Dalam laporan terbarunya berhubung pencapaian dalam bidang Sains bertarikh 11 Februari, 2021, UNESCO menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap pencapaian wanita dalam bidang kejuruteraan.
Menurut agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), hanya ada 28 peratus jurutera wanita dari seluruh dunia.
“Walaupun kita berada di kurun ke-21, wanita dan gadis masih disisih dari bidang berkaitan sains atas sebab gender.
“Wanita perlu sedar bahawa mereka boleh maju dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, matematik dan mereka mempunyai hak untuk menyertai kemajuan dalam sains,” kata Ketua Pengarah Unesco Audrey Azoulay. Namun, laporan Unesco itu menonjolkan satu statistik yang positif di mana wanita di negara Afrika Utara dari segi peratusan jurutera mengatasi negara-negara lain.
Algeria, misalnya mencatat angka tinggi iaitu 48.5 peratus daripada jurutera di negara itu adalah golongan hawa, begitu juga Maghribi (42.2%) Tunisia (44.2%).
Pembabitan ini adalah tinggi jika dibandingkan dengan kebanyakan negara OECD seperti Australia (23.2%), Kanada (19.7%), atau Perancis (26.1%).
Apakah faktor yang menyumbang kepada pencapaian ini? Mungkinkah ia berkait dengan hakikat bahawa usaha mengejar ilmu, meskipun di kalangan wanita sudah ditanam sekian lama di Afrika Utara.
Malah, universiti pertama di dunia diasaskan di Afrika Utara oleh seorang wanita yang berhasrat memberi pendidikan kepada semua yang mahu dari seluruh dunia.
Wanita berkenaan ialah Fatimah binti Muhammad Al-Fihtiyya Al-Qurashyi yang berasal dari Qayrawan, Tunisia. Fatimah dilahirkan sekitar tahun 800 Masihi di Tunisia tetapi kemudian berpindah dengan keluarganya ke Fez, Maghribi.
Berasal dari keluarga bangsawan yang kaya, Fatimah memanfaatkan harta peninggalan keluarganya untuk berbakti kepada masyarakat dengan membina masjid yang digelar ‘Masjid Al-Qarawiyyin’ iaitu reka bentuknya mirip senibina masjid di Andalusia. Ia siap dibina pada 859 Masihi, ia kemudian dijadikan Universiti akedmik pertama di dunia.
Bukan hanya subjek Al-Quran dan Fiqh sahaja di ajar, tawaran pelbagai subjek menjadikan Universiti Al-Qarawiyyin pusat pertembungan budaya timur dan Eropah.
Penuntut beragama Kristian dan Yahudi turut tertarik dengan kelebihan univerisiti ini kerana menyediakan subjek-subjek moden seperti geologi, astrologi, linguistik, ilmu kimia, sains perubatan, matematik dan juga ilmu musik.
Maka tidak hairanlah Unesco dan Guiness Book of Records telah menamakan Universiti Al-Qarawiyyin sebagai universiti tertua di dunia, jauh sebelum lahirnya Universiti al-Azhar Mesir, Universiti Cambridge, Harvard, Oxford, dan lain-lain.
Universiti Al-Qarawiyyin masih berdiri gah menjadi kebangga Fez dan Maghribi hingga kini.
Antara cendekiawan yang pernah belajar di Universiti ini adalah ibn khaldun, ibnu Rushdi dan Ibnu Arabi.