dipertingkatkan. Gambar: Saudi Gazette.

Sementara itu, di Arab Saudi kerajaannya melarang penduduknua memasuki pusat membeli-belah bagi mereka yang belum menerima vaksin.

Pihak berkuasa Arab Saudi telah memutuskan untuk melarang individu yang tidak divaksinasi masuk ke pusat beli-belah mulai 1 Ogos 2021.

Vaksinasi dengan sekurang-kurangnya satu dos menjadi syarat untuk mengunjungi pusat membeli-belah, kata Jurucakap Kementerian Perdagangan Abdulrahman Al-Hussein, kelmarin.

Kerajaan Arab Saudi juga telah membenarkan membuka semua bilik persalinan dan menyediakan skrin sentuh untuk digunakan di kedai, pusat membeli-belah dan pusat komersial bagi memastikan langkah menangani penularan Covid-19 berjalan seperti lancar.

Aktiviti atau acara yang mengundang rakyat berkumpul di dalam mahupun diluar pusat komersial masih di larang.

Jurucakap rasmi Kementerian menegaskan aktiviti atau acara yang mengundang rakyat berkumpul di dalam mahupun di luar pusat komersial masih dilarang. Ini termasuk mengundang selebriti membuat promosi, mengadakan upacara di kedai dan pasar, pertandingan komersial yang memerlukan kehadiran pengunjung dan melancarkan acara untuk produk atau perkhidmatan.

Pihak berkuasa akan terus memantau kepatuhan arahan terhadap tindakan pencegahan wabak dan melakukan 103.274 lawatan pemeriksaan di mana sehingga kini sebanyak 3,436 saman telah dikenakan.

Sebelum ini Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi menyatakan bahawa vaksinasi akan diwajibkan mulai 1 Ogos bagi mereka yang ingin menghadiri acara sukan, hiburan, keagamaan dan kegiatan budaya di tempat awam dan swasta.

Sumber: The National News /Saudi Gazette.

Amalan pahala setara ibadah haji
Berita Semasa,

Dunia Ternanti-Nanti Keputusan Ibadah Haji

no comment

KETIKA ini, dunia masih ternanti-nantikan keputusan kerajaan Arab Saudi yang masih belum menberikan penjelasan lanjut berhubung pelaksanaan ibadah haji pada tahun ini.

Keputusan itu begitu ditunggu-tunggu kerana tempoh persiapan untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu di kebanyakan negara semakin ketat termasuk di Arab Saudi sendiri.

Di Iran misalnya, Ketua Organisasi Haji dan Ziarahnya, Alireza Rashidian meminta Arab Saudi menjelaskan kemampuan negara itu untuk mengendali ibadah haji berkenaan, lapor Mehr News.

Ibadah haji

NEGARA-NEGARA Islam ternanti-nantikan keputusan Arab Saudi berhubung prosedur, protokol dan SOP untuk musim haji kali ini jika dibenarkan.

Malah, Alireza juga mendakwa, negara-negara Islam masih lagi menunggu pengumuman pihak berkuasa negara berkenaan untuk menjelaskan langkah-langkah yang perlu diambil jika ibadah haji berkenaan dapat ditunaikan pada musim ini.

Apatah lagi, pada musim haji tahun lalu, hanya 1,000 jemaah sahaja dihadkan yang mana mereka terdiri daripada penduduk ekspatriat dan rakyat Arab Saudi sendiri.

Ahad lalu, Pemangku Menteri Media Arab Saudi, Dr Majid al-Qasabi menjelaskan, kerajaan akan membuat pengumuman mengenai ibadah haji musim ini dalam tempoh beberapa hari selepas membuat penilaian berdasarkan situasi semasa wabak Covid-19.

Ibadah haji

DR MAJID AL-QASABI

Kataya, pihak berkuasa Arab Saudi sentiasa mengambil maklum dengan perkembangan terkini pandemik berkenaan sebelum mengumumkan keputusan.

“Kita tidak mahu ibadah haji pada tahun ini menjadi pusat penyebaran penyakit kepada kerajaan atau dunia Islam,” katanya pada sidang media yang diadakan di Riyadh, Arab Saudi dua hari lalu.

Baca juga Skeptikal Terhadap Islam Masih Berbaki

Meskipun begitu, beberapa negara seperti Indonesia dan Singapura sudah memutuskan untuk tidak menghantar jemaah haji pada tahun ini.

Selain itu, kegusaran tentang prosedur operasi standard dan protokol haji pada kali ini turut disuarakan oleh pihak berkuasa Nigeria. Pegawai di Unit Hal Ehwal Awam Suruhanjaya Haji dan Nasional Nigeria (Nahcon), Fatima Sanda Usara menyatakan, ketidakpastian yang berterusan telah menyeret para jemaah haji ke dalam andaian yang tidak menentu.

“Di sinilah kami, sekitar 40 hari menuju hari Arafah, tidak dapat memastikan arah masa depan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi akhbar Daily Trust.

Sementara itu, di Malaysia pula, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberi bayangan untuk menghantar sejumlah bakal jemaah haji ke Tanah Suci Makkah pada musim ini.

DR ZULKIFLI

“Setakat ini, pihak Tabung Haji sudah menyenaraikan lebih 4,000 orang layak menerima vaksin Covid-19 sebagai persiapan untuk ke Tanah Suci jika dibenarkan untuk menunaikan haji kali ini.

“Apa-apapun, kerajaan dan Tabung Haji masih menunggu jawapan secara rasmi daripada pihak berkuasa Arab Saudi. Menjadi kelaziman mereka untuk menghantar surat kepada kita sebagaimana amalan biasa yang dilakukan pada setiap tahun,” katanya pada Forum Hal Ehwal Islam bertajuk Takut ALLAH atau Takut Covid-19 yang disiarkan di TV1 Khamis lalu.

