NAMA pejuang agama busuk lantaran kes segelintir daripada kelompok berkenaan terpalit dengan noda. Sedangkan, memelihara kesucian agama Islam adalah misi terpenting penganutnya. Menodai kemurniaan Islam sama ada dengan tutur kata, perbuatan atau agenda jahat bererti derhaka kepada ALLAH dan Rasul.
ALLAH SWT menegaskan menerusi firman-NYA: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi ALLAH ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan ALLAH, maka sesungguhnya ALLAH amat segera hitungan hisab-NYA)”. (Surah Ali Imran, ayat 19)
Menjaga agama Islam adalah turutan pertama dalam tertib Maqasid As-Syariah, mendahului kewajipan menjaga nyawa, akal, keturunan (zuriat), maruah dan harta.
Imam Al-Syatibi yang menulis berkenaan pembaharuan dalam ilmu Maqasid as-Syariah membahagikan dua aspek dalam konsep menjaga agama Islam iaitu: mempertahankan kewujudannya (dalam aspek positif), dan menjaga Rukun Islam (meneguhkan asas amalannya).
Baca juga Ikhlas jaga agama, hindari bala ALLAH
Menjaga agama bererti melaksanakan ilmu, amalan, dakwah, hukum dan jihad. Ilmu yang dimaksudkan adalah ilmu Fardu Ain yang wajib bagi setiap penganut Islam lelaki dan wanita mempelajarinya dalam perkara Iman, Islam dan Ihsan atau akidah, syariat dan akhlak (tasawuf). Manakala ilmu Fardu Kifayah adalah mendalami ilmu Islam dan ilmu duniawi bagi menunaikan kewajipan memakmurkan bumi dalam urusan kehidupan; seperti dalam aspek kemasyarakatan, politik, ekonomi, sains teknologi dan sebagainya.
Adapun melaksanakan amalan itu adalah melibatkan amalan baik dalam hubungan dengan ALLAH, diri, keluarga, masyarakat dan alam sekeliling, melaksanakan perkara wajib, sunat dan harus, meninggalkan yang haram dan sebolehnya meninggalkan yang makruh serta menyediakan kemudahan bagi semua amalan-amalan tersebut.
Justeru, tugas menjaga keluhuran agama bukan tanggungjawab orang perseorangan atau organisasi tertentu sahaja bahkan terpikul ke atas seluruh umat Islam.
Namun, kewajiban itu lebih dominan ke atas individu yang memilih atau dipilih untuk menyampaikan seruan Islam. Hal ini kerana setitis noda yang dipalitkan oleh seorang penyampai ilmu agama, kelak akan memalitkan nista ke seluruh pejuang agama yang lain.
Menconteng arang
Baru-baru ini, radar dakwah negara kecoh dengan khabar mengejutkan apabila ada pendakwah ditahan pihak berkuasa polis bagi siasatan kes yang kebanyakannya melibatkan salah laku dan penyimpangan seksual.
Jika diteliti polanya, kejadian seumpama itu bukanlah kali pertama. Sebaliknya, frekuensi sama sentiasa berulang. Ia hanya dibezakan oleh orang, bulan dan tahun sahaja.
Sedikit sebanyak berita tersebut mengundang kekecewaan ramai. Masakan tidak, masyarakat menganggap kelompok tersebut tidak wajar berkelakuan menyimpang, sekali gus menconteng arang pada nama agama Islam itu sendiri.
Tidak kurang juga yang melabelkan individu itu dengan pelbagai gelaran kurang menyenangkan seperti ‘penunggang agama’, ‘pelaku kemungkaran bertopengkan agama’ dan pelbagai gelaran lain lagi.
Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad turut menitipkan empat pesanan bernilai kepada kelompok mubaligh itu iaitu sentiasa bermuhasabah diri, mengamalkan setiap perihal dakwah yang disampaikan, menjaga tingkah laku dan menyedari risiko sebagai individu yang mempunyai pengaruh kepada masyarakat.
Baca juga Empat pesanan Menteri Agama kepada ustaz selebriti
Apakah pendekatan terbaik dalam mengatasi isu sebegitu? Benarkah menjadi seorang pendakwah perlu kalis dosa?
Bagi mendasari topik itu, Sinar Islam Plus menemubual pakar motivasi dan kaunselor, Hushim Salleh.
Jelas beliau, individu penyampai ilmu agama baik adalah pakar rujuk kepada masyarakat.
“Malah, ada yang melihat golongan tersebut sebagai idola mereka. Ibu bapa juga percaya dan menggalakkan anak mengikuti mereka.
“Dalam kaunseling, semua itu akan menjadi satu sistem kepercayaan kepada masyarakat,” katanya.
“Namun begitu, satu perkara yang perlu diingati bahawa apa jua gelaran diberikan, mereka tetap manusia biasa yang tidak lari daripada berbuat dosa,” katanya.
Baca juga Bukan sahaja pendosa yang perlu bertaubat, ini yang perlu kita tahu
Lantaran itu, Hushim mengakui, faktor turun naik iman dalam diri seseorang antara punca memicu kepada perbuatan salah laku yang difikirkan tidak patut dilakukan oleh seorang yang memikul gelaran tersebut.
