SYRIA kini berada pada kedudukan lima negara termiskin di Asia. Angka tersebut dikongsi dalam laporan Bank Dunia berdasarkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2020 iaitu $870.00.
Kemelut berpanjangan turut mengakibatkan mata wangnya jatuh merudum. Ketika ini di pasaran terbuka, 1USD bersamaan 2,512.03 SYP. Menurut wage.org secara purata, rakyat Syria mendapat gaji antara 9,765 SYP hingga 14,760 SYP sebulan sedangkan harga seliter petrol yang dijual di pasaran gelap adalah 7,000SYP seliter!
Inilah realiti sebenar yang terpaksa dilalui oleh penduduk negara itu. Angka berkenaan diambil berdasarkan kaji selidik yang dibuat di kawasan dikuasai tentera kerajaan sedangkan bagi pelarian dalam negeri (IDP), keperitan yang mereka tanggung di luar gambaran kita.
Kemerosotan ekonomi dan krisis yang melanda mengakibatkan penduduk setempat berdepan masalah kekurangan bekalan makanan, ubat-ubatan, diesel serta berbagai keperluan lain. Di samping itu, penularan Covid-19 menambahkan lagi tekanan sedia ada. Berdasarkan statistik Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria tahun 2020, sekurang-kurangnya 586,000 nyawa telah terkorban termasuk lebih 116,000 orang awam.
Krisis pelarian terbesar dunia
Konflik yang berlanjutan juga menyebabkan lebih 11 juta orang menjadi pelarian di dalam dan luar negara, bahkan sehingga kini Syria kekal sebagai krisis pelarian terbesar di dunia. Lebih daripada 6.8 juta rakyat Syria telah terpaksa meninggalkan negara mereka sejak 2011 dan 6.9 juta orang telah kehilangan tempat tinggal.
Baca juga Bantu segera, berjuta sedang sengsara di Syria
Kira-kira 5.2 juta pelarian mendapatkan perlindungan di negara jiran terutamanya di Türkiye, Lubnan dan Jordan. Jerman pula merupakan negara tuan rumah bukan jiran terbesar dengan lebih 620,000 pelarian Syria.
Berdasarkan laporan Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNOCHA), seramai 11.1 juta penduduk di Syria memerlukan bantuan kemanusiaan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Konflik kemanusiaan yang melanda Syria juga telah memusnahkan kemudahan bekalan air bersih dan infrastruktur pembetungan di sana.
Terbaharu, menurut pihak berkuasa perubatan, jumlah kematian akibat taun meningkat kepada 12 orang dan 384 yang lain disahkan dijangkiti wabak itu. 92 kematian (kadar kematian kes 0.3 peratus) dan 35,569 kes disyaki taun telah dilaporkan antara 25 Ogos dan 9 November lalu. Jumlah kes yang disahkan dan disyaki akan terus meningkat dengan drastik.
Fragmen derita masyarakat Syria masih belum berakhir dan anda mampu mengubahnya. Tambah lagi dalam musim sejuk. Cuaca sejuk yang ekstrem adalah umpama mimpi buruk buat mereka kerana kesejukan melampau di bawah paras beku boleh meragut nyawa.
Hanya semangat jadi azimat
Menambah parah apabila apa sahaja barangan termasuk sampah dijadikan bahan bakar bagi menghasilkan haba untuk memanaskan badan. Ia secara langsung mengundang satu lagi risiko asap toksik yang berupaya membuatkan seseorang itu sesak nafas dan boleh mencetuskan kebakaran khemah yang didirikan secara bersebelahan.
Menyorot pengalaman Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki sewaktu melaksanakan misi bantuan ke sana, jalan-jalan dan kawasan perkhemahan pelarian penuh lecak serta berlumpur.
Hujan lebat yang turun menambah sejuk cuaca. Pada waktu malam pula, suhu pastinya turun lebih rendah lagi dengan keadaan angin kuat tidak menentu.
Baca juga Bantu segera, berjuta sedang sengsara di Syria
Khemah tempat mereka berlindung disifatkan sebagai sangat daif dengan keadaan koyak dan cenderung untuk runtuh kerana hanya dibuat daripada plastik nilon, permaidani buruk dan selimut lama.
“Bayangkan ketika salji turun, suhu jatuh ke bawah paras beku. Peserta misi yang berada di sana ketika itu semuanya berpakaian tebal, namun masih terasa kedinginannya, sedangkan ramai kanak-kanak di sana hanya berkaki ayam dan berbaju nipis.
“Keadaan mereka sangat menyedihkan namun semangat untuk bertahan sangat mengagumkan dan patut dicontohi,” ujarnya lagi.
Bagi membantu penduduk Syria menghadapi musim sejuk yang melanda, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Syria Care menggerakkan kempen Bantuan Musim Sejuk 10.0 (BMS10.0) bermula 21 September hingga 31 Disember ini.
Tahun ini adalah kali ke-10 kempen tersebut diadakan bertujuan mengumpul dana bagi menyediakan bahan bakar seperti kayu api, diesel dan arang batu untuk menghangatkan para pelarian yang berada di utara Syria.
Di samping itu, projek ‘Warm Their Winter’ telah diadakan di Shah Alam, Selangor dan UIAM cawangan Pagoh, Johor dan orang ramai dialu-alu untuk menyumbangkan pakaian musim sejuk bagi kegunaan pelarian Syria.
Orang ramai boleh melayari laman sesawang www.syriacare.org.my/warmtheirwinter atau ikuti media sosial Syria Care Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter dan Syria Care Media di YouTube serta TikTok bagi mendapatkan perkembangan terkini.
Kongsi juga tanda pagar #syriacareforhumanity untuk sebarang perkongsian berkaitan misi bantuan pelarian Syria di akaun media sosial masing-masing bagi menunjukkan sokongan berterusan. Ayuh seluruh rakyat Malaysia, sama-sama kita jayakannya.
***Artikel dan foto disediakan oleh Syria Care
Ikuti kami di Tiktok, Instagram, Facebook, Twitterdan Youtube Sinar Islam Plus.