Browsing Tag

Anak

Hak wanita selepas diceraikan
Isu, Pilihan Editor,

7 Hak Wanita Selepas Diceraikan Yang Perlu Kita Tahu

PENCERAIAN menjadi perkara yang ditakutkan bagi setiap pasangan yang sudah berumah tangga. Tiada siapa yang mahu mahligai cinta yang dibina musnah begitu sahaja.

Namun, segala qada dan qadar yang ditentukan-NYA wajib kita terima dengan reda andai tiada lagi jodoh bersama.

Dalam kes-kes sebegitu, boleh dikatakan golongan wanita amat terkesan dengan penceraian. Apatah lagi jika mereka tidak bekerja. Apa tidaknya, kelompok tersebut seolah-olah hilang tempat bergantung. Tambahan pula jika perlu menanggung anak yang ramai.

Mahu atau tidak, kaum Hawa perlu segera bangkit. Usah terlalu memikirkan nasib diri yang ditinggalkan begitu sahaja.

Ketahuilah bahawa wanita juga punya hak selepas diceraikan. Ramai yang tidak sedar tentang perkara tersebut dek kerana kurangnya pengetahuan mengenainya.

Justeru, peguam syarie, Nurain Akmal Khairunnisa Amir Hamzah menyenaraikan tujuh hak wanita selepas bercerai dengan suami yang boleh dituntut di mahkamah.

NURAIN AKMAL KHAIRUNNISA

Berikut perinciannya:

1. Nafkah idah.

Itulah kewajipan yang tidak boleh dipinggirkan. Ini kerana, nafkah tersebut wajib dibayar kepada bekas isteri di dalam tempoh idah raj’ie disebabkan sesuatu penceraian.

Nafkah idah merangkumi makanan, pakaian dan tempat tinggal mengikut hukum syarak.

2. Mutaah.

Mutaah merupakan suatu bayaran wajib ke atas suami untuk diberikan kepada isteri yang telah diceraikan tanpa sebab munasabah mengikut hukum syarak.

Kadar mutaah boleh ditentukan melalui persetujuan kedua-dua belah pihak. Sekiranya terdapat pertikaian mengenainya, mahkamah akan menentukan kadar bayaran mutaah tersebut.

3. Harta sepencarian.

Ia merangkumi harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh syarak.

Hak wanita selepas diceraikan

ISTERI yang diceraikan boleh menuntut harta sepencarian sepanjang tempoh perkahwinan mereka termasuk rumah. -Gambar hiasan

Baik suami mahupun isteri, harta sepencarian boleh dituntut di mahkamah yang ada bidang kuasa tersebut
Antara contohnya termasuklah wang ringgit, harta alih, harta tak alih atau apa-apa aset yang dihasilkan atas perkongsian bersama dalam tempoh perkahwinan.

Segala tuntutan yang berkaitan dengannya hendaklah dikemukakan ke Mahkamah Tinggi Syariah.

Baca juga Isteri Berstatus Suri Rumah Layak Tuntut Hak Harta Sepencarian, Namun Masih Ramai Yang Tak Tahu

4. Tunggakan nafkah isteri dan anak.

Ketahuilah, andai suami tidak memberikan nafkah kepada isteri dalam tempoh perkahwinan, ia menjadi hutang kepada lelaki tadi. Maka, wajib bagi suami untuk melunaskannya sekalipun isteri tadi sudah diceraikan. Ia boleh dituntut di mana-mana mahkamah syariah.

Dalam perihal tunggakan nafkah anak pula, ia boleh dipohon kepada mahkamah apabila suami atau bekas suami gagal melaksanakan satu perintah nafkah anak yang telah dikeluarkan oleh mahkamah syariah.

Hak wanita selepas diceraikan

BEKAS isteri boleh menuntut tunggakan nafkahnya dan anak di mahkamah syariah.

Tunggakan tersebut boleh dipohon dari tarikh kegagalan membayar perintah nafkah anak berkenaan.

