RASULULLAH melarang segala perbuatan yang menzahirkan jantina mengelirukan. Malah Rasulullah melaknat mereka yang berpakaian bercanggah dengan jantina asal mereka.
Memetik perkongsian Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi), penceramah bebas dan selebriti TV, mengenai isu menyerupai jantina lawan yang semakin menjadi barah dalam masyarakat hari ini.
Dalam sebuah hadis Baginda Rasulullah SAW, dari Ibnu Abbas RA, “Rasulullah melaknat orang lelaki yang menyerupai wanita dan (melaknat) para wanita yang menyerupai lelaki.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Perlu difahami perkataan laknat yang disebutkan di dalam hadis ini mempunyai makna dan impak yang sangat besar bagi mereka yang memikirkan ancaman daripada Baginda Rasulullah.
Kata para alim ulama perkataan laknat seperti di dalam hadis ini bererti jauh daripada kerahmatan ALLAH, jauh daripada kemuliaan ALLAH dan jauh daripada keampunan ALLAH.
Perlu diketahui bahawa pakaian dikhususkan kepada wanita atau pakaian yang dikhususkan kepada lelaki dalam sesebuah masyarakat menjadi haram jika dipakai oleh berlainan jantina.
Contohnya seperti baju kurung atau baju kelawar yang telah diketahui umum dalam masyarakat merupakan pakaian bagi wanita maka haram dipakai bagi golongan lelaki begitu juga pakaian sebaliknya bagi pakaian lelaki tidak boleh dipakai oleh kaum wanita.
Terdapat satu kaedah yang boleh menjadi panduan kepada kita ialah: Semua perkara yang telah dikhususkan untuk lelaki dari sudut syarak atau adat maka wanita ditegah memakainya dan semua perkara yang telah dikhususkan untuk wanita dari sudut syarak atau adat maka lelaki ditegah memakainya.
Perempuan berpakaian ihram seperti lelaki di tanah suci
Menerusi video yang tular pada 12 Ogos, seorang wanita di twitter mengenakan ihram seperti lelaki tawaf mengelilingi Kaabah.
Wanita berkenaan berada di Mekah dengan lengkap berpakaian ihram seperti jemaah lelaki dan difahamkan menggunakan visa pelancong.
Perbuatannya itu menimbulkan kemarahan orang ramai kerana aksi tersebut merupakan sebuah penghinaan terhadap agama Islam yang melarang perempuan untuk berpakaian seperti lelaki dan sebaliknya.
Terbaharu seperti yang dilaporkan oleh berita Bernama pada awal minggu ini, wanita yang tular di media sosial kerana berpakaian ihram seperti lelaki di Mekah diminta tampil bagi membantu siasatan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.
Baca juga Empat pesanan Menteri Agama kepada ustaz selebriti
“Patutnya dia perlu berani tampil ke hadapan sebab dia berani tunjuk gambar berada di sana (Mekah) dengan berpakaian ihram seolah-olah ingin menimbulkan provokasi, mengapa perlu takut,” katanya kepada pemberita selepas Program Berjalan Teguh Bersama di Dataran Tarbiah.
Pada 1 Sept lepas, Idris dilaporkan berkata individu tersebut telah pulang dari Tanah Suci namun masih belum mendapatkan maklumat bagi mengesannya.
Seterusnya mengambil perkongsian oleh Ainnur Liyana Ya’akub, peguam bela dan peguamcara di laman Facebooknya, beliau turut mengulas mengenai isu ini dari sudut kanun undang-undang Malaysia.
Adakah perbuatan menyerupai jantina lawan kita merupakan kesalahan di sisi undang-undang Malaysia?
Jawapannya, berpakaian seperti jantina yang berlawanan bukan suatu jenayah di bawah Kanun Keseksaan Malaysia. Namun, ia merupakan sebuah kesalahan jenayah syariah mengikut undang-undang syariah di setiap negeri di Malaysia.
Tamsilnya, berpakaian menyerupai jantina berlawanan ataupun ‘cross-dressing’ merupakan jenayah syariah di bawah Seksyen 30 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 apabila dilakukan untuk tujuan tidak bermoral. Pelakunya boleh dikenakan denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh enam bulan.