BARU-BARU ini tular isu memakai inai yang diragui dari hukum syarak Islam. Seorang wanita telah bertanya mengenai perkara ini setelah memakai inai celup yang warnanya menjadi luntur setelah dipakai selama tiga hari sekaligus menghalang air sampai kepada kulit.
Ustazah Asma Harun, pendakwah terkenal, di laman Facebooknya berkongsi mengenai hukum ini. Inai atau nama saintifiknya ‘Lawsonia Inermis’ berasal daripada perkataan Arab iaitu “Henna” yang bermaksud ubat. Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Baru, inai ialah sejenis tumbuhan (pokok kecil yang daunnya digunakan sebagai bahan pemerah kuku dan jari serta rambut).
Namun begitu, dewasa ini kebanyakan pengeluar produk inai menggunakan bahan campuran dalam menghasilkan produk inai dan di datangkan dalam pelbagai jenis misalnya inai picit, inai celup dan lain-lain. Sebahagian pengeluar produk inai mengiktiraf bahawa produk mereka merupakan produk yang halal.
Harus difahami bahawa status kehalalan sesuatu produk itu bergantung kepada ramuan yang terkandung di dalamnya. Ia mestilah bersumberkan bahan-bahan halal, bebas kimia, bebas lemak khinzir dan bebas daripada bahan-bahan lain yang tidak halal menurut neraca hukum syarak.
Adapun untuk menentukan pemakaian inai ini boleh dibawa solat atau dihukumkan sah ibadahnya, ia perlu dirujuk kepada jenis inai yang digunakan, sama ada ia bersifat kalis atau telap kepada air.
Baca juga Hutang penyebab datuk tarik balik hibah kepada cucu, jangan anggap tindakan ini buruk siku
Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Majmu’ berkata: “Apabila adanya di atas sebahagian anggota lilin atau tepung atau inai dan seumpama dengannya yang mana ia menghalang ke anggota, maka tidak sah taharahnya, sama ada banyak atau sedikit. Jika berbaki di atas tangan dan selainnya kesan inai dan warnanya tanpa ‘ainnya (zatnya) atau kesan lemak cair yang mana air akan menyentuhi kulit anggota dan air juga mengalir di atasnya akan tetapi ia tidak melekat (iaitu air tidak melekat pada kesan minyak di atas tangan), maka sah taharahnya”.
Menurut Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi dalam fatwanya berkaitan hukum menghilangkan cat di kuku ketika berwuduk, beliau ditanya: “Adakah wajib bagi saya menghilangkan cat kuku ketika berwuduk? Maka Syeikh menjawab: “Ya! Sesungguhnya engkau telah pun mengatakan ia adalah cat yang menghalang air daripada sampai ke kulit maka wajib engkau menghilangkan ketika mengangkat hadas kecil atau besar.
Berkaitan produk inai celup, iaitu pada menentukan kekalisan atau ketelapan air. Dalam hal ini hendaklah terlebih dahulu dilakukan ujian ke atas produk tersebut. Disarankan sekiranya masih lagi wujud keraguan pada status kekalisan air pada produk tersebut adalah lebih baik dirujuk secara langsung kepada pihak Halal JAKIM.
Walau bagaimanapun, bersandarkan kepada perbincangan dan hujahan di atas, dapat disimpulkan; sekiranya diyakini bahawa setelah pemakaian produk inai yang di maksudkan dan ia masih meninggalkan kesan berserta zatnya (selaput) pada mana-mana anggota wuduk dan mandi wajib khususnya kuku, maka dapatlah difahami bahawa sifat produk tersebut adalah kalis air.
Iaitu, menyebabkan air tidak dapat menyentuh atau menghalangi air daripada sampai kepada anggota yang wajib dibasuh. Justeru, tidak sah taharahnya sama ada wuduk atau mandi wajib.
Status ibadah yang dilakukan setelah penggunaan inai kalis air
Umat Islam perlu memahami terlebih dahulu bahawa suci daripada hadas kecil dan besar merupakan syarat sah solat. Wuduk dan mandi wajib yang tidak sempurna akan menyebabkan solat tidak sah.
Antara buktinya ALLAH SWT telah mensyariatkan hukum bersuci seperti wuduk dan mandi wajib bagi mereka yang berhadas kecil dan besar untuk membolehkan seseorang itu melaksanakan sebahagian ibadah seperti solat dan membaca al-Quran.
Baca juga Jadikan kisah keluarga Nabi Ibrahim sebagai pemangkin kekuatan diri untuk mencari keredaan ALLAH SWT
ALLAH SWT berfirman, “wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, kedua belah tangan kamu meliputi siku, sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali”. (Surah al-Maidah ayat 6)
Status ibadah yang dilakukan setelah penggunaan inai kalis air, jika sememangnya inai tersebut sifatnya kalis air dan masih berbaki zatnya walaupun setelah dilakukan usaha yang sepatutnya untuk menghilangkannya, maka anggota itu pada asasnya dikira sebagai terhalang daripada sampai air. Oleh itu, tidak sah wuduk dan mandi wajib yang dilakukan pada ketika itu.
Antara syarat sah solat ialah bergantung kepada sahnya wuduk dan mandi wajib. Justeru pemakai yang terlibat, wajib untuk mengqada’ solat-solat yang telah didirikan selama inai tersebut masih berada di kuku si pemakai.
Daripada Abdullah bin ‘Amr R.A berkata, Kami pulang bersama-sama Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah. Apabila kami sampai ke kawasan air di pertengahan jalan, sekumpulan orang bergegas untuk bersolat Asar. Lalu, mereka berwuduk secara tergesa-gesa. Kami pun menghampiri mereka dan dapati buku lali mereka tidak dibasahi air. Lantas Rasulullah SAW bersabda: Celakalah buku lali mereka disebabkan oleh neraka! Oleh itu, berwuduklah kamu dengan sempurna. (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Secara keseluruhanya, Ustazah Asma menyarankan kepada semua pihak yang terlibat dalam isu inai yang diragui ini agar berhati-hati dan meneliti terlebih dahulu produk yang ingin digunakan. Sekiranya produk tersebut diragui kesuciannya, menyebabkan syubhah dan khususnya membawa kepada terjejasnya hal ehwal ibadat, maka adalah lebih selamat untuk meninggalkannya.