MUNAFIK atau Munāfiq (kata nama, daripada bahasa Arab: منافق, jamak munāfiqūn) adalah terminologi dalam Islam yang merujuk kepada mereka yang berpura-pura mengikuti ajaran agama namun sebenarnya tidak mengakuinya dalam hatinya.
Di dalam al Qur’an, istilah ini merujuk pada mereka yang tidak beriman namun berpura-pura beriman.
ALLAH SWT berfirman di dalam surah al-Munafiquun (ayat 1-3), “apabila orang munafik datang kepadamu, mereka berkata: Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau sebenar-benarnya Rasul ALLAH. Dan ALLAH sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah Rasul-NYA, serta ALLAH menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta. Mereka menjadikan sumpah sebagai perisai, lalu mereka menghalangi (manusia) dari jalan ALLAH. Sesungguhnya amat buruk apa yang mereka kerjakan. Yang demikian kerana mereka mengaku beriman kemudian mereka menjadi kafir, maka dimeteraikan atas hati mereka; lalu mereka tidak dapat memahami”.
Menerusi perkongsian daripada Ustaz Zulkifli Ahmad atau Ustaz Zul Pandan di laman Facebooknya tentang kisah seorang munafik yang mempesonakan Nabi Muhammad SAW, baginda pernah merasa kagum dengan kehadiran seseorang yang sangat bagus wataknya ketika datang mengadap baginda. Namanya adalah Akhnas bin Syuraiq.
Kisah ini diceritakan oleh As-Suddi Ketika menghurai kisah al-Baqarah ayat 204, menurut as-Suddi “ayat ini turun pada Akhnas bin Syuraiq ketika dia datang mengadap Rasulullah dan menampakkan akhlak dan keislamannya di hadapan Baginda.
Disebabkan dari sikapnya yang baik itu, maka Rasulullah tertarik dengan akhlak yang ditonjolkan. Namun setelah dia pulang meninggalkan nabi, dia telah melewati satu kawasan pertanian yang dimiliki oleh orang Islam.
Setelah tiba di sana, dia telah membakar ladang dan menyembelih binatang ternakan peduduk sekitar itu.
Maka turunlah ayat ini “dan di antara manusia ada ucapanya yang menarik hatimu, tetapi ALLAH mengetahui bahawa ia adalah penentang yang paling keras”. (al-Baqarah ayat 204)
Ayat ini akhirnya menjadi panduan kepada Rasulullah agar berhati-hati apabila berhadapan dengan penampilan manusia yang mengagumkan. Tidak kurang juga dengan dunia realiti yang dilalui pada hari ini. Gelaran manusia bertopengkan syaitan kerap kali didengar apabila hanya menunjukkan sikap baik yang mengagumkan, namun disebailknya tersembunyi pelbagai kerosakan.
Berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad SAW bersabda, “tanda orang-orang munafik itu ada tiga keadaan. Pertama, apabila berkata-kata, dia berdusta. Kedua, apabila berjanji dia ingkari. Ketiga, apabila diberikan amanah (kepercayaan), dia khianati“.
Baca juga Sambut orang balik haji, antara sunnah yang dilupakan
Apakah tindakan yang perlu dilakukan jika berhadapan dengan manusia jenis ini?
Menurut Ustaz Zul, sebaiknya jangan mudah terpedaya dengan penampilan hebat yang ditonjolkan. Siasat dan ketahui ‘track record’ mereka dan buang segala perasaan kagum terhadap mereka yang mempunyai sikap sebegini. Hanya boleh mengagumi mereka setelah terbukti kerja yang dilakukan itu jujur dan amanah.
Oleh itu sebagai seorang manusia, kita seharusnya mengelakkan diri daripada berada di dalam budaya yang cepat merasa kagum dan elakkan terperangkap dengan perasaan mudah mengagumi manusia dan sentiasa berhati-hati dengan setiap tindak-tanduk kita.