Selawat yang mampu selamatkan seseorang dari jatuh ke lubang neraka…
ANTARA golongan yang sentiasa mendapat doa para malaikat adalah orang yang sentiasa berselawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Begitu hebat kelebihan selawat ini sehinggakan ia mampu menyelamatkan seseorang itu daripada tergelincir ke dalam api neraka hanya kerana menjadikan selawat ini sebagai zikir harian.
Seperti kisah seorang pemuda yang diselamatkan daripada terjatuh dalam lubang neraka hanya dengan selawat. Kisah ini dikongsi oleh pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Anuar melalui satu ceramahnya.
Kisah ini tentang seorang hamba ALLAH yang berjalan di atas titian sirat menuju ke syurga, di pertengahan titian itu berasa ingin jatuh kerana titian yang dinaiki pemuda itu terumbang-ambing kerana angin yang terlalu kuat menghentamnya tetapi entah kenapa kakinya tetap kuat berdiri tegak di atas titian itu.
Apabila pemuda itu telah berjaya melepasi titian sirat, dia bertanyakan, “Siapakah yang telah menolongku ketika titi itu dari terumbang-ambing sampai keadaan titi itu kembali aman untuk aku berjalan”?
Jawapan yang diberikan : Amalan “Selawat” yang kamu amalkan di dunia dahulu, datang membantu kamu agar tetap kuat berdiri di atas titian itu tanpa jatuh ke lubang “Neraka”.
Ganjaran selawat ke atas Rasulullah SAW tersangatlah besar sebenarnya.
Semoga kita sama-sama menjadikan selawat sebagai amalan zikir harian agar kelak kita dapat jadi umat yang diberikan syafaat oleh baginda Nabi Muhammad SAW di akhirat kelak.
Jangan tinggal selawat pada Nabi
Dalam sebuah hadis, Rasulullah menjelaskan bahawa selawat yang kita bacakan buat Rasulullah akan disampaikan kepada Nabi sendiri. Dalam erti kata yang lain, Baginda tahu kita berselawat kepadanya.
Perkara ini sebagaimana dikongsi oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi.
“Berdasarkan sabda Rasulullah SAW “Dan berselawatlah ke atasku. Sesungguhnya selawatmu itu akan sampai kepadaku di mana jua kamu berada.” (Sunan Abu Daud)
Baca Juga Lazimkan diri berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW terutama pada hari Jumaat. Ini sebabnya
“Ketika menghuraikan hadis ini, al-Imam Mula Ali al-Qari menukilkan pandangan al-Imam al-Tiibi yang seakan menjelaskan bahawa para malaikat menyampaikan kepada Baginda tentang selawat yang dibacakan buat dirinya. (Fayd al-Qadir)
“Begitulah hebatnya kedudukan selawat ke atas Nabi. Dalam al-Quran sendiri menjelaskan bagaimana ALLAH dan para malaikat-NYA berselawat ke atas Nabi.
“Malah mereka yang memperbanyakkan selawat ke atas Nabi akan mendapat kedudukan yang dimuliakan di sisi ALLAH di akhirat kelak,” katanya.
Sabda Rasulullah “Manusia yang paling utama di sisiku di hari akhirat kelak adalah yang paling banyak berselawat ke atas ku.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)
Tambahnya lagi, mereka yang banyak berselawat juga akan diampunkan dosa mereka. Perkara ini direkodkan dalam sebuah hadis Nabi yang menceritakan tentang kisah Saidina Ubai bin Ka’ab yang bertanya kepada Rasulullah tentang berapa banyak selawat yang seharusnya di ungkapkan ke atas Baginda Nabi.
Baca Juga 5 ‘Kuasa’ Selawat Yang Ramai Tidak Sedar
“Saidina Ubai bertanya kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, aku ingin memperbanyak berselawat ke atasmu. Berapa banyak aku harus berselawat kepadamu dalam doaku? Lalu Rasulullah bersabda: Terserah kepadamu wahai Ubai. Ubai menyebutkan beberapa bilangan dan Rasulullah hanya menjawab: Terserah kepadamu. Sehinggalah di hujung dialog tersebut Ubai bertekad untuk menjadikan seluruh doanya mengandungi selawat kepada Baginda Nabi. Lalu Rasulullah bersabda: “Jika demikian, ALLAH akan mencukupkan segala keperluanmu dan mengampunkan dosamu.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi),” kongsi beliau menerusi satu hantaran di laman media sosial Facebook.