Baca juga Jangan mengeluh ketika mencari rezeki Kerana Nafkah Halal Lagi Berkat Tuntutan Dalam Islam

5. Hak jagaan anak (hadanah).

Hadanah bermaksud penjagaan anak-anak yang masih kecil yang belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri.

Mengikut hukum syarak dan Undang-undang Keluarga Islam yang berkuat kuasa, ibu ialah insan yang paling berhak bagi menjaga anak-anaknya yang masih kecil (di bawah umur 7 tahun bagi lelaki dan 9 tahun bagi perempuan).

Bagi anak yang melebihi had umur di atas, jika berlaku pertikaian mengenai hak jagaan anak, mahkamah akan menentukan berdasarkan pilihan yang dibuat oleh anak-anak tersebut sama ada hendak tinggal bersama ibu atau bapa.

Permohonan tuntutan hak jagaan anak itu hendaklah dikemukakan ke Mahkamah Tinggi Syariah. 

6. Nafkah anak.

Sekalipun ikatan suami isteri sudah terlerai, namun urusan nafkah anak tetap berjalan seperti biasa. Ini kerana ia merupakan sesuatu yang wajib ke atas seseorang bagi menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan orang lain.

Nafkah anak itu termasuklah makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan perubatan sekadar mencukupi mengikut kemampuannya.

7. Hutang perkahwinan.

Bagi mereka yang ada berhutang dalam perkahwinan misalnya berlaku penggadaian emas yang mana suami membuat pembiayaan atas nama isteri atau apa-apa sahaja jenis hutang-hutang berkaitan, ia boleh difailkan atas nama kes hutang perkahwinan.

Hak wanita selepas diceraikan

APA sahaja jenis hutang sepanjang tempoh perkahwinan boleh dituntut walaupun pasangan suami isteri itu sudah bercerai.

Andai hutang tersebut melibatkan mas kahwin, maka wanita tadi perlu memfailkan kes hutang mas kahwin.

Justeru, kepada para wanita di luar sana, ambil tahulah tentang hak masing-masing tidak kiralah sama ada sudah berkahwin ataupun belum berumah tangga.

Peri pentingnya pengetahuan seperti itu supaya hak mereka tidak dipinggirkan begitu sahaja.

Jangan ambil mudah dengan hal itu. Barangkali bukan kita yang menjadi mangsa, tetapi mungkin juga insan di sekeliling memerlukan sokongan tatkala berlaku insiden penceraian yang tidak diinginkan oleh sesiapa pun.

Foto: 123rf, Freepik, Pexels & Unsplash

kids-gf7e432790_1920
Gaya Hidup,

Benarkah Membaca Surah Tertentu Bakal Peroleh Anak Yang Hebat, Lawa

no comment

KELAHIRAN zuriat dalam sesebuah rumah tangga adalah perkara yang amat dinanti-nantikan. Apabila telah berbadan dua pasti bermacam-macam mahu dilakukan demi untuk anak yang bakal lahir nanti.

Pendakwah Ustazah Asmak Husin menerusi Facebooknya berkongsi mengenai cadangan sesetengah pihak supaya ibu-ibu hamil mengamalkan surah-surah tertentu sepanjang mengandung.

 

Kebanyakan ibu-ibu akan mula membaca surah-surah tertentu sebaik mengetahui diri sudah berbadan dua.

Jelasnya, ada dalam kalangan kelompok berkenaan mencadangkan agar dibaca Surah Maryam dengan harapan ibu bapa akan mendapat anak yang pandai menjaga kehormatan diri.

“Kata mereka jika membaca Surah Luqman akan mendapat anak yang bijaksana, jika kita membaca Surah Yusuf bakal memperoleh anak yang lawa comel dan sedap mata memandang.

“Namun demikian, tidak pula kita mendengar cadangan untuk memperbanyakkan bacaan Surah al-Qiyamah, agar si anak menjadi zuhud dan sentiasa ingatkan perihal akhirat,” katanya.

