SEAKAN menjadi trend pada masa kini, ramai wanita secara terbuka telah membuat pembedahan atau suntik ‘filler’ untuk runcing dagu, meninggikan hidung atau ‘v-shape’ wajah.
Tidak ketinggalan juga, wanita yang beragama Islam terutama dalam kalangan artis kini turut melakukan suntikan ini semata-mata hanya ingin kelihatan cantik.
Walaupun ia menjadi dambaan setiap wanita untuk memiliki rupa paras yang elok, namun perlu diketahui dengan jelas akan hukum sebenar melakukan suntikan tersebut dari sudut Islam.
Pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun menjelaskan perbuatan mengubah bentuk wajah melalui kaedah tersebut adalah haram.
“Semakin ramai wanita Islam mengubah bentuk wajah, melalui pembedahan atau kaedah moden seperti suntikan filler (pengisi), botox dan lain-lain, sama ada untuk runcing dagu, v shape, tinggikan hidung, hukumnya HARAM. Mungkin ramai tidak tahu, sebarkan”.
Beliau memberi peringatan itu menerusi satu hantaran di Instagram kerana bimbang ramai dalam kalangan Muslim yang masih tidak tahu hukum tersebut.
Hukum suntikan pada wajah agar berbentuk v (v-shape face)
Sementara itu, Mufti Wilayah di laman Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-599 : Hukum Suntikan Pada Wajah Agar Berbentuk V (V-Shape Face) jelas menyatakan suntikan pada kawasan rahang agar kelihatan runcing atau segala suntikan pada bahagian wajah agar muka berbentuk V (V-Shape face) bagi tujuan kecantikan adalah dilarang.
Ujar Mufti, hukum rawatan kosmetik bertujuan kecantikan yang boleh menyebabkan pengubahsuaian bentuk ciptaan ALLAH SWT adalah haram. Walaupun proses tersebut tidak melalui proses pembedahan plastik namun segala kaedah yang boleh menyebabkan perubahan bentuk muka adalah dilarang.
Baca Juga Berfesyen menggunakan tudung menyerupai rambut, apa hukumnya?
“Perubahan yang menunjukkan kesan drastik serta merta seperti bentuk dagu menjadi tirus (runcing) mahupun meninggikan bentuk hidung kelihatan berlebihan dalam mendapatkan rawatan kosmetik adalah termasuk dalam larangan mengubah ciptaan ALLAH SWT.
“Bahkan, mereka yang menjalankan rawatan menghalang proses penuaan seolah menafikan terhadap fitrah semulajadi yang akan dilalui oleh setiap insan dalam meniti usia lanjutnya.
“Justeru, umat Islam tidak sepatutnya melibatkan diri dalam segala jenis rawatan kosmetik untuk kecantikan yang boleh mengubah ciptaan ALLAH,” katanya.
Baca Juga Wajarkah memaki diri bila diuji, nilai kembali respon anda tatkala berdepan cabaran kehidupan
Tambahnya lagi di laman berkenaan, merujuk kepada Keputusan Fatwa Kebangsaan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Kali Ke- 74 yang bersidang pada 25-27 Julai 2006 bersetuju memutuskan supaya negeri-negeri mewartakan fatwa pengharaman suntikan Botulium Toxin Type A (Botox cosmetic).
“Dr. Soleh bin Muhamad al-Fawzan membahaskan tentang pembedahan kosmetik pada dagu yang melibatkan bahagian tulang rahang untuk tujuan menambah kecantikan. Pembedahan dagu demi kecantikan adalah haram apabila penampilan dagu tiada kecacatan. Prosedur tersebut termasuk dalam mengubah ciptaan ALLAH SWT seperti yang dinyatakan dalam nas. Walau bagaimanapun harus bagi tujuan rawatan dan menutupi aib yang terzahir,” katanya.
Dalil dan hadis mengubah ciptaan ALLAH
Mengubah ciptaan ALLAH SWT bermaksud mengubah fitrah yang telah ALLAH SWT tetapkan pada makhluk-NYA sama ada daripada sudut agama atau penciptaan-NYA.
Baca Juga Sesuka hati ‘body shaming’ ibarat menghina ciptaan ALLAH
ALLAH SWT berfirman dalam surah al-Rum ayat 30 “Tetaplah atas fitrah ALLAH SWT yang telah menciptakan manusia atas fitrah itu, tidaklah patut ada sebarang perubahan pada penciptaan (fitrah) ALLAH itu”.
Terdapat hadis yang boleh dikaitkan dengan larangan merubah ciptaan ALLAH sepertimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud RA bahawa Nabi SAW bersabda: “ALLAH SWT melaknat wanita-wanita yang melukis tatu dan wanita yang meminta dibuat tatu, wanita-wanita yang mencukur bulu kening dan wanita yang meminta mencukur bulu kening dan wanita-wanita yang menjarangkan gigi untuk kecantikan yang mana ia merubah ciptaan ALLAH SWT”. (Hadis Riwayat Muslim)