Ini tatacara solat fardu atas kapal terbang yang ramai terlepas pandang…
SEBAGAI umat Islam, kita wajib menunaikan ibadah solat walau di mana jua kita berada. Tidak ada yang terkecuali daripada menyahut panggilan seruan illahi itu melainkan mereka yang mati sahaja.
Bahkan bagi mereka yang sakit terlantar di katil juga, ada panduan serta solat khusus yang diajarkan agar tetap dapat mendirikan solat.
Namun pada hari ini, ramai yang mengabaikan tuntutan solat fardu itu dengan sengaja. Terutama bagi mereka yang bermusafir dengan kapal terbang. Pelbagai alasan yang diberikan dek kerana ruang yang agak sempit di atas kapal terbang itu sehingga ada yang tidak solat dengan alasan akan qada sesudah sampai ke destinasi.
Melihat situasi ini seolah dipandang mudah oleh sesetangah umat Islam, Pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun berkongsi mengenai tatacara solat di atas kapal terbang, mudah-mudahan ia bermanfaat semasa kita sedang musafir dalam perjalanan yang panjang.
Jelasnya dalam hal ini, kita hendaklah melihat kepada dua keadaan:
1.Bagi kapal terbang yang besar, jika terdapat ruang untuk dirikan solat seperti biasa dan kawasan yang bersesuaian untuk melakukannya, maka pilihlah untuk melaksanakan solat secara berdiri supaya lebih banyak rukun fi’li yang dapat kita lakukan dengan lebih sempurna.
2.Sebaliknya, jika kapal terbang itu bersaiz kecil dengan bilangan penumpang yang padat serta seseorang itu tidak boleh berdiri bagi menunaikan solat, maka dibolehkan untuknya solat di tempat duduknya sahaja.
“Imam Nawawi berkata dalam karyanya, Al Majmu’ Syarah Al Muhazzab “Ada pun orang yang sedang menaiki kapal maka wajib ke atas dirinya menghadap kiblat dan menyempurnakan segala rukun sama ada kapal tersebut berhenti atau sedang berlayar kerana sesungguhnya tiada kesukaran padanya dan ini telah disepakati para ulama.”
Baca Juga Apa nak buat kalau makmum terkentut pada tahiyat akhir solat Jumaat, adakah perlu solat Zuhur?
Tetapi, terdapat beberapa keadaan yang perlu diraikan.
Antaranya:
– Halakan tubuh badan ke arah kiblat dari awal solat hingga selesai.
– Laksanakan rukun solat sekadar yang termampu.
– Segala rukun qauli (bacaan yang wajib) hendaklah dilaksanakan dengan sempurna.
– Syarat-syarat sah solat hendaklah dilakukan sebaik mungkin.
“Seseorang yang mengerjakan solat di atas kapal (bot, kapal terbang dan seumpamanya) hukumnya adalah WAJIB menyempurnakan segala rukun dan syarat-syaratnya seperti solat di darat.
“Maksud menyempurnakan segala rukun dan syaratnya ialah seperti qiyam (berdiri), ruku’, iktidal, sujud dan tahiyat. Namun, jika tidak dapat melakukan atas sebab kenderaan yang dinaiki beralih arah (terumbang-ambing) maka HARUS bagi dirinya melakukan dan menyempurnakan solat tersebut dalam keadaan duduk sambil menghadap ke arah kiblat dari awal solat hingga salam.
Adakah boleh solat hormat waktu dalam kapal terbang?
“Syeikh Hasan bin Ahmad bin Muhammad bin Salim menjelaskan dalam kitab Taqrirat as-Sadidah:
Maksudnya: “Seperti hal demikian solat di dalam kapal terbang, melakukannya dibolehkan pada solat sunat. Sedangkan pada solat fardu, jika dia hanya mampu melakukan di tengah perjalanan kerana perjalanan jauh dan ia tidak mampu melaksanakan solat pada waktunya, sama ada sebelum atau selepas mendarat kapal terbang, meskipun dengan cara jama’ taqdim atau takkhir, maka dalam keadaan demikian wajib baginya untuk solat hormat waktu dengan tetap menghadap ke arah kiblat.”