Ibadah haji

SEBAHAGIAN jemaah haji pada musim lalu yang melontar jamrah mengikut protokol dan SOP yang ditetapkan.

Musim haji pada tahun ini dijangka bermula pada 17 hingga 22 Julai ini.

Pada awal bulan ini, media antarabangsa melaporkan, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mungkin memberi kebenaran kepada 60,000 jemaah dari luar negara untuk musim haji kali ini.

Para jemaah terlibat diwajibkan untuk menerima vaksin Covid-19 sama ada Pfizer atau AstraZeneca dan bebas daripada penyakit kronik.

Bagi mereka yang sudah menerima satu dos vaksin Covid-19, boleh memohon untuk menunaikan haji, tetapi mesti mendapat dos kedua sekurang-kurangnya dua minggu sebelum tiba ke Tanah Suci untuk menjalani Rukun Islam kelima jika persetujuan diberikan.

Foto: Arab News & Reuters

pexels-dimas-naufal-f-3911869
Antarabangsa, Berita, Berita Semasa,

Arab Saudi perkenal ‘pasport kesihatan’ Covid-19, catat kadar pemulihan hampir 98 peratus… Doakan agar kita dapat menjadi tetamu ALLAH nanti

PADA masa ini, seluruh dunia masih ‘berperang’ melawan pandemik Covid-19 sejak hujung tahun 2019.

Semua negara mempunyai cara tersendiri untuk mengekang pandemik yang boleh membawa maut itu. Ia bagi memastikan tiada lagi nyawa melayang, selain tiada orang dijangkiti wabak berkenaan.

Ketika koronavirus mengganas, buat pertama kalinya, jemaah haji dihadkan hanya 1,000 orang pada musim haji tahun lalu. Mereka terdiri daripada penduduk ekspatriat dan rakyat Arab Saudi sendiri.

Baca juga Bertuahnya… Bekas pesakit Covid-19 antara 1,000 jemaah haji terpilih tahun ini

Namun, tidak lama kemudian, kerajaan Arab Saudi sudah menyambut kumpulan pertama jemaah umrah warga asing pada 1 November lalu.

Itulah berita yang paling menggembirakan buat umat Islam selepas negara berkenaan menggantung visa umrah iaitu bermula bulan Februari tahun lalu.

Ia merupakan fasa ketiga rancangan strategik yang direncanakan pihak berkuasa berkenaan.

Mengikut perancangan, fasa itu dijangka menyaksikan kemasukan 20,000 jemaah umrah, 60,000 jemaah menunaikan solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi dengan 19,500 pengunjung.

Selain itu, Arab Saudi juga melakar sejarah apabila menjadi negara Teluk kedua selepas Bahrain yang meluluskan penggunaan vaksin Pfizer Covid-19.

Arab Saudi

Proses vaksinasi akan dilakukan kepada semua penduduknya mengikut tiga tahap yang telah disasarkan.

Ia merangkumi warga emas berusia 65 tahun ke atas dan mereka yang mudah terdedah kepada jangkitan bagi tahap pertama.

Tahap kedua melibatkan golongan berusia lebih 50 tahun, pengamal perubatan dan mereka mempunyai penyakit kronik.

Sementara, tahap tiga pula menyasarkan kepada semua warga dan penduduk yang ingin mengambil vaksin.

Malah, pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud juga sudah menerima dos pertama vaksin Pfizer Covid-19 baru-baru ini.

Arab Saudi

RAJA Salman menerima dos pertama vaksin Pfizer Covid-19 baru-baru ini.

Menteri Kesihatannya pula, Dr Tawfiq Al-Rabiah sudah menerima dos kedua vaksin berkenaan, lapor portal arabnews.com.

Terbaharu, kerajaan Arab Saudi telah melancarkan ‘pasport kesihatan’ digital yang disediakan menerusi aplikasi Kementerian Kesihatan Tawakkalna.

Menurut laporan arabnews.com, ‘pasport’ berkenaan mengandungi daftar vaksinasi seseorang terhadap penyakit Covid-19 dan pengesahan bahawa individu berkenaan kebal terhadap virus berkenaan.

Arab SaudiBerdasarkan semua fakta itu, jelaslah kerajaan Arab Saudi berusaha keras dan sanggup mengeluarkan belanja yang besar demi memastikan penularan wabak itu dikekang.

Setakat semalam, media berpengaruh di negara berkenaan, Saudi Gazette melaporkan, sebanyak 147 kes baharu Covid-19 dicatatkan dengan lima kematian baharu dilaporkan.

“Kementerian Kesihatan Arab Saudi juga melaporkan, sebanyak 151 pemulihan baharu dalam tempoh 24 jam terakhir.

“Ia meningkatkan jumlah orang yang bebas daripada virus berkenaan menjadi 355,857 kes dengan kadar pemulihan 97.73 peratus,” katanya dipetik menerusi platform berita tersebut.

Dengan kadar pemulihan yang hampir 98 peratus itu dan langkah proaktif diambil oleh kerajaan, tidak mustahil Arab Saudi bakal bebas Covid-19 dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Ia sekali gus memperlihatkan tanda-tanda Arab Saudi bersedia untuk menerima tetamu dengan kapasiti 100 peratus daripada keluasan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi berdasarkan SOP ditetapkan.

Sama-samalah kita berdoa agar umat Islam dapat menjadi tetamu ALLAH SWT untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

Berdoalah bersungguh-sungguh agar ALLAH segera mengangkat koronavirus dari muka bumi ini.

Sumber & Foto: Arab News, Saudi Gazette, Bernama & Pexels