HIJRAH dalam al-Quran dapat ditemukan dengan beberapa makna pelbagai dan salah satunya adalah hijrah amal atau perbuatan, yakni dengan meninggalkan dosa dan segala kemaksiatan.
Terutama apabila melibatkan seorang Muslimah, mungkin dahulunya pemakaian yang dipakai begitu menjolok mata dan seksi dan setelah hadirnya hidayah, dia bertekad untuk berubah dan menutup aurat.
Namun apabila sudah berubah, diuji pula dengan gambar-gambar dahulu kala yang masih tidak menutup aurat dan tersebar luas di Instagram, Facebook dan sebagainya. Adakah dosanya masih ditanggung?
Menerusi pencerahan yang dikongsi oleh penceramah bebas, Ustaz Wadi Annuar di laman media sosial mengenai seseorang yang sudah berhijrah namun gambar tidak menutup aurat masih tersebar.
Menurutnya, apabila berhijrah antara perkara yang kita perlu lakukan adalah meninggalkan semua dosa yang dibuat dan berazam dengan bersungguh-sungguh untuk tidak kembali dan menyesal dengan dosa-dosa lama yang kita lakukan.
“Kita pernah upload gambar-gambar seksi di media sosial dan sudah pernah cuba memadamnya tetapi tidak boleh.
“Bila kita sudah cuba bersungguh-sungguh dengan semua jalan itu dimaafkan, namun selagi ada ruang, ada jalan dan ada cara dengan bertanyakan orang-orang yang pakar dan mesti usaha dahulu jika tidak boleh barulah benda itu dimaafkan oleh ALLAH”, ujar beliau
ALLAH SWT telah berfirman dalam Surah at-Taubah pada ayat 20, “Sesungguhnya orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan ALLAH SWT dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi ALLAH SWT daripada orang yang hanya memberi minum orang haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja dan mereka itulah orang yang berjaya”.
Hijrah kerana mengikut perintah ALLAH
Antara ganjaran bagi orang melakukan hijrah adalah dijanjikan ALLAH dengan sama balasannya bersama orang-orang yang disakiti di jalan ALLAH dan berperang serta syahid dan menghapus segala kesalahannya.
Dari Abdullah bin Umar RA, Nabi SAW bersabda “Muslim adalah orang yang menyelamatkan semua orang Muslim dari lisan dan tangannya. Al Muhajir adalah orang yang meninggalkan larangan ALLAH SWT” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Seperti yang dikongsi oleh Mutawif Rarecation, Shauqi Hasan, apabila sampai masa kesedaran mengetuk pintu hati, tandanya sapaan ALLAH kepada hamba-NYA mengajak kembali kepada fitrah dan bersedia untuk balik ke kampung akhirat dalam keadaan diredai-NYA.
Ujarnya, “Semua kesalahan kita kepada ALLAH, mohonlah ampun dan taubat, dengan keazaman untuk tidak melakukan dosa yang sama lagi, menyesal akan dosa dan kelalaian tersebut dan meninggalkan serta merta tanpa menyoal.
“Salah satu contoh klasik yang pernah berlaku dalam sirah, satu uswah untuk kita ambil sebagai satu sunah dan kaedah dalam berusaha mengikut perintah ALLAH.
“Apabila turun ayat al-Quran tentang pengharaman arak pada tahun ke-15 kenabian (tahun ke-2 hijrah), dengan linangan air mata, semua sahabat Nabi SAW pada ketika itu, memecahkan semua tempayan arak di rumah masing-masing dan bersungguh-sungguh menyesal serta tidak lagi menyentuhnya.
“Sahabat-sahabat Nabi, semuanya patuh kepada perintah Ilahi, tanpa soal dan tanpa pertimbangan kedua, pada saat dan ketika itu juga, mereka meninggalkan apa yang dilarang”, katanya.
Baca juga Benarkah wanita tercipta daripada tulang rusuk lelaki, berikut perinciannya
Baca juga 6 amalan membawa ke syurga. Mungkin anda pernah lakukan tanpa sedar