RAMBANG mata dibuatnya apabila melihat pelbagai pakej ibadah korban yang rancak ditawarkan pada masa ini. Hal itu membuatkan sebilangan orang sukar untuk membuat pilihan.
Begitupun, umat Islam harus berwaspada terutama jika harga pakej tertera terlalu murah dan tidak masuk akal. Masakan tidak, ia dibimbangi merupakan pakej ibadah korban palsu.
Demikian peringatan yang ditegaskan oleh Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) sempena sambutan Hari Raya Aidiladha dijangka pada 10 Julai depan.
Timbalan Setiausaha Agung Fomca, Nur Asyikin Aminuddin menasihatkan orang ramai agar menyemak terlebih dahulu sama ada syarikat yang menawarkan pakej tersebut berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau tidak.
Beliau juga mengingatkan masyarakat supaya menyemak maklumat bank atau nombor telefon pihak pengeluar pakej di laman web semakmule.rmp.gov.my bagi transaksi dalam talian.
“Sekiranya keluar tanda amaran, maka orang awam perlu menjauhkan diri daripada pihak tersebut dan laporkan kepada pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia. Ini bertujuan supaya iklannya dapat disekat untuk mengelakkan orang ramai terpedaya dengan iklan berkenaan.
Baca juga Tempahan ibadah korban meningkat, waspada pakej palsu
“Pihak terbabit tidak patut mengambil kesempatan atas niat suci rakyat untuk melakukan ibadah. Mereka sudah cukup terbeban dengan masalah harga barang keperluan yang kian meruncing,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Yang Dipertuan Ikram Health Malaysia, Dr Mohd Afiq Mohd Nor menyarankan orang ramai supaya membuat pengesahan tentang kewujudan institusi yang menganjurkan program ibadah korban itu, selain memastikan ia bersih daripada unsur penipuan dan penyalahgunaan wang.
“Pakej korban palsu ini sangat memalukan agama kita kerana menipu orang ramai atas urusan agama yang penting demi keuntungan diri sendiri. Saya sarankan berhenti dan bertaubatlah serta jauhi daripada urusan seperti ini,” nasihatnya.
Penyanyi dan komposer terkenal, Mohammad Hafiz Hamidun berkata, sudah tiba masanya pihak-pihak yang menjaga kepentingan agama Islam di Malaysia seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia memantau serta mengambil tindakan sewajarnya kepada agensi yang menawarkan pakej ibadah korban palsu.
Duta Yayasan Maghfirah itu mencadangkan, antara tindakan yang boleh diambil adalah mewajibkan pihak penganjur untuk mendaftar di bawah Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing bagi mengelakkan isu-isu yang tidak diingini.
Baca juga Antara korban satu bahagian lembu dengan seekor kambing, mana lebih afdal?
“Sebaiknya, jika mahu elakkan tertipu, pilihlah pakej korban daripada pihak badan bukan kerajaan (NGO) berwibawa dan mempunyai maklumat lengkap pada poster yang dipaparkan seperti harga pakej, nama NGO, nombor akaun bank yang tepat dan lebih baik andai ada nombor telefon untuk dihubungi,” sarannya.
Ingatan sama turut diberikan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan.
Beliau menegaskan, pengguna perlu melihat sama ada harga ditawarkan relevan atau tidak dan tidak tertipu dengan alasan pihak pengeluar.
Baca juga Tuan Korban Tak Boleh Makan Daging Korban Dalam Keadaan Ini – Azhar Idrus
“Penipuan (seperti) ini bukan sahaja berlaku pada ibadah korban, tetapi orang pergi haji pun ada penipuan. Begitu juga dengan ibadah umrah. Jadi kita kena lebih bijak, kalau tidak kita akan jadi mangsa kepada kejahilan diri sendiri,” katanya. -Bernama
Foto: Bernama