Browsing Tag

Al-Quran

Terkentut
Hukum,

Terkentut ketika baca al-Quran, perlu ke berhentikan bacaan?

KETIKA sedang membaca al-Quran, secara tidak sengaja kita terkentut. Maka, batallah wuduk yang telah diambil sebelum memegang mashaf dan mengalunkan ayat suci kalamullah berkenaan.

Situasi itu menimbulkan tanda tanya kerana kita terbuang angin saat sedang mengaji. Ada yang kata, tidak boleh lagi menyambung bacaan bait kalam ALLAH berkenaan.

Jika kondisi tersebut berlaku, laman web Konsultasi Syariah menjelaskan, terdapat tiga perkara yang perlu dibezakan mengikut keadaan iaitu;

1. Membaca al-Quran dalam keadaan hadas kecil tanpa menyentuh al-Quran contohnya membacanya secara hafalan.

2. Menyentuh kalam ALLAH dalam keadaan berhadas kecil.

3. Membaca al-Quran dalam keadaan berhadas besar.

Baca juga Baca al-Quran sebelum tidur tanpa menutup aurat, ini hukumnya yang wajib kita tahu

Begitupun, menurut konsultasisyariah.com, baik hadas kecil yang muncul sebelum membaca mahupun ‘hadir’ di tengah-tengah bacaan, ulama bersepakat, hukumnya dibolehkan selagi tidak menyentuh mashaf tersebut.

“Dalam hal itu, Imam an-Nawawi menyebut; ‘Disarankan membaca al-Quran dalam keadaan suci. Jika seseorang membaca al-Quran dalam keadaan hadas kecil, hukumnya boleh dengan persetujuan kaum muslimin. Hadis tentang ini banyak, terkenal’.

Terkentut

DISARANKAN supaya membaca al-Quran dalam keadaan bersuci. -FOTO: FREEPIK

“Bahkan, orang yang membaca al-Quran dalam keadaan berhadas tidak disebut mengamalkan yang makruh. Demikian pandangan Imam an-Nawawi yang turut merujuk kenyataan Imam al-Haramain dalam kitab at-Tibyan,” katanya sepertimana dipetik menerusi portal berkenaan.

Malah, dalam sebuah hadis daripada Ibn Abbas RA, beliau berkata pernah tidur di rumah Maimunah iaitu isteri Nabi Muhammad SAW yang juga ibu saudaranya.

Baca juga Sama ke pahala baca al-Quran guna telefon dengan mushaf? Jom baca penjelasan ini…

“Ketika memasuki pertengahan atau satu pertiga malam terakhir, Rasulullah SAW bangun, baginda duduk sambil mengusap bekas kesan tidur daripada mukanya dengan tangannya, kemudian baginda membaca 10 ayat terakhir Surah Ali ‘Imran hingga selesai. Kemudian baginda menuju ke bekas air yang tergantung, lantas berwuduk dan solat tengah malam.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Adapun, bagi masalah menyentuh al-Quran ketika berhadas dan membaca al-Quran bagi mereka yang berhadas besar, para ulama berselisih pandangan.

Menurut Konsultasi Syariah, andai kita mengambil pendapat yang melarang al-Quran itu dipegang atau disentuh ketika berhadas, maka kita mesti meletakkan kalam ALLAH itu di tempat yang selamat.

“Walaupun begitu, bacaan tetap diteruskan. Apabila terkentut pula, berhentilah seketika membaca al-Quran, kemudian sambunglah semula bacaan tadi selepas selesai membuang angin,” katanya.

Terkentut

APABILA sudah terkentut, tiada masalah untuk meneruskan bacaan al-Quran selepas selesai buang angin asalkan tidak menyentuh mashaf. -FOTO: PEXELS

Perkara sama turut disyorkan dalam kitab al-Majmu’ bahawa kita dianjurkan berhenti membaca al-Quran dan kentut sehingga selesai, kemudian meneruskan kembali bacaan tadi.

Baca juga Jangan tinggalkan al-Quran, setidaknya bacalah 2 ayat terakhir Surah al-Baqarah setiap malam

“Namun, perlu difahami bahawa maksud membaca di sini bukanlah membaca al-Quran dengan disertai menyentuh mashaf. Ini kerana menyentuh mashaf bagi orang yang berhadas hukumnya haram,” katanya sebagaimana dipetik menerusi tafsiralquran.id.

Adab membaca al-Quran

Laman web berkenaan turut menyenaraikan sembilan adab ketika membaca al-Quran. Butirannya seperti berikut:

1. Apabila terasa hendak kentut ketika sedang membaca kalam ALLAH, maka dianjurkan memberhentikan bacaan dan buang angin hingga selesai, sebelum menyambungnya semula tanpa menyentuh al-Quran.

2. Makruh membaca al-Quran bagi orang yang keadaan mulutnya terkena najis.

3. Semasa membaca al-Quran dan terasa hendak menguap, dianjurkan supaya memberhentikan bacaan tersebut, kemudian meneruskannya usai menguap.

Baca juga Memang mudah baca al-Quran tulisan rumi, tapi elakkanlah. Ini sebabnya…

4. Dianjurkan untuk merendahkan bacaan apabila membaca ayat berikut dan ayat-ayat lain yang sama iaitu;

Terkentut

JAGALAH adab ketika membaca al-Quran. -FOTO: 123RF

– Pada ayat 30, Surah at-Taubah yang bermaksud: “…’Uzair putera ALLAH’ dan orang-orang Nasrani berkata, ‘al-Masih Isa putera ALLAH’…”

– Ayat 64, Surah al-Maidah yang bermaksud: “…’Tangan ALLAH terbelenggu (bakhil-kikir)’…”

– Ayat 88, Surah Maryam yang bermaksud: “…’ALLAH Yang MAHA PEMURAH mempunyai anak’.”

5. Makruh membaca al-Quran ketika rukuk, sujud dan tasyahud dalam solat serta ketika berdiri bagi makmum selain daripada bacaan al-Fatihah.

6. Makruh ketawa dan bercakap-cakap ketika membaca al-Quran.

7. Makruh bercakap di hadapan al-Quran kecuali membincangkan sesuatu yang bermanfaat.

8. Makruh bermain tangan atau melihat sesuatu yang menyebabkan hati lalai daripada menghayati al-Quran ketika sedang membacanya.

Baca juga Jangan malu merangkak-rangkak baca al-Quran, insya-ALLAH dapat dua ganjaran pahala

9. Makruh membaca al-Quran semasa bermusafir kerana keadaan dalam perjalanan nanti akan menyebabkan bacaannya buruk.

Justeru, jangan pandang remeh tentang adab-adab tersebut. Dalam kmelaksanakan suatu ibadah iaitu membaca al-Quran, usahlah kita cemari dengan perkara yang boleh mencacatkan amalan tersebut.

