Berbicaralah dengan ALLAH meskipun bisu atau pekak kerana ALLAH MAHA MENDENGAR…
TULAR satu hantaran video di media sosial menampilkan seorang lelaki Muslim kelainan upaya (OKU) pendengaran sedang melaksanakan solat di dalam sebuah masjid di Indonesia menggunakan bahasa isyarat.
Meskipun pertuturan dan pendengarannya terbatas, itu bukan halangan untuknya berkomunikasi dengan ALLAH SWT.
Video yang dimuatnaik oleh pemilik akaun miftahuljannah_jannah itu telah meraih lebih 802,662 tontonan, menunjukkan seorang lelaki menggunakan bahasa isyarat ‘sedang membaca’ Surah al-Fatihah.
Dengan penuh khusyuk, lelaki ini menggerakkan tangannya dengan jelas dan menunjukkan ekspresi wajah yang penuh keikhlasan, menandakan penghayatan rohani yang mendalam.
Video yang menginspirasikan itu boleh disifatkan sebagai satu contoh tentang seorang hamba ALLAH yang memiliki keterbatasan deria, tetapi tidak melupakan tanggungjawabsebagai Muslim lantas bersedia menjalin hubungan akrab dengan ALLAH melalui ibadah.
Lihat siaran ini di Instagram
Isyarat orang bisu yang difahami
Ibadah solat lima waktu merupakan tiang agama dan umat Islam diwajibkan untuk melaksanakannya secara rutin.
Kehadiran lelaki ini di masjid dan komitmennya mendirikan solat menggunakan bahasa isyarat mengingatkan kita bahawa setiap individu memiliki hak yang sama untuk beribadah dan menghadirkan ALLAH dalam hidup mereka.
Rata-rata warganet memaparkan respon positif di media sosial dan ramai yang menghargai kegigihan lelaki ini dalam menjalankan ibadahnya.
Berdasarkan situasi lelaki di atas, pasti akan timbul persoalan adakah solat yang dilakukan itu sah kerana menggunakan simbol bahasa isyarat, adakah hukumnya sama dengan berkata-kata dengan suara?
Baca Juga Betulkah beli makanan di pasar malam ada unsur gharar dan apa solusinya?
Turut Disyorkan Wanita hilang selepas sehari bernikah, apa status perkahwinan itu?
Merujuk laman Mufti Wilayah Al-Kafi #1680: Isyarat Orang Bisu Yang Difahami, Adakah Membatalkan Solat? menyatakan bahawa isyarat seorang yang bisu tidak membatalkan solat, meskipun ia difahami, dengan syarat, isyarat tersebut tidak terlalu banyak dan tidak termasuk di bawah kategori perbuatan yang membatalkan solat.
Jelasnya lagi, kaedah umum fiqh menetapkan isyarat seorang yang bisu mengambil hukum perkataan dan percakapan, namun ia mempunyai beberapa pengecualian.
“Perkara ini sepertimana dicatatkan dalam satu kaedah fiqhiyyah menyebut: Isyarat yang diketahui bagi orang bisu adalah sama sepertimana penjelasan melalui lisan.
“Syeikh Ahmad al-Zarqa’ menjelaskan: Isyarat yang diketahui sebagaimana kebiasaannya bagi orang bisu dengan mana-mana anggotanya seperti tangannya atau kepalanya adalah diambil kira sebagaimana percakapan atau penjelasan melalui lisan.
“Maka pada asalnya, kedudukan isyarat seorang yang bisu sama kedudukan dan hukumnya dengan percakapan seorang yang tidak bisu.
“Namun, para ulama memberikan pengecualian kepada hal ini dalam tiga perkara, dan salah satunya ialah bahasa dan simbol isyarat tidak membatalkan solat sebagaimana perkataan secara sengaja yang membatalkan solat.
Baca Juga [Video] Solat pada hujung waktu dan terdengar azan, perlu teruskan atau tidak?
“Bahkan Imam al-Bujairimi menyebutkan bahawa jika seorang yang bisu berjual beli menggunakan bahasa isyarat ketika solat, jual beli itu dikira sah dan solatnya tidak terbatal.
“Dalam isu ini, pendapat yang sahih dalam mazhab al-Syafie, salah satu qaul dalam mazhab Maliki, pandangan jumhur ulama mazhab Hanbali dan pandangan yang zahir dalam mazhab Hanafi menetapkan bahawa isyarat seorang yang bisu tidak membatalkan solat.
“Fatwa yang sama turut diberikan oleh Hujjah al-Islam Imam Abu Hamid al-Ghazali, kerana isyarat bukan satu bentuk percakapan, dan bukan juga perbuatan yang dikira banyak, dan isyarat juga tidak dikira percakapan meskipun difahami maknanya,” kongsi Mufti di laman berkenaan.