Menurut agamawan itu, amalan bacaan surah-surah tertentu ini tidak diketahui bermula daripada mana, dan siapakah individu pertama yang mencadangkannya.

Katanya lagi, tidak ada mana-mana hadis dan athar yang menunjukkan Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan alim ulama serta orang-orang soleh terdahulu beramal dengannya.

“Perlu diketahui, dalam 111 ayat yang terkandung dalam Surah Yusuf, hanya saty ayat sahaja iaitu ayat 31 yang menceritakan soal ketampanan Nabi Yusuf AS. Ayat selainnya banyak menceritakan tentang dakwah baginda, kebijaksanaan, pemerintahan, perjuangan, kesabaran dan tentang kekeluargaan.

“Namun, isu ketampanan juga yang kita tonjol-tonjolkan. Adakah agama kita begitu naif, sehingga membawa ajaran-ajaran demikian? Adakah anak kita dalam kandungan akan mengalami perubahan sehingga menjadi sangat lawa dengan amalan demikian?

“Kita tidak boleh terpedaya dengan dakwaan orang tertentu, bahawa anaknya lawa disebabkan dia sentiasa mengamalkan Surah Yusuf sepanjang mengandung. Padahal, suami isteri memang lawa dan segak orangnya, maka anaknya ada kebarangkalian yang besar untuk mewarisi kecantikan tersebut,” ujarnya.

Oleh itu beliau berkata, katakan tidak kepada amalan bukan-bukan.

“Kita perbanyakkanlah membaca al-Quran tanpa mengehadkan kepada ayat-ayat atau surah-surah tertentu, juga memperbanyakkan zikir dan selawat kepada Nabi SAW dan dalam masa yang sama, jangan lupa panjatkan doa kepada ALLAH SWT.

“Ingatlah bahawa kemuliaan itu terletak pada hati, bukannya pada wajah,” katanya.

6151766_xl
Personaliti, Uncategorized,

PU Rahmat Pesan Ibu Tunggal Usah Putus Asa Besarkan Anak-anak

no comment

KITA sering diperdengarkan dan membaca perihal kesungguhan seorang ibu tunggal membesarkan anak-anaknya. Ada dalam kalangan mereka yang kematian suami mahupun dicerai hidup membesarkan ramai anak dengan kudrat wanitanya. Harapan mereka supaya anak-anak menjadi anak yang berjaya kelak.
Berkongsi di laman Instagramnya, Pencetus Ummah (PU) Rahmat Ikhsan membawakan kisah seorang ibu tunggal muda yang kematian suami bernama Shofiyyah Binti Maimunah. Suaminya meninggalkan seorang anak lelaki yang masih kecil.
Kongsi pendakwah itu, Shofiyyah mengambil keputusan untuk tidak mahu berkahwin lagi dan berusaha sedaya mungkin memfokuskan pendidikan anaknya itu.
“Apa yang dilakukan Shofiyyah adalah setiap hari dia akan mengajarkan anaknya untuk belajar dan menghafal al-Quran. Berkat kesungguhannya, anak lelaki tunggalnya ini berjaya menghafal al-Quran dalam usia 10 tahun,, masha ALLAH.
“Setiap pagi menjelang waktu sebelum Subuh yang dingin, dia akan membangunkan anaknya, mempersiapkan anaknya dengan memakaikan baju yang terbaik dan menyediakan peralatan belajar untuk anaknya ini.
“Kemudian Shofiyyah akan menggandeng tangan anaknya menuju ke masjid untuk menunaikan solat Subuh berjemaah seterusnya mengikuti majlis ilmu yang dikendalikan ulama pada zamannya,” katanya.
Ujarnya lagi, Shofiyyah tidak terus pulang, sebaliknya balu itu menunggu anaknya sehingga selesai majlis ilmu, begitulah rutinnya setiap hari.

 

Ibu bapalah yang akan mencorakkan keperibadian anak itu.

