TULIS surat dan wang sebagai permohonan maaf, akhlak kanak-kanak ini raih pujian ramai….
“MasyaAllah.. Sejuk hati ibu ayahnya mempunyai anak yang penuh adab ini. Mesti dikelilingi orang-orang yang baik..”
“Terharunya baca..menitis air mata bila baca…jujur sungguh..baik sungguh didikan mak ayahnya… alhamdulillah..”
Tular baru-baru ini, satu nukilan surat yang ditulis seorang kanak-kanak sebagai permohonan maaf kerana termuntah di atas karpet surau. Surat tersebut dimasukkan ke dalam tabung masjid bersama sekeping wang kertas bernilai RM100 sebagai ganti rugi.
Antara isi kandungan surat itu bertulis:
“Assalamualaikum Pak cik, saya menulis surat ini untuk memohon maaf atas kesilapan saya. Pada 27/1/2023, saya secara tidak sengaja termuntah di surau. Saya mahu membersihkannya tetapi saya perlu ke sekolah dengan kereta ayah saya (dengan cepat), (tetapi kereta ayah) menghalang kereta orang lain. Masa itu saya tidak sihat kerana saya kercanunan makanan. Saya berharap pihak surau dapat memaafkan saya. Ini adalah nombor telefon ayah saya jika mempunyai sebarang masalah. Ayah saya sediakan duit ini dengan niat untuk kurangkan beban pihak surau untuk membersihkan najis itu.”
Menerusi satu hantaran di media sosial, pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun turut memberikan tindak balas mengenai inti pati tulisan yang ditulis oleh seorang kanak-kanak sekolah rendah.
Ujar Ustazah Asma’, daripada surat yang dituliskan jelas ia merupakan didikan ibu bapanya yang sangat tekankan tentang adab. Sejak kecil lagi sudah dididik dengan akhlak indah sebegini.
BACA JUGA Nukilan surat Adam Ayyad sebelum syahid yang meruntun jiwa
“Dari sudut yang lain, adik ini solat berjemaah di surau dan tunjukkan kepada kita satu sikap yang sangat matang, bahkan ramai orang dewasa sendiri tidak mampu untuk buat begini, iaitu mengaku kesilapan sendiri.
“Kadang perkataan maaf itu terlalu berat untuk keluar dari mulut kita kerana ego yang lebih besar berbanding kejujuran, apatah lagi pada kesalahan yang tidak diketahui orang.
“Sekalipun kita tidak cukup kuat untuk membuat permohonan maaf secara berdepan dengan orang yang kita telah lakukan kesilapan, namun cara lain adalah melalui surat yang ditulis.
“Kotoran muntah di karpet boleh dibersihkan dengan air cucian, kotoran dosa di hati boleh dibersihkan dengan pelbagai amal soleh dan istighfar. Firman ALLAH SWT:
اِنَّ الۡحَسَنٰتِ يُذۡهِبۡنَ السَّيِّاٰتِ ذٰ لِكَ ذِكۡرٰى لِلذّٰكِرِيۡنَ
Maksudnya: “…Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan perbuatan-perbuatan yang buruk (dosa). Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” (Surah Hud ayat 114)
“Semoga tumbuh menjadi anak yang soleh serta semoga kita semua direzekikan kebaikan yang sama, dijadikan akhlak kita sebagai tauladan buat keluarga dan masyarakat.
BACA JUGA Guru Muslim Di Ontario Ini Gigih Tulis Surat Dengan Tangan Beri Kepada 80 Pelajarnya
“Mudah-mudahan kita semua dapat mencontohi adinda ini dan ibu bapanya dalam menampilkan akhlak yang baik sebagai perhiasan diri. Tindakannya mungkin dianggap kecil tetapi kesannya sangat besar kepada kita semua,” katanya.