Tindakan tegas kepada pihak yang tunggang agama…
ISTILAH ‘penunggang agama’ sudah sinonim dilabelkan kepada mereka yang membawa agama dengan cara yang salah.
Terutamanya para agamawan, setiap langkah gerak gerinya berkaitan urusan agama pasti akan dinilai dengan pantas oleh masyarakat.
Imej yang ditampilkan seharusnya menjadi medan dalam setiap perjuangan yang melibatkan agama Islam dan bukannya menjadi contoh yang buruk kepada masyarakat.
Secara asasnya, al-Quran telah memerintahkan umat Islam untuk melaksanakan amar makruf nahi mungkar sebagai asas untuk menceburi apa jua bidang dan melakukan islah dalam masyarakat.
Baca Juga Islam seru sebar keharmonian tanpa mengira kaum dan agama
Namun sebahagian anggota masyarakat telah melampaui batas dan menyeleweng daripada landasan sebenar terutama apabila melibatkan medan politik yang kini semakin rancak menjadi bualan masyarakat.
Dari berpolitik menurut agama, sebahagian mereka terjebak pula ke dalam kancah mempolitikkan agama, atau memperalatkan agama untuk tujuan politik, atau lebih popular diistilahkan sebagai menunggang agama.
Perkara ini seharusnya dibendung dengan pantas agar polemik tunggang agama ini tidak lagi menjadi ikutan terutama kepada generasi akan datang.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah mengemukakan cadangan kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Billah Shah agar tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang mempermainkan serta menunggang agama Islam.
Anwar berkata cadangan itu juga telah dikemukakan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah setelah dibincangkan bersama kedua-dua Timbalan Perdana Menteri-nya iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Baca Juga ‘Ulama boleh tegur kerajaan’ – Anwar
Turut Disyorkan Islam larang putuskan silaturahim hanya kerana bercanggah arus politik
“Kalau kamu tunggang agama, permainkan hukum ALLAH, menghukum orang, memfitnah orang, fitnah yang besar, nak kafirkan orang yang tak sokong dia adalah musuh ALLAH, saya nak beritahu malam ini we will not tolerate with this nonsense (kita tidak akan bertolak ansur dengan karut ini)”, tegas beliau.
Anwar berkata cadangan tersebut adalah bagi mempertahankan kepentingan semua rakyat Malaysia, bukan sahaja untuk kaum Melayu.
“Ya, kita tingkatkan fahaman Islam, penghayatan Islam. Kita tingkatkan penguasaan Bahasa Melayu dan mantapkan martabat Bahasa Melayu (sebagai) bahasa pengantara dan bahasa ilmu.
“Kita jamin keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera dan kita muliakan kedaulatan Raja-Raja Melayu“.
Baca Juga “Malaysia negara terbaik untuk belajar Islam” – Ekaterina
“Tetapi dengar sini baik-baik, jangan kita hina mana-mana anak Malaysia daripada mana-mana kaum… Setiap rakyat, baik Dayak di Kapit, Cina, India beragama Hindu, semua itu warga kita dan mesti kita pertahankan“, ujarnya.
Perdana Menteri berkata ini kerana rakyat daripada semua kaum di Malaysia berhak untuk disantuni dan mendapat pembelaan sewajarnya.
————————————————————————————————————————–
SUMBER: UMMAHTODAY