DIKENALI sebagai sosok tubuh yang petah berkias ketika hidupnya terutama kepada orang yang meminta nasihat darinya. Itulah Tok Wali Pak Su Mid, ulama terulung negeri Kedah.
Wafatnya beliau pada 11 November 2022, jam 6 petang dalam usia 96 tahun telah memberikan kesan amat mendalam kepada sesiapa sahaja yang mengenali Allahyarham.
Beliau bukan sekadar meninggalkan nama, namun setiap tutur kata dan nasihat yang diberikan oleh beliau seolah masih terngiang-ngiang sehingga ke hari ini.
Pengerusi Arkib Pusat di Pertubuhan Muafakat Pondok SeMalaysia – PMPS, Tengku Yusuff telah berkongsi manaqib atau riwayat hidup ringkas Pak Su Mid di laman Facebooknya sebagai tanda ingatan kepada ulama yang mulia ini.
Nama sebenar Pak Su Mid ialah Syeikh Haji Abdul Hamid Bin Haji Ismail (1926 – 2022) dan beliau dilahirkan di Ayer Hitam, Jerlun, Kedah pada tahun 1926. Ayahnya bernama Haji Ismail bin Jabugis manakala ibunya Selasiah binti Lebai Yusof.
Allahyarham mempunyai empat orang adik beradik, iaitu Fatimah, Mohamad, Mad Salleh dan Haji Abdul Hamid.
Keturunan asal Pak Su Mid berasal dari Banjar. Allahyarham mula tinggal di Bukit Tembaga, Kuala Nerang pada tahun 1965 dan beliau berkahwin pada tahun 1973.
Baca juga Inilah 10 Muslim hebat yang mengubah dunia
Gemar menadah ilmu
Ketika hayatnya, beliau telah menuntut ilmu daripada beberapa orang ulama tempatan seperti Tuan Guru Haji Abu Bakar Palestin di Ayer Hitam. Dikatakan bahawa beliau juga turut belajar dari seorang wali ALLAH yang disebut dengan nama Syeikh Abdullah Harun, di Stesen Kereta Api Lama Alor Star, Sungai Korok.
Semasa mudanya beliau bekerja dan berniaga di Pekan Rabu, Alor Setar pada siang harinya. Manakala pada sebelah malamnya beliau akan menadah ilmu bersama guru-guru beliau. Pak Su juga bersahabat baik dengan Tuan Guru Haji Abdul Aziz Pendang.
Antara kitab yang sering menjadi rujukan Pak Su Mid adalah:
1) Hilyatul Auliyak
2) Futuhat Makkiyyah Ibn Arabi
3) Khozinatul Asror
Beliau pernah berkata bahawa, beliau cuma membaca kitab-kitab yang pengarangnya seorang Wali ALLAH sahaja.
Amalan utama Pak Su Mid hanya al-Quran dan puasa setiap hari. Setiap kali diminta amalan dan nasihat, maka beliau akan berpesan supaya berdamping dengan al-Quran. Sewaktu keadaannya sihat, Allahyarham telah berpuasa lebih dari 30 tahun.
Kalam Pak Su Mid mempunyai gaya bahasa yang tinggi dan unsur kiasan yang mendalam. Beliau gemar berkias dalam percakapan.
Di antara nasihat atau kata-kata hikmah Pak Su Mid ialah:
1. Pastikan diri sentiasa dalam keadaan berwuduk.
2. Bergelut bersungguh-sunguh dengan al-Quran. Pegang al-Quran dan kata: Ya ALLAH, ini kitab ENGKAU yang aku beramal. Barangsiapa yang beriman kepada ALLAH maka ALLAH akan memberikannya hidayah.
3. Setiap malam bangun untuk tahajud. Menangis atas segala dosa. Ambil air mata dan sapukan kepada seluruh tubuh badan dengan niat sebagai benteng daripada api Neraka.
4. Bila ada Istiqamah, barulah malaikat turun dengan membawa berita kita akan menjadi ahli Syurga. Jangan takut dan jangan sedih.
5. Nak cekap dalam agama ini kena kuasai ilmu alat.
6. Sesiapa tidak membaca al-Quran, dia benci kepada ALLAH.
7. Semua ilmu dan penyelesaian hidup ada dalam al-Quran.