Makmum jangan sengajalambat mengikut imam dalam solat berjemaah, ia boleh menyebabkan solat tidak sah
MENJELANG Ramadan, suasana di masjid dan surau akan lebih gamat daripada biasa. Tidak hairanlah kerana bulan suci itu hanya menjengah sekali setahun, maka umat Islam semuanya berlumba-lumba mengambil peluang menggandakan pahala.
Apabila tiba waktu malam, kesibukan menguruskan urusan dunia akan diketepikan buat seketika sementara tumpuan pula dialihkan kepada aktiviti solat berjemaah di masjid.
Baca juga Raih Keampunan Dengan Bertarawih, Rugi Jika Tinggalkan Begitu Sahaja
Menyentuh tentang solat berjemaah, ada segelintir makmum yang gemar melewatkan pergerakan solat mereka, misalnya masih belum memulakan solat walaupun imam sudah mengangkat takbiratul ihram.
Perkara itu biasa terjadi sewaktu mendirikan solat tarawih berjemaah. Sesuai dengan namanya, ‘tarawih’ yang bermaksud ‘beristirahat’, ibadah itu sememangnya disunatkan agar dilakukan dalam keadaan tenang dan tidak tergopoh-gapah.
Pun begitu, berhati-hati apabila melewatkan pergerakan solat kerana terlalu jauh ketinggalan daripada imam mungkin menyebabkan solat anda tidak sah.
Turut disyorkan Lambat baca al-Fatihah ketika solat berjemaah. Perlu ‘kejar’ imam atau tidak?
Perlu ikut pergerakan imam dalam solat berjemaah
Portal Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa makmum wajib mengikuti imam di dalam setiap pergerakan ketika solat berjemaah.
Dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
“Imam (di dalam solat) itu dijadikan untuk diikuti. Jangan kalian bercanggahan dengan imam. Apabila dia rukuk maka rukuklah. Apabila dia menyebut سمع الله لمن حمده (ALLAH Maha Mendengar sesiapa yang memuji-NYA) maka katakanlah ربنا لك الحمد (TUHAN kami bagi Engkau segala pujian). Apabila dia sujud maka bersujudlah. Apabila dia solat secara duduk maka solatlah kalian semua secara duduk.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan hadis tersebut, ulama Imam al-Nawawi mengatakan bahawa makmum wajib untuk mengikut imam ketika takbir, qiyam, rukuk, sujud dan lain-lain.
Misalnya, makmum perlu mengangkat takbir sejurus selepas imam melakukannya. Jika makmum melakukan apa-apa pergerakan solat sebelum imam selesai, boleh jadi tidak sah solatnya.
Turut disyorkan Sebut ‘amin’ selepas imam baca al-Fatihah, akan berguguranlah dosa yang telah lalu
Manakala, dalam hadis yang lain, Anas RA berkata:
“Rasulullah SAW mengimami kami dalam solat pada satu hari. Apabila Baginda selesai, Baginda menghadapkan wajah Baginda kepada kami lalu Baginda bersabda: Wahai manusia! sesungguhnya saya ini imam kalian. Maka, janganlah kalian mendahului saya dengan rukuk mahupun sujud. Tidak juga dengan qiyam mahupun salam. Sesungguhnya saya melihat kalian yang berada di hadapan saya dan juga dari bahagian belakang.” (Hadis Riwayat Muslim)
Hadis itu menunjukkan antara syarat sah solat berjemaah adalah mengikut setiap pergerakan imam.
Justeru, para ulama berkata makmum wajib mula lambat sedikit daripada imam iaitu setelah selesai imam melaksanakan sesuatu perbuatan, barulah dia melakukannya.
Turut disyorkan Fikiran menerawang ketika solat, bagaimana status ibadahnya?
Baca juga Khunsa tidak boleh jadi imam, berikut perinciannya
Solat terbatal jika jauh ketinggalan dengan imam
Namun, jangan dibiarkan ketinggalan terlalu jauh dengan imam kerana hukumnya makruh jika makmum terkemudian satu rukun daripada imam.
Untuk pengetahuan, lima rukun panjang dalam solat ialah rukuk, sujud dan berdiri ketika al-Fatihah dibaca. Manakala, iktidal serta duduk di antara dua sujud dikira rukun pendek.
Bahkan jika makmum ketinggalan dua rukun panjang daripada imam, solatnya akan terbatal. Contohnya, imam telah rukuk dan iktidal kemudian sujud dan bangun, tetapi jemaah masih lagi berdiri tanpa sebab yang dimaafkan.
Pun begitu, makmum dimaafkan sekiranya dia ketinggalan atas sebab seperti lambat baca secara semulajadi. Dalam hal itu, dia dibolehkan terkemudian daripada imam sehingga 3 rukun.
Walau bagaimanapun, jika masih tidak memadai untuk mengikut imam selanjutnya, dia hendaklah menghentikan perbuatan yang sedang dilakukannya dan teruskan mengikut imam. Dia pula perlu menyambung perbuatannya semula yang tertinggal selepas imam mengucap salam.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Foto: Google, Pexels & Unsplash