SESEORANG yang telah bersungguh-sungguh melakukan persediaan dan menanam azam yang tinggi untuk menjadi tetamu ALLAH SWT namun tidak dipanggil menjadi tetamu-NYA, sesungguhnya ALLAH menerima niat mereka untuk melaksanakan haji dengan ganjaran pahala yang sempurna.
Di dalam satu hadis qudsi, ada menyebutkan bahawa ALLAH telah berfirman:
“Sesungguhnya ALLAH telah menetapkan nilai kebaikan dan kejahatan, kemudian DIA menjelaskannya. Maka siapa berniat mengerjakan kebaikan tetapi tidak dikerjakannya, ALLAH mencatatnya sebagai satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat untuk berbuat kebaikan lalu ia mengerjakannya, ALLAH mencatatnya sebagai 10 sampai 700 kali kebaikan atau lebih banyak lagi.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Mudahnya ALLAH memberikan pahala kepada hamba-NYA. Hanya dengan niat melakukan kebaikan sudah diberikan ganjaran. Tidak semua yang kita hajatkan itu baik untuk kita, namun akhirnya takdir ALLAH adalah yang terbaik buat hamba-hambanya.
Sebagaimana perkongsian Ustazah Asma’ Harun di laman Facebooknya, beliau berkata walaupun tidak dapat ke Tanah Suci Makkah dan Madinah, tapi sebenarnya ada banyak amalan yang ganjarannya umpama pahala haji yang boleh kita lakukan. Antaranya adalah:
Baca juga Inilah ENAM persiapan rohani sebelum tunaikan haji
1. Solat subuh berjemaah
Solat subuh mempunyai banyak kelebihan yang telah ditetapkan oleh ALLAH. Ia adalah kerana solat subuh memerlukan semangat yang tinggi untuk bangun sabuh dan menunaikan ibadah. Daripada Anas bin Malik beliau berkata, Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Siapa yang solat subuh berjamaah kemudian duduk berzikir sehingga matahari terbit kemudian diikuti dengan solat dua rakaat, maka dia mendapatkan pahala seperti pahala haji dan umrah.” Beliau Anas RA berkata, Rasulullah bersabda: “Sempurna, sempurna, sempurna.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)
2. Berbuat baik kepada ibu bapa
Sebagai seorang anak, hendaklah mengutamakan ibu bapa berbanding orang lain. Hal ini kerana Islam meletakkan kemuliaan ibu bapa selepas ALLAH dan Rasul-NYA. Ketahuilah jika ibu bapa reda kepada si anak maka ALLAH akan reda kepadanya dan memberi nikmat ganjaran pahala yang luar biasa.
Daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata yang bermaksud:
“Seorang lelaki datang kepada Nabi Muhammad lalu berkata: “Aku ingin berjihad tetapi aku tidak mampu.” Baginda bertanya kembali: “Adakah ibu bapamu masih hidup?” Lelaki itu berkata: “Ya, ibuku.” Lalu, baginda berkata: “Berbuat baiklah kepada ibumu kerana ALLAH, engkau akan dapat pahala haji, umrah dan jihad jika ibumu reda kepadamu. Bertakwalah kepada ALLAH dan berbuat baiklah kepadanya.” (Hadis Riwayat at-Tabrani)
3. Menghadiri majlis ilmu
Menghadiri majlis ilmu sangatlah dituntut dalam Islam bagi menjamin kesejahteraan hidup manusia di dunia dan di akhirat. Hadirkanlah diri dalam majlis ilmu sama ada di masjid, surau atau sebagainya kerana orang yang menghadirinya akan memperolehi banyak kelebihan seperti menunaikan haji.
Daripada Abu Umamah RA, Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Siapa yang pergi ke masjid dengan tujuan untuk mempelajari sesuatu kebaikan atau mengajarkannya, maka baginya pahala seperti orang yang menunaikan haji dengan sempurna.” (Hadis Riwayat al-Thabrani)
Baca juga Wanita UK ini kongsi tip, panduan haji yang beri inspirasi kepada bakal jemaah di Twitter
4. Membaca ucapan tahmid, takbir dan tasbih selepas solat fardu
Bacaan tahmid, zikir, takbir dan tasbih selepas solat adalah bacaan yang sering diucapkan setelah selesai menunaikan solat. Ia dilakukan bagi menyampaikan pujian serta rasa syukur kepada ALLAH dan segala kesempurnaan adalah milik ALLAH. Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata:
“Pernah datang sahabat yang miskin kepada Nabi lalu berkata, “Orang-orang kaya, dengan harta benda mereka itu, mereka mendapat kedudukan yang tinggi, juga kenikmatan yang abadi. Mereka melaksanakan solat seperti juga kami melaksanakan solat, mereka puasa sebagaimana kami juga puasa.
“Namun, mereka memiliki kelebihan disebabkan harta mereka, sehingga mereka dapat menunaikan ibadah haji dengan harta tersebut, dapat melaksanakan umrah bahkan dapat berjihad dan bersedekah.” Maka Rasulullah pun bersabda: “Mahukah aku sampaikan kepada kamu sesuatu yang apabila kamu ambil (sebagai amal ibadah) kamu akan dapat mengatasi (darjat) orang yang sudah mengalahkanmu.
“Dan tidak akan ada yang dapat mengalahkanmu dengan amal ini sehingga kamu menjadi yang terbaik di antara kamu dan di tengah-tengah mereka, kecuali apabila ada orang yang mengerjakan seperti yang kamu amalkan ini. Iaitu kamu membaca tasbih (Subhanallah), membaca tahmid (Alhamdulillah) dan membaca takbir (Allahu Akbar) setiap selesai solat sebanyak tiga puluh tiga kali.” (Hadis Riwayat Bukhari)
5. Solat fardu berjemaah di masjid
Solat fardu lebih istimewa dan sempurna jika didirikan secara berjemaah. Sekiranya ramai menyempurnakannya semakin besarlah pahalanya. Daripada Abu Umamah RA, Rasulullah bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang keluar dari rumah dalam keadaan suci untuk menunaikan solat fardu, pahalanya seperti menunaikan haji.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Foto: Canva