Baca Juga Susulan insiden kucing lompat ke atas imam ketika solat, sahkah solat itu?
Keadaan solatnya diperincikan dalam dua keadaan:
a) Jika seseorang dapat mendirikan solat dengan menyempurnakan gerakan ruku’ dan sujud, maka dalam hal ini dia tidak perlu qada solatnya.
b) Manakala sebaliknya (tidak dapat menyempurnakan gerakan ruku’ dan sujud atau dia solat tidak menghadap ke arah kiblat) maka wajib baginya qada solat menurut kesepakatan para ulama.”
“Abu Bakar Al-Hishni menuturkan di dalam kitabnya Kifayatul Akhyar “Dibolehkan bagi seorang musafir sama ada dengan kenderaan atau berjalan kaki melakukan solat sunat dengan menghadap ke arah tempat tujuannya, di dalam perjalanan yang panjang (yang boleh mengqasar solat) dan di dalam perjalanan yang pendek (yang tidak dibolehkan mengqasar solat) menurut pendapat dalam mazhab (Syafie).” jelasnya.
Bagaimana cara mengetahui waktu solat ketika berada di atas kapal terbang?
Tambah beliau lagi, antara cara yang boleh dilakukan untuk mengetahui waktu solat adalah melalui pengumuman oleh pramugara atau krew kapal terbang. Dibolehkan juga bertanya kepada mereka jika tiada pengumuman dilakukan, terutamanya berkaitan tentang waktu tempatan di kawasan yang sedang dilalui oleh kapal terbang.
“Namun ada juga saranan daripada hadis Rasulullah SAW untuk kita melihat sendiri.“Daripada Abdullah bin Amr RA, Rasulullah SAW bersabda: “Waktu solat zuhur adalah jika matahari telah tergelincir dan bayangan sesorang seperti panjangnya selagimana belum tibanya waktu solat asar. Waktu solat asar selagimana matahari belum menguning. Waktu solat maghrib selagimana warna merah (syafaq) belum menghilang. Waktu solat isyak sehingga tengah malam, dan waktu solat subuh bermula terbitnya fajar selagimana matahari belum terbit, jika matahari terbit, maka tahanlah daripada melakukan solat, kerana ia terbit di antara dua tanduk syaitan.” (Hadis Riwayat Muslim)
Baca Juga Tak sah solat apabila azan masih berkumandang? Hadam dulu penjelasan ini
“Oleh itu, jika perjalanan tersebut pada waktu malam sehingga melangkaui waktu siang, waktu untuk solat subuh boleh diketahui melalui terbitnya fajar dengan kemunculan cahaya semasa keberadaan seseorang itu di dalam kapal terbang, maka waktu untuk mendirikan solat subuh boleh diketahui melalui terbit fajar dengan kemunculan cahaya ketika seseorang itu di dalam kapal terbang.
“Kemudian, bagi solat zuhur dan asar boleh dilakukan apabila bermulanya waktu zuhur dan dijama’kan dengan waktu asar dengan mengambil kira rukhsah (kemudahan) permusafiran yang terdapat dalam syarak. Waktu zuhur bermula apabila tergelincirnya matahari.
“Manakala, solat maghrib dan isyak, lebih mudah untuk mengetahuinya, iaitu apabila matahari telah terbenam, maka masuklah waktu solat maghrib. Ketika itu, boleh melaksanakan jama’ taqdim antara maghrib dan isyak, sebagaimana ditangguhkan solat maghrib boleh dijama’kan dengan solat isyak sebagai jama’ ta’khir,” kongsinya menerusi satu hantaran di laman media sosial Facebook.
Sumber: Facebook Ustazah Asma’ Harun