PERBUATAN menghina agama bukan perkara remeh. Ia boleh menggugat kesejahteraan negara dan perlu dipandang serius oleh semua pihak.
Mutakhir ini banyak kes penghinaan agama khususnya agama Islam disebarkan melalui media sosial. Lebih jijik lagi pelakunya adalah orang Islam. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, mungkin pelaku itu ada masalah mental lalu menyebabkan mereka tergamak menghina agama.
“Saya melihat dia (pelaku) mungkin ada masalah mental. Kalau betul dia ‘tu seorang Islam, (semestinya) orang Melayu sangat sensitif dengan agama. Sebab tu tidak ada di dalam mana-mana Perlembagaan di dunia yang menyatakan satu bangsa itu mesti beragama Islam melainkan bangsa Melayu,
“Sejahat-jahat mana pun orang Melayu, walau dia mati diatas meja arak atau di atas perut perempuan kerana berzina, dia tetap ingin dikebumikan dengan cara Islam. Maknanya masih ada iman dalam dirinya. Kalau sampai tergamak menghina agama ni, mungkin ada masalah mental atau ada faktor-faktor lain mendorong berbuat begitu,” ujar beliau lagi yang ditemui pada Seminar Lelaki Qawwam anjuran Jakim.
Idris turut memberitahu, dalam usaha mengekang gejala negatif itu, pihak kerajaan khususnya melalui agensi agama sangat mengambil berat tentang dakwah umat Islam di Malaysia.
“Selain daripada menjalankan tugas dakwah dalam konteks masjid, kita juga buat •street da’wah iaitu pergi ke lapangan untuk menyalurkan kefahaman kepada rakyat melalui guru guru takmir dan kafa. Itu semua langkah yang kita buat supaya dapat mengatasi masalah ini.” katanya.
Islam ialah tunjang kehidupan manusia. Islam mengajar keyakinan dan kepatuhan kepada Tuhan. Ia memberikan kedamaian kepada jiwa dan keamanan kepada ummah. Hubungan agama amat dekat kepada manusia kerana ia berkaitan tujuan kewujudan dan matlamat hidup di dunia ini. Atas sebab itulah, perbuatan menghina agama adalah tindakan yang tidak boleh diterima masyarakat.
Sejahat-jahat mana pun orang Melayu, dia tetap ingin dikebumikan dengan cara Islam. Maknanya masih ada iman dalam dirinya. Tapi kalau sampai tergamak menghina Islam, mungkin pelaku itu menghadapi masalah mental atau ada faktor lain mendorongnya berbuat begitu” – Datuk Idris Ahmad {Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)}
Sinar Islam Plus meninjau pandangan beberapa tokoh pendakwah bagi mendalami punca dan mencari solusi isu ini.
C/H: Tidak kenal agama jadi punca
Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman berpendapat, orang yang menghina agama Islam ialah kerana mereka tidak kenal Islam, kurang pengetahuan dan tiada ilmu tentang Islam.
“Kalau pelaku itu bukan Muslim, mungkin mereka selalu dimomokkan dengan keburukan Islam. Islam digambarkan sebagai ganas, keras, tidak moden dan sebagainya. Contohnya pembuat filem Fitna di Belanda Arnoud Wan Doom yang memburukkan nabi Muhammad SAW. Hal yang sama juga berlaku kepada Yvonne Ridley, wartawan British yang ditawan tentera Taliban.
“Tetapi apabila mereka mengkaji Islam dengan lebih mendalam (dengan tujuan memburukkan lagi nabi Muhammad dan Islam), baru nampak kebaikan dan akhirnya memeluk Islam.
“Maknanya penghinaan ini kerana mereka tidak tahu. Apa yang dilihat hanya pada persekitaran sahaja.
Kedua, disebabkan oleh persepsi akibat pengalaman buruk tatkala berurusan dengan orang Islam, khususnya dengan Muslim yang buruk akhlak lalu dikaitkan terus dengan Islam.
Merujuk beberapa kes menghina agama Islam baru-baru ini, beliau berkata hakikatnya, memang ada Muslim yang tidak kenal Islam.
“Mereka cuma Islam dari sudut keturunan dan tidak menghayati agama sepenuhnya,” jelas beliau.
Dr Sukki berkata, mereka disuruh oleh keluarga untuk belajar agama, menghafal al-Quran tapi tiada roh dan aqidah Islam dalam diri lalu melakukannya tanpa memahami falsafah Islam itu sendiri.
“Mereka melakukannya dengan rasa terbeban maka akhirnya timbul rasa benci dan diluahkan dengan perbuatan menghina agama.
•Beliau juga tidak menolak kemungkinan perbuatan memijak kesucian agama akibat didorong keinginan untuk popular.
•“Ada orang suka kontroversi dan ketagih viral. Mereka tahu perkara paling sensitif di Malaysia ialah menyinggung agama, lalu tidak kisah dikecam kerana itu akan mempopularkan dirinya,” katanya lagi.
C/H: Hina Islam akibatkan kesan emosi
Bukan sekali, malah berkali-kali Muslimin di peringkat global dan tempatan disinggung tentang penghinaan nabi, al-Quran, al-Hadis, Islamofobia dan sebagainya.
Pendakwah bebas, Ustaz Ahmad Shah Jamlus berkata, perkara ini sedikit sebanyak akan menimbulkan kesan negatif kepada psikologi Muslim itu sendiri.
“Penghinaan terhadap Islam memberi kesan emosi, ganggu-gugat terhadap keimanan penganutnya, ia mencemar fikiran anak-anak generasi Muslim.
“Yang menghairankan, hanya Islam dikaitkan dengan perkara negatif tetapi tidak agama lain. Sedang dalam banyak realitinya, ia tidak benar sama sekali.
Bahkan Ahmad Shah menjelaskan nabi Muhammad SAW diutuskan untuk membawa rahmat kepada semesta alam. Ini dijelaskan oleh ALLAH menerusi surah al-Anbiya’, ayat 107; “Dan KAMI tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam.”
Daripada perspektif lain pula, Ahmad Shah berkata, provokasi mana-mana pihak terhadap Islam seharusnya disambut dengan dada terbuka dan peluang keemasan untuk menjelaskan apakah Islam yang sebenar.
“Teruslah menyeru kepada keesaan Tuhan, tampilkan keadilan sistem Islam yang membawa kebaikan dan kestabilan kepada dunia,” tambahnya lagi.