IBARAT duri dalam daging, itulah perumpamaan sesuai bagi mereka yang gemar menjadi ‘kaki pengampu’.
Inilah antara musibah yang kerap kali melanda umat Islam, suka mengampu seseorang yang berpengaruh, sama ada orang itu ahli politik, tokoh agama, para negarawan dan lain-lain.
Sikap mengampu ini menjadi kelaziman sebahagian orang demi meraih keuntungan atau untuk kepentingan tertentu.
Memetik artikel JejakTarbiah di laman webnya, mengampu bermaksud suka mendekati individu berpengaruh, sentiasa mengadakan hubungan istimewa terhadap individu tersebut dengan matlamat dan tujuan yang tertentu.
Kata Syaiban ar Ra’i kepada Harun ar-Rasyid: “Wahai Amirul Mukminin, andainya engkau bersahabat dengan orang yang menjadikan engkau tidak berasa takut sehingga engkau berasa aman, lebih baik daripada engkau bersahabat dengan orang yang menjadikan engkau rasa aman sehingga menyebabkan engkau mendapat ketakutan.”
Tanya Harun ar Rasyid : “Jelaskan maksudnya untukku”. Jawab Syaiban: ”Engkau bertanggungjawab terhadap rakyat mu, takutlah ALLAH” lebih baik daripada orang yang berkata: “Kamu daripada kaum keluarga Nabi diampunkan dosa kamu, kamulah kerabat Nabi!”.
“Apa yang boleh difahami daripada kata-kata Syaiban ar Ra’i ini ialah betapa bahayanya lidah si pengampu yang gemar mendekati dan mengekori kemana sahaja malah bercakap manis sentiasa. Cakap-cakap manis ini boleh jadi racun satu hari kelak.
Firman ALLAH SWT dalam surah al-Munafiqun ayat 4 yang bermaksud: “Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka (dan kelakuannya); dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan fasih. Dalam pada itu) mereka seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki).”
BACA JUGA Mengumpat itu haram tetapi ketahui 6 jenis situasi yang dibenarkan
“Ayat ini menjelaskan bahawa rupa paras yang elok, tutur kata yang manis, belum tentu benar dan betul. Sebaliknya, boleh jadi sekadar mahu mengampu dan membodek semata-mata. Ayat ini juga telah mencerminkan sifat yang dimiliki oleh golongan munafik.
“Kata Imam Qurtubi menukilkan tafsiran Ibn Abbas mengatakan Abdullah bin Ubai itu adalah seorang yang kacak dan memiliki tubuh yang tegap. Kata-katanya juga sangat hebat.
Daripada Abu Musa al Asy’ari beliau berkata: “Nabi SAW mendengar seorang lelaki memuji atas seseorang dan dia berlebihan dalam memujinya, maka (Nabi) bersabda: ”Kamu telah membinasakan atau mematahkan belakang lelaki itu”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
“Pengampu atau pembodek, begitu gemar dan suka mendekati orang-orang tertentu, memuji kiri kanan, menjaja cerita sana sini, bergambar bersama, untuk cita-cita dan habuan yang diidamkan.
“Hasilnya, apa sahaja yang dilakukan oleh orang yang diampunya, semuanya betul, tepat dan sentiasa “yes boss” malah mempertahankan apa jua kesalahan atau kekhilafan tokoh yang diampunya.
“Sikap ini haruslah dijauhi. Selain boleh menimbulkan permusuhan dan kebencian terhadap dirinya, bahkan turut mengundang wujudnya kumpulan berpuak-puak dan fitnah.
Kita juga perlu ingatkan diri sendiri untuk sentiasa tidak termasuk dalam kalangan orang yang suka mengampu sahaja. Kepada ALLAH jualah tempat kita mohon perlindungan,” jelas artikel berkenaan.
Ikuti kami di Tiktok, Instagram, Facebook, Twitter dan Youtube Sinar Islam Plus