***Foto: Pexels

Surah al-Ikhlas
Gaya Hidup,

Orang yang mencintai surah al-Ikhlas disukai ALLAH SWT

“TAK hafal surah lain ke? Asyik baca surah al-Ikhlas je.”

“Dah tua bangka, takkan tahu surah ini saja?”

Mungkin anda pernah mendengar komen-komen seperti ini. Ataupun anda sendiri telah mengungkapkan kata-kata yang hampir serupa, lagi-lagi jika kawan yang mengetuai solat jemaah terlalu kerap mengulangi bacaan surah pendek itu.

Dari satu sudut mesej yang ingin disampaikan adalah supaya umat Islam sentiasa menambah ilmu dan kualiti dalam ibadah. Namun, berhati-hati, jangan sampai kita meleceh atau memperlekehkan amalan tersebut.

Hakikatnya, ada beza antara menasihati orang lain supaya mereka beroleh lebih banyak amal dengan memandang rendah orang yang hanya membaca surah al-Ikhlas.

Baca juga Jangan tinggalkan al-Quran, setidaknya bacalah 2 ayat terakhir Surah al-Baqarah setiap malam

SURAH Ikhlas dibaca bukan sekadar hanya ia mudah dibaca tetapi kerana kekayaan makna yang terkandung di dalamnya. Foto: Pexels

Turut disyorkan Ingin hafal Quran dan hati tenang, ikuti prosedur ini

Sebenarnya ada satu kisah menarik tentang surah al-Ikhlas yang diriwayatkan oleh Aisyah RA.

“Diceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah mengutus seseorang kepada sekelompok pasukan perang. Dan ketika orang tersebut mengimami sahabat-sahabatnya solat, dia sering mengakhiri bacaan dengan Surah ‘Qul Huwallahu Ahad’ iaitu surah al-Ikhlas.

Kemudian, apabila sahabat-sahabat tersebut pulang, mereka menceritakan perihal itu kepada Rasulullah SAW. Baginda lalu menyuruh mereka bertanya kepada orang itu sendiri mengapa melakukan hal tersebut.

Apa yang dijawab? Beliau menjawab kerana surah tersebut mengandungi sifat al-Rahman, dan dia sangat mencintai surah al-Ikhlas ini.

Lalu Nabi SAW membalas; “Beritahu beliau, sesungguhnya ALLAH pun mencintainya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Begitu sahabat Nabi SAW itu selalu membaca surah al-Ikhlas kerana benar-benar memahami maksud yang terkandung dalam surah tersebut sehingga ke tahap mencintai kalam ALLAH itu.

Baca juga Semak sebelum beli perhiasan ayat al-Quran, berat azab menanti orang yang permainkan kalamullah.

surah al-ikhlas

PUN begitum jangan jadikan rasa malas sebagai alasan untuk tidak perbaiki ibadah dengan mendalami surah-surah lain. Foto: Pexels

Justeru, surah Ikhlas dibaca bukan hanya kerana ia mudah dibaca tetapi kerana kekayaan makna yang terkandung di dalamnya.

Orang yang hanya membaca surah al-Ikhlas pula usah jadikan rasa malas sebagai alasan untuk tidak perbaiki ibadah dengan mendalami surah-surah lain.

Tidak salah kita menggalakkan orang untuk turut membaca dan menghafal surah-surah yang lain, tetapi pada masa sama usah memandang remeh dengan surah al-Ikhlas. Setiap surah walaupun pendek dan ringkas, ada keistimewaannya yang tersendiri.

Sumber: Tzkrh

Foto: Pexels & Unsplash

hafal quran
Uncategorized,

Ingin hafal Quran dan hati tenang, ikuti prosedur ini

Ingin hafal Quran dan hati tenang, ikuti prosedur ini…

MENGHAFAL al-Quran yang mengandungi kata-kata suci ALLAH SWT bukan sesuatu yang mudah. Bahkan kesungguhan dan motivasi tinggi diperlukan untuk melahirkan seorang penghafaz.

Walaupun begitu, ia bukan perkara yang mustahil bagi sesiapa yang berhasrat mengingati kitab suci tersebut sekiranya mereka mengamalkan tip-tip tertentu bagi memudahkan proses penghafalan.

Justeru, Sinar Islam Plus berkongsikan beberapa strategi menghafal al-Quran yang boleh diamalkan bagi para pembaca yang berharap dapat mendekatkan diri kepada kalamullah itu.

Baca juga 5 nikmat dan janji ALLAH SWT kepada pencinta al-Quran

hafal quran

AL-Quran diturunkan kepada sebagai panduan menerangi jiwa dan kehidupan manusia. Foto: Unsplash

Baca juga Mukjizat Al-Quran Kepada Nabi Muhammad SAW Paling Agung Berbanding Kitab-Kitab Samawi Lain

Strategi hafazan al-Quran

1. Pastikan tajwid betul sebelum menghafal
Sebelum memulakan hafalan, pastikan anda sudah boleh membaca surah yang ingin dihafal itu dengan tajwid yang betul.

Ambil tahu perkara ini kerana hafalan pertama akan menjadi ‘bacaan kekal’ kita yang sukar untuk dibetulkan pada masa hadapan. Jadi, jika ayat tersebut dibaca dengan salah, ia akan mendatangkan dosa apabila kesalahan itu diulang-ulang.

Oleh itu, anda disarankan mempunyai seorang guru untuk menyemak ketepatan sebutan dan tajwid bacaan anda. Namun, jika tidak mampu berguru, anda juga boleh memperdengar bacaan Qari atau Syeikh sambil merujuk kepada al-Quran.

SETIAP al-Quran mempunyai corak permukaan berbeza-beza pada kulit hadapan bergantung kepada penerbit. Foto: Unsplash

Baca juga Jangan tinggalkan al-Quran, setidaknya bacalah 2 ayat terakhir Surah al-Baqarah setiap malam

2. Gunakan mushaf yang sama
Bergantung kepada penerbitnya, setiap al-Quran mempunyai corak permukaan berbeza-beza.

Jika anda menggunakan mushaf yang sama, mata anda akan terbiasa dengan cara penulisan, warna serta hiasan di dalamnya lantas memudahkan proses penghafalan.

Turut disyorkan 6 waktu dianjurkan baca Surah al-Ikhlas

3. Bahagikan setiap muka surat al-Quran kepada dua atau tiga bahagian
Jika anda buntu jumlah ayat untuk dihafal, tipnya adalah dengan membahagikan setiap muka surat al-Quran itu kepada dua atau tiga bahagian mengikut keselesaan anda.

Hafal setiap muka surat itu bahagian demi bahagian disertai dengan seorang guru untuk menyemak bacaan tersebut.

