PEMIMPIN ialah individu yang bertanggungjawab menjaga dan memerintah sesebuah organisasi, negeri mahupun negara.
Lebih hebat lagi seorang pemimpin Islam adalah insan contoh kepada ummah dengan memperlihatkan sifat qawwam dari segi kata-kata, tingkah laku dan tindakan yang baik mengikut keperibadian Rasulullah SAW.
Qawwam berasal daripada perkataan ‘Qaim’ yang bermaksud bertanggungjawab, mengambil berat, memenuhi keperluan, mengurus, prihatin, memimpin, mengawal dan membela.
Daripada Abdullah bin Amr’, Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya orang-orang yang berlaku adil akan berada di atas tempat- tempat yang tinggi daripada cahaya di sisi ALLAH ialah mereka yang berlaku adil dalam menetapkan keputusan, keluaga mereka, dan jawatan yang mereka pegang” (Hadis Riwayat Imam Muslim)
Baca juga Petanda akhir zaman dan kiamat, surutnya air Sungai Furat
Di dalam al-Quran, ALLAH SWT ada menukilankan kisah seorang pemimpin atau maharaja yang dikurniakan kuasa pemerintahan yang diredai oleh-NYA. Beliau sebagai contoh maharaja yang memiliki kekuasaan timur dan barat, tetapi tidak melupakan prinsip iman dan akhlak.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Muhammad Harriz Saiful Ezuan dari Universiti Al-Azhar, Kaherah mengenai ibrah kisah Zulqarnain daripada surah al-Kahfi.
ALLAH SWT berfirman di dalam kalamNYA surah Al-Kahf ayat 83-84, “(83) Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: “Aku akan bacakan kepadamu kisahnya” (84) “Sesungguhnya KAMI telah memberi kedudukan kepadanya di bumi, dan KAMI telah memberi jalan kepadanya untuk mencapai setiap sesuatu”.
Siapa Zulqarnain?
Menurut ulama qiraat, Imam Mujahid, dalam sejarah dunia, terdapat empat orang maharaja yang diberi peluang menguasai timur dan barat. Dua antaranya adalah daripada orang Mukmin, manakala dua yang berbaki lagi adalah orang bukan Muslim.
Maharaja dalam kalangan orang Mukmin yang dipilih oleh ALLAH SWT ialah Nabi Sulaiman A.S dan Zulqarnain, manakala maharaja daripada kalangan kafir pula ialah Nebuchadnezzar dan Namrud.
Ibnu Kathir menjelaskan, sesungguhnya Zulqarnain merupakan maharaja yang sangat adil. Baginda berjiwa kental, sangat pintar dan tidak pernah kalah di dalam peperangan yang disertainya.
Terdapat spekulasi, adakah Zulqarnain itu individu yang sama dengan Alexander the Great?
Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani, Zulqarnain bukanlah Alexander the Great. Pandangan ini diasaskan dari perkiraan beza zaman antara dua raja itu.
Selain daripada perbezaan taklukan kuasa antara keduanya, Zulqarnain hidup sama ada sebelum atau semasa zaman Nabi Ibrahim. Pandangan ini turut disandarkan kepada athar Ibnu Abbas. Bahkan di dalam al-Quran menegaskan Zulqarnain merupakan maharaja yang beriman.
Sementara Alexander the Great merupakan raja Yunani yang tidak beriman. Waktu beliau hidup hampir dengan zaman Nabi Isa. Sedangkan jarak antara zaman Nabi Ibrahim dan Nabi Isa kira-kira 2 ribu tahun.
Mengapakah identitinya kabur?
Kenapa ALLAH tidak ceritakan pada kita manusia yang hebat ini? Sehingga banyak kajian yang perlu dilakukan untuk mengenal pasti siapa beliau.
Identiti dan maklumat Zulqarnain dikatakan kabur, kerana sedikitnya kisah yang diceritakan sehingga sukar didapati terutama daripada hadis-hadis sahih seperti yang ditegaskan oleh Syeikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi.
Antara sebab yang diberi para ulama adalah kerana itu bukan fokus utama dalam penceritaan. Jika ia menjadi fokus maka sikap itu hanya boleh disandarkan kepada karakter.
ALLAH telah menegaskan bahawa kisah Zulqarnain adalah semata-mata sebagai peringatan dan refleksi panduan bagi umat sepanjang zaman untuk mengambil teladan darinya.
Contoh pemimpin yang prihatin
Kisah zulqarnain antara ibrah yang paling hebat untuk diambil sebagai teladan kepada segenap insan yang bergelar pemimpin. Maharaja Zulqarnain antara contoh pemimpin yang wajar dicontohi.
Dalam surah al-Kahf, ALLAH menceritakan kesungguhan Zulqarnain ‘turun padang‘ memantau keadaan rakyatnya. Hal ini kita boleh rujuk dari ayat 86 hingga ayat 96.
Sepanjang pemerintahannya, Zulqarnain berusaha melaksanakan sekian banyak perkara seperti:
• Memberi peringatan kepada rakyatnya terlebih dahulu agar jangan melakukan kejahatan. Sekiranya ingkar, beliau akan menggunakan kuasanya untuk menghukum pesalah, agar kejahatan itu tidak memberi kesan kepada rakyat yang lain.
• Menjejaki rakyatnya yang miskin. Ada dalam kalangan mereka tidak memiliki fasiliti hidup yang cukup. Zulqarnain membantu mereka.
• Menjadi pelindung kepada rakyatnya yang lemah dari ancaman Yakjuj dan Makjuj. Zulqarnain bukanlah pemimpin yang gemar mengambil kesempatan atau memeras ugut rakyat.
Ibrah dari kisahnya, sebagai seorang pemimpin sentiasalah meletakkan ALLAH SWT sebagai rujukan utama kerana itulah syarat kekuasaan yang diredai oleh ALLAH.