Agamawan itu berkata, usaha yang dilakukan Shofiyyah langsung tidak sia-sia kerana anaknya itu membesar menjadi seorang ulama besar yang namanya sentiasa disebut-sebut sehingga ke hari ini. Anaknya itu adalah Imam Ahmad Bin Hanbal Rahimahullah.
PU Rahmat berpesan kepada para ibu tunggal supaya jangan berputus asa dalam membesarkan anak-anak.
“Kerana tiada siapa tahu rezeki kalian akan mendewasakan orang-orang hebat. InsyaALLAH,” kata beliau.

3 Waktu Yang Sesuai Untuk Menasihati Anak-anak
Gaya Hidup,

3 Waktu Yang Sesuai Untuk Menasihati Anak-anak

TIGA Waktu Yang Sesuai Untuk Menasihati Anak-anak.

Cabaran ibu bapa hari ini sedikit berbeza dengan ibu bapa dulu-dulu. Ibu bapa kini perlu lebih peka dengan diri anak-anak dan memahami bahawa bukan setiap waktu boleh menasihati dan membuat teguran terhadap anak-anak.

Ibu bapa juga digalakkan untuk pandai memilih waktu yang bersesuaian, jika tidak bersedialah jika si anak merajuk.

3 Waktu Yang Sesuai Untuk Menasihati Anak-anak

USTAZAH ISFADIAH MOHD DASUKI

Melalui perkongsian di laman Instagramnya, pendakwah bebas Ustaz Isfadiah Mohd Dasuki berkongsi tiga waktu yang bersesuaian untuk menasihati anak-anak.

Jelasnya, Nabi Muhammad SAW menggalakkan para ibu bapa supaya menasihati anak-anak pada tiga waktu ini, iaitu yang pertama, sewaktu dalam perjalanan. Tengah-tengah dalam pemanduan kereta, ibu bapa bolehlah selitkan pesanan dan teguran lembut kepada anak-anak.

“Kedua, sewaktu sedang menjamu selera bersama-sama. Apabila tiba waktu makan, ajaklah anak-anak makan bersama dan ibu bapa harus mewujudkan suasana yang ceria ketika makan. Sambil-sambil bergurau, ibu bapa selitkan juga nasihat dan pesanan yang berhemah buat anak-anak.

“Ketiga, sewaktu anak-anak sedang berada dalam kesakitan, ini kerana ketika seseorang sedang sakit, hatinya akan menjadi sangat lembut dan ibu bapa gunakanlah peluang ini untuk menasihati anak-anak, pasti mereka akan menerima nasihat itu dengan tenang,” katanya.

 

3 Waktu Yang Sesuai Untuk Menasihati Anak-anak

TEGURLAH anak dengan menggunakan intonasi suara yang lembut dan pamerkan wajah yang ceria.

Agamawan itu berkata lagi, sekiranya ibu bapa pandai memilih waktu yang sesuai untuk menasihati anak-anak, pasti ia akan memberi impak hebat dalam perkembangan diri mereka.

Ujarnya, perlu diingat, gunakanlah kata-kata bernada lembut dan pamerkan wajah yang sepatutnya semasa menasihati agar hati anak-anak tidak terguris. Jangan kerutkan kening atau seolah-olah menahan marah.

Foto: Freepik

Berita Semasa,

Jangan jadi anak tak kenang budi, jangan ambil kesempatan atas kebaikan, kemurahan hati ibu bapa

KEBANYAKAN suami isteri bekerja pada hari ini demi menampung keperluan hidup dan kos sara hidup yang tinggi. Pastinya rutin harian yang dilalui agak sibuk. Masakan tidak, kita perlu bijak membahagikan masa untuk mengurus kerjaya dan rumah tangga.

Bagi pasangan yang dikurniakan anak, lazimnya, mereka akan menghantar anak-anak di taska atau mengupah pengasuh untuk menjaga permata hati mereka.

