KURANG enam hari sahaja lagi kita akan memasuki 1 Ramadan. Namun, bagi mereka yang mempunyai baki puasa qada, masih sempat lagi untuk berbuat demikian.
Andai puasa berkenaan tidak dapat digantikan dengan segera sebelum bulan Ramadan ini, jangan lupa membayar fidyah sebagaimana yang ditetapkan oleh syariat.
Memetik jawapan daripada Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang berkaitan kemusykilan tentang puasa ganti dan fidyah, lebih afdal kita menggantikan puasa terlebih dahulu.
“Jika puasa masih tidak diganti sehingga tiba Ramadan berikutnya, barulah fidyah dikenakan kerana lewat menggantikan puasa.
“Bagaimanapun, dengan membayar fidyah tidak bermakna seseorang itu tidak perlu menggantikan puasa tersebut yang wajib diganti mengikut bilangan hari-hari yang ditinggalkan,” jelasnya.
Ia sebagaimana yang disebutkan menerusi firman ALLAH SWT: “(Puasa yang diwajibkan) (iaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka barang siapa di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari- hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu): memberi makan seorang miskin. Barang siapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebaikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 184)
Bagi mereka yang masih keliru berhubung situasi bagaimana seseorang itu perlu menggantikan puasa atau membayar fidyah atau kedua-duanya, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang turut menyediakan panduan mudah seperti berikut:
1. Orang yang musafir dan tiada keupayaan tenaga dalam musafirnya kecuali dengan berbuka puasa.
Hukumnya harus berbuka, tetapi wajib menggantikan puasa tersebut.
2. Orang uzur disebabkan sakit tua dan tidak mempunyai keupayaan untuk berpuasa.
Diharuskan untuk golongan itu berbuka dan wajib membayar fidyah.
3. Ibu yang menyusu dan dibimbangi tentang kesihatannya atau anak tersebut.
Harus hukumnya mereka berbuka, tetapi wajib menggantikannya berserta fidyah.
Namun, ada pendapat yang mewajibkan ganti puasa sahaja tanpa fidyah (Kitab Bahru al-Madzi).
4. Orang yang sakit dan dinasihatkan oleh doktor perubatan atau pakar bahawa beliau tidak perlu berpuasa dan jika berpuasa boleh mendatangkan kemudaratan atau bertambah teruk sakitnya.
Contohnya seperti penyakit gastrik dan sebagainya. Mereka harus berbuka dan wajib menggantikan puasa sahaja.
5. Wanita hamil dan dinasihatkan oleh doktor supaya tidak berpuasa kerana dikuatiri dirinya menjadi lemah dan akan membahayakan kandungannya.
Maka, wanita itu tidak wajib berpuasa, namun wajib ke atasnya mengqadakan puasa berkenaan dan membayar fidyah.
Baca juga Jiwa Orang Yang Cuai, Liat Bayar Hutang Akan Tergantung Selagi Dia Tidak Melunaskan Hutangnya
Bagaimana pula jika kita tidak mampu membayar fidyah tadi sekali gus?
Merungkaikan jawapannya, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang menjelaskan, dalam Kitab Sabil al-Muhtadin, kita dibenarkan untuk membayar fidyah secara ansuran, tetapi perlu dijelaskan dengan kadar segera sebelum datang Ramadan yang keduanya.
“Ini kerana fidyah merupakan perkara wajib yang perlu diselesaikan. Kalau tidak mampu membayar fidyah kerana miskin, maka terhapuslah kewajipan membayar fidyah seperti terhapus kewajipan membayar zakat fitrah,” jelasnya.
Dalam pada itu, jabatan mufti itu turut menegaskan bahawa fidyah hanya boleh diberikan kepada golongan fakir dan miskin, bukan kepada asnaf-asnaf yang lain seperti agihan zakat sebagaimana ditegaskan oleh Imam al-Nawawi.
Mengenai cara mengeluarkan fidyah pula, katanya, ia boleh dilaksanakan secara sendirian iaitu dengan membeli makanan asasi (beras) tersebut mengikut jumlah hitungan hari yang ditinggalkan didarabkan satu cupak.
“Fidyah juga boleh diwakilkan kepada waris atau pihak-pihak yang boleh menguruskannya,” katanya.