Baca juga Para Malaikat Akan Mengerumuni Mereka Yang Bertadarus Al-Quran, Berikut Hikmah-Hikmah Lain

WALAU apa pun surah yang dibaca, jangan biarkan hari anda berlalu tanpa menyelak kitab suci al-Quran. Foto: Pexels

4. Hafal satu bahagian sepenuhnya sebelum lanjut ke bahagian seterusnya
Hafal sepenuhnya ayat al-Quran di bahagian pertama sehingga mampu membacanya dengan lancar tanpa melihat kitab. Setelah itu, barulah anda teruskan pula ke bahagian kedua.

Apabila selesai menghafal bahagian kedua, ulangi bacaan dari bahagian pertama dengan bertasmik (bacaan didengari oleh guru) bersama guru atau seseorang yang mahir tajwid. Seterusnya, lakukan yang sama pada bahagian ketiga muka surat.

Dalam pada itu, anda sebenarnya tidak digalakkan menghafal ayat al-Quran tanpa bertasmik dengan orang yang lebih berilmu.

Namun, jika anda tidak berguru, pilihan yang ada adalah dengan merakam suara anda ketika menghafal dan kemudian menyemak hafalan itu dengan mushaf untuk memastikan tiada kesalahan bacaan atau tajwid.

Baca juga Pelajar kurang pendengaran di Indonesia hafal al-Quran guna bahasa isyarat

hafal quran

JANGAN berputus asa menghafal kalam suci ALLAH SWT itu kerana ada ganjaran besar menanti para pencinta al-Quran.

5. Ulang, ulang dan ulangi bacaan
Selain itu, ambil peluang menghafal tidak kira bila dan di mana sahaja, terutamanya ketika melakukan pekerjaan seharian seperti memasak, memandu, menunggu dan sebagainya.

6. Lakukan perkara sama pada muka surat seterusnya
Setelah selesai menghafal kesemua bahagian dengan lancar, teruskan hafazan di muka surat seterusnya dengan menggunakan teknik sama.

Dalam masa sama, setiap ayat yang pernah dihafal perlu diulangi setiap hari agar tidak lupa.

Anda juga boleh menggunakan teknik hafazan yang mana lima hari seminggu digunakan untuk menghafal ayat-ayat baru. Manakala, dua hari berikutnya dijadikan masa mengulangkaji memantapkan hafalan lama.

hafal quran

SETIAP umat Islam wajib mengimani, memahami serta mengamalkan ajaran al-Quran. Foto: Pexels

Baca juga Baca ayat al-Quran atas katil atau sambil berbaring, adakah dikira tidak beradab?

Adab berdamping dengan al-Quran

Taraf al-Quran tidak sama dengan buku-buku lain yang boleh kita perlakukan dengan sesuka hati. Ia merupakan kalam ALLAH dan ada adab tertentu yang sepatutnya kita beramalkan ketika mendampinginya.

Antaranya adalah:

1. Pastikan niat menghafal ayat-ayat suci al-Quran adalah ikhlas untuk meraih rahmat dan keredaan ALLAH SWT. Jangan lakukan untuk menunjuk-nunjuk atau mengharapkan penghormatan orang lain.

3. Tinggalkan maksiat seperti menonton filem melalaikan, bergelak ketawa secara melampau dan sebagainya agar mudah menghafal.

4. Lazimkan mendengar alunan ayat-ayat suci al-Quran serta meninggalkan muzik seperti lagu pop atau rock.

Turut disyorkan Hindari 3 niat ini ketika baca al-Quran

5. Mempelajari bahasa Arab untuk memahami setiap bait ayat walau hanya sepotong perkataan dapat membantu kita dalam proses penghafalan.

6. Jangan sekadar menghafal al-Quran sahaja, bahkan ajaran dan akhlak yang dititip menerusi kitab suci itu perlu juga diamalkan dalam kehidupan seharian.

7. Antara masa terbaik untuk menghafal adalah selepas waktu Subuh ketika minda sedang segar dan juga tempoh antara Maghrib dan Isyak.

Sumber: SAYS , SirapLimau & Tzkrh

Foto: Pexels & Unsplash

al-quran
Berita Semasa,

Al-Quran bermotif corak tempatan bukti mukjizat ALLAH untuk semua

JIKA diamati senaskhah al-Quran dari Nasyrul Quran, ada satu ciri unik pada kitab suci tersebut yang pasti tidak akan terlepas daripada pandangan.

Apa yang menarik tentang mushaf terbitan pusat percetakan kedua terbesar di dunia itu adalah pada seni zukhruf bermotifkan corak Melayu yang menghiasi setiap helaian.

Mengapa zukhruf yang menjadi hiasan lembaran mengelilingi ayat-ayat suci ALLAH itu mencerminkan budaya tempatan sedangkan semua sedia maklum kalamullah diturunkan di bumi Arab seperti termaktub dalam sejarah?

Baca juga 5 nikmat dan janji ALLAH SWT kepada pencinta al-Quran

al-Quran

KOMPLEKS Nasyrul Quran yang terletak di Presint 14, Putrajaya adalah kilang percetakan al-Quran kedua terbesar di dunia. Foto: Nasyrul Quran

Al-Quran pedoman seluruh umat manusia

Mengulas perkara itu, Pengarah Komunikasi Korporat Nasyrul Quran, Norashikin Abdul Latiff berkata, walaupun al-Quran sering dikaitkan dengan bangsa Arab, namun ia adalah pedoman untuk diteladani seluruh umat manusia.

NORASHIKIN ABDUL LATIFF. Foto: Islamic Tourism Centre (ITC) & Grey Cube Sdn. Bhd.

“Al-Quran adalah untuk semua orang. Ada kisah di sebalik al-Quran yang kita (pihak Nasyrul Quran) harap untuk sampaikan kepada masyarakat,” katanya semasa penulis Sinar Islam Plus mengikuti sebuah lawatan di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya bersama beberapa rakan media lain.

Selain itu, pihak Nasyrul Quran turut menerbitkan al-Quran yang diterjemahkan kepada beberapa bahasa lain termasuk bahasa Inggeris, Hausa, Mandarin, Kazakh serta Tamil.

Turut disyorkan Adab dalam pelupusan al-Quran

al-Quran

HIASAN kitab terjemahan juga diinspirasikan oleh corak tradisional budaya masyarakat bahasa berkenaan. Foto: Islamic Tourism Centre (ITC) dan Grey Cube Sdn. Bhd.

Menariknya, setiap kitab terjemahan berkenaan juga menerima sentuhan zukhruf berdasarkan budaya masyarakat penutur bahasa tersebut supaya pembaca terasa lebih dekat dengan al-Quran.

Ujar Norashikin, “Kami mahu (pembaca) ada rasa identiti itu, jadi zukhruf (untuk kitab terjemahan) turut dipengaruhi oleh (budaya) negara berkenaan.

“Dalam masa sama, kami juga berharap cara ini dapat mengubah persepsi orang bukan Islam bahawa al-Quran hanya untuk orang Arab. Sebaliknya, ia adalah kata-kata ALLAH SWT ditujukan kepada seluruh manusia.”

