PERSOALAN yang sering timbul apabila melibatkan puasa adalah antara puasa qada Ramadan dan puasa nazar, yang manakah perlu diutamakan? Tambahan pula apabila bilangan hari menuju Ramadan hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi.
Pada asalnya, hukum berpuasa selain daripada bulan Ramadan itu adalah sunat, dan menjadi wajib apabila ia dinazarkan, sekiranya berlaku pertembungan antara puasa nazar dan puasa qada’ Ramadan, hendaklah didahulukan qada puasa Ramadan berbanding puasa nazar seperti yang dijelaskan oleh Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri di laman maktabahalbakri.
Ini kerana, perintah melaksanakannya lebih utama dan lebih kuat berbanding puasa nazar. ALLAH SWT berfirman: “(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain”. (Surah al-Baqarah ayat 184)
Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, menyatakakan: “Para ashab kami (asy-Syafiiyyah) berkata: Apabila seseorang bernazar untuk berpuasa setahun, maka nazarnya sah tanpa khilaf dan wajib baginya untuk menepati nazar itu tanpa khilaf, dan dikecualikan baginya untuk berpuasa pada hari-hari raya, hari-hari tasyriq, bulan ramadan dan hari-hari qada Ramadan itu.”
Hal ini kerana menangguhkan qada Ramadan sehingga melangkau Ramadan yang baharu, tanpa keuzuran adalah haram. Sedangkan nazar tidak boleh dibuat bagi perkara yang haram. Keutamaan ini sesuai dengan kaedah fiqh:
Maksudnya “Jika bertembung antara dua perkara yang wajib, atau antara dua perkara yang haram, maka didahulukan perkara yang mana lebih kuat.”
BACA JUGA Rupanya makruh hukumnya bila kita sengaja batalkan puasa sunat
Agamawan tersebut menyatakan bahawa hukum puasa nazar adalah wajib ditunaikan. Namun begitu, sekiranya berlaku pertembungan antara puasa nazar dan qada puasa Ramadan dalam keadaan waktu ramadan yang akan datang hampir tiba, maka mestilah di dahulukan puasa qada Ramadan sebagaimana hujah yang dinyatakan.
Beliau turut menasihatkan masyarakat Islam khususnya agar tidak melengahkan untuk menqada puasa ramadan dan melakukan sesegera mungkin sekiranya tidak ada keuzuran menghalang.
“Begitu juga dengan puasa nazar, supaya tidak bernazar dengan sesuatu perkara yang akan memberatkan diri sendiri untuk ditunaikan di masa depan,” katanya.
Hal ini kerana Rasulullah SAW pernah bersabda “Janganlah kamu untuk bernazar (dengan sesuka hati), kerana sesungguhnya nazar tidak akan mengubah daripada takdir yang telah ditentukan ALLAH SWT sedikitpun. Hanya ia dikeluarkan daripada orang yang bakhil” (Hadis Riwayat Muslim)
BACA JUGA Tak boleh sewenang-wenangnya batalkan nazar yang telah dibuat, kena ‘bayar’ kafarah dulu…
Ibn Qudamah mengatakan: “Tidak digalakkan untuk bernazar. Hal ini kerana Ibn Umar RA berkata bahawa Nabi SAW melarang untuk bernazar sambil bersabda, “Kerana nazar tidak mendatangkan kebaikan dan sesungguhnya ia dikeluarkan daripada orang yang bakhil. Hal ini menunjukan bahawa ia adalah larangan makruh dan bukan larangan haram. Sekiranya nazar itu haram, ALLAH SWT tidak akan memuji orang yang menunaikan nazar kerana dosa mereka ketika terjerumus pada yang haram itu lebih berat dibandingkan dengan ketaatannya dalam menunaikan (janjinya). Sekiranya nazar itu digalakkan, pasti Nabi SAW dan para sahabat yang mulia akan melakukannya.
ANEKDOT…
PUASA QADA DAN NAZAR
1. Puasa qada Ramadan ialah puasa yang dilakukan untuk menggantikan puasa yang ditinggalkan pada bulan ramadan sama ada secara uzur ataupun dengan sengaja. Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadan disebabkan musafir atau sakit, dia wajib mengqada’nya sebelum tiba bulan Ramadan yang berikutnya.
2. Nazar dari sudut bahasa membawa erti berjanji melakukan kebaikan atau kejahatan. Manakala dari sudut istilah, nazar ditakrifkan sebagai :
“Mewajibkan ke atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (ibadah yang mendekatkan diri dengan ALLAH) yang tidak diwajibkan oleh syara’ (ke atas dirinya), sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara.
Hukum melaksanakan tuntutan nazar adalah wajib sekiranya ia merupakan suatu amal ketaatan. Ini berdasarkan firman ALLAH SWT: “Dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka” (Surah al-Hajj ayat 29)
SUMBER: Maktabahalbakri