MALAS bersahur seperti meniru puasa orang Yahudi, benarkah itu?
Kerap kali kita mendengar, malas bangun sahur kerana lebih sayangkan tidur dan dikatakan tidak wajib. Namun, tahukah, amalan tidak bersahur inilah sebenarnya yang membezakan puasa orang Muslim dan Yahudi.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Mufti Perlis, Prof Dato Arif Perkasa Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin menjelaskan, sahur itu adalah sunah. Sekalipun ia tidak diwajibkan, namun amat-amat digalakkan.
“Bahkan ia dijadikan pembeza antara sahur muslim dan sahur Yahudi. Sabda Nabi SAW “Pembeza antara puasa kita dan puasa Ahli Kitab adalah makan sahur”. (Hadis Riwayat Muslim).
“Selain itu, di dalam waktu sahur itu juga ada keberkatan buat puasa yang bakal dilaksanakan. Sabda Nabi SAW “Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
“Bersahur di samping membantu kita untuk lebih cergas semasa berpuasa, ia juga mendidik seseorang untuk bangun pada sepertiga yang akhir malam.
“Ini kerana waktu tersebut adalah waktu yang mempunyai kelebihan untuk ibadah dan dimustajabkan doa serta istighfar,” ujarnya.
Tambah agamawan itu lagi, dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Tuhan kita YANG MAHA BERKAT dan AGUNG turun setiap malam ke langit dunia, ketika hanya tinggal sepertiga malam yang akhir. Lalu berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepada-KU, akan AKU perkenankan untuknya. Sesiapa yang meminta kepada-KU, akan aku berikan-NYA. Sesiapa yang memohon keampunan kepada-KU, akan AKU ampunkannya” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
“Hadis ini menunjukkan fadilat berdoa dan beristighfar pada waktu sepertiga malam yang akhir. Maka dengan seseorang bangun pada waktu tersebut memberikan peluang dan ruang kepadanya untuk berdoa dan memohon hajat kepada ALLAH pada waktu tersebut.
“Puasa adalah proses mengabdikan diri kepada ALLAH SWT. Ia akan mendidik diri dengan berbagai kebaikan yang lain, termasuklah qiyam.
“Sahur juga merupakan salah satu program penting yang jika dihayati dengan baik, membentuk jika menjadi insan yang menghampirkan diri kepada ALLAH,” ungkapnya di laman portal Jabatan Mufti Negeri Perlis.
Ini perbezaan berpuasa antara agama Hindu, Buddha, Kristian dan Juga Yahudi
1. Kaedah berpuasa bagi agama Hindu
Amalan berpuasa adalah antara amalan yang sangat digalakkan dalam ajaran agama Hindu.
Namun, ajaran Hindu tidak menetapkan satu cara yang khusus untuk penganutnya berpuasa dan mereka diberikan kebebasan untuk berpuasa pada bila-bila masa.
Amalan berpuasa dalam agama Hindu dikenali sebagai Upavasa. Kaedah berpuasa dalam ajaran Hindu berbeza mengikut hari tertentu.
Biasanya, mereka akan berpuasa penuh pada hari perayaan agama. Adakalanya, mereka yang berpuasa makanan tetapi masih boleh meminum air.
Baca Juga Ceroboh dan serang hospital, Israel terus mengganas pada hari pertama Ramadan di Palestin
2. Kaedah berpuasa bagi agama Buddha
Bagi penganut Buddha, puasa adalah salah satu cara yang berkesan untuk mengawal diri manusia daripada tuntutan nafsu.
Amalan puasa dalam ajaran Buddha juga mempunyai sedikit persamaan dengan ajaran Hindu, di mana mereka akan berpuasa pada hari bulan penuh yang dikenali sebagai Uposatha.
Terdapat satu amalan berpuasa yang diamalkan oleh para sami Budhha di Tibet yang dikenali sebagai ‘Nyoong-Nay’. Bagi cara berpuasa ini, ia akan dilakukan selama dua hari.
Pada hari pertama, mereka masih makan dan minum tetapi perlu bertafakur. Manakala pada hari kedua, seseorang itu akan berpuasa sepanjang hari tanpa makan dan minum.
3. Kaedah berpuasa bagi agama Kristian
Dalam agama Kristian, salah satu kaedah berpuasa yang paling terkenal ialah kaedah puasa 40 hari sempena musim Lent.
Puasa musim Lent ini dilakukan bagi memperingati kesusahan Jesus Christ semasa perjalanannya di padang pasir.
Namun, seiring dengan peredaran zaman, puasa musim Lent yang diamalkan kini sudah mempunyai banyak kelonggaran dan kemudahan.
Baca Juga 3 hukum masuk rumah ibadat agama lain, umat Islam wajib hadam sepenuhnya
Mereka tidak lagi perlu berpuasa sepanjang hari tanpa makan dan minum. Ada sesetengah gereja membenarkan pengikutnya untuk makan dan minum seperti biasa dan perlu mengelakkan pengambilan daging sahaja.
Kelonggaran ini ditetapkan bagi menggalakkan lebih ramai umat Kristian mengamalkan kaedah puasa 40 hari.
4. Kaedah berpuasa bagi agama Yahudi
Bagi penganut agama Yahudi, mereka percaya bahawa amalan berpuasa dapat mengurangkan kemurkaan tuhan ke atas mereka.
Mereka juga berpuasa dengan tujuan mengenang peristiwa kemusnahan bandar Jerusalem yang diserang oleh Nebuchadnezar II.
Dalam kitab Taurat pula, ada dinyatakan kewajipan puasa keatas penganut agama Yahudi pada hari kesepuluh di bulan yang ketujuh yang disebut sebagai Asyura.
Baca Juga Penguasa agama perlu lebih tegas pertahankan Islam agar tidak dipandang lemah
Pada hari tersebut, penganut Yahudi akan berpuasa daripada waktu siang sehingga malam. Bagi golongan Yahudi Ortodoks, mereka mengamalkan puasa wajib satu hari pada hari Yom Kippur.
Ada juga sebilangan penganut Yahudi yang mengamalkan puasa mengikut Nabi Yahya, 40 hari berpuasa seperti amalan Nabi Musa dan 40 hari puasa mengikut Nabi Ilyas.
Selain itu, mereka juga berpuasa secara sukarela pada hari Isnin dan juga Khamis.