Baca juga Manuskrip al-Quran tertua dunia bakal dipamerkan

KOMPLEKS Nasyrul Quran turut mengadakan aktiviti lawatan buat para pengunjung mengenali lebih mendalam proses penghasilan serta percetakan mushaf al-Quran. Foto: Islamic Tourism Centre (ITC) & Grey Cube Sdn. Bhd.

Turut disyorkan Pameran unik SK Kelana Jaya (1) wajar dicontohi, pupuk cinta terhadap Rasulullah SAW

Orang awam boleh melawat Kompleks Nasyrul Quran

Lawatan yang dihadiri penulis adalah sebahagian daripada aktiviti program Islamic Tourism Writers’ Workshop kelolaan Islamic Tourism Centre (ITC) bertujuan memberi pendedahan terhadap industri pelancongan Islam di Malaysia.

Menerusi lawatan tersebut, penulis berpeluang melihat proses percetakan kitab suci al-Quran serta fasiliti yang digunakan di Kompleks Nasyrul Quran.

al-quran

Proses percetakan di Kompleks Nasyrul Quran merangkumi kerja mencetak, penjilidan dan pembungkusan kitab al-Quran serta buku-buku agama lain. Foto: Sinar Islam Plus, Islamic Tourism (ITC) & Grey Cube Sdn. Bhd.

Kebetulan ketika itu juga cetakan pertama bagi al-Quran mushaf Waqaf dan Ibtida’ sedang dijalankan, maka penulis turut diberi kesempatan menjejakkan kaki ke dalam kawasan kilang yang biasanya tidak dibuka kepada orang awam.

Di kilang tersebut, proses percetakan merangkumi kerja mencetak, penjilidan dan pembungkusan kitab al-Quran serta buku-buku agama lain.

Baca juga 5 amalan murah rezeki, al-Quran hadis sebagai panduan

KILANG percetakan Kompleks Nasyrul Quran dipenuhi ribuan helaian mengandungi ayat-ayat suci al-Quran menyebabkan ia tidak dibenarkan diakses oleh orang awam. Foto: Islamic Tourism Centre (ITC) dan Grey Cube Sdn. Bhd,

 

Walaupun tidak dibenarkan masuk ke kawasan kilang demi menjaga kesucian kalam ALLAH yang dicetak, namun orang ramai masih boleh menyaksikan proses percetakan tersebut melalui dek pemerhatian ketika mengikuti lawatan anjuran Kompleks Nasyrul Quran.

Melalui lawatan itu, para pengunjung akan didedahkan dengan peranan Yayasan Restu dan Nasyrul Quran, selain diberikan penerangan tentang proses pembuatan serta percetakan al-Quran.

Baca juga Hukum mencium al-Quran, ramai yang masih keliru tentang perkara ini. Jom hadamkan penjelasan pendakwah ini

GALERI Kompleks Nasyrul Quran mempamerkan pelbagai jenis manuskrip daripada mushaf lama dan baru dari serata dunia berserta sejarah di sebaliknya. Foto: Islamic Tourism Centre (ITC) & Grey Cube Sdn. Bhd.

Kompleks tersebut turut memiliki ruang galeri mempamerkan pelbagai mushaf lama dan baru dari dalam serta luar negara.

Jelas Norashikin, lawatan adalah percuma dan terbuka kepada orang ramai tanpa mengira bangsa dan agama dengan harapan lebih banyak masyarakat mengenali keindahan al-Quran.

al-quran

MENARIKNYA, setiap zukhruf atau rekaan seni bagi setiap juzuk dalam kitab al-Quran terbitan Nasyrul Quran adalah berbeza mengikut identiti negeri-negeri Malaysia. Foto: Sinar Islam Plus, Islamic Tourism Centre (ITC) & Grey Cube Sdn. Bhd.

Turut disyorkan Lakukan tujuh amalan ini supaya pahala kekal mengalir setelah kita meninggal dunia

“Bukan sekadar golongan bukan Islam, malah orang Muslim sendiri perlu tahu tentang kisah-kisah al-Quran. Malangnya apabila kita membesar, kita lupa ia (al-Quran) adalah surat dari ALLAH.

“Al-Quran adalah surat cinta yang kita perlu baca dan terus membaca. Walaupun kini, kita boleh membaca (ayat suci al-Quran) melalui gajet di tangan, tetapi mukjizat memegang mushaf al-Quran itu sendiri hanya datang dari ALLAH SWT.

“Ada keajaiban di sebalik mempelajari al-Quran sambil menyentuh kalam suci itu dengan jari-jemari anda. (Keajaiban itu) tidak dapat saya ungkapkan dengan kata-kata. Sebaliknya, anda perlu alaminya sendiri,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut boleh hubungi:

NASYRUL QURAN

14811, Jalan P14J Precinct 14, 62675 Putrajaya

Tel: 012-919 3095

Laman web: www.nasyrulquran.com

Sumber: Nasyrul Quran

Foto: Islamic Tourism Centre (ITC), Grey Cube Sdn. Bhd. & Sinar Islam Plus

 

 

Nahu ringkas
Berita Semasa, Dalam Negara,

Kaedah Nahu Ringkas hilangkan kegusaran belajar bahasa Arab dan al-Quran

YAYASAN Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dengan kerjasama Akademi Al-Quran Al-Bayan menganjurkan Bengkel Kaedah Nahu Ringkas (Bahasa Arab al-Quran) di Kumpulan Karangkraf pada awal Disember lalu.

Seramai 35 peserta daripada ahli Rumah Ngaji di seluruh negara dan warga kerja WUIF menyertai bengkel untuk mempelajari cara mudah belajar serta menterjemah bahasa Arab al-Quran agar mesej umumnya dapat diterima secara langsung.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, program empat hari (20 jam) itu memberi pendedahan untuk memahami al-Quran melalui Kaedah Nahu Ringkas yang dibangunkan oleh Akademi Al-Quran Al-Bayan.

Ia selari dengan kempen #QuranHour melalui baca, faham dan amal di bawah WUIF dalam membawa misi MengQurankan Bangsa, Mengikhlaskan Ummah.

Baca juga My #QuranTime 2.0 bakal menemui penonton mulai Rabu depan, ada 2,111 episod kesemuanya

“Surah al-Insan sebagai surah pilihan sepanjang kempen #QuranHour pada 2023, termasuk World #QuranHour, Arafah #QuranHour, Malaysia #QuranHour dan World #QuranConvention menjadi bahan latihan bengkel tersebut.

“Dengan memahami isi kandungan surah tersebut, ia mengajak orang ramai untuk memanusiakan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

“Bengkel Kaedah Nahu Ringkas yang pertama kali diadakan di bawah WUIF memberi pendekatan untuk mengenali bahasa Arab al-Quran yang lazim dibaca untuk difahami,” katanya.

