APABILA masuknya Syawal, antara amalan penting yang disarankan oleh Baginda SAW ialah puasa enam atau puasa enam Syawal.
Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” (Hadis Riwayat Muslim)
Di dalam Mazhab Syafie turut menyatakan bahawa puasa enam merupakan ibadah sunat sepanjang Syawal tidak kira sama ada dilakukan secara berturut-turut atau berpisah.
Seperti dikongsi oleh pendakwah terkenal, Ustazah Asma Harun, berikut merupakan lima kelebihan puasa 6 Syawal
1) Diibaratkan puasa selama setahun
Sepertimana hadis yang dinyatakan di awal tadi, dengan berpuasa enam menjadikan kesemua puasa Ramadan dan juga enam hari pada bulan Syawal menyamai puasa selama setahun.
Nabi SAW bersabda; “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian meneruskan dengan enam hari di bulan Syawal sepertinya dia berpuasa selama setahun.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)
2) Menyempurnakan kekurangan ibadah puasa di bulan Ramadan
Hal ini kerana amalan sunat melengkapkan amalan fardu, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya amalan pertama yang dihitung bagi manusia di hari kiamat ialah solat. Jika solatnya baik, maka dia akan beruntung dan selamat, jika solatnya rosak, maka dia akan rugi dan tidak beruntung. Jika amalan fardunya ada yang kurang, maka Rabb ‘Azza wa Jalla berfirman, “Periksalah, apakah hamba-Ku mempunyai ibadah sunnah yang boleh menyempurnakan ibadah wajibnya yang kurang?” Lalu setiap amal akan diperlakukan seperti itu.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Baca Juga 5 kemusykilan mengenai puasa enam bulan Syawal
3) Disediakan pintu syurga bernama ar-Rayyan
ALLAH SWT juga menyediakan satu pintu syurga khas iaitu pintu ar-Rayyan bagi mereka yang melazimi ibadah puasa.
Sabda Nabi Muhammad SAW: “Sesungguhnya di dalam syurga nanti ada pintu dinamakan ar-Rayyan, yang akan dimasuki oleh orang-orang berpuasa pada hari kiamat kelak. Tiada siapa yang memasuki pintu tersebut selain mereka. Dikatakan: Di mana orang-orang berpuasa? Maka mereka memasukinya. Apabila orang terakhir memasukinya, maka pintu itu ditutup dan tiada siapa lagi dapat memasukinya.” (Hadis Riwayat Bukhari)
4) Dapat mendekatkan diri kepada ALLAH SWT
Dalam satu Hadis Qudsi, ALLAH SWT berfirman; “Dan tidaklah seorang hamba bertaqarrub (mendekatkan diri dengan beribadah) kepada-Ku dengan sesuatu, yang lebih Aku cintai daripada apa yang telah Ku-wajibkan kepadanya, dan senantiasalah hamba-Ku (konsisten) bertaqarrub kepada-Ku dengan amalan sunnah hingga Aku mencintainya; bila Aku telah mencintainya, maka Aku adalah pendengarannya yang digunakannya untuk mendengar, dan penglihatannya yang digunakannya untuk melihat dan tangannya yang digunakannya untuk memukul dan kakinya yang digunakannya untuk berjalan; jika dia meminta kepada-Ku pasti Aku akan memberikannya, dan jika dia meminta perlindungan kepada-Ku pasti Aku akan melindunginya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Baca Juga Tamu datang membawa rezeki, muliakan seikhlas hati di Syawal ini
5) Melatih diri untuk istiqamah melakukan kebaikan walau berlalunya Ramadan
Daripada Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Amalan yang paling disukai oleh ALLAH SWT adalah yang berterusan walaupun sedikit.” (Hadis Riwayat Muslim)
Ustazah Asma turut berkongsi antara tarikh cadangan puasa enam yang boleh dipilih untuk tahun ini;
1. 24 April 2023 bersamaan 3 Syawal (Isnin)
2. 27 April 2023 bersamaan 6 Syawal (Khamis)
3. 01 Mei 2023 bersamaan 10 Syawal (Isnin)
4. 04 Mei 2023 bersamaan 13 Syawal (Hari Putih+ Khamis)
5. 05 Mei 2023 bersamaan 14 Syawal (Hari Putih)
6. 06 Mei 2023 bersamaan 15 Syawal (Hari Putih)
7. 08 Mei 2023 bersamaan 17 Syawal (Isnin)
8. 11 Mei 2023 bersamaan 20 Syawal (Khamis)
9. 15 Mei 2023 bersamaan 24 Syawal (Isnin)
10. 18 Mei 2023 bersamaan 27 Syawal (Khamis)
Pada tarikh-tarikh ini berhimpunnya fadilat-fadilat berikut, iaitu:
1. Puasa 6 Syawal
2. Puasa Isnin dan Khamis
3. Puasa Hari Putih
Baca Juga Benarkah bernikah di bulan Syawal itu Sunnah? Sila hadam penjelasan ini.
Walau bagaimanapun, puasa enam boleh dilaksanakan pada bila-bila masa di bulan Syawal melainkan 1 Syawal, dan tarikh-tarikh ini hanya sekadar cadangan sahaja.