Nasihat emas Syeikh Umar al-Afriki kepada penuntut ilmu
SEBAGAI seorang penuntut ilmu yang jauh merantau sehingga ke bumi anbia, pasti setiap kenangan akan dicoretkan di atas selembar kertas mahupun tulisan sebagai pedoman kepada sesiapa sahaja yang membacanya.
Jika ditanya kepada pelajar yang menimba ilmu jauh di perantaun terutama di Mesir pasti kenangan paling berharga dalam kehidupan mereka adalah apabila dapat berjumpa dengan para alim ulama dan dapat meminta secebis nasihat daripada mereka.
Seperti yang dikongsi oleh pelajar Usuluddin (Tafsir dan Ulum al-Quran) Universiti Al-Azhar, Harith Osman di laman facebooknya mengenai sebuah nasihat emas yang telah diberikan oleh Syeikh Ibrahim al-Mali hafizahullah, seorang ulama berasal daripada Afrika yang alim dalam ilmu Nahu.
“Antara soalan yang diajukan adalah “Wahai Syeikh aku akan pulang ke Malaysia tidak lama lagi, berikan aku nasihat berkaitan ilmu.”
Lalu beliau menjawab:
“Kepayahan. Kau bersabarlah. Ketika kau menuntut ilmu, kau menyangka bahawa kau sudah merasakan kepenatan keseluruhannya.
“Sedangkan selepas kau selesai menuntut ilmu, pada waktu itulah baru bermulanya kepenatan.
فاصبر كما صبر أولو العزم من الرسل ولا تستعجل لهم.
“Dalam menuntut ilmu, kau perlu mencontohi sifat kesabaran para Rasul di kalangan ulum azmi dan tidak usah kau tergesa-gesa.
“Bersabarlah dan kau niatkan menuntut ilmu ini semata-mata kerana ALLAH.”
Initipati penting daripada nasihat beliau ini ialah berkaitan sifat sabar. Ya, nampak mudah tetapi sukar untuk kita praktikkan dan amalkan.
BACA JUGA Hebatnya lelaki dukung bapa tunai umrah ibarat kisah Uwais al-Qarni
Ujar Harith lagi, selain daripada al-Marhum Syeikh Saad Jawish, saya saksikan sendiri di hadapan mata bahawa beliau pun pulang selepas selesai pengajian di Muqattam dengan menaiki tremco (kenderaan awam di Mesir) tanpa ada pengiring tertentu.
“Sedangkan beliau ulama masyhur dalam kalangan penuntut ilmu di bumi Mesir. Suatu ketika dahulu, beliau pernah mengajar ilmu Nahu di Masjid al-Azhar dihadiri oleh ramai penuntut ilmu.
“Beliau telah mengaplikasikan nasihat beliau tentang sabar itu dengan mengorbankan tenaga dan masa dari jauh semata-mata untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat di Mesir.
“Paling terharu sekali, sewaktu saya dan seorang sahabat menaiki tremco bersama, beliau sendiri yang tolong membayarkan duit tambang kami.
BACA JUGA Hilang di Mekah, usaha mencari Ustaz Musthafa masih diteruskan
“Antara kitab karangan beliau ialah bertajuk Hidayah al-Rawi li Syarh Manzumah al-Syabrawi merupakan syarah bagi manzumah dalam ilmu Nahu hasil karangan Syeikh Abdullah al-Syabrawi.
“Semoga ALLAH menjaga dan memberkati guru kami, Syeikh Ibrahim Ahmad Umar al-Afriki al-Mali Hafizahullah,” titipnya.