Mengupaya masyarakat

Sementara itu Mudirah, Nahuringkas. com, Norhaida Kasim berkata, Akademi Al-Quran Al-Bayan membangunkan modul Kaedah Nahu Ringkas untuk belajar bahasa Arab dengan tujuan mengupaya masyarakat Islam dengan kemahiran asas nahu bahasa Arab.

NORHAIDA

Kemahiran yang diperoleh dari bengkel tersebut, ujarnya, dapat menghilangkan kegusaran dan ketakutan belajar bahasa Arab.

Menurut Norhaida lagi, ALLAH pilih bahasa Arab untuk belajar dan memahami ayat al-Quran.

Justeru, ia memerlukan akal untuk menggali isi kandungan al-Quran.

Baca juga Jangan malu merangkak-rangkak baca al-Quran, insya-ALLAH dapat dua ganjaran pahala

“Untuk memahami kalam ALLAH, kita perlu tetapkan niat untuk belajar. Ia merupakan satu kewajiban agar ada kefahaman untuk mentadabbur al-Quran”, jelasnya.

ALLAH SWT berfirman: “Kitab (al- Quran) yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan keberkatan agar mereka menghayati ayat-ayatnya dan agar orang-orang yang berakal sihat mendapat pengajaran.” (Surah Sad, ayat 29)

ALLAH SWT berfirman: “Dan sungguh, telah Kami mudahkan al-Quran untuk peringatan, maka adakah orang yang mahu mengambil pengajaran.” (Surah Al-Qamar, ayat 17)

Beliau memetik kata-kata Saidina Umar al-Khatab: “Pelajarilah bahasa Arab, sesungguhnya ia adalah sebahagian daripada agama kamu.”

Ia menunjukkan belum sempurna orang Islam tanpa mempelajari dan memahami bahasa Arab al-Quran.

“Akademi yang ditubuhkan bersama rakan kongsi, Shaziman Mohamad dan Zolkapli Ibrahim ini turut berusaha membangunkan mushaf per-kata yang disertakan dengan panduan i’rab serta saraf bahasa Arab.

“Disebabkan usaha tersebut, kami terdorong menghasilkan modul Nahu Ringkas ini.

Nahu ringkas

FASILITATOR membimbing peserta membuat latihan nahu ringkas.

“Hasil usaha bersama Munsyi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Zauwiyah Abd Shukur, kami membuat terjemahan mengikut kaedah nahu yang ringkas, padat dan berstruktur. Dengan izin ALLAH, kaedah tersebut berkesan untuk semua peringkat umur,” katanya.

***Artikel ditulis oleh Fouziah Amir daripada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas

baca al-quran
Ibadah,

Jangan tinggalkan al-Quran, setidaknya bacalah 2 ayat terakhir Surah al-Baqarah setiap malam

SABDA Nabi SAW, “Sesiapa membaca satu huruf daripada al-Quran maka dia melakukan satu kebajikan. Dan satu kebajikan itu dilipatgandakan sepuluh kali. Saya tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, melainkan Alif itu satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Begitu hebatnya nilai setiap ayat yang terbit dari kalam ALLAH yakni al-Quran. Jika membaca satu huruf pun akan diganjarkan sepuluh kebaikan, bayangkan betapa banyak amal baik yang kita peroleh sekiranya habis kitab suci itu dibaca.

Selain itu, ada pula anjuran untuk membaca ayat dan surah tertentu pada waktu yang lebih khusus seperti surah al-Kahfi setibanya hari Jumaat atau surah al-Mulk ketika malam hari.

Baca juga 6 waktu dianjurkan baca Surah al-Ikhlas

baca al-quran

APABILA terlalu asyik dengan urusan keduniaan, adakalanya kita terlupa tentang al-Quran yang diibaratkan sebagai ‘surat cinta’ ALLAH SWT kepada hamba-hamba-NYA. Foto: Unsplash

Turut disyorkan 5 nikmat dan janji ALLAH SWT kepada pencinta al-Quran

Bacalah walau semuka sehari

Walau apa pun surah yang dibaca, jangan biarkan hari anda berlalu tanpa menyelak kalamullah tersebut.

Tidak kira di mana anda berada, baik sedang menunggu lampu isyarat mahupun terperangkap dalam kesesatan jalanraya, ambillah peluang membaca sekurang-kurangnya satu muka surat al-Quran sehari.

KITAB suci al-Quran adalah panduan terulung buat seluruh umat Islam serata dunia. Foto: Unsplash

Namun, jika tetap tidak berkesempatan, membaca dua ayat terakhir surah al-Baqarah pada setiap malam juga sudah memadai.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda, “Sesiapa yang membaca dua ayat terakhir Surah al-Baqarah pada malam hari, maka ia sudah cukup.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Rasulullah SAW berkata orang yang membaca dua ayat ini pada malam hari, maka ia sudah mencukupi. Tetapi, apa yang dimaksudkan dengan ‘cukup’ di sini?

Baca juga [VIDEO] Tinggalkan rumah dengan rakaman Surah al-Baqarah yang terpasang. Ini yang wajib kita ambil tahu…

Fadilat membaca dua ayat terakhir surah al-Baqarah

Memetik portal Rumaysho, sebahagian ulama berpendapat kata ‘cukup’ itu bermaksud ayat berkenaan dapat menggantikan solat malam.

AMALAN membaca dua ayat terakhir surah al-Baqarah itu dikatakan memikili seribu satu kebaikan. Foto: Pexels

Manakala, ada ulama menyatakan makna cukup adalah dijauhkan daripada gangguan syaitan dan segala macam penyakit. (Rujuk Syarh Sahih Muslim, 6:83-84)

Prof Dr Musthafa al-Bugha, ahli Fiqh Syafie menerusi Kitab Nuzhah Al-Muttaqin pula menyebutkan bahawa ada juga ulama menyatakan maksud cukup adalah pengganti kepada pelbagai zikir kerana dalam ayat surah Al-Baqarah ini sudah ada doa untuk meminta kebaikan di dunia dan akhirat.

Hakikatnya sudah ada pelbagai cara dibentangkan kepada kita untuk beramal dengan Al-Quran. Walau sibuk mana sekalipun kita, jangan lupa juga mengisi malam hari dengan amalan mudah ini.

Sumber: Tzkrh & Rumaysho

Foto: Pexels & Unsplash

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus

Maryam tamar
Inspirasi,

Hikmah Maryam diperintahkan ALLAH menggoncang pokok tamar selepas bersalin

Ini kisah Maryam pernah diperintah ALLAH menggoncangkan pokok tamar.

MAN jadda wajada’, ungkapan Arab itu begitu popular dalam masyarakat kita. Apabila diterjemahkan ke dalam bahasa tempatan, ia bermaksud, ‘Barangsiapa yang bersungguh-sungguh, pasti ia akan mendapat hasil’.

