SELAKU seorang pengguna media sosial yang tegar, berkongsi tentang aktiviti seharian bukan lagi perkara pelik dalam kalangan masyarakat.
Walaupun media sosial merupakan platform untk berkongsi apa sahaja, Namun, sebagai seorang Muslim dan wanita khususnya, dilihat ramai juga yang memandang enteng akan perkara ini. Bahkan tanpa segan silu memaparkan aurat.
Satu persoalan telah diutarakan kepada Mufti Wilayah mengenai hukum bolehkah post gambar tidak menutup aurat dengan sempurna contohnya seperti tidak memakai tudung dalam kalangan ‘close friends’ di Instagram.
Sebelum mengupas lebih lanjut akan perkara ini, di zaman serba canggih ini setiap aplikasi ada kelebihannya tersendiri. Seperti aplikasi Instagram, kita boleh berkongsi apa sahaja dengan pengikut, namun jika inginkan sedikit ruang peribadi hanya tukar dan tetapkannya kepada butang ‘close friends’.
Berbalik kepada jawapan Mufti Wilayah di laman Al-Kafi #1908: Hukum Wanita Muat Naik Gambar Tidak Menutup Aurat Dengan Sempurna Dalam Kalangan ‘Close Friend’ Atau ‘Private Group’ Wanita Di Media Sosial, menyatakan perbuatan tersebut bercanggah dengan adab seorang Muslim.
Jelasnya, hukum menghantar atau memuat naik gambar gambar dengan keadaan tidak menutup aurat adalah perkara yang dilarang dalam syarak sama ada perbuatan ini dilakukan oleh lelaki mahupun wanita.
“Setiap Muslim perlu ada sifat malu dan berusaha menjaga auratnya sebaik mungkin dan tidak boleh mengambil mudah akan perihal aurat sehingga menjadi tontonan golongan ajnabi.
“Walaupun gambar atau video yang dimuat naik telah dihadkan tontonannya kepada hanya yang mahram atau dalam kalangan sejantina, namun masih terdapat kemungkinan gambar itu tersebar sehingga menjadi tontonan ajnabi.
“Justeru, membuka aurat tanpa sebarang tujuan darurat adalah haram sama ada aurat diri sendiri atau aurat orang lain juga sebagai langkah berjaga-jaga dan menghindarkan diri daripada fitnah, setiap orang perlu menapis setiap gambar dan perbuatan yang akan dipertontonkan kepada orang ramai,” katanya.
BACA JUGA Tiga benda yang kita tidak boleh tunjuk di media sosial
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud RA, Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah seorang wanita bergaul dengan wanita lain, lalu wanita lain itu menceritakan kepada suaminya sehingga seakan-akan suaminya melihat wanita yang diceritakannya” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
BACA JUGA Tidak sesuai ditayangkan buat umat Islam – PU Syed kritik filem tempatan
Berdasarkan hadis tersebut, seorang isteri dilarang menceritakan keadaan bentuk badan wanita lain kepada suaminya kerana dikhuatiri suaminya berasa tertarik dengan sifat yang disebutkan sehingga menceraikan isterinya dan mengidamkan wanita yang diceritakan sifatnya itu.
Hadis ini merupakan hujah Imam Malik dalam menentukan piawaian sadd al-zariah iaitu menghalang perbuatan harus yang boleh membawa kepada sesuatu yang haram.
Mufti Wilayah berpandangan, bagi mengelakkan segala kemudaratan dan maksiat, menjadi satu kewajipan untuk memuat naik yang menutup aurat dengan sempurna serta tidak melanggar adab, etika dan kesopanan seorang Muslim.
Ikuti kami di Tiktok, Instagram, Facebook, Twitter dan Youtube Sinar Islam Plus.