TIBA sahaja bulan Ramadan pasti isu ganti (qada) puasa sering menjadi perhatian. Para wanita pula seakan diingatkan menggantikannya sebelum tiba Ramadan berikutnya.
Kenapa wanita Muslim sahaja perlu qada puasa yang ditinggalkan? Kefarduan ini juga sepatutnya turut menjadi peringatan kepada lelaki yang tidak mengganti puasa kerana sengaja meninggalkannya atau melakukan kerja berat.
Rentetan itu, Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Ustazah Nazirah Abu Bakar berkata, lelaki mahupun wanita, kedua-duanya wajib untuk menggantikan puasa yang ditinggalkan sama ada sakit, haid, bermusafir atau bekerja kuat pada siangnya.
“Jika seseorang itu lalai dan tidak mengganti puasa sehinggalah tiba bulan Ramadan yang berikutnya, maka berdosa dan wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan golongan fakir sehari secupak makanan mengikut kebiasaan penduduk setempat.
“Hukum ganti puasa adalah wajib diselesaikan melainkan dalam keadaan uzur yang disyariatkan seperti sakit, haid atau bermusafir.
“Niat puasa qada adalah bertujuan menggantikan puasa yang ditinggalkan dan sekiranya seseorang itu sudah mula berpuasa ganti, maka tidak boleh membatalkannya atau melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa,” katanya.
Bolehkah melambat-lambatkan ganti?
Sungguhpun menggantikan puasa adalah wajib, tetapi ia boleh ditangguhkan selagi tidak masuk bulan Ramadan tahun akan datang.
Kalau melepasi tempoh tersebut dengan sengaja, hukumnya berdosa.
BACA JUGA Sengaja tinggalkan puasa Ramadan sejak akil baligh, ini perkara perlu dilakukan
“Apabila seseorang tidak menggantikan puasanya sehingga menjelang Ramadan yang berikutnya, maka menurut sebahagian ulama termasuk Mazhab Syafie, diwajibkan ke atas orang itu membayar fidyah di samping menggantikan puasa tersebut,” ujarnya.
Bagaimanapun kata Nazirah, sekiranya tidak pasti atau lupa jumlah hari puasa ditinggalkan, boleh diganti dengan membuat anggaran yang diyakini dan ganti berdasarkan jumlah tersebut.
Namun bagi mereka yang melambat-lambatkan ganti puasa hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadan), maka dikenakan denda membayar fidyah dan wajib menggantikan puasa yang ditinggalkan.
Kiraan fidyah semasa mengikut MAIWP
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan telah menetapkan bahawa kadar bayaran fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan ialah satu cupak beras yang boleh dibuat zakat fitrah (1/4 gantang Baghdad).
BACA JUGA Adakah anda tergolong dalam golongan wajib membayar fidyah puasa?
Dalam bentuk nilaian matawang adalah berdasarkan kepada kadar yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sehingga tahun 2019, secupak beras bersamaan dengan 600 gram dinilai dengan kadar RM 4.00.
Formula kiraan:
(Hari yang ditinggalkan) X (Tahun gandaan) X (1 Cupak) = FIDYAH
Contoh: Jika seseorang meninggalkan puasa selama 3 hari dan tidak menggantikan puasanya sehingga 3 kali bulan Ramadan, maka kadar fidyahnya ialah :
RM 4.00 (1 cupak) X 3 hari X 3 tahun = RM36.00.
Prosedur membayar fidyah di MAIWP
Cara perkiraan dan jumlah bayaran fidyah juga boleh dibuat di Unit Sumber Am Bahagian Baitulmal manakala bayaran boleh dibuat secara tunai atau melalui cek/pos berdaftar atas nama MAJLIS AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN
Kadar bayaran fidyah berubah mengikut harga yang ditetapkan oleh pemerintah di sesuatu tempat manakala pengiraan kadar fidyah berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk).
TURUT DISYORKAN Jangan Culas Bayar Fidyah