Mutiara kata itu memberi peringatan bahawa untuk mendapatkan sesuatu, kita perlu usaha. Jika hanya sedikit usaha yang diberikan, maka hasilnya pun tidaklah begitu besar dan sebaliknya.

Pun begitu, setiap Muslim tidak boleh sekadar bergantung kepada sebab atau usaha yang dilakukan. Dalam masa sama, ia perlu disertai dengan perasaan tawakal kepada ALLAH yang MAHA PEMBERI REZEKI.

Baca juga Impak luar biasa melanda anda jika istiqamah amal tiga perkara ini

Maryam tamar

JIKA kita berusaha bersungguh-sungguh sambil memohon pertolondan ALLAH SWT, nescaya TUHAN akan permudahkan urusan kita. Foto: 123Rf

Turut disyorkan Kisah Qitmir, si anjing peneman pemuda-pemuda hebat Ashabul Kahfi

Menyentuh tentang usaha, ada satu kisah yang boleh dijadikan iktibar dalam kehidupan seharian kita, seperti dikongsikan Profesor Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi, Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia di media sosial.

Tulisnya, ALLAH SWT pernah memerintahkan Saidatina Maryam yang selesai melahirkan anak supaya menggoncangkan pokok tamar untuk menggugurkan buahnya. Firman ALLAH,

Dan gegarlah (goncangkanlah) batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.” (Surah Maryam, ayat 25)

Baca juga Semak semula kisah Hindun makan hati Hamzah RA, popular tetapi tidak sahih

JANGAN biarkan kudrat menjadi penghalang anda berusaha melakukan ibadah kepada ALLAH SWT dan berbuat baik kepada masyarakat. Foto: 123RF

Baca juga Ini sebabnya kenapa Rasulullah SAW berbuka puasa dengan kurma

Bayangkan seorang wanita yang baru bersalin diperintahkan untuk menggoncangkan pokok tamar. Namun, mengapa ALLAH mengeluarkan suruhan sedemikian?

Jika diikutkan, boleh sahaja ALLAH memberikan rezeki kepada Saidatina Maryam sepertimana DIA kurniakan Maryam buah-buahan yang tidak ada pada musimnya sebelum ini. Kisah itu ada diceritakan dalam kitab suci al-Quran.

(Nabi Zakaria bertanya kepada Maryam): “Wahai Maryam, dari mana kamu dapat buah-buahan ini? Maryam menjawab “ia adalah dari sisi ALLAH.”” (Surah Ali Imran, ayat 37)

Baca juga Amalkan Selalu, Mudah-mudahan Bantuan ALLAH Segera Tiba

Kata Dr Sanusi, menerusi ayat ke-37 Surah Ali Imran itu, ALLAH sebenarnya ingin membuktikan kebesaran kuasa-NYA yang mampu mengurniakan rezeki yang tidak disangka-sangka.

Namun, dalam masa sama, DIA turut memerintahkan Maryam menggoncangkan pokok tamar bagi mendapatkan buahnya untuk mendidik manusia bahawa rezeki mestilah diusahakan.

Turut disyorkan Tiga jenis kepenatan yang disukai ALLAH

Maryam tamar

JANGAN mudah berputus asa, sebaliknya kita seharusnya memanfaatkan sebaik mungkin nikmat yang dikurniakan ALLAH SWT seperti tubuh badan sihat dan nyawa yang panjang. Foto: 123RF

Tetapi, bagaimana seorang ibu yang masih lemah selepas bersalin mampu menggegarkan batang pohon sehingga gugur buah tamar? Pastinya ia bukan suatu perkara yang mudah.

Dr Sanusi menjelaskan bahawa pengajaran yang ditunjukkan oleh ALLAH di sini adalah walaupun dengan kudrat yang terbatas, asalkan kita berusaha dan tidak berputus asa, maka DIA akan menurunkan rezeki dan rahmat-NYA kepada kita.

Hakikatnya, ramai yang tidak bersungguh-sungguh apabila melakukan sesuatu pekerjaan atau ibadah kepada ALLAH SWT. Tetapi, dalam masa sama, ada hati pula mengharapkan ganjaran dan pahala melebihi usaha kecil yang dikerahkan.

Sebaliknya, pelajarilah daripada kisah Maryam menggoncangkan pohon tamar yang sukar gugur buahnya, dengan kudrat yang lemah.

Sumber: #MyHadithTime

Foto: 123RF

Larangan ALLAH
Gaya Hidup, Gaya Hidup,

Mengapa masih seronok buat larangan ALLAH sedangkan solat cukup dan sudah baca al-Quran?

“SOLAT cukup, baca al-Quran pun sudah, siap dengan terjemahan lagi, tapi kenapa kita tetap buat perkara larangan ALLAH?”

Persoalan itu kadangkala menerpa ruang fikiran. Masakan tidak, semua sedia maklum bahawa solat itu pencegah kepada kemungkaran.

Namun, entah mengapa sukar benar mengawal diri daripada melakukan perkara yang tidak disukai ALLAH SWT. Jika bukan kerana bisikan syaitan, barangkali nafsu menjadi antara puncanya.

Baca juga Jangan Tunduk Pada Hawa Nafsu

Ya, itulah gejolak rasa dialami setiap manusia. Bukan mudah sebenarnya untuk bermujahadah melawan makhluk ALLAH yang terkutuk itu dan keinginan hati yang begitu membuak-buak.

Apatah lagi kita hanya manusia biasa yang punya kekurangan diri. Sudah tentulah ada ketika, terbabas juga melakukan kesalahan.

Sebenarnya, semua yang kita alami itu merupakan hakikat kehidupan. Hidup merupakan ujian.

Demikian peringatan yang diberikan oleh pendakwah Ustaz Muhammad Fahmi Rusli menerusi ciapan di Twitter miliknya baru-baru ini.

USTAZ MUHAMMAD FAHMI

Perkara itu jelas dinyatakan dalam al-Quran menerusi Surah Muhammad, ayat 31 yang bermaksud: “Sesungguhnya, KAMI benar-benar akan menguji kamu sehingga KAMI mengetahui orang-orang yang benar-benar berjihad dan bersabar di antara kamu, dan KAMI akan uji kamu.”

Mengulas lanjut, Ustaz Muhammad Fahmi menjelaskan, ujian datang dalam dua bentuk utama iaitu meninggalkan suruhan ALLAH SWT dan melakukan larangan-NYA.

Mengambil contoh dosa yang dilakukan oleh Nabi Adam AS dan iblis, katanya, kedua-dua mereka diuji dengan salah satu bentuk ujian tersebut.

“Cuma bezanya, apabila Nabi Adam melakukan dosa, baginda menyesal dan mengaku salah, lalu berdoa memohon ampun kepada ALLAH SWT.

