KEBAHAGIAAN sering diukur dengan wang ringgit, harta yang mewah, rumah tersergam indah, pakaian kelihatan gah dan sebagainya. Bukanlah maksudnya yang kaya tidak layak bahagia, bahkan dengan harta yang banyak kita boleh berkongsi rezeki dengan ramai orang.
Kadang-kadang pula, kita melihat ada orang yang hidupnya begitu sederhana dari segi rumah, kenderaan, pasangan dan anak-anak, akan tetapi merekalah orang paling bahagia dengan setiap rezeki dikurniakan.
Namun apakah sebenarnya makna kebahagiaan menurut Rasulullah SAW. Hakikatnya begitu luas makna bagi sebuah kebahagiaan.
Pendakwah bebas, Ustazah Asma Harun berkongsi di laman Facebooknya mengenai hakikat kebahagiaan sebenar seperti yang disebut oleh Rasulullah.
Rasulullah SAW bersabda “Empat tanda kebahagiaan; Isteri yang solehah, tempat tinggal yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang elok. Empat tanda kedukaan; Jiran yang buruk (sikapnya), isteri yang jahat, tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)
Berikut merupakan empat tanda kebahagiaan mengikut Rasulullah:
1. Pasangan yang soleh atau solehah
Paras rupa yang indah pasti semakin menghilang apabila lanjut usia, harta pasti akan habis dan tidak boleh dibawa bersama, keturunan yang dibanggakan pula hanya sementara.
Namun kunci kekuatan kasih sayang adalah akhlak yang baik terhadap pasangan, saling menjadi penguat dan bersama-sama berusaha mencapai syurga Firdaus.
Rasulullah SAW bersabda “Perempuan dinikahi kerana empat perkara kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka peganglah dengan yang mempunyai agama. Maka engkau akan bahagia.” (Hadis Riwayat Bukhari)
2. Tempat tinggal yang luas
Rumah yang luas menenangkan hati, bukan mewah menjadi ukuran kerana ada orang rumahnya besar tetapi terasa sempit.
Maka yang perlu diisi bukan perabot atau perhiasan yang mewah tetapi keberkatan melalui amal soleh, zikir, bacaan al-Quran, solat berjemaah, dan lain-lain.
Rasulullah SAW ada ajarkan sebuah doa supaya menjadikan rumah yang diduduki terasa tenang tenteram:
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي ذَنْبِي، وَوَسِّعْ لِي فِي دَارِي، وَبارِكْ لِي فِي رِزْقِي
Maksudnya: “Ya ALLAH, ampunkan dosaku, luaskan bagiku rumahku dan berkatilah aku di dalam rezekiku.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)
3. Jiran yang baik
Adab terhadap jiran sangat perlu dijaga kerana selepas keluarga, jiran merupakan orang terdekat yang akan membantu apabila berlaku sebarang kecemasan.
Maka, jalinkan hubungan baik dengan mereka dan jangan sakiti mereka. Contohnya anak membuat bising sehingga jiran terganggu, kucing yang membuang najis merata di halaman jiran atau membakar sampah sehingga asap memasuki rumah jiran, dan lain-lain.
Bahkan perkara yang dianggap biasa ini, dikhuatiri kita termasuk dalam golongan yang diceritakan oleh Rasulullah SAW tentang seorang wanita yang menyakiti jiran dengan lidahnya.
Daripada Abu Hurairah RA, beliau menceritakan “Telah berkata seorang lelaki kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya wanita ini terkenal dengan banyaknya solat, berpuasa dan bersedekah tetapi dia sentiasa menyakiti jirannya dengan lidahnya.” Lalu Nabi SAW bersabda: “Dia akan masuk ke dalam neraka.” (Hadis Riwayat Bukhari)
4. Kenderaan yang elok
Kenderaan elok juga menenangkan hati kerana ia dapat memudahkan pergerakan kita untuk sebarang urusan.
Sebenarnya banyak masa diluangkan di dalam kereta, maka saat itulah amat baik untuk diisi dengan zikir dan selawat. Bayangkan jika kenderaan rosak, ia mudah mencetuskan perasaan marah dan resah kerana masa yang terganggu hingga lambat sampai ke destinasi.
Apa yang disebutkan Rasulullah SAW mengenai empat kunci kebahagiaan itu bukan untuk kita sibukkan diri dan cintakan dunia, akan tetapi kerana itulah fitrah sebagai manusia.
Memiliki pasangan yang baik, jiran yang menyenangkan, rumah yang luas dan kenderaan yang bagus merupakan keperluan sebagai manusia.
Namun kebahagiaan itu tidak semestinya daripada ukuran keduniaan semata-mata, kerana hakikatnya bahagia yang sebenar apabila kita dapat mengabdikan diri kepada ALLAH dengan penuh keikhlasan dan mempunyai hubungan yang kuat dengan YANG MAHA PENCIPTA.