DALAM bahasa Arab cicak disebut sebagai “الوزغة” dan dikenali sebagai haiwan yang melata. Badannya berbintik-bintik seperti penyakit kusta dan merupakan haiwan perosak.
Cicak juga merupakan haiwan yang boleh dibunuh kerana termasuk di dalam binatang fawasiq (perosak). Sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Syarik: Rasulullah SAW memerintahkan untuk membunuh cicak dan bersabda: ‘Dahulunya cicak meniup api (untuk membakar) Nabi Ibrahim AS.
Apabila melibatkan soal kebersihan, tahi cicak sememangnya adalah najis. Satu persoalan telah diutarakan kepada agamawan terkemuka, Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri mengenai hukum terpijak tahi cicak tanpa sengaja ketika hendak menunaikan solat.
Jawab beliau di laman maktabahalbakri, terlebih dahulu hendaklah mengetahui bahawa najis terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu najis mukhaffafah (ringan), najis mutawassitah (sederhana) dan najis mughallazah (berat).
1. Najis mughallazah ialah anjing dan babi serta apa daripadanya.
2. Najis mukhaffafah merupakan air kencing bayi lelaki yang hanya minum susu ibunya sahaja dan berumur tidak lebih daripada dua tahun.
3. Najis mutawassitah pula adalah selain daripada kedua-dua jenis najis di atas. Najis mutawassitah adalah seperti air kencing, najis haiwan dan darah.
Hukum tahi cicak
Ujarnya, berdasarkan kepada pembahagian di atas, tahi cicak termasuk dalam kategori najis mutawassitah. Hal ini kerana menurut mazhab al-Syafie, tahi, najis dan air kencing termasuk yang datang daripada haiwan adalah dikira sebagai najis.
“Terdapat sebuah hadis daripada riwayat Ibn Mas‘ud RA, beliau berkata: “Aku telah membawa dua biji batu kepada Nabi SAW dan satu kotoran (tahi binatang yang kering). Baginda mengambil dua biji batu dan membuang kotoran tersebut, lalu bersabda: ‘Sesungguhnya ia ialah kotoran haiwan.””
BACA JUGA Organ dalaman haiwan tidak boleh dimakan? Ini hukumnya yang wajib kita tahu
“Sekalipun pada asalnya, mazhab Syafie berpendapat tinja, bahan buangan dan kencing itu adalah najis, sama ada daripada sekalian haiwan sekalipun binatang yang dimakan dan tidak dimakan.
“Namun ada beberapa keadaan, yakni berlakunya Umm al-Balwa iaitu keadaan apabila keberadaan najis itu susah dikawal dan dielakkan, seperti tahi burung di dalam masjid, tinja ikan di dalam air, tinja belalang dan tinja haiwan yang tidak ada darah mengalir di dalam badannya termasuklah cicak mengikut pandangan sebahagian ulama, maka ia dianggap najis juga, tetapi dimaafkan kerana sukar untuk dielakkan,” katanya.
Tambahnya lagi, berdasarkan kepada perbincangan di atas, pendapat bahawa tahi cicak itu pada asalnya termasuk dalam kategori najis mutawassitah yang mana cara membersihkannya adalah dengan menghilangkan ainnya terlebih dahulu, kemudian mencucinya dengan air sehingga hilang bau, warna dan rasa.
“Sekiranya tahi cicak itu boleh untuk dielakkan, maka jika terpijak, hendaklah segera dibuang kerana dikhuatiri ia boleh merosakkan solat. Namun, sekiranya tahi cicak itu sukar untuk dielak, ia tidaklah merosakkan solat kerana najis itu dimaafkan dan termasuk dalam umm al-Balwa.
“Di kesempatan ini, saya juga menyeru pihak pentadbir masjid untuk membersihkan masjid supaya bersih daripada najis-najis kecil seperti tahi cicak dalam memelihara kesucian masjid dan meninggikan syiarnya,” ungkapnya di laman Tashih Al-Mafahim #251 Tahi Cicak adalah Najis.