Waspada bila berbicara, kata-kata akan ‘menguasai’ diri
APABILA menuturkan bicara, berwaspadalah dengan setiap kata-kata yang meluncur keluar dari bibir kita.
Ini kerana ungkapan tersebut berupaya ‘menguasai’ diri.
Demikian antara nasihat penuh bernilai yang dititipkan oleh bekas Mufti Agung Mesir, Al-Imam Al-Allamah Prof Dr Ali Jum’ah kepada seluruh umat Islam.
“Kita diperintahkan supaya diam (daripada banyak berkata-kata). Kata-kata itu akan mengawal kita apabila kita sudah bercakap.
Baca juga Jaga-jagalah pertuturan kita, ia umpama suatu doa… Ramai yang tak sedar tentang perkara ini
“(Ia sehinggakan) Imam Syafie pernah menyatakan; ‘Aku tidak mahu bersumpah dengan ALLAH walaupun aku ini benar ataupun berdusta’.
“Ingatlah, ALLAH SWT akan reda andai kita membutirkan yang benar dan mengikut akhlak serta keluhuran (Islam),” katanya ketika menyampaikan amanat dan nasihatnya pada majlis Muzakarah Ulama-Umara di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Dalam pada itu, ulama tersohor dunia itu turut menegur sikap sebilangan pemuda yang terbuka melontarkan perkara tiada kena mengena dengannya kerana dikuasai dan terpengaruh dengan godaan media sosial.
Jelas beliau, ramai orang bercakap tentang perkataan dan perkara-perkara tiada kena mengena dan tidak diketahuinya dengan jelas terutama melalui platform media sosial.
“Sedangkan, ALLAH SWT melarang kita berbuat demikian.
Baca juga Usah lontarkan komunikasi dan komentar jelik, itu bukan akhlak Islam
“Janganlah sesekali anda ikut perkara yang tidak diketahui kerana sesungguhnya, pendengaran dan penglihatan kita kelak akan ditanya oleh ALLAH SWT,” tegasnya sebagaimana yang diambil daripada al-Quran menerusi Surah al-Isra’, ayat 36.
Ketahuilah bahawa ia merupakan satu musibah besar dan boleh mengundang bala kepada seluruh alam, tegas Dr Ali Jum’ah.
“Kita tidak akan mendapat apa-apa hasil pun daripada hal sedemikian. Sebalinya, andai dibiarkan begitu sahaja, ia boleh menjejaskan generasi akan datang,” ujarnya.
Baca juga Kempen hentikan fitnah di media sosial, bimbing masyarakat kembali kepada fitrah
Beliau kemudian memetik sebuah hadis masyhur untuk kita mengambil pedoman daripadanya.
Rasulullah SAW bersabda: “Cukuplah seorang itu dianggap berdusta apabila dia bercakap segala apa yang dia dengar.” (Hadis Riwayat Muslim)
Lantaran itu, Anggota Majlis Tertinggi Ulama al-Azhar as-Syarif itu mengingatkan agar umat Islam tidak begitu mudah terikut-ikut dengan sesuatu yang tular atau sebarang perkara yang didengari tanpa menyelidik, mencari ‘dalil’ mahupun asal usulnya terlebih dahulu sebelum menyebarkannya.
“Jangan siarkan sebelum lakukan semua perkara tersebut. Beringatlah, perkara seperti ini banyak mendatangkan masalah kepada ramai orang,” pesannya.
Ikuti kami di Tiktok, Instagram, Facebook, Twitter dan Youtube Sinar Islam Plus.