Tudung isteri tidak boleh disedekahkan bila meninggal, perlu dibahagikan secara faraid – Ustaz Azhar Idrus
URUSAN mengenai faraid harta pusaka tidak boleh diambil ringan oleh umat Islam apabila ada ahli keluarga meninggal.
Walaupun perkara ini nampak remeh dan mengambil masa yang lama untuk selesai, ia perlu dilakukan dengan rapi supaya urusan si mati selesai di dunia.
Ini juga termasuk dalam beberapa soalan yang diajukan kepada Ustaz Azhar Idrus dalam satu cermah beliau mengenai pakaian dalam simpanan apabila isteri meninggal dunia.
Baca Juga Curi atau terambil barang orang tanpa izin, apa perlu kita buat
Adakah pakaian dan tudung arwah isteri boleh disedekahkan dengan begitu sahaja?
Menurut lelaki berkenaan, isterinya memiliki kira-kira 164 helai tudung dalam simpanan. Selepas membuat pengiraan tersebut, timbul pertanyaan di mindanya tentang apa yang harus dilakukan dengan koleksi tudung tersebut apabila isterinya meninggal dunia.
“Adakah tudung-tudung tersebut boleh disedekahkan kerana kedua-dua anaknya adalah lelaki? Ataupun tudung perlu dibahagikan berdasarkan sistem faraid?,” tanya lelaki itu.
Ustaz Azhar Idrus kemudian menjelaskan bahawa harta koleksi tudung isteri tidak boleh disedekahkan kerana ia automatik menjadi harta pusaka.
“Jawapannya tidak boleh. Kerana setiap benda yang bermanfaat akan menjadi harta pusaka,” katanya.
Pendakwah popular itu menjelaskan bahawa persepsi sebahagian masyarakat terhadap harta pusaka selalunya hanya terikat kepada beberapa barangan seperti duit, emas, tanah dan rumah.
Namun sebenarnya segala-galanya adalah harta pusaka selagi boleh diambil guna atau memberi bermanfaat.
Beliau kemudian turut memberikan beberapa contoh ringkas berkenaan harta pusaka yang boleh difahami dengan mudah. Antara contih yang diberikan adalah:
“Selipar sebelah, tidak menjadi harta pusaka. Kalau dua belah, menjadi harta pusaka. Walaupun selipar murah, (misalnya) RM5 sahaja, (tetapi) boleh dipakai dan diambil manfaat oleh orang lain, itu harta pusaka. Sudu satu? Harta pusaka, wajib faraid”, katanya lagi.
Artikel Berkaitan
- Beli barangan bercorak pelangi, adakah dikira menyokong golongan songsang?
- Tak boleh selongkar barang orang tanpa izin
- ‘Live’ jual barang kemas… teliti dahulu syarat sebelum beli, elak jatuh hukum haram
- Dilema Sedekah Barangan Dan Pakaian Lama, Bimbang Amalan Itu Tidak Diterima. Ini Penjelasannya
Namun begitu, beliau berkata sekiranya waris bersetuju untuk disedekahkan, barulah perkara itu dibolehkan. Perkara ini jangan dibuat main terutamanya para suami perlu peka dengan hal sebegini.
“Apabila mati, semuanya balik menjadi milik ALLAH, sebab itu waris tidak boleh buat suka-suka. Bila (harta) jadi hak waris? Selepas melalui dua perkara. Pertama, bayar hutang agama dan kedua bayar hutang manusia. Baki baru menjadi milik waris,” katanya lagi.
Beri harta yang tidak digunakan kepada orang lain
Menurut Habib Ali Zainal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid pula, harta sebenar seseorang individu adalah harta yang diberikan kepada orang lain. Apabila seseorang telah meninggal, hartanya akan secara langsung dipindahkan kepada ahli waris dan tidak lagi menjadi miliknya.
Rasulullah SAW telah berkata kepada para sahabat, bahawa harta milik individu adalah harta yang diinfakkan, manakala harta yang disimpan adalah milik ahli waris.
Habib Ali turut menceritakan satu kisah ketika Rasulullah segera pulang ke rumahnya setelah bersolat tanpa berzikir terlebih dahulu seperti yang biasa dilakukannya. Apabila ditanya oleh para sahabat, baginda berkata bahawa dia teringat tentang wang yang belum diberikannya kepada orang tertentu. Baginda segera melakukannya kerana risau ajal akan menemuinya terlebih dahulu sebelum sempat memberikan wang kepada orang yang berhak.
Turut Disyorkan Jangan simpan benda tak pakai, koleksi barang dan harta juga akan dihisab
Selain itu, satu hadis memperincikan bahawa lebih baik untuk memberi barang yang tidak digunakan kepada orang yang lebih memerlukan.
“Sesiapa yang memakai pakaian yang baru, hendaklah dia mengucapkan “Segala puji bagi ALLAH yang telah memakaikan aku sesuatu yang dapat menutup auratku dengannya dan telah memperindahkan diriku di dalam kehidupan ini. Kemudian dia pergi kepada pakaian yang telah ditanggalkannya itu (pakaian lama) lalu dia menyedekahkannya, maka dia berada di bawah lindungan ALLAH, pemeliharaan-NYA dan ditutup (keaibannya) semasa hidup dan selepas meninggal dunia.” (Hadis Riwayat Umar Al-Khattab)