Namun, segelintir mereka yang berkemampuan pula akan mengupah pembantu rumah yang boleh diharapkan untuk mengasuh anak masing-masing sepanjang mereka bekerja.

Begitupun, tidak semua orang bernasib baik. Sebilangan orang terpaksa menghantar anak-anak kepada ibu bapa masing-masing untuk dijaga kerana tidak mampu membayar pengasuh. Itu pun jika kebetulan mereka duduk serumah atau kediaman mereka berdekatan dengan ibu bapa atau mertua masing-masing.

Namun, cerita kurang enaknya apabila ada segelintir orang sanggup mengupah ibu bapa masing-masing untuk menjaga anak mereka, sekali gus membantu mereka menguruskan rumah masing-masing.

Sekali imbas, mungkin perkara itu dianggap remeh. Apa tidaknya, memang rata-rata sikap kedua orang tua kita memang begitu. Tidak suka duduk diam. Ada sahaja ingin dilakukan meskipun ketika bertandang ke rumah anak mereka.

Anak ambil kesempatan terhadap kebaikan ibu bapa

BERBAKTILAH kepada kedua ibu bapa selagi mereka masih ada di dunia ini.

Pun begitu, usahlah kita mengambil kesempatan atas kebaikan dan kemurahan hati ibu bapa kita.

Pendakwah Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid berkata, Rasullah SAW pernah ditanyakan tentang kedudukan orang tua pada seorang anak.

Nabi Muhammad SAW menjawab: “Orang tua adalah syurga kamu atau neraka kamu.”

“Berdasarkan sabda nabi itu, jelaslah bahawa kita sendiri mempunyai pilihan sama ada hendak masuk ke syurga iaitu dengan berbakti kepada orang tua atau masuk ke neraka apabila kita melawan orang tua.

“Bagaimanapun ingatlah, tak ada makna ibadah seseorang walaupun dirinya banyak kali menunaikan haji dan umrah serta banyak bersedekah jika tidak dapat membahagiakan atau berbakti kepada orang tuanya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

Sebagai seorang anak, Habib Ali Zaenal Abidin mengingatkan kita agar berbaktilah kepada orang tua masing-masing dan jangan sesekali sombong kepada mereka.

(Artikel berkaitan: Anak bagi duit, tapi tak ziarah ibu bapa, macam mana tu…)

“Jangan sombong kepada orang tua, jangan sombong kepada orang lain, jangan sombong kepada dirinya sendiri.

“Ketahuilah, pada akhir zaman, anak akan sombong dengan orang tua. Pada akhir zaman juga, anak akan mengungkit ihsannya kepada orang tua, anak akan berkira dengan orang tuanya dan orang tua akan takut dengan anaknya.

“Pada akhir zaman juga, anak tidak hormat pada orang tuanya,” katanya.

Jika keadaan itu berlaku, agamawan itu mengingatkan kita tentang tanda-tanda kiamat yang mana salah satu daripadanya ialah hamba sahaya yang melahirkan tuannya.

Anak ambil kesempatan terhadap kebaikan ibu bapa

LUANGKAN masa untuk menziarahi ibu bapa masing-masing jika ada kesempatan.

Jelas beliau, ia bermaksud seorang ibu (hamba sahaya) melahirkan anak (yang menjadi majikan kepada ibunya).

“Bagaimana anak boleh menjadi majikan kepada ibunya? Itulah yang dipanggil anaknya berstatus sebagai majikan yang boleh suruh dan memerintah ibunya sehingga ibu umpama pembantu bagi anaknya.

“Ibu umpama orang suruhan yang disuruh ke sana dan ke sini. Ibu macam diberi gaji untuk jaga cucu atau sebagainya.

“Kalau itu adalah kehendak daripada diri sendiri atau perkara itu atas dasar kasih sayang atau dengan keikhlasan, tidak ada masalah.