“Ada ketikanya iman seseorang itu kuat, adakalanya pula goyah. Apatah lagi dalam zaman digital pada hari ini. Peminat atau pengikut (follower) bertanyakan soalan itu dan ini pada lewat malam menerusi telefon dan sebagainya.
“Pertanyaan itu kemudian dibalas. Apabila kita terus melayannya, akhirnya mulalah wujud perasaan lain. Dari situlah timbulnya perkara pelik-pelik.
Kerana itu, ujar Hushim, amat penting nilai etika diterapkan dalam kalangan penyampai ilmu.
“Sebagai kaunselor, saya melihat di sinilah ramai yang kecundang. Apa tidaknya, apabila peminat sudah mula percaya, maka kita cakap apa pun mereka akan dengar. Andai etika tersebut dipegang oleh petugas agama, isu-isu negatif tidak akan berlaku dengan mudah.
“Golongan penyampai ilmu agama lebih-lebih lagi yang sudah terkenal dan mempunyai pengikut ramai di media sosial perlu mengamalkan disiplin kendiri.
Baca juga Hati-hatilah dengan propaganda jahat ekstremis yang manipulasi media sosial. Jangan sampai terjerat…
“Mungkin peratusan individu yang terlibat dalam salah laku tersebut tidak ramai, tetapi ia mewujudkan perbualan kurang enak apabila ada yang mula melabelkan mereka ‘bertopeng agama’ dan sebagainya.Ia bukan sekadar menjadi buah mulut masyarakat yang menyebabkan nama mereka tercemar, tetapi imej Islam turut terpalit,” katanya.
Betulkan niat
Kepada satu soalan, Hushim yang juga Naib Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Selangor menjawab: “Bukan saja pendakwah, tetapi semua orang mahu bernampilan cantik dan baik di hadapan khalayak. Sebab itu apabila membutirkan bicara, mereka akan bercakap dengan lemah lembut dan elok-elok.
Baca juga Hindari 3 niat ini ketika baca al-Quran
“Namun, apabila duduk bersendirian mahupun waktu malam berkomunikasi dengan peminat, semuanya berubah.”
Kalau boleh, Hushim menitipkan pesan, biarlah kita bersikap ‘tulen’ di hadapan atau belakang orang lain, jangan ada split personality (kecelaruan personaliti diri).
“Orang bukan Islam mengata kita ‘alah, ustaz pun tak betul’. Kepada mereka yang betul-betul mahu terlibat dalam bidang dakwah, ingatlah jangan sekadar mahu mencari populariti dan seumpamanya, jaga imej sebagai Muslim dan agama Islam itu sendiri,” terangnya panjang lebar.
Beliau kemudian merujuk kepada ayat al-Quran yang mana ALLAH SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukan! Amat besar kebenciannya di sisi ALLAH apabila kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (Surah al-Saff, ayat 2-3)
Sebelum mengakhiri bicaranya, Hushim mengingatkan semua penyampai ilmu agama agar tidak mempergunakan agama untuk kepentingan duniawi.
“Ingatlah apabila terlibat dalam bidang ini, niat kita sebenarnya adalah untuk menyampaikan ilmu yang bermanfaat kepada masyarakat. Jangan ada niat lain.
“Barangkali kita sudah memasakkan niat itu pada mulanya, namun apabila menerima pujian dan populariti, kita mula goyah. Pesan saya, jangan sesekali terpesona atau hanyut dibuai glamor.
“Usah disebabkan mahu mengejar perhatian peminat, kita gadaikan maruah diri dan agama. Paling penting, jaga agama Islam, jangan sampai dihina,” titip beliau.
Baca juga Jaga diri elak berbuat jahat, berjuta saksi di Padang Mahsyar
ANEKDOT
Seru buat kebaikan, tetapi tidak melakukannya
– Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Didatangkan seorang lelaki pada hari kiamat, kemudian dilemparkan ke neraka hingga ususnya terburai keluar dan berputar-putar di neraka seperti keldai mengelilingi tempat penggilingan gandum, kemudian penghuni neraka berkumpul dan bertanya: ‘Hai fulan! Apakah gerangan yang menimpamu, bukankah dahulu engkau memerintahkan orang lain melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran?’ Ia menjawab: ‘Benar, aku dulu menyuruh orang melakukan kebaikan, tetapi aku tidak melakukannya’.” (Hadis Riwayat Muslim)
– Melihat ungkapan hadis berkenaan, jelaslah mereka yang pandai bercakap menyeru kebaikan dan melarang kemungkaran, namun dirinya sendiri tidak beramal dengannya akan diberikan dengan azab pedih.
– Ketahuilah, setiap Muslim bertanggungjawab menyeru kepada kebaikan dan mencegah kebatilan.
– Sebagai Muslim sejati, mulakan perlakuan tersebut dengan diri sendiri sebelum mengajak orang lain berbuat demikian.
– Mereka yang menyuruh orang lain kepada kebaikan dan meninggalkan kemaksiatan, tetapi diri sendiri tidak melakukan sebagaimana disarankan itu merupakan manusia yang paling dibenci oleh ALLAH SWT. Ia ada disebutkan dalam ayat 2 dan 3, Surah al-Saff.
Sumber: https://www.dakwahpost.com/2018/08/menyeru-kepada-kebaikan-tapi-melupakan-diri-sendiri.html
Foto: 123rf