ZAMAN datuk dan nenek kita dahulu, tandas biasanya dibina di luar kawasan rumah. Bukan main jauh jika ingin ke tandas. Lebih seram apabila hajat untuk ‘membuang’ itu muncul secara tiba-tiba pada waktu malam.
Namun, rata-rata reka bentuk rumah masa kini sudah mempunyai tandas dalam bilik tidur.
Tujuannya adalah untuk memberikan kemudahan kepada penghuni bilik supaya tidak perlu berjalan jauh untuk ke tandas.
Lupa sememangnya salah satu sifat semulajadi manusia. Maka, tidak hairanlah kadangkala ada sesetengah daripada kita yang terlupa menutup pintu tandas seusai menggunakan kamar tersebut.
Melalui suatu perkongsian di laman Facebook, seorang arkitek telah melontarkan pandangan bahawa tandas tidak sesuai berada dalam rumah dan bilik memandangkan tandas adalah tempat tinggal jin dan syaitan.
Menurutnya, apabila tandas berada dalam bilik, seolah-olah kita menjemput masuk jin dan syaitan ke bilik tidur setiap kali pintu tandas dibiarkan terbuka.
Tambah-tambah lagi jika tandas berada di hadapan katil. Itu boleh menjadi punca mengapa suami isteri bergaduh.
Baca juga Tak boleh Masuk Tandas Ketika Sedang Azan?
Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus bersetuju bahawa pintu tandas sememangnya perlu ditutup sepanjang masa.
“Islam mementingkan kebersihan. Maka, seelok-eloknya tempat di mana najis dibuangkan tidak diperlihatkan.” ujarnya.
Namun, dari segi hukum membiarkan pintu tandas terbuka, tiada ulama yang menyatakan ia haram.
Manakala pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annuar mengulas bahawa sebuah tandas yang berada di dalam bilik tidur masih dikira sebagai suatu kawasan berasingan jika dilihat dari sudut fiqh.
Bagi bilik mandi yang disertakan dengan tandas tanpa ada sebarang pintu di antaranya, ia dikira sebagai tandas dan pintunya harus sentiasa ditutup.
Beliau juga memberikan peringatan agar membaca doa sebelum dan selepas memasuki tandas.
Selain itu, tutuplah pintu dari luar tandas sambil diiringi nama-nama ALLAH.
Daripada Jabir RA, Nabi SAW bersabda:
“Apabila kegelapan malam menjelma atau apabila sudah lewat petang, maka tahanlah anak-anak kamu. Ini kerana, pada waktu itu syaitan berkeliaran. Apabila telah berlalu beberapa ketika daripada malam, biarkanlah mereka dan tutuplah pintu-pintu serta sebutlah nama ALLAH kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Semoga perkongsian ini dijadikan peringatan agar kita tidak lupa menutup pintu tandas.
Foto: Pexels & Unsplash