“Namun begitu, kalau anak mengatakan kepada orang tuanya: ‘Aku bayar kamu kamu jaga anak aku’…tidak sepatutnya dia (anak) berbuat demikian kepada orang tuanya.

“Ini kerana, kata Nabi Muhammad SAW: ‘Engkau dan harta kamu milik orang tua kamu’,” pesannya.

Justeru, berhati-hatilah dalam setiap tindak-tanduk kita. Apatah lagi, kepada ibu bapa yang tidak pernah lelah melahirkan, membesarkan dan menjaga kita dengan penuh sempurna hingga kita menjadi insan berguna pada hari ini.

Sumber: Instagram @habibalizaenalalhamid

Foto: 123rf & Freepik

Berita Semasa,

Sudahlah ceraikan isteri talak tiga, lepas itu tak mengaku anak sendiri pula…

SAAT dikhabarkan oleh doktor bahawa kita akan menerima ‘orang baharu’, pastinya ia menjadi berita paling gembira. Bukan sahaja kepada pasangan suami isteri, tetapi juga ahli keluarga masing-masing.

Apatah lagi jika ia melibatkan anak sulung. Begitu indahnya momen itu yang akan dikenang sampai bila-bila.

Begitulah yang dirasai Haziqah Rusydi (bukan nama sebenar). Beliau sangat teruja. Masakan tidak, ia merupakan cahaya mata sulung yang dinanti-nantikan selepas tiga tahun berkahwin.

Namun demikian, perasaan gembira itu bersifat sementara. Tiba-tiba wanita itu tersentak apabila diceraikan suaminya, Badzil Yusuf (bukan nama sebenar) beberapa minggu selepas berita dirinya disahkan hamil.

Penceraian itu sangat menyakitkan kerana Haziqah telah diceraikan dengan talak tiga. Semuanya gara-gara sikap cemburu buta Badzil. Akibat tidak tahan selalu dituduh menggatal dengan lelaki lain, entah bagaimana, terpacul perkataan yang tidak sepatutnya dari mulut Haziqah.

Ketika pertelingkahan hebat berlangsung, wanita itu mencabar Badzil untuk menceraikannya.

“Dah nak sangat dan cabar aku, aku ceraikan kau dengan talak tiga,” kata Badzil yang ‘menyahut cabaran’ Haziqah.

Nasi sudah menjadi bubur. Hendak perbaiki hubungan memang sudah terlambat. Kes mereka dibawa ke mahkamah syariah untuk pengesahan lafaz cerai.

Mahkamah memutuskan gugur talak tiga kali pertama berjumlah tiga talak bain kubra ke atas Haziqah. Wanita itu kemudiannya diperintahkan beridah hamil bermula dari tarikh 2 Januari 2011 hingga melahirkan anak.

Memang tidak mudah untuk Haziqah melayari proses kehamilan tanpa suami di sisi. Namun dengan ketentuan ALLAH, ranjau yang direntas diakhiri dengan kelegaan apabila Haziqah selamat melahirkan seorang bayi perempuan pada 20 September 2011.

Bayi perempuan comel itu kemudian dibintikan dengan nama Badzil. Bagaimanapun, satu kejutan besar berlaku apabila Badzil mendakwa bayi berkenaan bukan darah dagingnya.

Amarah lelaki itu memang tidak boleh dikawal sehingga beliau terus memfailkan kes bayi berkenaan ke mahkamah bagi mengesahkan status sah taraf anak.

Dalam pernyataannya, dirinya benar-benar yakin bahawa Haziqah sedang datang bulan ketika lafaz talak dijatuhkan. Baginya, tidak logik bekas isterinya mengandung.

Setelah meneliti segala keterangan dan bukti, mahkamah memutuskan bayi berkenaan merupakan anak sah taraf hasil daripada pernikahan Badzil dan Haziqah.

Dalam penghakiman, mahkamah mendapati pada waktu penceraian tersebut iaitu 2 Januari 2011, Haziqah sememangnya sedang hamil.

