BERMULA selepas Maghrib malam tadi, bulan Rejab sudah membuka tirainya. Ia menandakan lagi dua bulan kita bakal bertemu dengan bulan yang begitu dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam iaitu Ramadan al-Karim.
Sebelum menyulam ibadah dengan lebih banyak lagi pada bulan penuh barakah tersebut, sudah tentu persediaannya perlu dilakukan mulai sekarang.
Masakan tidak, bulan Rejab sering kali dikaitkan sebagai bulan ‘pemanas’ atau menjadi madrasah buat semua umat Islam.
Menyingkap makna Rejab itu sendiri, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Mohd Hasrul Shuhari menjelaskan, ia bermaksud membesarkan atau mengagungkan.
Malah, katanya, ia juga termasuk sebagai antara empat bulan-bulan haram (al-Asyhur al-Hurum) yang meliputi bulan Rejab, Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam.
Dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abi Bakrah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika ALLAH SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada 12 bulan, daripadanya terdapat empat bulan haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara bulan Jamadi al-Akhir dan Syaaban.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Pada bulan haram, jelas Dr Mohd Hasrul, umat Islam dilarang melakukan kezaliman waima terhadap diri sendiri mahupun orang lain. Bahkan, kita juga ditegah daripada melakukan maksiat.
ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) ALLAH ialah 12 bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab ALLAH semasa ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-NYA).” (Surah at-Taubah, ayat 36)
Baca juga Lakukan Latihan Sebanyak Mungkin Untuk Biasakan Diri Sebelum Bertemu Ramadan Yang Barakah
Melihat nas tersebut, ahli akademik itu mengemukakan pandangan Imam al-Baghawi dalam tafsirnya yang menyatakan bahawa maksud ayat menganiaya diri adalah: “Janganlah kalian menganiayai diri kalian dengan melakukan maksiat di bulan-bulan haram dan meninggalkan perbuatan taat.”
“Ketahuilah, setiap kezaliman yang dilakukan dalam bulan-bulan haram ini, dosanya akan lebih besar berbanding bulan-bulan lain.
“Begitu juga halnya dengan amal soleh yang dilakukan. Pahalanya lebih besar jika dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain. Demikianlah perspektif al-Hafiz Ibn Kathir menerusi kitab tafsirnya ketika menukikan pendapat Ibn Abbas berkaitan perihal pahala dan dosa,” katanya.
Dengan kelebihan yang ada pada bulan berkenaan, Dr Mohd Hasrul menyarankan agar umat Islam memperbanyakkan amalan soleh.
“Antaranya seperti mendirikan solat, puasa, zikir dan seumpamanya untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT. Itulah perbuatan yang sebaik-baiknya,” ungkapnya.
Seperkara lagi, pendakwah itu menjelaskan, jumhur ulama termasuk daripada Mazhab Syafie menyatakan mustahab (sunat) berpuasa pada bulan Rejab sebagaimana disunatkan berbuat demikian pada bulan-bulan haram yang lain.
“Tiada masalah andai kita mahu berpuasa pada semua bulan haram tersebut menurut majoriti ulama.
“Cuma, ada sebahagian daripada mereka meletakkan syarat tertentu untuk menghilangkan kemakruhannya bagi membezakannya dengan puasa bulan Ramadan,” katanya.
Benarkah ada solat yang dikhususkan pada bulan Rejab?
Menjawab persoalan itu, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan menerusi laman sosial Facebook miliknya menegaskan, tiada solat khusus pada bulan ketujuh dalam tahun Hijrah berkenaan.
“Bagaimanapun, tiada tegahan untuk umat Islam memperbanyakkan solat sunat, zikir ataupun doa dalam bulan Rejab kerana untuk ber’taqarrub’ (mendekatkan diri) kepada ALLAH SWT,” katanya.
Rasulullah SAW bersabda: “Solat merupakan sebaik-baik perkara, sesiapa yang mampu melakukannya dengan banyak, maka perbanyakkanlah.” (Hadis Riwayat Ahmad, at-Tabarani dan al-Hakim)
Sementara itu, pendakwah Asmak Husin mengajarkan kita supaya mengamalkan doa yang berbunyi Allahumma bariklana fi Rajab wa Sya’ban, wa barik (wa ballighna) lana fi Ramadhan (Ya ALLAH, KAU berkatilah kepada kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan KAU berkatilah (pertemukan kami) kepada kami pada bulan Ramadan.”
“Doa ini boleh diamalkan sebagai peringatan kepada diri untuk bersiap siaga bertemu bulan Ramadan. Ia hanya sebagai memohon harap kepada ALLAH SWT.
“Begitupun, dalam bab doa tersebut, suka saya ingatkan bahawa hadis (berkaitan doa bulan Rejab) ini berstatus lemah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Nawawi dalam al-Azkar dan Ibn Rajab dalam Kitab Latha’iful Ma’arif, selain oleh al-Albany dalam Dhaif al-Jami.
“Sementara itu, al-Haitsami berkata, al-Bazzar meriwayatkan bahawa di dalamnya terdapat Zanidah bin Abi Raqad. Al-Bukhari berkata tentangnya bahawa hadisnya munkar, manakala sejumlah ulama mengatakan dia tidak dikenal (majhul),” katanya.
Namun begitu, tiada masalah untuk kita beramal dengan doa tersebut. Ini kerana kita dituntut berdoa dan meminta apa sahaja dengan ALLAH SWT.
Ia selagi mana perkara yang diminta itu tidak bertentangan dengan syariat Islam.
Foto: Freepik & 123rf