Mistik, misteri, pelik dan peristiwa aneh dengan orang Melayu berpisah tiada, benarkah begitu?
KEPERCAYAAN terhadap perkara ajaib dan pelik ini bukan hanya terdapat pada bangsa Melayu semata-mata. Di seluruh dunia, pelbagai kaum dan bangsa mempunyai unsur-unsur kepercayaan terhadap perkara ajaib, pelik dan mistik ini.
Kepercayaan kepada perkara ajaib dan pelik ini boleh berada pada tahap yang membimbangkan, apabila ia diserap menjadi unsur-unsur keagamaan dan kepercayaan. Namun, rahmat ALLAH SWT telah melimpahi bangsa Melayu ini dengan kedatangan agama Islam.
Walaupun agama Islam telah mencorakkan adat dan budaya orang Melayu, namun sebahagian kepercayaan terhadap perkara ajaib, pelik dan mistik ini masih kekal di dalam pemikiran orang Melayu.
Mengulas lanjut mengenai perkara ini, Pendakwah dan Pemikir Isu Semasa, Muhammad Hamzani al-Kanowiti berkongsi mengapa orang Melayu menjadi bangsa yang terawal membicarakan berkenaan dengan perkara ajaib dan pelik ini? Dimana mereka mendahului bangsa-bangsa yang lain di dalam berkisah dan menyebarkannya kepada masyarakat di sekitarnya?
Menurut Hamzani, orang Melayu dilihat seolah-olah, pantang melihat perkara yang pelik dan ajaib di depan mata mereka, walaupun pada sekecil-kecil perkara pasti mereka akan menghebohkan dan menularkan peristiwa yang ‘aneh’ itu kepada masyarakat yang lain.
“Misalnya, peristiwa banjir baru-baru ini yang menenggelamkan banyak kawasan di semenanjung Malaysia dan turut memusnahkan banyak harta benda masyarakat awam. Ramai pihak yang dalam kesusahan memohon bantuan daripada pihak berwajib untuk keselamatan dan keperluan harian diri dan keluarga.
BACA JUGA Niat letupkan masjid, lelaki ini akhirnya peluk Islam – Dokumentari dicalonkan anugerah Oscar
“Kebanyakan pihak berusaha untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir yang berada dalam kesusahan. Usaha-usaha seperti ini patut dipuji dan ditularkan agar ramai pihak yang akan turun dan menghulurkan bantuan berupa keperluan harian kepada mangsa-mangsa banjir ini.
“Namun, terdapat juga sebahagian daripada mereka yang sibuk berbicara berkenaan dengan perkara dan kejadian yang pelik dan ajaib, sehinggakan misi yang pada awalnya ingin menyelamatkan dan memberikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir, bertukar menjadi misi mengumpulkan peristiwa-peristiwa ajaib dan pelik.
“Misalnya, mushaf al-Quran ditemui masih elok dan tidak kotor walaupun ia telah ditenggelami air di dalam banjir lumpur. Ada yang memaparkan sebuah ruangan solat di rumah tidak dimasuki air banjir, dan seolah-olah ia merupakan tempat yang baik dan direstui Tuhan. Terdapat banyak lagi peristiwa yang ajaib dan pelik, dikaitkan dengan kebenaran agama ini dan seolah-olah ia tanda restu dan reda daripada sang Tuhan kepada hamba-hamba-NYA,” ungkapnya.
BACA JUGA Nikmati fasa kritikal dan kemuncak ujian kehidupan pada usia 30 hingga 39 tahun
Jelasnya lagi, tidak dinafikan peristiwa-peristiwa ini merupakan perkara-perkara yang ajaib dan pelik, lebih-lebih lagi ia mengenai kitab suci umat Islam yang menjadi petunjuk kepada kebenaran. Seolah-olah ia menjadi tanda bahawa Tuhan telah merestui dan meredai agama ini. Sebahagian pihak terlalu menyanjungnya terlalu tinggi sehingga dikatakan bahawa ia adalah bukti kebenaran agama ini.
“Kenyataan-kenyataan seperti ini mengandungi kelompongan yang nyata dan ia merupakan hujah yang sangat lemah, seperti sarang lelabah, jika ia dijadikan hujah untuk menyatakan kebenaran sesuatu agama dan kepercayaan.
“Jika kita melakukan carian di Google, kita akan temui agama-agama lain telah mendahului kita dalam hal ini. Jika kita kata mushaf al-Quran tidak kotor walaupun tenggelam dalam banjir lumpur, kitab Injil (Bible) lebih hebat kerana tidak terbakar di dalam sebuah kebakaran yang memusnahkan Gereja di Daniels, West Virginia, Amerika Syarikat pada 3 Mac 2019 yang lalu.
“Adakah kita sebagai umat Islam boleh bertukar aqidah untuk mempercayai bahawa kitab Injil terkini itu adalah kitab yang benar, direstui dan diredai Tuhan?
“Jika kita kata pula masjid tidak runtuh disebabkan tsunami bukti reda dan restu daripada Tuhan, gereja (Gereja International Full Gospel Fellowship/ IFGF) juga utuh dan tidak runtuh walaupun diterjah tsunami yang ganas menyerang kota Palu, Indonesia pada 22 Disember 2018.
BACA JUGA Tiga jenis bulu badan umat Islam tak boleh biarkan tumbuh melebihi 40 hari
“Banyak lagi peristiwa-peristiwa yang seakan-akan sama dengan apa yang berlaku di dalam agama Islam, berlaku kepada agama-agama lain di dunia ini.
“Jika hal-hal ini menjadi sifir dan penanda aras kepada sesuatu kebenaran, maka kita juga tidak boleh menafikan kebenaran agama lain. Hal ini demikian kerana, mereka juga mengalami peristiwa-peristiwa ajaib dan pelik tersebut.
“Mungkin juga peristiwa-peristiwa pelik dan luar biasa itu sebagai ujian bagi kita, sama ada kita akan bersyukur dan kagum akan kebesaran dan kekuasaan-Nya atau kita akan lebih jauh tersesat disebabkan peristiwa dan perkara ajaib dan luar biasa tersebut,” ungkap beliau dalam satu artikel.
Tuntasnya, Hamzani mengigatkan kita, sebagai umat Islam agar janganlah kita melampaui batas di dalam mengagumi peristiwa-peristiwa luar biasa dan ajaib tersebut. Cukuplah kita berasa takjub, kemudian bertahmid, bertasbih memuji ALLAH SWT atas kebesaran dan kekuasaan-NYA, kemudian meninggalkan peristiwa tersebut begitu sahaja, tanpa menyebarkannya kepada orang lain.
Tidak mustahil jika Dajjal keluar dan menunjukkan ‘keajaiban’ dan ‘kuasa luar biasa’ nya kelak, kita akan terikut tanpa sedar, jika mulai dari saat ini kita tenggelam di dalam kekaguman terhadap peristiwa dan perkara yang ajaib dan pelik tersebut. Nauzubillahi min zalik.