Ia berdasarkan penghakiman ketika pengesahan penceraian sebelum ini. Malah, anak yang dilahirkan itu juga didapati cukup bulan dan normal berdasarkan buku rekod mengandung.

Kenyataan itu dikuatkan lagi dengan keterangan Badzil dan Haziqah bahawa mereka pernah bersama pada bulan Disember 2010.

Ternyata keputusan itu membuatkan Haziqah bernafas lega. Biarpun dirinya sudah tidak lagi bersuami, namun beliau bertekad untuk menjaga satu-satu zuriat yang ditunggu-tunggu kehadirannya selama ini dengan baik. Buat permohonan pengesahan nasab untuk nafikan status anak.

Buat permohonan pengesahan nasab untuk nafikan status anak

Tidak dinafikan memang berlaku kes lelaki tidak bersetuju bayi yang dilahirkan bekas isteri adalah anak kandungnya sendiri.

Jika berlaku kes seperti itu, Peguam Syarie, Raihan Mustafa Kamal berkata, lelaki tersebut boleh menafikan anak tersebut dengan memfailkan permohonan pengesahan nasab anak berkenaan di mahkamah syariah.

RAIHAN

“Sekiranya hakim berpuas hati anak tersebut bukanlah wajar dinasabkan kepada si bapa, maka anak tersebut tidak boleh dinasabkan kepada lelaki tersebut.

“Berdasarkan Seksyen 110 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 ada memerihalkan tentang individu yang dikaitkan sebagai bapa.

“Undang-undang tersebut antara lain menyatakan, jika seseorang perempuan yang berkahwin dengan seseorang lelaki melahirkan seorang anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinannya itu dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu. Tetapi lelaki itu boleh dengan cara li’an atau kutukan, menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan mahkamah,” katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Walaupun ibu bapa telah bercerai dengan talak tiga, tambah Raihan, tanggungjawab sebagai seorang bapa atau ibu masih tetap berjalan. Antara hak-hak anak yang perlu disantuni termasuklah nafkah, tempat tinggal, pembelajaran yang baik, pendidikan yang sempurna dan kesihatan, terangnya.

Tak mengaku anak

TANGGUNGJAWAB seorang bapa masih tetap dijalankan walaupun telah bercerai dengan talak tiga dengan bekas isteri.

“Semasa berkahwin, anak tersebut adalah tanggungjawab bersama. Mungkin ada nafkah anak yang dikongsi bersama. Selepas perceraian, si bapa bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keperluan nafkah anak.

“Jika bekas isteri nak membantu, itu adalah ihsan. Namun, si ibu janganlah meminta lebih daripada keperluan anak-anak tersebut.

“Berkaitan hak jagaan dan hak lawatan atau hak bersama anak-anak, jika salah seorang ibu bapa bapa diberikan hak jagaan, seorang lagi hendaklah diberikan hak bermalam atau melawat. Jangan dinafikan hak tersebut,” jelas beliau.

Sekiranya bapa enggan bertanggungjawab memberikan nafkah, jelas Raihan, si ibu boleh memfailkan tuntutan berkenaan di mahkamah.

“Jika si bapa menyatakan tidak mampu, tuntutan tersebut boleh dituntut kepada bapa kepada bapa (datuk di sebelah bapa) tersebut memandangkan tanggungjawab memberi nafkah adalah di sebelah lelaki. Berbeza dengan susunan hak jagaan anak yang kebanyakan di belah perempuan.

“Namun, jika si bapa merasakan perintah sedia ada (perintah nafkah anak) membebankan beliau, si bapa juga boleh memfailkan tuntutan ubah perintah nafkah anak.

“Tidak perlu tunggu sehingga si ibu memfailkan tuntutan tunggakan nafkah anak di mahkamah.Hakim akan meneliti kewajaran perintah nafkah asal tersebut diubah berdasarkan fakta semasa, kemampuan si bapa dan keperluan anak-anak yang berubah pada ketika itu,” jelas beliau.