Baca juga Mengapa iblis tidak mendapat pengampunan daripada ALLAH YANG MAHA ESA? Ini punca-puncanya…

“Iblis pula bersifat sebaliknya. Dia berdosa, tetapi makhluk itu menjustifikasikan dosanya. Malah, berasa sombong dan langsung tidak berasa bersalah. Rasa apa yang dilakukan semua betul,” katanya.

Contoh yang diberikan itu sebenarnya mempunyai kaitan rapat dengan ujian yang dilalui oleh setiap manusia, ungkapnya.

Larangan ALLAH

PINTU taubat masih terbentang luas buat setiap insan tanpa mengira siapa pun kita, selagi nyawa belum sampai ke halkum. Sama-samalah berdoa semoga kita tetap istiqamah dan meninggal dunia dalam nikmat Islam dan iman. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: 123RF

“Inilah yang saya maksudkan dengan ujian. Ujian nafsu, syahwat dan sebagainya. Isunya, bagaimana kita mendepani dan menanganinya?,” soalnya.

Tip hadapi ujian hidup

Ustaz Muhammad Fahmi yang juga Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan itu turut berkongsikan tip bagi menghadapi situasi berkenaan seperti berikut:

i. Jangan sesekali menjustifikasikan maksiat tersebut. Salah tetap salah.
ii. Sentiasa bertaubat dan memperbanyakkan amalan ketaatan. Ingatlah, kebaikan memadamkan kejatahan sebagaimana disebut dalam Surah Hud, ayat 114.
iii. Penghuni syurga bukan tidak pernah berdosa semasa di dunia. Bahkan, mereka menghuni jannah itu kerana pahalanya lebih banyak berbanding dosa.
iv. Pentingnya amal soleh. Barangkali kerjanya hanya satu, tetapi ganjarannya dua iaitu dikurniakan pahala dan diampunkan dosa.
v. Paling penting, kadangkala kita masih menurut nafsu syahwat walaupun banyak solat kerana alat-alat pendorong syahwat itu banyak dan dekat. Jadi peralatan tersebut perlu dicantas.
– Ketahuilah, solat dan ibadah merupakan salah satu wasilah. Ia bukannya satu-satunya wasilah dalam meninggalkan maksiat.
– Jika telefon bimbit yang membawa kita menurut nafsu, maka cantaslah ia.
– Andai kawan-kawan yang membawa kita mengikut syahwat, ‘cantas’ rakan-rakan sebegini.
– Begitu juga tempat atau persekitaran yang menjebakkan diri kita ke arah maksiat, maka buanglah dan cari persekitaran yang baharu.

Baca juga [VIDEO] Bersabarlah bila ditimpa ujian. Begitu besar rupanya hadiah orang yang bersabar…

Apa jua dugaan atau kesukaran yang dihadapi, bersabarlah dan berusaha untuk mencari solusinya. Mengertilah, selagi kita bergelar hamba ALLAH, selama itulah kita tidak akan pernah berhenti menerima ujian-NYA.

Larangan ALLAH

APABILA diuji dalam kehidupan, bersabarlah dan kembali kepada fitrah. FOTO: 123RF

Semua itu bagi menguji sejauh mana keimanan kita kepada Yang MAHA ESA.

***Foto: Freepik

My #QuranTime
Berita Semasa,

My #QuranTime 2.0 bakal menemui penonton mulai Rabu depan, ada 2,111 episod kesemuanya

PROGRAM yang mencipta fenomena ‘Baca, Faham, Amal al-Quran’, My #QuranTime (MQT) 2.0 bakal bersiaran setiap minggu bermula Rabu depan (14 Disember 2022) mulai jam 12 tengah hari hingga 1 petang.

Rancangan terbitan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) sebanyak 2,111 episod itu bakal menemui penonton menerusi semua platform digital Quran Hour, Sinar Harian dan Kumpulan Media Karangkraf untuk menarik lebih ramai segmen orang muda di samping golongan dewasa, penonton setia dan baharu.

Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, MQT musim terbaharu itu memfokuskan kepada usaha mempertingkatkan kualiti solat melalui bacaan al-Quran bertajwid, memahami isi bacaan kalam ALLAH itu menerusi tadabbur tahap dua, di samping memperbaiki mutu sembahyang.

Berbeza dengan siaran terdahulu yang diterbitkan dengan kerjasama TV Alhijrah sejak 2020, jelas beliau, WUIF kali ini membuka peluang kepada semua stesen televisyen dalam dan luar negara untuk menayangkan program berkenaan.

HUSSAMUDDIN

Tujuannya supaya ia menjadi solusi membina kerangka fikir dan karakter ummah berpandungan al-Quran dan as-Sunnah, ungkapnya.

Baca juga Rekod lebih 10 juta penonton, rancangan My #QuranTime bakal dibukukan tak lama lagi

“Kami sedang berunding dengan beberapa stesen TV agar program MQT yang diterbitkan WUIF dengan sebahagian hasil dana daripada sumbangan Tabung Gerakan Quran oleh orang ramai dapat membawa impak besar kepada proses membumikan al-Quran yang disasarkan pada tahun 1500 Hijrah untuk ‘MengQurankan Bangsa, MengIkhlaskan Ummah’.

“Insya-ALLAH dengan sinergi media untuk ummah di beberapa saluran TV, MQT bukan lagi ditayangkan secara eksklusif di saluran TV AlHijrah sahaja, tetapi ia akan menjadi langkah pendidikan jiwa dan karakter bagi banyak keluarga dan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Hussamuddin mengharapkan agar MQT yang dibina atas usaha Wakaf Konten melibatkan sumbangan individu, organisasi dan orang ramai itu boleh digunakan sepenuhnya bagi tujuan melahirkan pelbagai kajian, selain program digital dan TV untuk ummah.

“Semoga program yang dilahirkan ini agar menjadi bahan rujukan sepanjang zaman kepada orang ramai, sekolah, kelas pengajian dan organisasi.

Baca juga Al-Quran Bukan Hiasan, Sebaliknya Perlu Dibaca Dan Diamalkan

“Usaha yang lebih giat bermula dua tahun lalu ini telah menjadi pusat khazanah al-Quran di mana kajian dan program al-Quran diletakkan secara atas talian untuk rujukan semua. Malah, Wakaf Konten ini telahpun dimanfaatkan oleh siaran Quran TV di negara jiran juga, seperti Indonesia,” katanya.

My #QuranTime

Program MQT dilancarkan selepas melalui kajian konten dengan rujukan 18 kitab tafsir dan hadis al-Bukhari serta Muslim, selain proses latih tubi lebih dua bulan agar kandungan al-Quran dapat disampaikan dalam bentuk lebih mudah dan difahami.

Musim pertama menyaksikan sebanyak 838 episod ditayangkan dengan merekodkan sebanyak 85 juta tontonan di skrin melibatkan lebih 150,000 sahabah al-Quran di dalam dan luar negara.

