MENERUSI Facebooknya, pendakwah Ustaz Abdullah Khairi Haroon berkongsi satu kisah teladan tentang kebaikan bersedekah.
Beliau berkata, kisah tersebut berlaku pada zaman Nabi Musa AS mengenai sepasang suami isteri yang hidup dengan kemiskinan namun mereka menghadapinya dengan penuh kesabaran.
Tulis agamawan itu lagi, mereka telah mengadu mengenai keadaan hidup dan meminta supaya Nabi Musa berdoa kepada ALLAH tentang situasi yang dihadapi.
Menurutnya, akhirnya permintaan mereka dikabulkan ALLAH dengan syarat kekayaan itu hanya kekal selama setahun sahaja dan mereka menerima khabar tersebut dengan penuh gembira.
Selang beberapa hari, rezeki pasangan itu melimpah ruah dan datang dari jalan tidak diketahui arahnya. Keadaan hidup mereka berubah sekelip mata dan menjadi orang terkaya di kawasan itu.
“Si isteri memberitahu sang suami bahawa dalam tempoh setahun ini mereka akan memberi makan kepada orang miskin dan menyantuni anak yatim selagi masih diberi kesempatan kerana setahun setahun kemudian mereka akan kembali miskin.
“Suaminya berlapang dada dan menyambut baik keputusan si isteri. Katanya, harta ini akan digunakan untuk membantu orang yang memerlukan,” ujarnya.
Cerita Ustaz Abdullah Khairi lagi, suami isteri tersebut menggunakan harta yang melimpah itu untuk membina tempat persinggahan para musafir dan menyediakan makanan secara percuma kepada fakir dan miskin.
Setahun pun berlalu dan mereka tetap sibuk menyediakan makanan sehingga terlupa bahawa sudah setahun lebih menjadi orang kaya dan semua itu bakal berakhir.
Nabi Musa berasa sangat hairan melihat keadaan mereka yang masih tetap kaya. Baginda bertanyakan ALLAH SWT, lalu dijawab: “Wahai Musa, AKU telah membuka satu pintu rezeki kepada mereka, tetapi mereka membuka beberapa pintu rezeki untuk hamba-hamba-KU.
“Wahai Musa, maka AKU akan kurniakan lebih lama kekayaan itu pada mereka.”
“Wahai Musa, AKU sangat malu jika ada hamba;KU yang lebih mulia dan lebih pemurah daripada AKU.”
Nabi Musa menjawab: “MAHA SUCI ENGKAU YA ALLAH, betapa MAHA MULIA urusan-MU dan MAHA TINGGI KEDUDUKAN-MU.”
Justeru Ustaz Abdullah Khairi berkata, kehidupan ini bukanlah satu perlumbaaan untuk menjadi yang terbaik, sebalik bagaimana untuk berbuat baik kepada insan sekeliling.
“Jom perbanyakkan amalan bersedekah. Sesungguhnya jangan tunggu duit banyak untuk bersedekah tetapi mulai dengan berapa yang ada dahulu pastinya rezeki akan akan semakin bertambah-tambah,” katanya.