TAHUKAH anda mengenai 7 mubin? Bagi mereka yang pernah mendengar tentangnya, pasti juga mengetahui beberapa amalan dan rahsia boleh dilakukan dengan lafaz 7 mubin itu.
7 mubin sebenarnya merujuk kepada 7 ayat daripada Surah Yasin yang adanya perkataan ‘mubin’ bermaksud ‘jelas atau nyata’ dalam bahasa Arab.
Ramai dalam kalangan masyarakat kita gemar mengamalkan 7 mubin dalam kehidupan seharian. Menurut sesetengah orang, pelbagai fadilat wujud hasil daripada melazimi bacaan berkenaan seperti terjumpa kembali barang hilang, permintaan yang didoakan mudah untuk dikabulkan, anak-anak mendengar kata dan banyak lagi.
Namun, dari manakah asal usul ibadah tersebut dan apakah hukum bagi seseorang muslim mengamalkannya?
Baca juga Bukan sahaja dibaca untuk orang meninggal… Ini kebaikan Surah Yasin kepada kita yang masih hidup
Baca juga 6 waktu dianjurkan baca Surah al-Ikhlas
Menurut pandangan golongan ilmuwan, tiada dalil atau nas sahih mengenai amalan ini sama ada ia pernah dilakukan oleh Rasulullah mahupun para sahabat.
Namun, seperti yang dijelaskan portal Tzkrh, lafaz itu mula dijadikan doa sebagai salah satu usaha dalam setiap perkara yang ingin dilakukan oleh para ulama kerana maksud perkataan mubin, iaitu yang jelas nyata.
Selain itu, ia juga boleh dilakukan sebagai kaedah zikir tetapi pergantungan dan pengharapan hanyalah kepada ALLAH semata-mata dan bukan kepada 7 mubin tersebut.
Baca juga Berdoa tidak perlukan lafaz khusus dan skrip
Surah Yasin 7 mubin
1. Ayat 12.
إِنَّا نَحْنُ نُحْيِي الْمَوْتَىٰ وَنَكْتُبُ مَا قَدَّمُوا وَآثَارَهُمْ ۚ وَكُلَّ شَيْءٍ أَحْصَيْنَاهُ فِي إِمَامٍ مُّبِينٍ
Ertinya: “Sesungguhnya KAMI menghidupkan orang-orang yang mati, dan KAMI tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu KAMI catatkan satu persatu dalam kitab yang jelas nyata.”
2. Ayat 17.
وَمَا عَلَيْنَا إِلَّا الْبَلَاغُ الْمُبِينُ
Ertinya: “Dan tugas KAMI hanyalah menyampaikan perintah-perintah-NYA dengan cara yang jelas nyata.”
3. Ayat 24.
إِنِّي إِذًا لَّفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ
Ertinya: “Sesungguhnya aku (kalau melakukan syirik) tentulah aku pada ketika itu berada dalam kesesatan yang nyata.”
4. Ayat 47.
وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ أَنفِقُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّـهُ قَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِلَّذِينَ آمَنُوا أَنُطْعِمُ مَن لَّوْ يَشَاءُ اللَّـهُ أَطْعَمَهُ إِنْ أَنتُمْ إِلَّا فِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ
Ertinya: “Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Dermakanlah sebahagian dari rezeki yang dikurniakan ALLAH kepada kamu,” berkatalah orang-orang yang kafir itu kepada orang-orang yang beriman (secara mengejek-ejek): “Patutkah kami memberi makan kepada orang yang jika ALLAH kehendaki tentulah DIA akan memberinya makan? Kamu ini hanyalah berada dalam kesesatan yang nyata.”
5. Ayat 60.
أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَا بَنِي آدَمَ أَن لَّا تَعْبُدُوا الشَّيْطَانَ ۖ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
Ertinya: “Bukankah AKU telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu.”
6. Ayat 69.
وَمَا عَلَّمْنَاهُ الشِّعْرَ وَمَا يَنبَغِي لَهُ ۚ إِنْ هُوَ إِلَّا ذِكْرٌ وَقُرْآنٌ مُّبِينٌ
Ertinya: “(Nabi Muhammad bukanlah penyair) dan KAMI tidak mengajarkan syair kepadanya, dan kepandaian bersyair itu pula tidak sesuai baginya. Yang KAMI wahyukan kepadanya itu tidak lain memberikan nasihat pengajaran dan kitab suci yang memberi penerangan.”
7. Ayat 77.
أَوَلَمْ يَرَ الْإِنسَانُ أَنَّا خَلَقْنَاهُ مِن نُّطْفَةٍ فَإِذَا هُوَ خَصِيمٌ مُّبِينٌ
Ertinya: “Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui bahawa Kami telah menciptakan dia dari (setitis) air benih? Dalam pada itu (setelah Kami sempurnakan kejadiannya dan tenaga kekuatannya) maka dengan tidak semena-mena menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya (mengenai kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang mati).”
Cara mengamalkan 7 mubin
Menurut pandangan agamawan, terdapat beberapa cara untuk mengamalkan 7 mubin ini, antaranya ialah:
1. Dibacakan selepas solat hajat.
Selepas melakukan solat sunat hajat dua rakaat, boleh dibacakan ketujuh-tujuh ayat mubin ini dan diniatkan mengenai permohonan kita.
2. Dibaca bersama Surah Yasin.
Baca surah Yasin secara penuh dan apabila sampai pada setiap penghujung ayat mubin ini, diniatkan permohonan yang diinginkan.
Kesimpulannya, tidak salah untuk beramal dengan amalan yang baik selagi mana ia tidak menggugat keimanan dan menyebabkan akidah tersasar.
Sumber: Tzkrh