‘Tidur orang berpuasa adalah ibadah’, hadis popular ketika Ramadan tetapi tidak sahih
RAMADAN merupakan satu bulan istimewa buat umat Islam. Mana tidaknya, 30 hari penuh keberkatan itu menjanjikan pahala yang bukan calang-calang kepada mereka yang berpuasa dan beribadah semata-mata kerana-NYA.
Di sebalik kehebatan Ramadan yang banyak dirakamkan dalam al-Quran dan as-Sunnah, ada satu hadis seringkali disebutkan masyarakat, iaitu tentang tidur orang berpuasa yang dikatakan satu ibadah.
Hadis itu diriwayatkan oleh al-Imam al-Baihaqi di dalam kitabnya yang berbunyi: “Tidur orang yang berpuasa itu adalah ibadah dan diamnya adalah tasbih.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi dalam Syuab al-Iman)
Baca juga Lima hadis popular ini rupanya hadis palsu
Baca juga [VIDEO] Neraka menanti pencipta hadis palsu
Hadis popular tetapi tidak sahih
Pun begitu, menurut al-Imam al-Baihaqi, terdapat perawi yang lemah di dalam hadis tersebut yang menjadikan statusnya daif atau lemah. Pandangan yang sama turut disuarakan oleh cendekiawan Islam lain seperti al-Imam al-Iraqi dan al-Munawi.
Dalam pada itu, hadis popular berkenaan sering digunakan oleh masyarakat sebagai sandaran untuk sikap bermalas-malasan dan banyak tidur ketika menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadan.
Namun ketahuilah salah satu adab yang betul ketika menjalankan puasa adalah mengurangkan tidur di siang hari, sebagaimana yang dinasihatkan al-Imam al-Ghazali:
“Bahkan diantara adab (berpuasa) adalah tidak memperbanyakkan tidur di siang hari sehingga dia merasa haus dan lapar.” (Ihya Ulumuddin)
Baca juga Ini dia kategori tidur yang tetap dapat ganjaran lailatulqadar
Baca juga Jika rasa berat atau penat untuk beribadah di bulan Ramadan, amalkan doa ini ketika sujud terakhir
Pun begitu, tidak salah untuk tidur sebentar bagi mendapatkan tenaga supaya kita menjadi lebih kuat untuk beribadah.
Dalam hal itu, barulah tidur sebegitu boleh dianggap sebagai ibadah seperti yang disuarakan oleh Saidina Muaz bin Jabal yang menyebutkan:
“Jika aku, aku tidur dan bangun (solat) malam, aku menganggap waktu tidurku seperti waktu aku (ibadah pada) malam hari.” (Sahih al-Bukhari)
Baca juga Para Malaikat Akan Mengerumuni Mereka Yang Bertadarus Al-Quran, Berikut Hikmah-Hikmah Lain
Sebaliknya, bagi mereka yang berpuasa, anda disarankan perbanyakkanlah amalan membaca al-Qur’an, berzikir, menuntut ilmu dan lain-lain lagi.
Ambillah kesempatan sepenuhnya untuk meraih ganjaran pahala besar yang dikurniakan ALLAH SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW sepanjang bulan Ramadan.
Glosari:
Hadis Daif ialah hadis yang tidak diketahui periwayat atau pun periwayatnya tidak bersifat seperti periwayat Hadis Sahih atau Hasan.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Foto: Pexels