KEMATIAN adalah nyata! Siapa tidak sedih apabila orang yang disayangi pergi menghadap Ilahi buat selama-lamanya.
Namun, sesungguhnya setiap yang bernyawa pasti akan mati dan terputusnya perhubungan antara roh – jasad dan bermulalah detik menuju ke alam akhirat.
Mati adalah ketentuan ALLAH SWT yang pasti akan terjadi dan semua makhluk di bumi tidak dapat lari daripada fitrah tersebut. Firman ALLAH dalam surah Ali-Imran ayat 185 yang bermaksud:
“Setiap yang bernyawa akan merasai mati, dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Oleh itu, sesiapa yang dihindarkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya. Dan tiadalah kehidupan di dunia melainkan hanyalah kesenangan yang memperdayakan.”
Memetik artikel bayan linnas siri ke-13 yang disiarkan di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ada menjelaskan adab-adab yang sepatutnya diambil perhatian oleh semua umat Islam tatkala berlakunya kematian.
Baca juga 10 tanda kematian yang baik
1. Hakikat kematian
Al-Qurtubi dalam tafsirnya al-Jami’ li Ahkam al-Quran berkata bahawa perkataan “kematian” didahulukan daripada perkataan “kehidupan” kerana kematian itu lebih dekat.
Boleh jadi juga kerana asal manusia daripada tiada kemudian diwujudkan. Begitu juga kerana matlamat sebenar manusia bukan hanya dibataskan di dunia sehaja tetapi ia akan di soal di hadapan ALLAH.
Pada ketika itu, harta benda dan anak pinak tidak boleh memberi manfaat kecuali menghadap ALLAH dengan hati yang sejahtera.
“Yang menjadikan mati dan hidup, supaya DIA menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalnya.” (Surah al-Mulk, ayat 2)
2. Solat jenazah kepada si mati dan berdoa untuknya
Solat jenazah merupakan fardu kifayah buat umat Islam dan melaksanakannya kepada saudaranya yang meninggal dunia. Begitu juga dengan memandikan, mengkafankan dan mengebumikannya.
Pensyariatan solat jenazah berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA:
Maksudnya: “Rasulullah SAW bersedih atas kematian al-Najasyi, lalu Baginda keluar ke tempat solat, berbaris bersama-sama sahabat dan bersolat sebanyak empat kali.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Antara doa mudah yang boleh diamalkan ialah “Ya ALLAH! Janganlah ENGKAU tahan pahalanya daripada kami dan janganlah timbulkan fitnah kepada kami selepas kematiannya serta ampunilah kami dan dia.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
3. Larangan meratap
Diharamkan atas keluarga si mati untuk meratap, menangis dengan suara yang kuat, mengoyak baju, menampar pipi, memukul badan dan menarik rambut. Tegahan ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad yang bermaksud:
“Dua perkara pada manusia yang kedua-duanya adalah dari perbuatan orang kafir: mencela keturunan (seseorang) dan meratap atas mayat.” (Hadis Riwayat Muslim)
Baca juga Mengingati mati mengurangkan hasrat duniawi kita. Ketahuilah, sakit bukanlah syarat kepada kematian
4. Larangan mengandaikan kematian dengan terjadinya sesuatu peristiwa
Hal ini pernah berlaku pada zaman Rasulullah apabila puteranya Ibrahim telah meninggal dunia dan berlaku gerhana maka baginda membetulkan hal ini berdasarkan sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Matahari dan bulan adalah dua daripada tanda keagungan ALLAH. Gerhana kedua-duanya berlaku bukan disebabkan mati atau hidup seseorang. Apabila mengetahui gerhana berlaku kamu hendaklah bersolat dan berdoa sehingga cahaya kelihatan semula.” (Hadis Riwayat Muslim)
Wujudnya adat jahiliyyah yang menyandarkan berlaku gerhana dengan sebab kematian seseorang. Hadis di atas membatalkan sangkaan golongan ahli nujum yang bersandarkan kepada kejadian alam yang berlaku sedangkan hal tersebut termasuk dalam perkara ghaib.
5. Adab pujian
Antara adab pujian yang boleh disebut ialah kebaikan-kebaikan yang telah dilakukan ketika si mati masih hidup. Sebaliknya pula janganlah kita berkata perkara yang tidak baik kepada arwah. Doakan kesejahteraan mereka kerana sesungguhnya adab itu lebih baik dan mulia di sisi-NYA.
“Sesungguhnya roh apabila diambil nescaya penglihatan mengikutnya. Ketika itu orang ramai di kalangan ahlinya riuh rendah lantas sabda Baginda:
“Jangan kamu doa atas diri kamu kecuali yang baik. Ini kerana para malaikat mengaminkan apa yang kamu kata. Kemudian Baginda berdoa: Ya ALLAH, ampunkan bagi Abi Salamah, angkatlah darjatnya di kalangan orang yang mendapat petunjuk…” (Hadis Riwayat Muslim)
Sewajarnya umat Islam wajib menginsafi qada dan qadar Ilahi serta menerima berita kematian dengan sabar dan reda. Elakkan juga daripada melatah dengan ungkapan, perbuatan serta iktikad yang tidak sepatutnya, apatah lagi melanggar syariat Islam.
Foto: Canva