HARI ini kopi menjadi minuman yang sangat popular di hampir seluruh pelusuk dunia, lebih-lebih lagi dengan rentak dan gaya hidup yang pantas.
Malah di sesetengah negara minum kopi di “cafe” adalah satu budaya.
Di Amerika Syarikat, untuk dianggap sebagai rakyat jati, seseorang itu perlulah minum kopi.
Di Australia pula, kopi bukan “bahan api” untuk kerja cergas tetapi adalah sebahagian daripada cara hidup.
Rakyat Itali pula menganggap negara mereka – yang mencipta mesin espresso- adalah ibu negara kopi dunia.
Dan Perancis tidak mendabik dada di atas kehebatan minuman kopinya, sebaliknya lebih berbangga dengan kedai kopi atau cafe di tepi jalan yang menjadi tumpuan golongan intelektual.
Di Malaysia juga, budaya kopi kian merebak. Kalau sebelum ini minuman kopi popular di kopi tiam tradisional, kini muncul cafe antarabangsa dan tempatan di setiap bandar.
Ramai beranggapan kopi adalah resepi minuman yang dibawa dari budaya barat. Namun, sejarah kopi sebenarnya berakar umbi dari umat Islam yang akhirnya menjadi minuman kegemaran dunia.
Orang Arab menggelar kopi sebagai ‘Qahwah’ merujuk sebagai kawasan asal penanaman biji kopi di Keffa, Ethiopia. Perkataan ‘Qahwah’ seterusnya dipinjam oleh orang Turki menjadi ‘Kahve’ sebelum orang Belanda menukarkannya menjadi ‘koffie’ seterusnya di sebut ‘Coffee’ oleh orang Inggeris dan kita menyebutnya sebagai kopi.
Dalam buku pengembaraan karangan John Mchugo dalam yang bertajuk ‘A Concise History of the Arabs’, menyatakan negara Yaman sebagai tempat pertama membudayakan minuman kopi.
Dahulunya ulama sufi menjadikan minuman kopi untuk mengelakkan mereka daripada mengantuk untuk berjaga malam bagi terus beribadat. Namun dari manakah asal usul kopi sehingga ia menjadi satu minuman kegemaran masyarakat dunia pada hari ini?
Dipercayai pokok kopi yang berkemungkinan berasal dari Habsyah (Ethiopia) telah dibawa ke semenanjung tanah Arab sekitar kurun ke-15.
Cerita terkenal masyarakat Habsyah mengenai penemuan pokok kopi membabitkan seorang pengembala kambing berbangsa Arab bernama Kaldi/Khalid.
Satu hari dia melihat kambing-kambingnya tiba-tiba berkelakuan aneh dengan melompat-lompat bertenaga seolah-olah menari kegembiraan.
Beliau mendapati perubahan sikap binatang peliharaannya itu berlaku setelah kambing-kambing itu memakan buah beri berwarna merah dan beliau kemudian mencuba juga buah beri tersebut.
Ternyata Kaldi turut merasa perubahan pada dirinya yang lebih bertenaga dan gembira setelah memakan buah ajaib tersebut. Dipercayai Kaldi adalah orang pertama yang menemukan pokok kopi dan kemudian dibawa ke Yaman dan mula ditanam secara besar-besaran dan mula terkenal di Jazirah Arab, seterusnya kerajaan Turki Othmaniyah telah memperkenalkan budaya minum kopi di cafe kepada dunia.
Kini pelbagai negara mempunyai cerita mereka sendiri mengenai asal usul budaya kopi. Namun tahukah anda minuman kopi ini pernah diharamkan satu ketika dahulu?
Sejak berkembangnya “budaya kopi” di timur tengah sekitar abad ke 15, kedai kopi dibuka bagaikan cendawan tumbuh.
Ianya bukan hanya tempat orang duduk menikmati minuman enak itu, malah ia menjadi lokasi orang ramai, ahli politik dan para bijak pandai berkumpul dalam membincangkan isu politik dan ekonomi.
Sekitar 1511 M gabenor Mekah: Khair Beg telah mengharamkan minuman kopi dan semua kedai kopi diarahkan tutup kerana risau dengan kebangkitan ideologi yang bakal menggugat pemerintahannya.
Hukuman itu berlarutan selama 13 tahun dan ditarik semula pada 1524 M oleh Sultan Selim I dari kerajaan Turki Othmaniyah disokong oleh mufti besar kerajaannya.
Keenakan minuman ini turut berkembang ke Eropah, ia gelar sebagai “minuman orang Islam” ketika awal diperkenalkan.
Pihak gereja Vatican pernah mengharamkan kopi, bagaimanapun semuanya berubah sekitar tahun 1600 setelah Paus Clement VIII mencuba sendiri kopi dan “menghalalkan” dan membaptiskannya agar penganut Kristian turut boleh meminumnya. Maka berkembanglah budaya kopi ke Eropah setelah itu.