MQT 2.0 masih mengekalkan peneraju, Ustaz Fazrul Ismail selaku pentadabbur dan Ustaz Ahmad Tirmizi Ali serta Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman sebagai qari. Slot ulangkaji pula akan diisi oleh pentadabbur dan qari jemputan.

Gaya Hidup,

6 waktu dianjurkan baca Surah al-Ikhlas

APABILA melakukan ibadah lima waktu, surah al-Ikhlas adalah antara doa yang digemari oleh umat Islam untuk dibaca selepas solat.

Walaupun surah tersebut tidak begitu panjang, namun membacanya dikatakan membawa pahala yang setara dengan membaca sepertiga al-Quran.

Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda kepada para sahabatnya: “Apakah salah seorang dari kalian tidak mampu bila ia membaca sepertiga dari Al-Quran pada setiap malamnya?” dan ternyata para sahabat merasa kesulitan seraya berkata, “Siapakah di antara kami yang mampu melakukan hal itu wahai Rasulullah?” maka baginda pun bersabda: “Allahul Waahid Ash Shamad (maksudnya Surah al-Ikhlas) nilainya adalah sepertiga Al-Quran.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Baca juga Subhanallah, 70,000 Malaikat Akan Memohon Keampunan Untuk Mereka Yang Amalkan Surah Ad-Dukhan

Meskipun kita dianjurkan mempelbagaikan surah yang dilafaz ketika solat sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, tetap tiada masalah untuk membaca surah al-Ikhlas berulang-ulang kali semasa melaksanakan ibadah itu.

Memetik portal Tzkrh, surah al-Ikhlas juga digalakkan agar dibaca pada enam waktu ini seperti yang diriwayatkan dalam beberapa hadis:

surah al-Ikhlas

USAH pandang remeh terhadap surah al-Ikhlas. Walaupun ayatnya pendek sahaja, namun ada fadilat besar apabila membacanya. Foto: Pexels

Turut disyorkan Rasulullah SAW pernah disihir? Ini sebab surah al-Falaq diturunkan.

1. Waktu pagi dan petang.
Dari Muaz bin Abdullah bin Khubaib dari bapanya ia berkata;

Pada malam hujan lagi gelap gelita kami keluar mencari Rasulullah SAW untuk solat bersama kami, lalu kami menemukannya. Beliau bersabda, “Apakah kalian telah solat?”

Namun sedikitpun aku tidak berkata-kata. Beliau bersabda, “Katakanlah“. Namun sedikit pun aku tidak berkata-kata. Beliau bersabda, “Katakanlah“. Namun sedikit pun aku tidak berkata-kata. Kemudian beliau bersabda, “Katakanlah“. Hingga aku berkata, “Wahai Rasulullah, apa yang harus aku katakan?” Rasulullah SAW bersabda, “Katakanlah (bacalah surah)

Qul Huwallahu Ahad dan Qul A’udzu Birobbinnaas dan Qul A’udzu Birobbil Falaq

ketika petang dan pagi sebanyak tiga kali, maka dengan ayat-ayat ini akan mencukupkanmu (menjagamu) dari segala keburukan.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Nasai)

Orang sakit lebih rapat dengan ALLAH kerana penyakit yang dihidapi mengingatkannya kepada Tuhan. Dosa mereka juga digugurkan lantas menjadikan doa mereka mustajab. Foto: Pexels

2. Ketika sakit.
Dari Aisyah RA, dia berkata, “Apabila Rasulullah SAW hendak tidur, beliau akan meniupkan ke telapak tangannya sambil membaca Qul Huwallahu Ahad (Surah al-Ikhlas) dan Mu’awidzatain (Surah an-Naas dan al-Falaq), kemudian beliau mengusapkan ke wajahnya dan seluruh tubuhnya. Aisyah berkata, “Ketika beliau sakit, beliau menyuruhku melakukan hal itu (sama seperti ketika beliau hendak tidur).” (Hadis Riwayat Bukhari)

Turut disyorkan Ikhlaskan hati, usah mengeluh menjaga orang sakit kerana ganjaran besar menanti

3. Sebelum tidur.
Dari Aisyah RA, katanya, “Nabi SAW ketika berada di tempat tidur di setiap malam, baginda mengumpulkan kedua telapak tangannya lalu kedua telapak tangan tersebut ditiup dan dibacakan ’Qul huwallahu ahad’ (Surah al-Ikhlas), ’Qul a’udzu birobbil falaq’ (Surah al-Falaq) dan ’Qul a’udzu birobbin naas’ (Surah an-Naas).

Kemudian baginda mengusapkan kedua telapak tangan tadi pada anggota tubuh yang mampu dijangkau dimulai dari kepala, wajah, dan tubuh bagian depan. Beliau melakukan yang demikian sebanyak tiga kali.” (Hadis Riwayat Bukhari)

surah al-ikhlas

BAYANGKAN dengan tidur pun kita boleh dapatkan pahala dengan mengamalkan sunnah Nabi Muhammad SAW. Foto: Freepik

Turut disyorkan Sunnah kibas tilam sebelum tidur. Ini sebabnya

4. Wirid selepas solat.
Dari Uqbah bin Amir, “Rasulullah SAW memerintahkan padaku untuk membaca Mu’awwidzaat di akhir solat (sesudah salam).” (Hadis Riwayat Nasai dan Abu Daud)

Menurut Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani dalam Kitab Fathul Bari, mu’awwidzaat terdiri daripada surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Naas.

5. Semasa solat sunat Qabliyah (sebelum) Subuh.
Aisyah RA berkata bahawa Rasulullah SAW solat dua rakaat sebelum subuh dan baginda bersabda:

“Sebaik-baik surah yang dibaca ketika dua rakaat qobliyah subuh adalah Qul yaa ayyuhal kaafirun (surat Al Kafirun) dan Qul huwallahu ahad (surat Al Ikhlas).” (Hadis Riwayat Ibnu Hajar Al-Asqalani – dalam Kitab Fathul Bari, 3/57 dengan sanad yang kuat)

PELIHARALAH solat kita dengan sebaik mungkin kerana ia merupakan tiang agama dan lunaskanlah segala hutang kita dengan ALLAH jika ada. Foto: 123rf

6. Semasa solat sunat Ba’diyah (selepas) Maghrib.
Abdullah bin Mas’ud RA mengatakan,

“Aku tidak dapat mengira kerana sangat sering aku mendengar bacaan Rasulullah SAW membaca surah pada solat dua rakaat Ba’diyah maghrib dan pada solat dua rakaat Qabliyah subuh iaitu Qul yaa ayyuhal kafirun (Surah al-Kafirun) dan qul huwallahu ahad (Surah al-Ikhlas).” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Oleh itu, jangan memandang remeh terhadap surah ringkas ini. Bahkan, setiap surah ada keistimewaan yang tersendiri.

Sumber: Tzkrh & Rumaysho

Foto: Pexels & 123rf