‘Orang tak suka dekat kita’, Ustaz Abdullah Khairi kongsi tips agar disenangi ramai
MANUSIA tidak menyukai kita, itu biarlah hak mereka, asalkan ALLAH SWT merahmati dan memandang kita. Itulah ungkapan yang sering dibicarakan apabila melibatkan hubungan sesama manusia.
Namun dalam perkara ini, Islam amat menegah umatnya daripada bermusuhan dan bermasam muka dan turut mengharamkan sebarang tindakan yang boleh membawa kepada perbuatan seperti mengejek atau menyindir.
Rasulullah SAW bersabda “Apabila seseorang mencacimu dengan sesuatu yang dia ketahui, maka janganlah kamu membalasnya dengan sesuatu yang kamu mengetahui mengenai dirinya. Sebab dengan itu, kamu mendapat pahala, sedangkan dia akan mendapat akibat buruknya.” (Hadis Riwayat Imam Abu Daud)
Tidak dinafikan dalam kehidupan yang penuh pancaroba ini, pelbagai gelagat manusia yang akan kita hadapi saban hari. Ada yang suka dan ada juga membenci tanpa sebarang sebab.
Lantas, bagaimana hendak menjadikan diri kita agar sentiasa disenangi ramai orang? Menurut perkongsian Ustaz Abdulllah Khairi, salah satu rahsianya adalah dengan membaca Surah al-Kautsar.
“kalau siapa yang duduk kat rumah, kadang jiran-jiran tidak suka dekat kita, banyaklah baca Surah Al Kautsar. Kerana apa? insya-ALLAH orang akan tengok dan orang akan suka dekat kita. Bukan bermaksud berkenan dengan kita tapi dia akan jadi seolah-olah macam nak jadi kawan,” katanya.
Kelebihan surah al-Kautsar
Surah Al-Kauthar (سورة الكوثر) ialah surah ke-108 dalam Al Quran. Surah ini tergolong surah Makkiyah dan terdiri daripada tiga ayat. Surah Al-Kauthar merupakan surah paling pendek dalam al-Quran.
Surah Al Kautsar ini juga disifatkan sebagai penghibur Nabi Muhammad SAW kerana ketika surah ini diturunkan, Baginda sedang bersedih atas kewafatan dua orang yang sangat dikasihnya iaitu anak lelaki Ibrahim dan bapa saudara Abu Talib.
BACA JUGA Bolehkah membaca surah yang sama dalam solat?
Memetik perkongsian Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Ummah Care di laman facebooknya, ada beberapa kelebihan apabila mengamalkan surah ini dalam kehidupan:
1. Jika dibaca sebanyak 1000 kali, ALLAH akan tambahkan lagi rezeki.
2. Membaca surah ini sewaktu hujan turun dan sambil berdoa agar ALLAH akan makbulkan semua doa dan permintaan kita.
3. Jika sedang dahaga dan tiada sumber air, bacakan surah ini dan gosokkan di bahagian leher dengan izin ALLAH rasa haus akan hilang serta merta.
4. Sekiranya diuji dengan sakit mata seperti mata berair, bengkak dan gatal, sapukan air mawar yang telah pun dibacakan Surah Al-Kausar sebanyak 10 kali di bahagian mata. Insya-ALLAH akan hilang dan sembuh segera.
5. Jika rumah telah disihir, bacalah surah ini sebanyak 10 kali atau lebih, dengan izin-NYA, kita akan tahu di mana letaknya atau punca sihir tersebut.
6. Surah ini juga boleh meluluhkan dan melembutkan hati seseorang.
7. Sekiranya dibaca dengan kerap, solat juga akan menjadi lebih khusyuk.