SETIAP manusia tidak luput dari melakukan dosa dan pasti mempunyai aib tersendiri, kecuali para Nabi dan Rasul serta orang-orang yang ALLAH lindungi dirinya dari kemaksiatan dan perbuatan dosa.
Dari Anas bin Malik RA, Nabi Muhammad SAW bersabda “Setiap anak Adam berdosa dan sebaik-baik orang yang berdosa ialah orang-orang yang bertaubat”. (Hadis Riwayat Imam Tirmidzi)
Seseorang yang menyedari bahawa dirinya adalah pelaku maksiat, maka hendaklah ia bertaubat atas dosa-dosanya dan memperbaiki diri dengan mengerjakan amal soleh.
Setiap kesalahan dan maksiat yang dilakukan, pasti akan mempunyai aib tersendiri, sama ada secara tersembunyi mahupun zahir.
Aib berpunca daripada perbuatan dan tingkahlaku yang kita lakukan daripada diri sendiri dan orang sekitar.
Perbuatan menyebarkan aib orang lain pula, termasuk dalam sunnah sayyiah yang berdosa jika diteruskan oleh orang lain.
Namun bagaimana pula jika aib itu datangnya dari dalam diri kita sendiri tanpa menyedari ia hadir atas sebab perbuatan yang dilakukan?
Maka, menurut Imam al Ghazali di dalam Ihya’ Ulumuddin, barangsiapa hendak mengetahui aib-aibnya, maka dia harus menempuh empat jalan yang berikut:
1. Melalui seorang guru
Duduk di hadapan seorang guru (mursyid) yang mampu mengetahui keburukan hati dan pelbagai bahaya dan kejahatan yang tersembunyi di dalam diri.
Kemudian pasrahkan dirinya kepada guru dan mengikut segala tunjuk ajar dalam bermujahadah membersihkan aib itu.
2. Melalui sahabat
Mencari seorang sahabat yang jujur, iaitu memiliki bashiroh (mata hati yang tajam) (berilmu) dan teguh pegangannya pada ajaran agama.
Sahabat itu juga mampu menjelaskan kecacatan dan keaiban apabila diminta dan dia menjadikan rakannya itu sebagai penasihat setiap kali melakukan dosa atau aib itu.
3. Melalui musuh
Berusaha mengetahui aib dari ucapan dan cacian musuh-musuhnya, kerana pandangan yang penuh kebencian akan berusaha menyingkapkan keburukan seseorang.
Kata-kata dari musuh merupakan satu dorongan besar terutama bagi seseorang yang bertekad untuk berubah ke arah kebaikan. Maka setiap kata-kata itu bukanlah melemahkan, malah makin menguatkanya.
Baca juga Bawa anak kecil solat di masjid. Ini tip elak ganggu jemaah lain
4. Melalui masyarakat sekitar
Bergaul dengan masyarakat. Setiap kali melihat keburukan orang lain, maka dia akan menuduh dirinya juga sebagai salah seorang yang memiliki sifat tersebut.
Kemudian dia menuntut dirinya untuk segera meninggalkan, membenci dan menjauhi keburukan sifat tersebut.
Doa agar ALLAH menutup aib
Seseorang Mukmin itu adalah cerminan bagi Mukmin yang lainnya. Ketika melihat aib orang lain dia akan segera melihat aib-aibnya sendiri dan berusaha memperbaikinya bukan mencela dan menghina aib orang yang lain.
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda “Tidaklah seseorang hamba menutup aib hamba yang lain, melainkan ALLAH tutup aib hamba yang pertama tadi di Hari Kiamat“. (Hadis Riwayat Imam Muslim)
Selalulah kita berdoa agar ALLAH pelihara aib kita daripada tersebar.
Daripada Ibn Umar RA, bahawa Rasulullah SAW sering mengulang-ulang doa ini pada waktu pagi dan petang “Ya ALLAH aku memohon keselamatan di dunia dan akhirat. Ya ALLAH aku memohon kepada-Mu kemaafan dan keselamatan pada agamaku dan duniaku, pada ahli keluargaku dan harta bendaku. Ya ALLAH tutuplah auratku (aib dan kelemahan), dan amankanlah ketakutanku. Ya ALLAH peliharalah aku daripada bahaya yang datang dari hadapanku, dari belakangku, dari kananku, dari kiriku, dari atasku, dan aku berlindung dengan keagungan-MU daripada tergelincir daripada bawahku”. (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari)