DALAM al-Quran, ALLAH SWT menggambarkan tentang salah satu sifat orang yang beriman adalah terdapat kesan sujud pada wajah mereka.
Kesan sujud ini bukanlah tanda fizikal yang terdapat pada dahi seseorang, tetapi lebih kepada rupa elok yang sedap mata melihat.
Dr Ahmad Sanusi Azmi, Pensyarah Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia di halaman Facebooknya berkongsi mengenai kesan sujud pada wajah ini.
Al-Imam ibn Kathir merekodkan pandangan beberapa sarjana silam berhubung apa yang dimaksudkan tentang kesan sujud di wajah orang yang beriman.
Antaranya ialah:
1. Rupa yang elok (sejuk dan tenang mata memandang). Pandangan ini diutarakan oleh Saidina Abdullah bin Abbas. Ia turut diungkapkan oleh al-Suddi “Solat itu memperelokkan wajah (orang beriman).”
2. Bersifat khusyuk dan tawaduk. Pandangan ini dinyatakan oleh al-Imam Muhajid ibn Jabr, salah seorang tabiin yang terkenal dalam bidang tafsir.
Baca juga Elakkan pemasaran ‘bertuhankan’ media sosial, ini sebab-sebabnya
3. Sinar wajah pada hari kiamat. Pandangan ini direkodkan oleh al-Imam al-Tabari yang menukilkan pendapat al-Hasan yang menyatakan “Sinar putih pada wajah orang beriman di hari akhirat kelak.”
Al-Imam Ibn Kathir turut menitipkan pesanan agar sentiasa menjaga amalan peribadi kita (solat malam, zikir dan selawat) kerana amalan yang dilakukan secara rahsia memberikan kesan kepada penampilan zahir.
Kata Saidina Umar “Barangsiapa yang memperelokkan amalan soleh mereka secara rahsia, maka ALLAH akan memperelokkan urusan zahir (urusan dunia dan penampilan) mereka,” (Tafsir Ibn Kathir)
Kesan mengejutkan sujud pada seri wajah
Sheikh Zulfiqar Ahmad, seorang Sheikh Tasawuf Naqsyabandi, menceritakan ketika beliau berada di Muzium Udara dan Angkasa Negara, Amerika Syarikat, ada seorang doktor bukan Muslim mendekatinya.
Kata doktor itu, Muslim yang melakukan banyak ibadah terdapat sinaran di wajah mereka. Zulfiqar mengiyakan kata-katanya.
Lantas doktor tersebut berkata, ada sebab kenapa wajah mereka bersinar.
Ujarnya, darah disalurkan kepada organ-organ manusia di bawah jantung dengan mudah, tetapi sukar untuk disalurkan bahagian di atas jantung. Itulah sebabnya, kepala tidak mendapat jumlah darah yang sepatutnya.
“Apabila orang Islam bersolat dan sujud, kepala dan muka berada di bawah jantung. Ini adalah satu-satunya cara darah dapat membanjiri muka,”
Doktor itu bertanya lagi, apabila kamu sujud lama, kamu dapat merasakan darah di wajah?
Zulfiqar menjawab, Ya boleh.
Jelas doktor tersebut, ia adalah peredaran darah setiap hari yang menjadikan muka segar.
Zulfiqar kagum terhadap hasil kajian pakar perubatan itu sehingga mampu mengangkat martabat hikmah solat bagi seorang Muslim.
Sebuah hadis riwayat Muslim menyatakan “Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada ALLAH, kerana tidaklah kamu sekali sujud kepada-NYA melainkan DIA mengangkatmu satu darjat dan menghapus satu kesalahanmu (dosa) darimu.”
Hakikatnya mereka yang beramal soleh, bukan sahaja lahir kesan rohani di wajahnya tetapi juga besar manfaat kepada tubuh badan.